Archive | Cameron Diaz RSS feed for this section

Kate Winslet Terkedu

13 Jan

Susunan Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my


Kate Winslet menjulang piala yang dimenanginya. – Foto AP

Kemenangan aktres Britain itu meneruskan kegemilangan filem dari negaranya ‘Slumdog Millioaire’ yang menyapu bersih empat kategori utama utama anugerah Golden Globe

ANUGERAH Golden Globe kali ke 66 yang berlangsung di Los Angeles semalam menjadi malam yang cukup bermakna buat aktres kelahiran British, Kate Winslet apabila dinobatkan Aktres Terbaik untuk lakonan mantapnya sebagai isteri yang tertindas dalam filem dramatik Revolutionary Road arahan suaminya Sam Mendes.

Kate, 34, kelihatan cukup terharu dan menangis selepas Cameron Diaz dan Mark Wahlberg mengumumkan namanya sebagai Aktres Terbaik. Dia mengetepikan empat aktres hebat lain iaitu Meryl Streep (Doubt), Anne Hathaway (Rachel Getting Married), Angelina Jolie (Changeling) dan Kristin Scott Thomas (I’ve Loved You So Long).

Sebelum itu, Kate membuka tirai penerima anugerah pertama malam itu apabila diumumkan Aktres Pembantu Terbaik bagi filem The Reader. Kategori ini turut mencalonkan empat aktres yang tidak kurang hebatnya iaitu Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona), Marisa Tomei (The Wrestler) dan dua pelakon Doubt, Amy Adams dan Viola Davis.

Pelakon itu yang mula mencipta nama selepas lakonan berkesannya dalam filem cinta penuh tragik arahan James Cameron, Titanic bersama Leonardo DiCarpio, digandingkan sekali lagi dengan aktor itu dalam Revolutionary Road.

Kate pernah dicalonkan sebanyak lima kali dalam Golden Globe begitu juga untuk Anugerah Oscar tetapi nasib tidak pernah menyebelahinya.


MICKEY ROURKE (kiri)
berkongsi kegembiraan dengan Bruce Springsteen.

Ini menyebabkan aktres itu tidak meletakkan harapan besar untuk memenangi salah satu daripada dua anugerah yang dipertandingkan. Justeru, apabila namanya diumumkan malam itu, dia kelihatan cukup terharu.

“Maafkan saya. Saya mempunyai kecenderungan tidak memenangi sebarang anugerah sebelum ini,” katanya dengan nada terharu dan ucapan yang tersekat-sekat.

“Terima kasih sayang kerana mengarahkan filem ini dan terima kasih juga kerana ‘membunuh’ kami setiap hari dan kami sangat seronok dapat berlakon dalam filem mengerikan ini,” katanya merujuk kepada suaminya, Sam yang banyak memberikan tunjuk ajar dan peluang ketika bertindak sebagai pengarah filem Revolutionary Road.

Malah Kate turut memuji DiCaprio yang bergandingan dengannya dalam filem itu.


PENERIMA Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Cecil B Demille, Steven Spielberg (kiri) bersama martin Scorsese.

“Saya mencintai awak selama 13 tahun dan persembahan awak dalam filem ini memang mengagumkan,” katanya lagi.

Mickey Rourke ketepikan Brad Pitt

Sementara itu, filem British, Slumdog Millionaire arahan Danny Boyle menyapu bersih empat kategori iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Muzik Terbaik. Ada pihak yang menjangkakan Slumdog Millionaire akan meraih Filem Terbaik tetapi sesetengah pula berpendapat tiga filem iaitu The Curios Case Of Benjamin Button yang menyandarkan nama pelakon hebat, Tom Cruise serta filem Doubt dan Frost/Nixon disebut-sebut bakal menang besar kerana dicalonkan dalam lima kategori.

Bagaimanapun ketiga-tiga filem itu tidak meraih sebarang anugerah. Sebaliknya Slumdog Millionaire yang menyandarkan pelakon tidak popular termasuk bintang Bollywood, Anil Kapoor menyerlah pada malam itu.

Filem itu mengisahkan mengenai seorang budak lelaki yatim piatu di Mumbai yang membesar dengan penuh kepayahan. Hidupnya berubah apabila dia memenangi ‘gameshow’ Who Wants To Be A Millionaire versi India.

“Kami tidak pernah menyangka akan berada di sini, di Amerika. Ini adalah hari yang cukup menakjubkan bagi kami kerana berada di sini,” kata Simon Beaufoy, penulis skrip Slumdog Millionaire yang diadaptasi dari novel Vikas Swarup, Q&A.

Slumdog Millionaire adalah filem pertama arahan Boyle yang menerima anugerah serta kemenangan besar. Boyle pernah mengarahkan filem Trainspotting, The Beach dan 28 Days Later.

