Archive | Hetty Sarlene RSS feed for this section

“Kesilapan Besar Saya”

12 Feb

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

SUDAH lama tidak mendengar cerita tentang gadis genit kelahiran Singapura, Hetty Sarlene.Kali terakhir kelibatnya dilihat adalah ketika dia muncul dalam filem Evolusi KL Drift pada awal tahun lalu.

Namun, selain muncul dengan imej baru dengan tubuh yang agak langsing dan imej urban, dalam diam ada cerita panas yang tiba-tiba meledakkan nama Hetty apabila foto-foto percutiannya bersama kekasih hati disebarkan di Internet.

Jika setakat gambar percutian ia bukanlah satu isu yang besar tetapi gambar yang diambil di atas katil bersama kekasih hati bukannya isu biasa dan telah membuat banyak pihak tersentak.

Hetty yang ditemubual Kosmo! baru-baru ini, mengakui dirinya sudah terlalu penat untuk menceritakan kisah sebenar di sebalik gambar percutian di Bangkok pada awal tahun lalu itu.


SERBA baru. Hetty kini lebih langsing dan seksi.

Namun, kerana memikirkan status selebriti yang dipikulnya, mahu tidak mahu dia terpaksa menjelaskan mengenai perkara itu.

Menurut gadis yang berusia 25 tahun itu, gambar tersebut diambil ketika dia bersama keluarganya, keluarga kekasihnya dan beberapa rakan bercuti di Bangkok, dan gambar yang mencetuskan kontroversi itu diambil oleh adik kenalannya.

“Saya bukannya pergi bercuti berdua sebaliknya bersama keluarga, dan gambar itu diambil untuk suka-suka. Tanpa sedar apabila ia dimasukkan ke laman web sosial di Internet, ada pihak mengambilnya dan mula menyebarkan cerita yang bukan-bukan.

“Itulah, kadangkala saya terlupa yang saya ini artis, apa jua yang dilakukan pasti akan jadi tumpuan dan apabila gambar itu menjadi kontroversi saya terpaksa terang satu persatu kepada setiap orang yang bertanyakan hal itu,” beritahunya lagi.

Tambahnya, sejak peristiwa itu, dia kini lebih berhati-hati dan mengaku sudah serik untuk meletakkan gambarnya di laman web sosial, katanya, takut pisang berbuah dua kali.

“Biasalah saya macam orang lain juga, ada laman web sosial, dan letak gambar bersama rakan-rakan di Internet, tidak sangka pula jadi macam ini.

“Memang saya serik, dan ia memang satu kesilapan besar. Satu pengajaran yang saya dapat, selepas ini ambil gambar simpan sendiri sajalah,” katanya dalam nada tawa.

Walaupun Hetty kelihatan sepi seketika selepas kontroversi itu, ia sebenarnya langsung tidak menjejaskan periuk nasinya sebagai anak seni.

Sebaliknya, dalam diam penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sangsi Asmara ini, pulang buat sementara waktu ke Singapura dan terlibat dengan beberapa penggambaran drama untuk siaran televisyen di sana.

Telan pil kurus

Penampilan Hetty kini jauh berbeza dengan penampilannya sebelum ini. Mana tidaknya, berat badannya telah turun sehingga 42 kilogram berbanding 52 kilogram sebelum ini.

Perubahan drastik itu dilakukan Hetty bukan kerana takut kehilangan populariti atau takut tidak mendapat tawaran lakonan tetapi kerana inisiatif dirinya sendiri.

“Badan saya jenis cepat naik, sebab itu saya kena berdiet. Saya tidak ingat sejak bila berdiet kerana saya diet bila rasa badan naik, jika tidak macam biasa saja pemakanan saya,” ujarnya.

Hetty mengakui ketika di awal kemunculannya dalam persada seni Malaysia, sewaktu berumur 20 tahun, dia pernah mengambil pil pelangsing atau pil kurus sebagai langkah untuk mengurangkan berat badannya dengan cepat.

