Archive | January, 2009

Kata XX: Pesona Pak Lawak

31 Jan

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my


Diana Danielle

Lima jejaka kaya sense of humour pilihan pelakon, Diana Danielle

1. Johnny Depp.

Watak Captain Jack Sparrow yang dilakonkannya dalam filem Pirates of The Carribean paling berkesan. Depp tidak perlu bercakap banyak, bahasa badannya saja membuatkan kita ketawa. Sifat kelakar pelakon kacak ini memang unik!

2. Nabil Raja Lawak.

Sebelum berlakon bersama Nabil, saya memang penonton setia program Lu Pikirlah Sendiri. Jenaka spontan Nabil menggelikan hati sesiapa saja. Bagi saya, lawak Nabil boleh dikatakan bijak. Ketika menjalani sesi penggambaran filem komedi Kecoh Betul bersama Nabil, saya tak kering gusi melayan lawaknya sepanjang hari!

3. Saiful Apek.

Tengok muka saja boleh membuatkan kita tergelak! Apek sering menampilkan jenaka spontan dan berbeza. Tidak hairanlah jika beliau digelar pelawak nombor 1!

4. Vince Vaughn.

Vaughn tidak kacak tapi karakter lucunya mudah membuatkan orang tertarik. Saya suka lakonannya dalam filem Wedding Crasher dan The Breakup. Lawak Vaughn nampak macho!

5. Jackie Chan.

Aksi kung fu Chan boleh jadi kelakar apatah lagi jika beliau bertutur dalam bahasa Inggeris. Chan sering menampakkan dirinya seolah-olah bodoh tapi sebenarnya pandai. Gaya lakonan komedi Chan memberi warna dalam industri perfileman antarabangsa.

Berita Harian

Uji Bakat Jadi Pelakon

31 Jan

Rap
PROGRAM Hari Terbuka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang berlangsung hari ini dan esok (31 Januari dan 1 Februari), jam 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Finas, Hulu Klang, menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Fazli Abd Aziz berkata, hari terbuka itu diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan Finas dalam agenda pembangunan industri filem Malaysia.

“Ia juga adalah kesinambungan Program Merakyatkan Filem yang dijalankan Finas sejak dua tahun lalu. Program ini juga diharapkan dapat mengukuhkan hubungan Finas dengan industri serta orang ramai,” katanya.

Antara aktiviti Hari Terbuka Finas, pameran dan jualan produk perfileman, tayangan filem, sesi uji bakat lakonan, sesi bersama artis dan taklimat kerjaya perfileman. Pengunjung juga dibawa melawat peralatan dan kemudahan perfileman yang terdapat di Finaspost, pusat pasca produksi.

Orang ramai juga berpeluang melihat dan mencuba sendiri peralatan perfileman seperti kamera, kemudahan memasukkan suara (dubbing) serta mencuba bakat lakonan dengan bimbingan pengarah tersohor antaranya Ahmad Idham dan Pierre Andre. Ia dimantapkan dengan tunjuk ajar pelakon Elie Suriaty, Vanida Imran, Nanu Baharudin dan Fauziah Ahmad Daud.

“Peserta sesi lakonan yang terpilih juga akan ditawarkan mengikuti Bengkel Lakonan Finas dan disenaraikan sebagai Bakat Baru di portal Sinema Malaysia.

“Sesi uji bakat ini peluang keemasan kepada mereka yang berbakat dan minat secara serius dalam dunia lakonan. Finas turut mengundang beberapa produser yang aktif untuk bersama menilai sesi peserta uji bakat itu.

“Malah lebih penting peserta lakonan yang berjaya di senarai pendek akan berpeluang berlakon dalam filem kenegaraan terbitan Finas.

“Warganegara Malaysia tanpa had umur digalakkan menyertai uji bakat itu. Peserta dikehendaki melakonkan senario disediakan Finas menggunakan dialog atau skrip sendiri.

“Turut diadakan taklimat dan pameran kerjaya perfileman yang dikendalikan persatuan perfileman. Gafim (Gabungan Karyawan Filem Malaysia) dan Persatuan Pengeluar Filem (PFM) membuka gerai yang dimeriahkan dengan aktiviti bersama artis dan jualan produk.