Jika Kate diangkat sebagai Aktres Terbaik, Mickey Rourke, 52, pula mengalahkan Leonardo DiCaprio, Sean Penn, Brad Pitt dan Frak Langella apabila diangkat sebagai Aktor Terbaik

Kemenangan mendiang Heath Ledger untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik pula sememangnya sudah dijangkakan. Aktor kelahiran Australia itu memenangi trofi Golden Globe buat kali pertamanya berikutan lakonan mantapnya sebagai The Joker dalam filem Batman: The Dark Night. Anugerah berkenaan diterima oleh pengarahnya bagi pihak mendiang, Christopher Nolan.

“Kami menerima anugerah ini bagi pihak Heath yang tidak dapat bersama-sama kita pada hari ini dengan perasaan bercampur baur. Sedih tetapi pada waktu yang sama kami juga amat bangga.

“Kami berasa sangat bertuah kerana dapat bekerja dengannya. Malah kami juga sangat seronok dengan persembahannya dalam filem ini. Dia akan sentiasa dirindui tetapi kami tidak sesekali akan melupakannya,” kata Nolan.

Ledger yang meninggal dunia hampir setahun lalu akibat pengambilan dadah berlebihan adalah pelakon kedua yang memenangi anugerah selepas kematiannya. Sebelum ini Peter Finch pernah menerima Anugerah Pelakon Terbaik untuk filem Network pada 1976.

Bagi kategori televisyen pula, drama bersiri komedi, 30 Rock yang dibintangi Tina Fey dan Alec Baldwin dipilih sebagai Drama Komedi Bersiri Terbaik. Manakala Mad Men memenangi kategori Drama Bersiri Terbaik.

Pemenang pada Anugerah Golden Globe dijangka akan mengulangi kemenangan mereka pada acara Anugerah Oscar yang bakal berlangsung pada 22 Februari depan.

INFO: Filem

Filem Terbaik (Drama): Slumdog Millionaire

Aktres Terbaik (Drama): Kate Winslet – Revolutionary Road

Aktor Terbaik (Drama): Mickey Rourke – The Wrestler

Filem Terbaik (Muzikal/Komedi): Vicky Cristina Barcelona

Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi): Sally Hawkins – Happy-Go-Lucky

Aktor Terbaik (Muzikal/Komedi): Collin Farrel – In Bruges

Aktres Pembantu Terbaik: Kate Winslet- The Reader

Aktor Pembantu Terbaik: Heath Ledger – The Dark Knight

Filem Animasi Terbaik: Walle E

Filem Asing Terbaik: Waltz With Bashir – Israel

Pengarah Terbaik: Danny Boyle – Slumdog Millionaire

Lakon Layar Terbaik: Simon Beaufoy – Slumdog Millionaire

Skor Muzik Terbaik: A R Rahman – Slumdog Millionaire

Lagu Terbaik: The Wrestler

INFO: Penerbitan Televisyen

Drama Bersiri Terbaik (Drama): Mad Men

* Aktres Terbaik (Drama): Anna Paquin – Ture Blood

Aktor Terbaik (Drama): Gabriel Byrne – In Treatment

Siri Televisyen Terbaik (Muzikal/ Komedi): 30 Rock

Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi): Laura Linney – John Adams

Aktor Terbaik (Muzikal/Komedi): Pual Giammatti – John Adams

Mini Siri/Cereka Televisyen Terbaik: John Adams

Aktres Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Anna Paquin – True Blood

Aktor Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Gabriel Byrne – In Treatment

Aktres Pembantu Terbaik (Mini Siri/ Cereka Televisyen): Larua Dern – Recount

Aktor Pembantu Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Tom Wilkinson – John Adams

Anugerah Khas Cecil B DeMille: Steven Spielberg

Berita Harian

Kereta Pilihan Selebriti

1 Jun

Sazzy Falak bersama kereta kesayangan.

Apa jua jenisnya, kereta penumpang, kenderaan utiliti sports (SUV) atau kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan beroda empat yang lazimnya dipanggil kereta menjadi keperluan kepada semua, miskin atau kaya, tua atau muda dan apa juga pekerjaan yang dilakukan.

Yang membezakan antara semua ialah jenis kereta yang dipandu, sama ada mewah atau murah bergantung kepada hasil pendapatan masing-masing berdasarkan pekerjaan yang dilakukan.

Selain ahli perniagaan dan politik yang sering dilihat memandu kereta-kereta mewah berjenama antarabangsa, golongan selebriti atau lebih senang digelar artis juga adalah antara pemilik kereta-kereta mewah yang sedang menjalar di atas jalan-jalan raya.

Seperti juga artis-artis luar negara antaranya pasangan suami isteri, David dan Victoria Beckham, Rowan Atkinson yang lebih dikenali oleh peminatnya sebagai Mr. Bean serta Cameron Diaz, artis-artis tempatan juga selesa memandu kereta mewah pelbagai jenama.