Bagaimanapun, setelah menerima nasihat daripada orang sekelilingnya tentang kesan sampingan dan pelbagai risiko penyakit berbahaya, Hetty terus menghentikan pengambilan pil itu.


NAIF. Wajah dan penampilan ayu Hetty pada tahun 2007.

“Masa dulu, saya budak-budak lagi, bila tengok orang kurus, mula rasa diri saya gemuk sebab itu saya ambil pil kononnya boleh kurus cepat, tetapi tidak ada kesan langsung ke atas saya.

“Sekarang, saya diet dengan cara yang betul, kurangkan ambil nasi, banyakkan senaman dan mengikut panduan daripada doktor,” katanya.

Meskipun begitu, doktor telah menasihatkannya untuk menambah berat badannya kerana terlalu kurus untuk ketinggiannya yang setinggi 1.58 sentimeter.

“Mungkin berat badan tidak seimbang, saya demam teruk dan doktor suruh tambah berat badan, kalau boleh sampai 46 kilogram, lepas itu saya nak kekalkannya.

“Bukan apa, kalau gemuk nanti banyak baju tidak boleh pakai dan dalam TV pun tidaklah nampak besar sangat,” jelasnya lagi.

Apa pun, Hetty tetap bersyukur kerana sehingga kini dia masih lagi sibuk menerima tawaran lakonan dan nyanyian dan berharap selepas ini tidak ada lagi kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya.

Kosmo

Advertisements

Syamsul Buat Yusoff Bangga

11 Mar

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

TAHUN lalu, penggemar dunia pemotoran dihidangkan dengan filem bertajuk Impak Maksima arahan Ahmad Idham.

Melalui babak-babak aksi lumba yang ditayangkan, ia merupakan formula paling mudah untuk memikat generasi muda bertandang ke pawagam.

Bulan depan, kelangsungan filem bercorak sedemikian diteruskan lagi apabila Syamsul Yusof memberanikan diri menghasilkan filem sulungnya iaitu Evolusi KL Drift.

Egoisme, dendam dan gelodak jiwa yang membara merupakan intipati yang menjadi nadi serta nafas kepada filem tersebut.

Apa yang menarik, Evolusi KL Drift menghidangkan deruman dan pelbagai aksi lumba yang diperhebatkan melalui kemunculan barisan kereta berkuasa tinggi seperti Skyline, RX7 dan 180SX.

Meskipun dikatakan mampu menandingi filem Impak Maksima, sutradara muda yang juga anak kepada jutawan filem, Datuk Yusof Haslam itu bagaimanapun, lebih senang mengambil pendekatan merendah diri.

Menurut Syamsul, penghasilan Evolusi KL Drift bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana filem tetapi ia merupakan sebuah karya yang bakal membawa perubahan kepada industri perfileman.

Mendapat pujian daripada bapanya, Syamsul memberitahu, Evolusi KL Drift mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak perlu dibandingkan dengan filem-filem lain.

“Filem lain ada kekuatan masing-masing dan begitu juga dengan Evolusi KL Drift. Saya tidak mahu meninggi diri dan penontonlah yang layak memberikan penilaian nanti,” ujarnya.

Menghasilkan Evolusi KL Drift kata Syamsul, bukan satu kerja yang mudah.

Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sehinggakan waktu tidurnya selama menjalani penggambaran sekadar terbatas untuk tiga hingga empat jam sahaja.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan ibu bapa serta semua pelakon dan krew filem ini,’’ katanya pada majlis pelancaran Evolusi KL Drift di ibu negara, baru-baru ini.

Evolusi KL Drift mengisahkan dua sahabat, Zack, lakonan Syamsul dan Sham (Farid Kamil) berkongsi hobi dan minat dalam perlumbaan kereta drift.

Kelazimannya bidang permotoran didominasi golongan maskulin tetapi ia tidak menghalang Fasha (Fasha Sanda), teman wanita Zack untuk memecah monopoli itu.

