Archive | Syed Azmir RSS feed for this section

Koleksi Formal

24 May

Butik tunjukkan kreativiti dengan gabungkan fesyen klasik dengan kontemporari agar lebih menarik

OlehHanni Tiara

SUT formal untuk lelaki tidak harus terbatas dengan tuksedo atau kot hitam yang membosankan.

Permainan warna dan jenis kain seperti satin dan sutera Thai juga boleh memainkan peranan dalam menyerlahkan nilai eksklusif pakaian lelaki.

Dalam pertunjukan fesyen yang diadakan sempena hi-tea Hari Ibu anjuran bersama Fatimah Mohsin Wedding Gallery dan Aide Soccer Buddies minggu lalu, pakaian formal khusus untuk lelaki menjadi santapan mata yang menyegarkan kepada hadirin yang memenuhi dewan di ballroom Pusat Konvensyen Raffles Swissotel.

Fatimah, seorang konsultan fesyen dan mak andam berkelulusan diploma rekaan fesyen di Maktab Seni La Salle, dalam majlis tersebut menunjukkan kreativitinya bermain dengan gabungan fesyen klasik dan kontemporari, seperti potongan labuh ala tuksedo bangsawan dengan kolar potongan retro.

Pertunjukan fesyen menjadi lebih menarik apabila para penyanyi seperti Taufik Batisah, Syed Azmir dan pemain bola sepek Aide Iskandar turut memperagakan pakaian.

Koleksi pakaian formal lelaki yang sesuai untuk majlis perkahwinan, mesyuarat perniagaan atau majlis makan malam merupakan koleksi terbaru yang banyak bermain dengan jenis kain satin dan sutera Thai.

Apakah yang dimaksudkan dengan pakaian formal lelaki?

Antara ciri-ciri pakaian formal ialah ia harus mempunyai permukaan satin dan kolar yang mempunyai lapel atau lapik lebar, dengan seluarnya tidak menggunakan ‘trimming’.

Tuksedo pula ialah pakaian malam yang bersifat praktikal kerana ia boleh dipakai di mana saja berbanding dengan ‘tail coat’ yang hanya sesuai di majlis tari-menari atau acara persembahan seni atau majlis makan malam diraja.

Tali lehernya yang dipilih untuk disepadankan adalah daripada jenis satin atau sutera.

Powered by Cyberita

Advertisements

Pendengar, Wartawan, DJ Kongsi Gelanggang

28 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

CEMAS apabila penyampai radio Suria FM, Amirah Sakhia Shamsuddin atau Myra hampir pengsan apabila kepalanya terkena rembatan bola lawan menyebabkan dia terbaring di tengah gelanggang futsal beberapa minit.

Kejadian itu menyebabkan perlawanan akhir pertandingan Suria FM Selebriti Futsal 2008 yang berlangsung Ahad lalu di Sport Planet Ampang, terhenti seketika.

Semua rakan artis mahupun wakil media terkejut menyaksikan kejadian itu. Mujur dengan bantuan beberapa teman, keadaan Myra yang separuh pitam berjaya dipulihkan.

Membanggakan walaupun mengalami situasi menakutkan, semangat kental Myra membuatkan dia kembali bermain pada masa kedua.

Lebih manis dia memberi kemenangan apabila sepakan penentuan berjaya dijaringkan ke gawang gol selepas perlawanan akhir terikat satu sama.

Selepas permainan tamat, Myra menjelaskan, sebagai ketua kumpulan Surialicious, dia tidak sampai hati membiarkan pasukannya berjuang sendirian dalam keadaan kekurangan pemain dalam pertandingan peringkat akhir menentang Surianova.

“Hendak diikutkan senarai awal, kumpulan saya turut dianggotai penyanyi utama kumpulan Sofaz, Ameer dan pelakon, Nabila Huda. Bagaimanapun Ameer tidak dapat menyertai kami kerana terbabit dengan Anugerah Planet Muzik 2008 yang berlangsung pada hari sama.

“Nabila pula hanya dapat bersama kami pada perlawanan pertama kerana selepas itu, dia terpaksa meninggalkan gelanggang bagi menjayakan penggambaran drama,” katanya

Selain Myra, pasukan Surialicious turut diwakili anggota kumpulan Fabulouscats, Luqman Nor Hakim (Sumo), Rudy Imran Shamsudin (Wartawan Harian Metro), Mohd Dzul Hidjri (New Straits Times), pendengar bertuah Suria FM, Ben dan Diana juga wakil penaja Samsung Mobile, See.

