Archive | June, 2009

22-Jun-2009 | Oleh: Ellyna Ali Kenduri Adlin Penuh Sesak, Meriah!

22 Jun

Teks oleh Ellyna Ali
Gambar Bonie Sharif

KUALA LUMPUR, 22 JUN 2009:  Bukan majlis perkahwinan Ziana Zain, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi saja yang mampu mencipta sejarah dari segi kehadiran peminat tetapi hal yang sama turut berlaku pada majlis kenduri  perkahwinan Adlin Aman Ramlie dan Emilda Rosmila di Kg Bukit Cherakah, Klang, semalam.

Lebih 5,000 tetamu dan peminat telah membanjiri majlis kenduri perkahwinan mereka yang berkonsepkan ala Jawa itu  yang berlangsung di rumah Mak Mah atau Ruminah Sidek sehingga ia menjadi cukup sesak dan meriah.

Kemeriahan majlis itu sudah mula dirasai sejak menghampiri kawasan rumah mempelai lagi apabila melihat begitu banyak deretan kereta berbaris di bahu jalan raya malah bas pelancong pun kelihatan ada.

Di bawah khemah pula, ramai berebut-rebut untuk bergambar dengan pengantin terutama apabila pengantin hendak menyempurnakan upacara makan beradab.

Tidak kurang juga yang ghairah bergambar di pelamin sampai terlupakan anak kecil mereka. Yang hendak menyanyi  karaoke pun ada yang sampai merajuk apabila giliran tidak sampai. Bagi yang hendak menjamu selera, pelbagai juadah tersaji seperti nasi, lauk-pauk, soto ayam, mi goreng, bubur dan sebagainya.

Pendek kata, suasana di majlis kenduri kahwin itu sudah jadi macam sebuah karnival pula. Menariknya, bukan saja Adlin dan Emilda saja yang dikerumuni tetamu, malah peminat Mak Mah pun sungguh ramai!

Rakan artis yang datang termasuklah Pengetua AF7,  Datin Seri Tiara Jacquelina dan suaminya, Datuk Seri Effendi Norwawi, AC Mizal , Emylia Rosnaida, Azean Irdawaty, Rosnah Johari, Roslan Aziz dan isteri, A R Badul, Raja Azmi Raja Sulaiman, Maimon Talib, Kisma dan Mak Jah dan Aqasha yang menjadi pengiring Adlin. 

Mak Mah yang sempat ditemui bersyukur apabila majlis itu dapat dilangsungkan dengan selamat dan sempurna.

“Mak selalu berdoa biarlah Tuhan memberikan keberkatan kepada majlis ini dengan cuaca yang elok. Tak hujan dan tidak pula begitu panas. Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti apa yang dirancang. Mak sendiri pun tidak jangka begitu ramainya orang yang datang. Tapi, sudah jadi tradisi di sini, kalau ada saja kenduri-kendara, kita haruslah jemput seluruh kampung yang ada di sekitar Meru ini.

“Mak tak tahu berapa banyak kampung yang ada. Ada juga datang dari tempat-tempat yang lain. Sebenarnya Mak terharu sangat bila menerima kedatangan mereka terutama orang di kampung Meru sendiri. Sebab mereka selalu jemput Mak datang untuk kenduri-kendara mereka tapi banyak Mak pula kadang-kadang tak dapat pergi sebab terikat dengan shooting. Tapi, Mak akan cuba juga lakukan sesuatu dengan menghantar kiriman buat mereka.

“Mungkin itulah yang menyebabkan mereka sentiasa ingat dengan Mak,” katanya sambil menitiskan air mata.

Mak Mah bagaimanapun enggan memberitahu berapakah kos majlis kenduri kahwin tersebut atau berapa banyak makanan yang disediakan untuk tetamunya.

“Apa yang  boleh katakan, Mak hanya berdoa supaya Tuhan tambahkan dan lebihkan apa yang kurang supaya semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Mak Mah tidak nafikan status duda Adlin

Mengenai situasi dan keadaan menantunya Emilda yang masih lagi kurang sihat selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini akibat sedikit pendarahan, Mak Mah berkata, dia sebenarnya risau apabila memikirkan tentang perkara itu.