Dalam hubungan Zack dan Fasha dilanda pergolakan, Sham dalam diam menaruh rasa cinta terhadap Fasha.

Apakah kesudahan kekalutan yang melanda? Di manakah garisan penamat sebenar dalam perlumbaan kehidupan Zack dan Shah? Adakah keintiman Fasha dan Sham mampu membina satu ikatan?

Kesemua konflik ini akan terjawab setelah anda menonton Evolusi KL Drift yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 3 April ini.

Evolusi KL Drift diiterbitkan secara usaha sama dengan antara Skop Productions Sdn. Bhd., dengan Grand Brilliance Sdn. Bhd.

Filem tersebut turut dibintangi Aaron Aziz, Iqram Dinzly, Shaifuddin Hashim, Rizal Ashraf, Hetty Sarlene dan Diana Danielle.

Merajuk dengan bapa?

Sementara itu, pada majlis pelancaran Evolusi KL Drift baru-baru ini, Yusof mendedahkan rahsia yang anaknya itu pernah merajuk sebelum filem itu dihasilkan.

Menurut Yusof, ia berlaku begitu kerana kerana skrip asal filem itu yang diserahkan oleh anak terunanya pada tiga tahun lalu itu bukan sahaja dipandang sepi tetapi menerima kritikan keras oleh Yusof.

Disebabkan itu, Syamsul bagaikan mengasingkan diri sehingga menyerahkan sekali lagi skrip Evolusi KL Drift kepada Yusof pada tahun lalu.

Menjawab mengenai perkara itu, Syamsul berkata: “Ketika itu saya memang marah tetapi disebabkan kritikan bapa, saya akhirnya kembali dan dapat menghasilkan satu skrip yang mantap.”

Kata Syamsul, filem yang mengambil masa 38 hari pengambaran itu pada awalnya direncanakan penerbitannya dengan kos sebanyak RM1 juta tetapi terbabas kepada RM2 juta.

“Aksi di jalan raya terpaksa menggunakan ramai stuntman. Kamera juga perlu banyak. Sebab itu bajet terbabas.

“Tapi, Alhamdulillah, akhirnya siap juga filem ini,’’ ujarnya sambil menambah bapanya turut menyumbang idea dalam pembikinan Evolusi KL Drift.

Pada masa yang sama, ada khabar yang menyebut Evolusi KL Drift bakal ditayangkan di Jepun.

Menjawab persoalan itu, Syamsul berkata: “Memang ada sebuah syarikat pemotoran di Jepun berminat untuk membawa filem ini ke sana. Tetapi, sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak, kena tunggulah nanti,’’ katanya ringkas.

Powered by Utusan Malaysia

Dari Layar Perak Pasrah Ke Kaca TV

3 Aug
PENDUKUNG watak utama drama bersiri Pasrah, Norman Hakim dan Lisdawati.

MASIH ingat filem Pasrah yang menggabungkan tiga pelakon utamanya, Erra Fazira, Norman Hakim dan Wilma Mohamad yang pernah popular pada tahun 1999?

Kini Pasrah akan muncul secara bersiri di TV9 pada setiap hari Jumaat apabila mengambil alih slot Sembilu Kasih yang tamat pada 24 Ogos ini.

Plot ceritanya masih sama – tentang dunia peragaan dan percintaan. Tetapi subplotnya akan bertambah dengan pelbagai konflik sebagai daya tarikan.

Justeru selain kisah semasa, terdapat juga paparan kisah silam diwujudkan dalam drama bersiri 26 episod ini.

Diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam, ia turut dibantu dua pengarah bersama iaitu anak-anaknya sendiri, Mohd. Faizal dan Mohd. Shamsul.

“Datuk lebih banyak terlibat dalam pengarahan babak-babak besar dan utama. Selebihnya beliau hanya memantau,” kata Mohd. Faizal atau lebih dikenali sebagai Boy ketika ditemui di lokasi penggambaran Pasrah di sebuah kelab di Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Pada penggambaran itu, beberapa babak penggambaran peragaan pentas dirakamkan yang berlangsung sepanjang hari.