Pasukan Surianova yang muncul naib juara diketuai penyampai Suria FM, Hairil. Mereka membariskan pemain terdiri daripada selebriti popular Diana Danielle dan Faradhiya diikuti Firdaus Sahat (Wartawan Hiburan Metro Ahad) dan pendengar bertuah, Isma, Salleh dan Aira.

Kejadian membabitkan Myra adalah sebahagian peristiwa menarik berlaku sepanjang Suria FM Selebriti Futsal 2008 berlangsung.

Kepada pendengar setia stesen radio itu yang berpeluang menyertai pertandingan ini menganggap ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan terutama apabila dapat bersama artis kesayangan bermain futsal.

Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin sewaktu ditemui menjelaskan, antara objektif pertandingan itu diadakan untuk merapatkan hubungan antara pendengar, penyampai dan selebriti terbabit.

“Begitupun, pertandingan ini sebenarnya bertujuan merapatkan hubungan wakil media bersama penyampai Suria FM, artis dan pendengar setia memandangkan kami sudah selalu sangat menganjurkan acara membabitkan artis dan pendengar.

“Pendengar kami pun teruja apabila menyaksikan beberapa wakil media beraksi di tengah gelanggang.

“Maklumlah, selalunya mereka hanya membaca tulisan wartawan membabitkan artis kesayangan mereka di dada akhbar tetapi hari ini, pendengar Suria FM dapat mengenali mereka dengan lebih rapat. Sehinggakan saya nampak ada pendengar turut tidak melepaskan peluang bergambar dengan wakil media yang hadir,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai penganjuran Selebriti Futsal 2008, jelas Engku Emran, pihaknya turut mendapat maklum balas positif daripada pendengar setia Suria FM. Malah, mereka mencadangkan supaya pertandingan futsal dijadikan acara tahunan dan dilakukan dalam skala lebih besar.

Pada hari itu, lapan pasukan beraksi dan diketuai penyampai Suria FM lain termasuk Zizie, Zhana, Zaff, Tuah, Akhtar dan Bob Ringgo. Antara artis yang turut menjayakan acara diadakan seperti Erra Fazira, Rashidi Ishak, Farah, Zahid, Nita, Fazli Zainal, Akhbar, Hazama, Raja Farah, Sharifah Shahora, Syed Azmir dan Farhan.

Acara turut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan Matta, juara One In A Million musim kedua, Ayu dan Farah.

Juara dan naib juara pertandingan menerima hadiah berupa telefon bimbit, bluetooth dan baju tajaan Samsung dan Adidas. Pada hari itu, Sumo dipilih pemain terbaik sementara penyanyi, Syed Azmir, diumumkan penjaring terbanyak.

Powered by Harian Metro

Doa Untukmu, Sharlinie

26 Feb

Oleh FAIZAL SAHARUNI


ANTARA rakan artis yang hadir dalam memberi sokongan dan mendoakan penemuan Sharlinie yang hilang lebih sebulan lalu.

LEBIH 40 hari berlalu, namun misteri kehilangan kanak-kanak malang, Sharlinie Mohd Nashar, 5, sejak 9 Januari lepas masih menjadi persoalan serta tanda-tanya yang sukar dirungkai.

Hajat di hati ingin berseronok, tapi apakan daya Sharlinie didapati hilang sewaktu perjalanan pulang dari taman permainan di Taman Medan pada pukul 11.30 pagi, awal tahun lalu.

Bermacam ikhtiar sudah dibuat tanpa henti. Baik oleh pihak berkuasa hinggalah bantuan pengamal perubatan tradisonal serta orang ramai, bayang Sharlinie masih belum timbul.

Enggan berputus asa apatah lagi mencantas harapan tinggi menggunung ibu-bapa Sharlinie yang ingin melihat semula wajah puteri comel mereka, pelbagai pihak tampil memberi pertolongan.

Banyak individu yang melahirkan rasa dukacita terhadap kes ini, malah golongan selebriti tidak ketinggalan berkongsi kesedihan atas peristiwa yang menimpa kanak-kanak malang itu.

Menganggap sebahagian isu negara yang harus ditangani bersama, kira-kira 50 orang penggiat seni tanah air mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat untuk adik Sharlinie di Restoran Puteri di Sungai Penchala, hujung minggu lalu.


HATTAN (tengah) bertanya khabar kepada bapa Sharlinie, Mohd. Nashar (kiri) sambil diperhatikan Emran.

Acara yang diadakan selepas solat Maghrib itu turut disertai golongan penyanyi dan pelakon terkenal. Mereka melapangkan masa, meluang waktu untuk bersatu untuk satu kerja amal yang mulia sebegini.