“Tapi hendak buat macamana sebab segala perancangan kenduri sudah pun dilakukan. Lagipun, mereka sendiri yang bersetuju untuk meneruskannya,” kata Mak Mah.

Tentang status Adlin sebagai duda anak satu, Mak Mah berkata, dia tidak nafikan bahawa satu masa dulu Adlin pernah mendirikan rumahtangga.

“Tapi kalau boleh Mak tak mahu mengulas panjang tentang perkara ini. Sebab ia satu cerita yang dah terlalu lama. Waktu ia berlaku pun Adlin masih terlalu muda. Mak dan keluarga pun tak sempat dan bermesra dengan bekas isterinya itu. “Lagipun, Mak ni seorang yang suka nak jaga hati semua orang. Mak tak mahu nanti disebabkan cerita-cerita seperti ini, ada banyak hati yang terguris pula. Nanti, ia jadi perkara yang tidak enak,” katanya.

Walaupun majlis kenduri kahwin anaknya Adlin dan Emilda dilangsung di banglonya itu Mak Mah mengakui dia lebih senang tinggal di rumah kampungnya yang terletak tidak jauh dari kawasan itu.

“Mak lebih selesa tinggal di rumah kampung. Senang bagi Mak nak ke mana-mana. Yang ini adalah rumah persinggahan untuk Mak berkumpul bersama anak-anak dan rumah ini pun dibina di atas tanah Mak sendiri,” katanya.

Murai

Fizo, Quaira Mudah Serasi

21 Jun

Oleh Zubir Mohd Yunus

Tampan, jelita pakej bonus bagi dua pelakon baru untuk meniti dunia lakonan, selebriti

DUA bintang remaja, Fizo Omar dan Tunku Tiara atau Quiara masih mentah di pentas hiburan, namun hari demi hari mereka semakin rancak menempa nama dan populariti sehinggalah mendapat perhatian peminat dan media massa. Bersama pakej bonus yang dimiliki kedua-duanya – tampan dan jelita, disertai bakat yang digilap tanpa rasa jemu, merendah diri, membuatkan mereka mudah didekati sesiapa saja.

Fizo dan Quiara dilahirkan daripada latar keluarga berbeza, si teruna anak orang kebanyakan, si dara pula kerabat diraja Johor, namun sebaik saja menjejakkan kaki di laman seni, tiada jurang yang mampu memisahkan mereka. Pertama kali mereka digandingkan sebagai pasangan kekasih menerusi telemovie Keliru.

Terbaru, pasangan ‘merpati dua sejoli’ ini menjadi perhatian penerbit, Sahid Juri membintangi drama bersiri 20 episod, Cinta Sempurna terbitan sulung Cerna Media Sdn Bhd. Drama arahan Saipul Bahri Othman ini akan disiarkan pada Ramadan akan datang menerusi Astro Oasis. Namun, mereka bukan lagi sebagai pasangan kekasih, sebaliknya adik beradik. Pun begitu, keserasian memang wujud antara mereka.


Tunku Tiara

Buktinya, mereka beraksi di depan lensa kamera umpama pasangan bercinta apabila pertama kali diberi peluang menghiasi muka depan B*Pop. Tidak dinafikan, 15 minit pertama kedua-duanya kelihatan agak malu-malu ditambah dengan ‘pemantauan’ daripada ibu Quiara yang sentiasa berada di belakang tabir, namun memasuki minit yang seterusnya, Fizo dan Quiara sudah memperoleh ‘rentak’ dan hasilnya, lihatlah sendiri!

Yang pasti, andai kedua-duanya sudah berpunya, barangkali kalau silap jangkaan, mahu saja hubungan mereka dengan pasangan masing-masing berantakan gara-gara cemburu jika alasan yang diberikan tidak diterima akal! Namun, atas dasar kerja dan profesional, selain tuntutan fotografi yang ingin melihat kemesraan kedua-duanya, Fizo dan Quiara ‘rela manja’ membiarkan apa saja perasaan yang tersimpul di dalam hati berlalu pergi.

Fizo sendiri sebenarnya sudah lali dengan gosip cinta apabila dia sering menjadi ‘mangsa’. Pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita, tapi tiada kesudahan dan akhirnya senyap begitu saja. Bagi Fizo, mereka sekadar kenalan biasa, namun gosip tercetus gara-gara tafsiran yang kurang tepat. Kini, Fizo tetap berkawan dengan mereka meskipun tidak membabitkan sebarang perasaan.