“Kita melakukan penggambaran bagi empat babak peragaan pentas yang melibatkan babak berbeza,” jelas Mohd. Faizal yang turut dibantu oleh Mohd. Shamsul pada penggambaran itu.

Menurut pengarah muda yang turut terlibat dalam pengarahan drama Gerak Khas itu, Pasrah kali ini didukung oleh Lisdawati bagi watak Farah Diba dan Salina Saibi (Natasha) selain mengekalkan Norman Hakim untuk membawakan watak Hafsham.

“Kisah untuk drama ini juga dibuat lebih terperinci khususnya bagi setiap watak dan perwatakan,” jelasnya lagi.

Drama Pasrah berkisar tentang seorang gadis bernama Farah Diba yang berhasrat untuk menjadi model.

Setelah popular, Farah Diba sering dihimpit oleh pelbagai golongan terutama orang kenamaan yang mahu menjadikan dia sebagai teman sosial.

Bagaimanapun, Farah Diba yang berkawan dengan Hafsham amat setia kepada kekasihnya itu.

Namun kesetiaannya itu tidak dihargai apabila Hafsham turut dipengaruhi oleh gosip liar yang menimpa Farah Diba selama ini.

Akhirnya Farah ditinggalkan dan Hafsham memilih Natasha, juga seorang model yang selama ini sentiasa cemburu dengan kejayaan Farah.

Bagi dua pemegang watak utamanya, Lisdawati dan Salina, mereka bukan sahaja berdebar menanti reaksi penonton terhadap lakonan mereka.

Sebaliknya dalam masa yang sama berdebar menanti saat untuk diijabkabulkan kerana masing-masing sedang menanti hari-hari bahagia bergelar isteri.

Jika Lisdawati bakal berkahwin pada 26 Oktober nanti, Salina pula akan mengakhiri zaman bujangnya pada 11 Ogos ini.

“Memang debaran semakin terasa,” kata mereka yang mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Bagaimanapun kata mereka, sekalipun sibuk di lokasi penggambaran untuk selama tiga bulan ini namun masing-masing tetap membuat persiapan majlis perkahwinan masing-masing.

“Untuk bersanding, saya memilih konsep tradisional Melayu dengan hantaran sebanyak sembilan berbalas 11 dulang,” kata Lisdawati.

Kata Salina pula: “Datuk (Yusof) sudah pun membenarkan saya bercuti selama seminggu untuk majlis pernikahan dan persandingan saya.

“Malah kalau ada kesempatan, saya akan berbulan madu ke Sarawak dan Bali sebelum menyambung semula penggambaran.”

Menurut Lisdawati, Pasrah merupakan kolaborasi pertamanya dengan Skop Productions.

“Dua kali saya tolak tawaran Datuk untuk drama Sembilu dan Meniti Bara kerana terikat dengan komitmen lain.

“Kali ini saya tidak mahu mensia-siakan peluang apalagi ketika ini saya bebas daripada sebarang kerja,” kata Lisdawati.

Sementara Salina menganggap watak antagonis sebagai Natasha bukanlah sesuatu yang sukar dibawa kerana sudah sering membawakan watak sedemikian.

“Cuma Datuk sudah mengingatkan saya agar tidak terikut-ikut gaya lakonan Wilma. Dan saya pula jenis orang yang agak mengambil masa untuk menguasai watak.

“Untuk seminggu pertama penggambaran, saya masih kabur dengan watak saya tetapi apabila sudah mendapat sentuhan, saya memang buat sedaya upaya saya,” kata Salina diberi watak gadis seksi yang penyayang tetapi mempunyai niat jahat terhadap Farah Diba.