“Persatuan terbabit juga memberi penerangan potensi kerjaya dalam lapangan masing-masing kepada golongan sasaran terdiri daripada pelajar perfileman,” katanya.

Kata Fazli, pameran jentera motor filem Evolusi KL Drift 2 termasuk sebuah Lamborgini turut diadakan bagi mempromosikan filem arahan sutradara, Shamsul Yusof.

Menambah meriah Hari Terbuka Finas, sesi Bersama Artis yang membariskan pelakon seperti Dafi, Jehan Miskin, Liana Jasmay, Riezman Khuzairi, Irma Hashime, Aron Aziz, Farid Kamil dan Kenchana Dewi. Peminat boleh bergambar dan beramah mesra dengan mereka.

Filem Histeria, Los and Faun dan Cicak Man – Planet Hitam serta tiga dokumentari terbitan Finas (Making The Cut, Pipe Dreams dan The Woodsmiths’) juga ditayangkan secara percuma di Pawagam Mini P Ramlee.

Finas juga akan mengadakan program menandatangani perjanjian kerjasama penerbitan dengan Histrory Channel bagi menggalakkan pertukaran kepakaran penghasilan dokumentari bertaraf dunia.

Majlis dijangka dihadiri Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini, jam 3 petang di Studio Sound Stage Finas.

Acara kemuncak Hari Terbuka Finas ialah perasmian Studio Digital Mix Stage, pusat adunan bunyi bernilai RM53 juta yang dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jam 8 malam esok.

Studio yang mendapat pengiktirafan Dolby adalah mercu tanda kemajuan industri.

“Finas berharap orang ramai dan penggiat industri khususnya dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti yang dirancang sempena Hari Terbuka Finas.

” Bagi memberi ruang kepada orang ramai dan warga filem memberi pandangan dan cadangan, kami menyediakan kaunter khas bagi tujuan itu sepanjang tempoh program berlangsung”, katanya.

Harian Metro

Kami Ingin Ke Gaza

31 Jan

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Rap
KEPRIHATINAN orang kita terhadap malang yang melanda warga Palestin di Semenanjung Gaza. Buktinya semalam, ribuan menyerbu Amcorp Mall, Petaling Jaya berganding bahu dengan artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza.

Usaha artis kita tidak terhenti di situ saja. Bertempat di Laman Baiduri, Istana Budaya (Kuala Lumpur) hari ini dan esok, lebih ramai lagi penggiat seni tanah air berkumpul mencurahkan keringat dalam usaha amal mengumpul dana bagi mangsa kekejaman Zionis Israel.

Kerja amal yang dinamakan Doa Buatmu Palestin anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) ini mengatur pelbagai aktiviti selama dua hari bermula jam 10 pagi hingga 11 malam termasuk solat hajat, bacaan puisi, jualan karnival dan lelongan barangan artis.

Idea mulia ini timbul ketika Zahida Rafik yang sedang menonton berita TV mengenai serangan Israel ke atas Gaza sehingga membunuh penduduk Palestin yang kini mencatat lebih 1,200 korban nyawa. Jiwa wanitanya cepat tersentuh melihat kejadian tidak berperikemanusiaan itu.

Bagi pelakon cantik ini, dengan mempunyai ramai kenalan dalam industri seni, dia berkeyakinan mampu membuat sesuatu untuk membantu mereka yang malang itu.

“Saya tahu saya boleh buat sesuatu. Saya kenal ramai artis, orang kerajaan dan pereka fesyen. Kenapa tidak saya gabungkan mereka untuk kerja amal ini.

“Melalui Kak Erma (Fatima), saya mendapat pandangannya untuk merealisasikan hasrat ini. Selepas menubuhkan jawatankuasa, dalam tempoh lebih kurang dua minggu, alhamdulillah semua pihak memberi kerjasama dan perancangan berjalan lancar,” katanya ketika berkunjung ke Metro Ahad, minggu lalu.

Menurut pelakon Anak Mami ini, dalam tempoh berkenaan dia berjaya mendapatkan kelulusan KPKKW, penaja dan sumbangan rakan-rakan seperjuangan. Dia percaya, usaha murni ini dipermudahkan lagi oleh Allah.