Terbaru, khabarnya Fizo putus cinta dengan gadis biasa berusia 21 tahun yang berasal dari utara tanah air, benarkah begitu?

“Kami tak sempat bercinta pun. Baru nak kenal-kenal, tak boleh serius. Akhirnya kami lebih selesa sebagai kawan biasa saja,” kata Fizo sebaik memulakan bicaranya.

Secara jujur, status Fizo ketika ini?


Fizo Omar

“Sebetulnya saya tidak ada komitmen dengan sesiapa pun, solo! Saya tak mahu terburu-buru mencari teman hidup. Namanya pun teman hidup, pastinya saya mahukan yang terbaik kerana kalau diizinkan, kita nak hidup selama-lamanya dengan dia. Lagipun kesibukan membina kerjaya juga antara halangan saya mencari yang benar-benar terbaik.

“Namun, sekiranya dalam kesibukan itu cinta tiba-tiba datang, saya tak mampu menolaknya. Sebagai makhluk ciptaan Tuhan, saya juga memerlukan cinta,” katanya yang sudah membintangi lebih 10 drama, tapi mengakui dirinya tidak pernah terjerat dengan cinta lokasi sesama rakan artis.

Fizo puji kecantikan Quaira

Bagaimana dengan Quiara, kali pertama berlakon dengannya sebagai pasangan kekasih, kini membawa watak adik beradik dan hari ini pula anda berdua dipertemukan kali pertama untuk sesi fotografi, tidakkah wujud sebarang perasaan terhadapnya?

“Quiara? Tipulah kalau seorang lelaki seperti saya memandangnya, tak suka! Dia memang cantik, penampilannya ada daya tarikan tersendiri. Pun begitu, cantik, comel, faktor itu sebenarnya sesuatu yang subjektif. Namun, saya senang berada di sisinya kerana dia seorang yang low profile, tak pernah sekalipun berlagak sombong walaupun kita semua sedia maklum, Quiara berstatus kerabat!

“Dia juga banyak membantu di lokasi terutama dalam Cinta Sempurna. Quiara begitu fasih berbahasa Inggeris. Menerusi drama ini, kami adik beradik baru pulang ke Malaysia selepas 12 tahun menetap di United Kingdom (UK), justeru kelebihannya menguasai bahasa berkenaan, menghidupkan lagi karektor kami. Dia juga mudah mesra, itu yang membuatkan kami ada keserasian di lokasi,” kata Fizo sambil diusik Quiara untuk menghilangkan rasa gemuruh sebaik tangannya disentuh gadis cantik itu!

Melambung pujian Fizo ke atas Quiara memperlihatkan dia benar-benar menyenangi sikap anak saudara kepada penyanyi terkenal, Syafinaz Selamat itu, justeru adakah sudah berbisik sesuatu di hatinya, mungkin berminat mendekati Quiara secara lebih peribadi, sekali gus kalian bercinta suatu hari nanti!

“Aduh, tolonglah saya tak pernah terfikir sampai ke tahap itu! Namun, saya tak berani cakap takbur. Andai jodoh menemukan kami, saya tak mampu melawan kehendak qada dan qadar. Tapi, rasanya tak mungkin terjadi pada diri kami!,” kata Fizo dengan wajah kemerahan melawan malu!

Pernah bercinta ketika usia 17 tahun

Sementara itu, Quiara lebih bersikap terbuka berbicara soal teman lelaki dan cinta sekalipun ibu sentiasa menemaninya sepanjang temu bual. Di awal perbualan kami, terdetik di hati penulis, kerabat seperti Quiara pastinya akan memilih teman lelaki atau calon suami di kalangan kerabat juga, namun ternyata sangkaan itu meleset sama sekali!

“Ramai lelaki yang ingin mendekati atau berkawan dengan saya mempunyai perasaan ‘takut’ semata-mata saya seorang kerabat. Bagi saya, dalam persahabatan tidak ada beza sama ada orang kebanyakan mahupun kerabat. Kalau ada yang berminat dengan saya, paling penting dia kena pandai menambat hati keluarga saya dulu. Lagi saya suka lelaki itu sekiranya dia pandai mengambil hati keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang tidak lokek dengan senyuman.