DI LOKASI

DRAMA: PASRAH

PENGARAH/SKRIP: DATUK YUSOF HASLAM

PENGARAH BERSAMA: MOHD. FAIZAL @ BOY & MOHD. SHAMSUL

JURUKAMERA: HAMZAH

TERBITAN: SKOP PRODUCTIONS

TAYANGAN: SEPTEMBER INI DI TV9

PELAKON UTAMA:

LISDAWATI sebagai FARAH DIBA

NORMAN HAKIM sebagai HAFSHAM

SALINA SAIBI sebagai NATASHA

LAIN-LAIN PELAKON:

HETTY SARLENE, MEMEY, BUZEN, RADHI KHALID, ROSNAH JOHARI & ZULKIFLI ZAIN

Powered by Utusan Malaysia

Leez Gagal Tapi Bertuah

10 Dec

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Leez.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu? Memang betul tiada siapa yang tahu melainkan tuan punya badan.

Tiada siapa juga yang menyangka penyingkiran Leez semasa konsert ‘prelude’ program Akademi Fantasia (AF) yang lalu seakan-akan membuka rezeki yang luas terhadapnya.

Walaupun tidak layak menyertai program berkenaan pada peringkat berikutnya tetapi Leez mempunyai nasib yang baik berbanding rakan-rakannya yang lain.

Bukan nak mengata tetapi cuba fikirkan betul-betul, selain Faizal, kesemua pelajar AF musim keempat lalu seakan-akan tenggelam begitu saja.

Apatah lagi bagi mereka yang awal-awal lagi ditendang keluar daripada program itu. Apa jadi dengan mereka sekarang? Senyap sunyi begitu sahaja. Album tak ada, publisiti jauh sekali.

Nak mengharapkan syarikat rakaman melamar untuk merakamkan album, memang sukar untuk diramalkan kerana sekarang ini terlalu ramai artis-artis baru muncul.

Maestro Records yang bertanggungjawab terhadap bintang-bintang AF pula tentunya sibuk dengan artis-artis lain daripada mempedulikan peserta yang hanya layak di peringkat ‘prelude’ sahaja.

Apa yang boleh saya katakan, keistimewaan Leez mungkin terhadap paras rupanya. Dia gadis yang fotogenik. Wajahnya menarik dan senyumannya juga menawan.

Itu di antara ciri-ciri dan juga keistimewaan gadis ini sehingga mampu menjadikannya salah seorang peserta AF tersingkir yang popular.

Bayangkan selepas penyingkiran Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli daripada program itu, gadis berusia 19 tahun ini banyak mendapat tempat di majalah dan akhbar tempatan.

Saya mengenali Leez ketika dia berumur 15 tahun selepas memperoleh ‘profile’ mengenai dirinya daripada pelakon Emma Akma yang mengendalikan agensi model.

Kerana tertarik dengan senyumannya, saya memanggilnya untuk mengadakan sesi fotografi bakat baru kelolaan saya dalam majalah Mangga pada waktu itu.

Empat tahun berlalu saya sudah lupa peristiwa itu sehinggalah Leez mengibas semula detik-detik pertama dia mengadakan sesi fotografi.

Saya berkata, Leez bertuah kerana dia sekarang sudah dilamar menjadi artis rakaman tidak seperti rakan-rakannya yang lain. Selain lamaran itu, ada juga Datuk yang sedang ‘mengintainya’.

Hajat terlaksana

Bermulanya tuah Leez selepas penyingkirannya dalam program AF apabila dia dipanggil untuk menjalani uji bakat berlakon sebuah rancangan bersiri terbitan Astro iaitu Astana Idaman.

Hasrat untuk menjadi penyanyi yang dipegang sejak awal-awal pembabitannya dalam dunia seni menjadi sebaliknya.

Uji bakat tersebut benar-benar mengheret gadis ini untuk terbabit dalam satu lagi bidang yang tidak pernah diimpikannya selama ini.

Walaupun pada permulaan watak yang diberikan kepada Leez sekadar sampingan namun lamakelamaan dia diberikan peranan utama.