Selain persembahan, acara lelongan pakaian pereka fesyen terkenal bakal menjadi tumpuan. 15 pereka ‘A List’ negara termasuk Rizalman Ibrahim, Michael Ong, Syaiful Baharim, Albert King, Calvin Thoo, Jovian Mandagie, Riezman Ruzaimi, Kapas, Zang Toi, Salikin Sidek, Bill Keith, Iszral dan Alvin Teh bersetuju menyerahkan satu rekaan setiap seorang.

Lebih menarik, rekaan ini masih baru dan sebahagian daripadanya berharga RM1,000 hingga RM3,000. Bagaimanapun untuk tujuan lelongan ini, harga diletakkan pada paras RM599 sahaja. Siapa paling tinggi bidaannya, bakal membawa pulang pakaian berkenaan.

“Sebolehnya saya tidak mahu harga yang mahal sangat tetapi saya percaya dalam urusan kebajikan ini, ramai yang sanggup menghulurkan bantuan. Saya berharap sangat, kami dapat mengumpul sebanyak mungkin untuk dana ini,” katanya.

Selain rekaan pereka tadi, ramai juga selebriti yang bersetuju untuk melelong barangan milik mereka seperti Zahida sendiri, Umie Aida, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Aleeza Kassim, Tengku Azura, Julia Zigler, Betty Benafe, Fazli Zainal, Que Haidar, Awal Ashaari, Vanida Imran, Ika Fancy dan kumpulan jurusolek terkemuka, Izatt Artistic Team (IAT).

Turut sama Maya Karin yang tampil menjual kek cawan. Hampir 70 gerai yang disertai oleh peminat dibuka dengan pelbagai jualan – baik makanan mahupun keperluan harian.

Menurut Rohaizad Shariff dari IAT, dia sendiri terkejut dengan respon dan komitmen yang ditunjukkan selebriti tempatan ke atas usaha ini.

“Sebagai manusia, kita sendiri terpanggil untuk membantu sedaya yang mungkin. Inilah masanya untuk kita sama-sama beramal. Sebenarnya dulu kami rancang untuk menjalankan aktiviti amal tetapi tiada acara untuk disesuaikan,” katanya.

Kalau boleh kata Zahida dan Rohaizad, mereka ingin ke Gaza untuk memberi bantuan terus kepada mangsa. Mereka teringin untuk menolong mana yang boleh mereka lakukan.

“Memang kami berharap dapat ke sana tetapi sedar, keadaan terlalu getir. Saya, Rohaizad, Umie dan Erma teringin ke sana. Kami sedar cabarannya tetapi tidak salahkan kalau dapat kami membantu dengan cara itu.

“Namun kalau tidak dapat, kami akan serahkan dana itu terus kepada KPKKW,” kata Zahida.

Harian Metro

Dengarnya…: Rakam Suara Album Runut Bunyi Magika

30 Jan



Diana Danielle

SEWAKTU Cik Normah sedang leka menonton wayang dengan suami hujung minggu lalu di Pavilion, Cik Normah menerima SMS memberitahu filem Magika akan menampilkan ramai pelakon hebat seperti Maya Karin, Ziana Zain, Aznil Nawawi, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.

Cik Normah dapat tahu Amani dan Aleya akan berlakon sebagai cameo memegang watak Bawang Putih dan Bawang Merah.

Filem yang bakal memulakan penggambaran 8 Februari ini akan menggandingkan Mawi dan Diana Danielle sebagai hero dan heroin. Filem ini bercorakkan dunia fantasi dan muzikal.

Sebut mengenai Diana, selain berlakon, dia turut menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem ini. Ada lagu duet dan penampilan istimewa membabitkan M Nasir, Fauziah Ahmad Daud, Mawi dan ramai lagi. Album ini, Cik Normah difahamkan sudah dirakamkan sejak Disember tahun lalu. Nampaknya ini permulaan awal bagi Diana untuk bergelar penyanyi.

Dalam masa terdekat juga, Cik Normah dapat tahu Diana akan merakamkan lagu di Malaysia untuk album sulungnya. Makin murah rezeki Diana dan Cik Normah harap dia akan terus fokus. Ambillah peluang sewaktu menyertai Program Latihan Khidmat Negara ini untuk merehatkan diri serta bermuhasabah. Dalam pada itu, bolehlah Diana melupakan seketika dunia seni dan memberi tumpuan menjadi remaja biasa.