Antara artis yang hadir ialah Betty Benafe, Datin Nina Juren, Sasha Saidin, Fazura, Diana Danielle, Norman Hakim, Mila, Syed Azmir, Ajai, Isma Daniel, Sheila Rusly dan Hattan.

Tidak ketinggalan, lima ahli keluarga adik Sharlinie termasuk bapanya, Mohd. Nashar Mat Hussain, 29, turut hadir dalam majlis anjuran Suria FM dan Restoran Puteri itu.

Suasana malam yang sunyi menjadikan acara ini berlangsung dengan penuh kesyahduan. Malah ada di antara mereka yang hadir bagaikan benar-benar terkesan dengan kehilangan itu seolah-olah

Sharlinie adalah sebahagian daripada ahli keluarga mereka sendiri.


ISMA DANIEL dan Erra Fazira barangkali membincangkan misteri kehilangan Sharlinie yang masih belum ditemui.

Aktres jelita yang terkenal menerusi drama bersiri Gol & Gincu, Fazura berkata, saat dihubungi Suria FM tentang majlis tersebut, dia teruja untuk hadir. Ini kerana majlis ini berbeza daripada mana-mana majlis yang pernah dia hadir sebelum ini.

“Sepatutnya saya ada penggambaran, tapi dibatalkan saat-saat akhir.Nampaknya sudah jadi rezeki saya untuk bersama-sama dalam majlis amal ini,” kata Fazura.

Berkongsi perasaan tentang kejadian malang yang menimpa Sharlinie, Fazura menganggap kehilangan itu sesuatu yang memberi kesan kepada semua anggota masyarakat yang turut bersedih.

“Saya faham macam mana perasaan ahli keluarga dia. Saya pun ada adik. Kalau dia hilang sekejap, seluruh keluarga sudah risau. Walaupun belum mendirikan rumahtangga, tapi saya tahu perasaan orang yang kehilangan anak,” katanya.

Sementara itu, pelakon muda dan berbakat besar, Diana Danielle berkata, dia hadir sebagai tanda menyokong usaha pencarian Sharlinie yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan anggota masyarakat lain.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Jalan terbaik dapat saya lakukan hanyalah mendoakan dia berada dalam keadaan selamat.

“Harap-harap agar seluruh ahli keluarganya tidak berputus asa dan menguatkan semangat kerana Sharlinie pasti akan kembali,” doanya.

Bagi bapa kepada dua cahayamata, Norman Hakim, dia hadir ke majlis itu dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota masyarakat, bukan atas tiket sebagai artis.

Kehilangan adik Sharlinie kepada Norman adalah pengajaran kepada semua orang yang mempunyai anak supaya lebih berhati-hati.

“Perkara ini harus dipandang serius oleh masyarakat. Sebagai bapa saya sendiri pernah terlepas pandang anak-anak saya dalam aspek keselamatan.

“Kini saya lebih berhati-hati dalam soal penjagaan anak. Kalau terlihat anak orang lain berkeliaran sana-sini tanpa pengawasan ibu-bapa, saya akan ambil tanggungjawab memerhati.

“Bukannya apa, saya amat harap kejadian seumpama ini tidak akan terjadi lagi,” kata bapa kepada Mohamed Danish, 4 tahun dan Marissa Dania, 2 tahun.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin berkata, majlis ini dijalankan bagi melahirkan keprihatinan golongan karyawan seni kepada isu besar yang berlaku dalam negara.

Selain itu juga dengan acara seperti ini ia diharap dapat meningkatkan semula kesedaran ramai terhadap misteri kehilangan Sharlinie.

“Saya dapati maklumat tentang kes Sharlinie semakin berkurangan di kaca televisyen dan suratkhabar sejak kebelakangan ini.

“Berbeza sebelumnya, berita dan perkembangan Sharlinie kerap diperkatakan kepada umum sewaktu dia mula-mula hilang sebulan lalu.

“Ingatan kita terhadap Sharlinie sudah semakin jauh dan kita risau kalau-kalau ia akan lenyap begitu saja sedangkan Sharlinie belum dijumpai,” katanya.

Beritahu Emran lagi, majlis doa selamat dan bacaan Yasin itu mendapat sokongan kalangan artis di negara ini yang rata-ratanya simpati dengan nasib buruk menimpa Sharlinie.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan benar-benar memberangsangkan. Tidak sukar untuk menjemput mereka.

“Rata-ratanya menunjukkan minat dan komitmen tinggi untuk melibatkan diri dalam majlis ini,” puji Emran.

Powered by Kosmo