“Leez tak sangka selepas beberapa siri drama itu, watak yang diberikan kepada Leez semakin berat sehinggalah akhirnya memegang watak utama rancangan itu,’’ katanya.

Jelas Leez, jika dikenangkan semula, segalanya bagaikan sebuah mimpi yang hadir menjadi nyata.

Tidak pernah bermimpi sehingga diberi peranan utama dalam sesebuah drama walaupun pada asalnya dia merupakan pelajar AF yang tersingkir. Tetapi itulah dinamakan rezeki.

Selepas rancangan itu menamatkan siarannya kira-kira dua minggu lalu, Leez turut menerima lamaran baru daripada seorang Datuk.

Bukan lamaran untuk mengajaknya ‘naik pelamin’ sebaliknya Datuk yang dimaksudkan – Datuk Yusof Haslam, ‘produser’ dan jutawan ternama itu berhajat ‘meminang’ Leez untuk berlakon drama Sembilu Kasih.

Menurut Leez, selepas mengadakan perbincangan dengan Yusof, dia berminat terhadap watak yang bakal diberikan di dalam drama tersebut.

Malah Leez akan membuktikan dia bukan sekadar boleh menyanyi sebaliknya ingin mengasah lagi bakatnya sebagai seorang pelakon.

“Saya akan bukti dan lakukan yang terbaik untuk kerjaya saya ini,’’ katanya.

Jelasnya, Yusof Haslam telah menawarkannya watak sepupu kepada Zetty (Hetty Sarlene) yang menjalinkan hubungan cinta dengan Fendi (Zed Zaidi).

Bagaimanapun kata Leez, watak yang mahukannya menitiskan air mata merupakan watak yang sukar untuk dibawanya. Atas dasar itu Leez cuba belajar untuk menghayati setiap watak sedih yang diberikan agar ia menepati keinginan pengarah.

Lebih menggembirakan Leez, sekian lama memikirkan nasibnya selepas keluar daripada AF, hasratnya untuk menjadi penyanyi rakaman terlaksana juga.

Ketika sibuk dengan penggambaran drama Astana Idaman, Leez telah dihubungi penulis lirik Man Toba yang ingin menyuntingnya menjadi artis syarikat rakaman Toba Records.

Majlis menandatangani kontak dengan syarikat rakaman itu telah pun dilakukan kira-kira dua minggu lalu dan kini proses untuk rakaman album sedang dilakukan.

“Leez amat bersyukur. Bukan mudah untuk orang panggil kita jadi artis rakaman. Mungkin ia rezeki Leez,’’ katanya yang begitu gembira dengan dua lamaran yang diterimanya itu.

Leez kini sibuk di dalam studio rakaman mempersiapkan album solonya berkonsepkan pop.

Antara komposer yang terlibat menyumbangkan lagu di dalam album yang dijangka dipasarkan pada awal tahun hadapan itu seperti Eddie Hamid, Harun Ahmad, Zulfekar, Lan Laga, Adnan Abu Hassan dan Isman (Hijjaz).

Bersedia menghadapi gosip

Sebagai orang baru dalam industri hiburan, Leez sudah bersedia untuk menempuh pahit dan maung bergelar seorang artis.

Bukan mudah membawa ‘title’ itu sebenarnya. Setiap apa yang dibuat semuanya akan diperhatikan orang selain menjadi bualan masyarakat.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Leez dan tempias dugaan itu telah mula dirasainya.

Malah Leez juga menganggap, gosip sama seperti serbuk perasa yang menjadi penyedap di dalam makanan. Begitu juga terhadap dunia hiburan. Sebelum menjadi artis dahulu pun Leez juga meminati cerita dan gosip-gosip artis.

“Sekarang sudah jadi artis, Leez kena bersedia untuk menempuh ujian itu walaupun kadangkala Leez sendiri takut berhadapan dengannya,’’ jelas Leez.

Sejak bergelar artis, dia belum pernah ditimpa dengan gosip berat cuma kononnya Leez mempunyai hubungan dengan Haziq.