Oh ya, esok jangan lupa untuk mengunjungi acara jualan dan lelongan amal ABPBH 2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Insya-Allah, Cik Normah akan datang juga memberi sokongan kepada karnival amal ini. Haa… kalau jumpa Cik Normah, jangan lupa tegur. Cik Normah tak ‘kekwat’ dan pasti melayan anda semua okey. Kalau nak ambil gambar dengan Cik Normah pun boleh. Ingat, esok kita bukan sekadar berhibur, sebaliknya melakukan perkara paling murni bagi mengurangkan beban penderitaan rakyat Palestin. Cik Normah tahu rakyat Malaysia memang prihatin bab ini.

Berita Harian

Epilog: Filem Pahlawan Mat Kilau Wajar Cetus Kejutan

29 Jan

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

PADA pertengahan bulan depan, projek filem epik sejarah patriotik berjudul Pahlawan Mat Kilau dijadualkan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Hebahan awal mengenai perancangan filem ini tidak dibuat lagi kerana produsernya masih bersikap ‘merendah diri’ kerana sibuk menjalankan proses praproduksi.

Seperti dimaklumkan kepada akhbar ini, syarikat Lagenda Studios Sdn Bhd menerusi Pengurus Perhubungan Awamnya, Julia Mohamad,

pihaknya masih dalam peringkat awal praproduksi dan berasakan mungkin terlalu awal bagi mereka untuk menggembar-gemburkan rancangan itu, tambahan pula, pengarah dan penerbit masih sibuk membuat tinjauan lokasi di luar negara.

Dalam kenyataannya, dimaklumkan juga selain filem itu bakal ditangani pengarah Rodzee A Razak, filem berkenaan dijangka membabitkan kos sebanyak RM10 Juta.

“Tujuan Lagenda Studios mahu menghasilkan penerbitan filem itu adalah sebagai menyahut seruan kerajaan supaya menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara. Ia juga boleh dijadikan teladan kepada generasi masa kini, bagaimana gigihnya perjuangan nenek moyang kita menentang penjajahan.

“Untuk pengetahuan, Lagenda Studios akan mengadakan acara pelancaran dan sidang media mengenainya pada pertengahan Februari sebelum memulakan penggambaran filem pada penghujung Mac 2009,” kata Julia dalam satu kenyataan sambil memohon maaf kerana lambat menghebahkan projek Pahlawan Mat Kilau kepada media massa.

Projek filem ini menjadi sesuatu yang menarik kerana banyak sebab. Pertamanya tentulah kerana berkaitan dengan seorang tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar, Pahang bangkit untuk menentang penjajahan British pada era penghujung abad ke-19 hingga dia menjadi buruan dan menghilangkan diri hinggalah akhirnya muncul semula memperkenalkan dirinya pada awal 1970-an ketika berusia 123 tahun. Keberaniannya dulu yang turut mengkritik golongan bangsawan kerana berbaik dengan penjajah menyebabkan Mat Kilau menjadi sasaran untuk ditangkap dan dihukum tetapi berjaya melarikan diri.

Keberanian Mat Kilau menjadi sebutan ramai dari dulu dan terus dikenang hingga kini. Keberaniannya itu terserlah dengan pelbagai peristiwa termasuklah ketika pada 14 Jun – Pada 1894, tokoh itu bersama pahlawan Melayu Pahang yang lain termasuk Tok Gajah, Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai.

Lebih menarik bagi Mat Kilau ialah sepanjang kehilangannya selepas menjadi buruan, apa yang dilakukannya. Ini menarik untuk dibongkar dan diceritakan menerusi filem berkenaan. Penyelidikan terhadap susur galur perjuangan, pengembaraan dan persembunyian Mat Kilau harus dipaparkan supaya masyarakat akan lebih jelas untuk mengenai aspirasi dan patriotisme Mat Kilau sebenarnya selain sudah tentu sebagai sebuah filem cereka patriotik, akan ada elemen tokoh tambah yang disesuaikan mengikut mood sebuah filem epik.