Agak mengejutkan apabila Quiara mengakui, dalam meniti usia 22 tahun, dia masih belum punya teman istimewa atau sekadar berselindung perkara sebenar?

“Saya baru nak kenal-kenal lelaki ketika usia mencecah 17 tahun. Bagi saya, bercinta pada usia terlalu muda, sekadar membuang masa saja. Apabila mendengar cerita teman sebaya yang bercinta pada usia awal remaja, leceh betul apabila perlu luangkan masa untuk keluar dating! Terus-terang, saya tak pernah kenal cinta pertama, hanya kawan-kawan macam tu saja. Sekarang saya solo, tidak mencari cinta, kalau cinta datang, temui keluarga saya dulu!,” katanya berterus terang.

‘Ibu tak pernah kongkong’

Mengenai kerjaya seni, sejak zaman persekolahan lagi Quiara sememangnya meminati dunia nyanyian dan tidak hairanlah dia berjaya menempatkan diri sebagai Top 10, One In A Million musim kedua (OIAM2). Pun begitu, ketika dalam perancangan menghasilkan album, cita-citanya bergelar penyanyi sering tergendala kerana tawaran berlakon tidak pernah putus.

“Tak mengapalah, saya pun tak terburu-buru untuk album ini. Namun, keputusan untuk serius berlakon, berbaloi kerana hari demi hari saya semakin teruja, produser dan pengarah terus memberi kepercayaan, namun bidang nyanyian, tak mungkin saya melupakannya begitu saja,” kata Quiara yang sentiasa ditemani ibu ke mana saja sehingga timbul dakwaan dia ‘kehilangan’ kehidupan sosial zaman remaja.

Namun, Quiara tidak pernah menganggap ibu mengongkong kehidupan peribadinya.

“Mama cool, dia tak pernah nak control. Saya juga seperti remaja lain, ada ketikanya saya bersosial bersama teman-teman, namun mama sering mengingatkan saya batasannya. Tapi, apabila tiba waktu kerja, mama mesti ada di sisi saya kerana dia tahu yang terbaik untuk anaknya!,” katanya lagi. Selain Fizo dan Quiara, turut membintangi Cinta Sempurna ialah Ashraf Muslim, Siti Fazurina, Mahmud Ali Basha, Maria Farida, Akhbar Azmi, Khairil Anuar dan penyanyi wanita indie yang sedang menempa nama, Yuna, sekali gus menjadikan single terbaru artis muda ini sebagai lagu tema dan judul drama yang boleh dilawati menerusi laman sesawang, http://www.oasis-cintasempurna.blogspot.com.

Info Fizo Omar

NAMA SEBENAR: Wan Hafizol Wan Omar

TARIKH LAHIR: 19 Julai 1985

ASAL: Kota Bharu, Kelantan

DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Siam, Arab)

KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis

PENCAPAIAN: Tempat kedua, Hero Remaja 2007/2008 dan Top 5, Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008

DRAMA: Puteri Salju, Gadis Merah Jambu, Dendam, Keliru, Bisikan Subuh, Bio-Nik, La Dolce Amira, Matahari dan Cinta Sempurna

PENGACARAAN: Gen-X (RTM1)

KOMERSIAL: Celcom, Brylcream, Giant dan Myeg

Info Tunku Tiara

NAMA PENUH: YM Tunku Tiara Yasmin Sofia Tunku Hassan

NAMA GLAMOUR: Quiara

TARIKH LAHIR: 28 Disember 1987

ASAL: Johor Bahru, Johor

DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu, British) dan ibu (Bugis, Jawa)

KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru

PENCAPAIAN: Top 10, Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene dan Top 10, One In A Million musim kedua (OIAM2)

DRAMA: Nur 2 (drama pertama), Raya Sedondon, Kerana Karina 2 & 3, Lolaq, Sadis, Keliru, Ranjau Berduri, Gadis Cuci The Series dan Cinta Sempurna

SYARIKAT: Quiara One Production yang diurus oleh ibunya, Zuraida Selamat (kakak penyanyi popular, Syafinaz Selamat)

Solekan Fizo: Awie BB (012 354 2055)

Pakaian Fizo: Lord’s Tailor

Pakaian Tiara: Koleksi peribadi

Bintang Pop