“Saya pun sudah lama tidak berhubung dengan Haziq. ‘Percintaan’ kami hanya dicetuskan ketika di dalam AF sahaja,’’ katanya.

Percayakan orang tua

Seperti juga Ning Baizura yang memilih ibunya untuk menjadi pengurus, Leez menyandarkan harapan terhadap bapanya Rosli Awang, 45, untuk menjaganya.

Jelas Leez, dia lebih percaya kepada keluarga sendiri untuk menjadi pengurus daripada melantik orang lain.

“Kalau bapa yang jaga, sudah tentu tiada orang yang boleh buat sesuka hati kepada kita. Selain itu ahli keluarga lebih mengetahui kemahuan serta perasaan kita kerana kita membesar dengan mereka,’’ terangnya.

Bagi Rosli pula, dia tidak mahu anak kesayangannya terjebak dengan perkara yang boleh merosakkan diri apatah lagi anaknya itu menjadi artis dan hidup di dunia yang penuh dengan pancaroba.

Sebagai bapa, daripada melepaskan anak gadis sendirian, lebih baik dia sendiri yang mengawasinya.

“Saya pun akan pencen dalam tentera. Lebih baik saya menguruskan Leez kerana saya lebih memahami jiwa anak saya itu daripada orang lain,’’ katanya.

Powered by Utusan Malaysia

Penyanyi Bersaing Di Anugerah Planet Muzik

25 Jan

Oleh ROSLI MANAH
Penyanyi Malaysia, Singapura dan Indonesia sekali lagi berentap merebut trofi pada Anugerah Planet Muzik 2002 yang akan berlangsung di Singapura Sabtu ini (26 Januari).

Antara penyanyi Malaysia yang turut disenarai peringkat akhir ialah Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain dalam kategori Artis Terbaik Wanita. Turut dicalonkan Titi DJ dan Rossa dari Indonesia.

Dalam kategori lelaki pula tidak ada penyanyi dari Malaysia dicalonkan. Kategori itu menampilkan penyanyi kelahiran Singapura M.Nasir, Ferhad serta tiga penyanyi Indonesia, Ari Lasso, Andre Hehanussa dan Harvey Malaiholo.

Kumpulan nasyid kontemporari Raihan dan Rabbani pula dicalonkan dalam kategori Kumpulan Terbaik bersama kumpulan Kaleoidoscopicuriosity (Singapura), Padi dan penyanyi duet Anang dan Kris Dayanti dari Indonesia.

Dalam kategori Kumpulan Baru Terbaik pula pasangan Ajai, Nurul dan Bozz dari Malaysia turut dicalonkan. Mereka bersaing bersama kumpulan-kumpulan dari Indonesia.

Kategori wanita pula menampilkan Elyana, Samirah, Mala serta penyanyi Singapura Asiyah Sinnan dan Shanty.

Dalam kategori album pula album Safa (Siti Nurhaliza), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Phoenix Bangkit (M.Nasir), Aku Cinta Padamu (Ziana) turut layak bersaing bersama Sesuatu Yang Tertunda (Padi) dan Makin Aku Cinta (Anang dan Kris Dayanti).

Lagu Menadah Gerimis (Ziana), Raikan Cinta (M.Nasir), Masirah (M.Nasir), Percayalah (Siti Nurhaliza), Makin Aku Cinta (Anang & Kris Dayanti) dan Kasih Tak Sampai (Padi) bersaing merebut anugerah Lagu Terbaik.

Anugerah Planet Muzik 2002 juga turut mempertandingkan beberapa kategori melibatkan penyanyi tempatan Singapura sahaja.

Selain menyampaikan anugerah, ia juga akan menampilkan persembahan hiburan oleh Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Ziana, Nurul dan Ajai, Ferhad, Fazley, Yassin, Hetty Sarlene, Rem, Man Bai, Harvey Malaiholo, Kris Dayanti, Padi, Anterro Boys dan beberapa lagi

Powered by Utusan Malaysia