Kita berharap menerusi filem Pahlawan Mat Kilau, akan dipaparkan juga bagaimana strategi perang dan ciri keberanian yang menjelma dalam diri tokoh itu. Sudah tentu pihak produksi dari Lagenda Studios sudah membuat kajian terperinci mengenai peribadi dan fizikal Mat Kilau, selain melihat bagaimana gayanya bercakap, cara berjalan, aksinya berpencak silat dan beberapa ciri kehebatannya yang luar biasa. Kajian juga tentunya sudah dibuat untuk melihat bagaimana bentuk khazanah Mat Kilau yang lain seperti pedang, keris, pakaian, kitab, barang persilatan, rumah dan sebagainya yang relevan dengan diri Mat Kilau. Ini semua harus diambil kira dalam menghasilkan epik Pahlawan Mat Kilau.

Sebab kedua yang mengejutkan industri ialah kerana projek filem ini bakal membabitkan bajet RM10 juta, iaitu filem cereka tempatan kedua termahal setakat ini selepas filem cereka Puteri Gunung Ledang terbitan Enfiniti Productions yang membabitkan kos produksi lebih RM16 juta.

Kita berharap Lagenda Studios juga teliti dalam casting atau pemilihan pelakon untuk filem itu kerana kesilapan casting selalunya akan menyebabkan persembahan filem menjadi hambar kerana lakonan tidak meyakinkan serta tidak disertai mutu persembahan yang boleh menggerakkan naratif serta feel filem itu sebagai sebuah cereka yang bermain dengan manusia zaman silam.

Kita berharap pelakon yang membawa watak Kilau akan benar-benar dapat membawa watak tokoh perwira itu dengan berkesan, sesuai dengan lagak fizikal, cara bermain air muka dan mampu menjelmakan ketokohan. Kita bimbang jika tersilap pilih pelakon, ia akan memberi kesan seperti berlaku dalam beberapa filem sejarah seperti Puteri Gunung Ledang apabila M Nasir tidak menyerlah membawa imej hebat Hang Tuah, begitu juga filem Leftenan Adnan yang memperlihatkan Hairie Othman tidak menyerlah sebagai perajurit hebat itu.

Dalam filem Raja Melewar dulu, watak Raja Melewar yang dilakonkan Eizlan Yusof juga tidak memenuhi ciri berkesan dan boleh dianggap sebagai casting yang gagal. Ini menyebabkan ketokohan perwira kita dulu tidak menyerlah dalam filem dan lebih menyedihkan apabila cerita dalam filem itu sendiri tidak begitu berkesan, gagal memberi feel dan semangat kepada penonton dan tidak menggambarkan dengan berkesan milieu zaman yang dibawa dalam skrin.

Filem Pahlawan Mat Kilau wajar mencetuskan kejutan yang bukan saja membanggakan industri filem dan menarik perhatian ramai untuk menonton cereka ini, sebaliknya harus boleh memberi kebanggaan kepada anak Pahang sendiri khususnya serta bangsa kita umumnya. Filem ini kelak harus bertanggungjawab untuk mengangkat imej sebenar Mat Kilau sebagai sebuah naskhah yang bukan sekadar ‘janji ada’ tetapi harus memenuhi agenda sebuah filem cereka patriotik seperti kata pihak produksi Lagenda Studios – ‘menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara’. Jika benar ia untuk meniupkan rasa patriotisme, wajarlah ia ditangani dengan baik supaya ia mampu memberi kekaguman dan kebanggaan apabila ia ditayangkan kelak. Pahlawan Mat Kilau akan menjadi perhatian untuk warga filem dan pengkritik yang kini sedang menanti dengan suspen untuk menilai sejauh mana hasil kerja Rodzee. Kita tunggu dan lihat saja nanti.

Kata orang, mati ikan kerana umpan, mati manusia kerana budi…

Berita Harian

David Teo Masuk Rumah Tak Siap

28 Jan

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

BERPINDAH ke rumah baru sebelum hari perayaan sememangnya sangat digalakkan di kalangan masyarakat Cina. Ia dilihat sebagai satu permulaan yang sangat baik apabila tinggal di rumah baru pada tahun baru.