David dan Victoria Beckham atau Posh Spice itu adalah antara selebriti terkemuka yang memiliki banyak kereta mewah antaranya yang berjenama Bentley, Ferrari, Porsche 911, Range Rover, Jaguar, Rolls-Royce Phantom, BMW M3, Audi Q7, Lamborghini Gallardo dan Mercedes S500.

Yang menariknya ialah kebanyakan daripada kereta-kereta ini dilengkapi dengan kerusi bayi berkulit bagi menempatkan anak-anak pasangan tersebut agar selamat sepanjang perjalanan sejajar dengan gelaran sebagai ibu-bapa penyayang buat pasangan itu.

Rowan Atkinson yang sering memandu kereta kodok dalam siri drama komedi popular, Mr Bean pula sebenarnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam automotif dengan memiliki beberapa kereta eksotik seperti Aston Martin V8 Zagato, McLaren F1 dan Audi A8.

Mr Bean membeli McLaren F1 berikutan kejayaan filem “Bean – The Movie.” dan berbanding watak beliau yang seakan-akan naif dan lurus bendul itu, beliau suka memandu laju kereta tersebut yang boleh memecut sehingga 240 batu sejam.

Tidak seperti Victoria Beckham, Mr Bean yang rajin menulis mengenai cerita-cerita permotoran dalam beberapa majalah tidak menggemari Porsche tanpa mengetahui sebab sebenarnya walaupun mengakui kereta-kereta berjenama itu adalah hebat.

Pelakon watak Charlie’s Angels, Cameron Diaz yang pernah menjadi peminat kereta- kereta antik buatan Jerman memiliki beberapa kereta mewah seperti Porsche 911 Carrera, Mercedes SL dan Toyota Prius.

Kereta-kereta itu dilengkapi enjin hybrid yang boleh beralih antara enjin petrol konvensional dan enjin elektrik bergantung kepada keadaan sejajar dengan sikap pelakon itu yang cintakan alam sekitar bersama-sama rakan artis lain antaranya Gwyneth Paltrow, Leonardo DiCaprio, Billy Crystal, dan Harrison Ford.

Sistem navigasi Madonna pula, yang berhijrah ke London pada tahun 2001, memiliki rangkaian kereta mewah antaranya BMW 7-Series, Audi A8 dan Maybach super-limousine serta Cooper S yang dilengkapi sistem navigasi kawasan bagi membantu bintang itu semasa di luar daerah.

Anak kepada jurutera motor terkemuka itu sangat meminati Mini Cooper itu sehingga memuatkan nama kereta itu dalam satu daripada lagu-lagu terbarunya. Artis yang turut memiliki kereta yang sama ialah Sting, Goldie Hawn dan Elijah Wood.

Sementara itu, di kalangan artis tempatan pula, ramai antara mereka memandu kereta mewah terutama buatan Jerman dan Jepun yang terkenal dengan teknologi automotif termaju dan boleh dibeli pada harga yang agak tinggi, menjangkaui kemampuan seseorang pekerja berpendapatan sederhana di negara ini.

Antaranya ialah Erra Fazira yang memandu kereta berjenama BMW, Fasha Sandha dan Noryn Aziz memandu Honda CRV, Hattan dan Fauziah Latif bergegas ke sana ke mari dengan Mini Cooper manakala Ziana Zain dan Misha Omar bergaya dengan kereta Mercedes Benz.

Bagi Datin Seri Tiara Jacquelina yang kini sedang berhempas-pulas menjayakan teater P. Ramlee, kenderaan pacuan empat roda BMW X5 bukan sahaja memenuhi selera automotif tetapi juga memudahkan pengangkutan segala barangan keperluan, sama seperti Awie yang selesa dengan Toyota Harrier.

Tidak kira artis, ahli perniagaan atau ahli politik, pengenalan skim subsidi harga minyak baru di negara ini yang bertujuan memberi lebih keadilan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana pastinya menggoncang sedikit poket semua pemilik kereta mewah ini, walaupun tidak begitu dirasai bebannya selama ini.

Powered by Utusan Malaysia

Butler Nafi Bercinta

15 Apr


GERARD BUTLER

AKTOR Gerard Butler menafikan dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan aktres jelita, Cameron Diaz. Sebelum ini gosip menular mengenai kedua-dua pelakon itu yang dikatakan kelihatan agak mesra ketika berdua-duaan di Shutters Hotel di Santa Monica, California dan bar Teddy di Hollywood’s Roosevelt Hotel.

Aktor berusia 38 tahun itu juga menyindir media dengan berkata kepada Usmagazine,com: “Nampaknya sekarang ini kalau saya jalan berdua-duaan dengan anjing saya, pasti saya dikatakan bercinta dengannya.”

Diaz pula memberitahu majalah British, GQ dia enggan bercinta dengan sesiapa buat masa ini.

“Buat pertama kalinya saya tidak bercinta dengan sesiapa pun sejak 10 tahun lalu. Saya menikmati momen ini dengan rasa gembira,” tegasnya.

Kosmo