Bagi produser popular, David Teo, 45, dan isteri, Jane Lim, 41, mereka berpindah ke rumah baru di Bukit Rimau, Shah Alam pada 21 Januari lalu walaupun belum sepenuhnya siap.

Rumah mereka dijadualkan siap dua minggu sebelum tahun baru, tetapi atas sebab tidak dapat dielakkan, kontraktor gagal menyiapkannya mengikut jadual.

Akui David, kedatangan tahun baru kali ini dilihat paling sesuai untuk berpindah ke rumah baru kerana penghujung tahun tikus disambut tahun lembu.

Malah bapanya, Teo Tuan Chin, 79, turut memilih tarikh dan masa paling sesuai untuknya masuk ke rumah baru.

“Proses pindah rumah sememangnya sangat meletihkan hingga tidak cukup tidur dan rehat. Saya dan Jane berbincang mengenai konsep rumah dan juga pemilihan perabot untuk disesuaikan dengan konsep kontemporari yang dipilih.

“Seminggu sebelum tahun baru, saya sangat sibuk untuk memastikan segala persiapan berpindah berjalan lancar. “Kesibukan ini menyebabkan saya ketepikan kerja di pejabat hingga pengagihan hamper dan limau seperti tahun sebelumnya tidak dapat dijalankan tahun ini.

“Walaupun banyak perabot yang belum siap, saya tetap berpindah pada 21 Januari lalu, tetapi untuk buat rumah terbuka di rumah baru, nampaknya belum bersedia lagi,” katanya.

David yang sebelum ini tinggal selama lapan tahun di Cheras Jaya, Cheras berkata, lokasi baru itu dipilih kerana kedudukannya sangat baik selepas meninjau beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Antara lokasi yang menarik minatnya ialah Sunway Lagoon dan Bukit Damansara, tetapi memilih Bukit Rimau yang lebih damai dengan kehijauan sekeliling.

“Antara kriteria utama saya sudah tentu kedudukan feng shui yang baik di tempat tinggi serta persekitaran menghijau. Selain itu saya suka suasana damai dan tidak suka penempatan yang sesak. Saya beli tanah di sini lima tahun lalu dan baru tahun lalu memutuskan untuk memulakan pembinaan rumah.

“Saya masuk rumah baru pada 21 Januari selepas mendapat nasihat daripada bapa saya mengenai hari dan masa paling sesuai untuk pindah.

“Sememangnya sejak dulu lagi saya akan meminta pandangannya mengenai tarikh sesuai untuk perkara penting.

“Begitu juga soal memberi nama anak-anak, tapi saya suka sesuaikan dengan zaman moden. Contohnya anak-anak saya diberi nama Inggeris, tetapi maknanya tidak lari dari bahasa Mandarin yang diberikan ayah saya. Cuma diubah suai dengan sebutan Inggeris seperti Teo Ruby, 17, Teo Jason, 10, Teo Jackhu, 9, dan Teo Jehan, 4,” katanya.

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina kali ini, David yang juga Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) yang menjalankan perniagaan jualan langsung berkata, seperti biasa mereka sekeluarga pulang ke kampung untuk berkumpul bersama keluarganya di Segamat, Johor kemudian kembali bekerja pada hari ini (Rabu) dengan upacara sembahyang supaya perniagaan mereka bertambah maju.

Kata David, dia sangat bersyukur kerana perniagaannya berjalan dengan baik sepanjang 2008 terutama penerbitan filem dan drama.

Apa yang membanggakan, lima filemnya yang ditayangkan tahun lalu, Congkak, I’m Not Single, Senario The Movie Episod 1, Selamat Pagi Cinta dan Brainscan: Aku & Topi Ajaib mencatat kutipan keseluruhan RM13.5 juta.

“Saya bangga kerana MIG Productions mendahului produksi lain seperti KRU Filem, Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan Tayangan Unggul Sdn Bhd.

“Untuk 2009, saya mensasarkan lapan filem dan 250 jam program untuk televisyen. Empat filem sudah siap iaitu Syurga Cinta, Jangan Tegur, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Rempit V3 dan berharap dapat tayangkan lima filem bermula dengan Syurga Cinta pada 21 Mei ini.

“Untuk program televisyen pula drama bersiri Intan Asmara untuk slot Samarinda mencatat jumlah penonton yang tinggi begitu juga Mentua VS Menantu (Astro) dan Biarlah Rahsia di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Semua ini membuktikan saya serius menghasilkan program televisyen dengan mementingkan kualiti untuk kepuasan penonton.

“Untuk tahun ini, TV3 memberi peluang pada saya menghasilkan drama untuk slot Samarinda, Lagenda, Akasia dan Lestary manakala untuk stesen lain, drama bersiri Jangan Pandang Belakang untuk RTM sudah siap begitu juga telefilem Mataku Nampak Hantu (Astro Ria).

“Saya juga akan memulakan penggambaran Mentua VS Menantu 3 untuk Astro selepas Erra Fazira selamat bersalin,” katanya.

Mengenai simbol lembu untuk tahun baru kali ini, David yang dilahirkan pada tahun naga meramalkan tahun ini penuh dengan pelbagai cabaran.

“Mengikut pusingan 12 tahun kalendar Cina, lembu adalah tahun pertama dan ia dianggap sebagai permulaan kerja keras dan bersungguh-sungguh dengan apa yang dilakukan untuk mencapai matlamat.

“Setiap kali pusingan tahun lembu juga berlaku krisis ekonomi seperti 1997, 1973 dan tahun ini disifatkan sebagai pengstrukturan semula perniagaan. Apabila berlaku kegawatan, perlu kerja keras untuk mempertahankan apa yang sudah dimiliki,” katanya.

David juga percaya doa daripada pekerja dan kawan-kawan juga membawa rezeki kepadanya.

Prinsipnya sejak dulu cukup mudah iaitu jangan tamak dan berkongsi rezeki dengan mereka yang banyak membantunya selama ini.

Sebelum pulang ke Segamat, Sabtu lalu, David tidak lupa meraikan mereka yang bertungkus-lumus menjayakan filem dan dramanya sepanjang tahun ini.

Bertempat di restoran miliknya di The Mines, Seri Kembangan, David dan Jane meraikan barisan pelakon dan kru Rempit V3 arahan Farid Kamil, Mataku Nampak Hantu (Feroz Kadir) yang baru saja selesai menjalani penggambaran bersama kru dan pelakon Brainscan, Syurga Cinta, Mertua VS Menantu dan Selamat Pagi Cinta.

Antaranya Ahmad Idham, Farid Kamil, Feroz, Norliana Samsudin (Yana), Lisa Surihani, Ery Putra, Serina Redzuan, Jehan Miskin, Aqasha, Anita Baharum, Intan Ladyana dan Wan Nor Azlin.

Tidak ketinggalan dua kakitangannya, Ketua Bahagian Promosi, Azahari Abdul Hamid dan Eksekutif Perhubungan Awam, Mohd Zubir Badar Shair.

Selain diraikan dengan hidangan yee sang sebagai simbol membawa rezeki dan limau, mereka juga mendapat angpau.

David dan Jane juga beruntung kerana sama-sama berasal dari Segamat, Johor.

Jadi selepas makan besar di rumah keluarga David di Kampung Pekan Jabi, Ahad lalu, mereka sekeluarga boleh berkumpul pula di rumah keluarga Jane di Kampung Abdullah.

Kata David, keluarganya tidak besar, cuma bapa, dua abang dan seorang adik yang semuanya menceburi dunia perniagaan.

Tentunya meriah apabila abang dan adiknya yang tinggal di Jakarta dan Surabaya, Indonesia pulang bersama keluarganya untuk meraikan Tahun Baru Cina sebagaimana kebiasaan.

Harian Metro

Kenali Gaya: Teknik ‘Tailored’ Manipulasi Tubuh Besar

25 Jan

Mampu serlah gaya sofistikated sesuai majlis penuh gemilang

Soalan:
SAYA bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan dan bercadang memakai gaun pengantin moden daripada renda Perancis berwarna ungu gelap. Saya mempunyai ketinggian 168 sentimeter (sm) dengan berat 83 kilogram (kg) serta bertudung. Untuk pengetahuan, bentuk badan saya besar pada bahagian atas berbanding bawah. Saya ingin tahu bentuk gaun yang sesuai dengan saya.

Nor,
Pulau Pinang.

Jawapan:
DISEBABKAN anda memiliki tubuh yang besar dan tidak seimbang bentuknya, saya sarankan supaya anda memilih busana perkahwinan yang kemas dan ringkas potongannya.

Teliti lakaran yang dihasilkan dan lihat bagaimana mainan teknik ‘tailored’ boleh memanipulasi bayangan tubuh besar dan pada masa yang sama mampu menyerlahkan gaya sofistikated sesuai majlis persandingan penuh gemilang.

Pada bahagian atas gaun, saya sarankan anda menggunakan padanan fabrik sutera Thai dilapik kain belacu untuk mendapatkan efek statik. Oleh kerana anda sudah membeli renda Perancis berwarna ungu, gunakan renda berkenaan untuk tampalan pada tepi baju, bahagian lengan dan layah.

Usah risau kerana renda Perancis sememangnya mampu membiaskan pesona mewah namun prinsip saya, walau penggunaan tidak menyeluruh tapi cara ia dimanipulasi sudah memadai untuk menegaskan keanggunan dan kemewahan rekaan.

Saya sarankan anda memilih kombinasi dua tona berbeza iaitu ungu sebagai asas dan jingga cair sebagai gabungan untuk kelainan pada gaun persandingan itu nanti.

Potongan bahu baju yang dipotong dari bahu ke bahu mampu memberikan ilusi bahu lebih kecil dan kelihatan terletak manakala penggunaan ‘princess cut’ pula dapat menyerlahkan kekemasan gaun pengantin anda.

Empire cut yang memotong bahagian bawah payudara penting kerana ia dapat menyokong kedudukan payudara supaya nampak lebih kemas dan tidak terlalu menyerlah.

Bagi potongan ‘tailored’ pada bahagian dada perlu dibuat di atas garisan payudara dan dikemaskan dengan barisan butang bungkus sebagai kaedah untuk mengaburi kekurangan pada bahagian berkenaan.

Kelainan yang cuba ditonjolkan adalah pada bahagian lengan. Unsur ‘tailored’ jelas memperlihatkan kekemasan melalui penggunaan fabrik sutera Thai ditampal renda Perancis sehingga ke hujung lengan yang dijahit sendat.

Potongan kain sesuai untuk tubuh seperti anda adalah A line dipotong tujuh bertujuan untuk menyeimbangkan bayangan tubuh. Fabrik yang sesuai adalah satin crepe sebagai alas manakala lapisan luar, gunakan sutera sifon.

Oleh kerana anda bertudung, elakkan penggunaan tudung yang terlalu sarat dengan ikatan bunga atau sanggul. Ikatan tudung terbaik adalah yang kemas menggunakan fabrik memberi seperti lycra.

Pemilik tubuh gempal dinasihatkan tidak memakai terlalu banyak aksesori. Memadai jika anda sematkan satu kerongsang di dada atau hiasan tepi kepala sebagai ganti tiara. Boleh juga gantikan tiara dengan penggunaan bunga hidup seperti mawar dan orkid.

Pilih kain net nuansa jingga muda atau warna pucat senada yang ditampal renda dan bertatahkan manik berwarna ungu sebagai pelengkap gaya.

PROFIL: Rizman Ruzaini

Pereka fesyen muda Rizman Nordin dari Bukit Bendera, Pulau Pinang dan Wan Ruzaini Wan Jamil dari Kamunting, Taiping, Perak mengasaskan rekaan fesyen menggunakan label Rizman Ruzaini

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Senireka Fesyen, UiTM Shah Alam

Melakar nama melalui pertandingan fesyen Jarum Berlian 2003, Trofi Pesona Pengantin 2004 dan Mifa8, 2007

Rizman & Ruzaini menjadi pilihan ramai selebriti dan kenamaan antaranya Ziana Zain, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Zahida Rafik, Fazura, Noryn Aziz, kerabat Selangor, Johor, Terengganu dan Pahang.

Mereka boleh dihubungi di talian 017 4766 004 atau emel rizman_ruzaini@yahoo.com. Boleh juga layari laman web http://www.rizmanruzaini.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

Berita Harian