Rubytah Tidak Menoleh Ke Belakang Lagi

5 Aug

Oleh: TAJAIYAH IHSAN (E-mel wanitamingguan@utusan.com)


RUBYTAH.

HANYA selepas dua tahun terlibat dalam bidang pelaburan dan saham amanah, wanita tidak lokek dengan senyuman ini telah mengukir kejayaan sebagai penyelia agensi pelaburan saham amanah.

Walaupun jangka masa dua tahun dianggap sangat pendek tetapi dengan kesungguhan serta minat dalam bidang pelaburan, semuanya tidak mustahil untuk dicapai.

Rubytah yang berusia 30 tahun ini berkata, beliau tidak mempunyai rahsia tertentu untuk berjaya.

Baginya, sekiranya pencapaian ini dianggap satu kejayaan, beliau tetap menganggap masih banyak usaha lagi yang mesti dilakukan untuk menggenggam kejayaan yang lebih besar.

Bagaimanapun kata Rubytah, beliau meletakkan sasaran dalam misi untuk mencapai matlamat kerjayanya dalam tempoh tertentu.

“Selepas itu Ruby perlu bekerja keras, mengadakan jaringan baru dan yang penting menjadi rakan baik kepada pelabur,” katanya lagi.

Menurut Rubytah lagi, beliau sentiasa meluangkan waktu untuk para pelabur yang inginkan maklumat dan pengetahuan mengenai pelaburan unit amanah ini.

Katanya, “Kepentingan pelaburan dan pengetahuan yang lengkap mengenainya akan membuat pelabur lebih terbuka untuk melabur.”

Rubytah menambah, sejak terbabit dalam bidang ini, beliau mula berasa teruja kerana kerjaya yang mencabar dalam erti kata kuat bekerja besarlah imbuhannya.

Ibu tunggal kepada Mikhael yang berusia lapan tahun ini berkata, bagaimanapun beliau sentiasa memastikan kerjayanya hanyalah mengikut waktu pejabat atau bermula pukul 9 pagi hingga 6.30 petang.

”Ruby ada tanggungjawab sendiri dan sibuk macam mana sekalipun Ruby mesti berada di rumah selepas waktu itu untuk bersama anak. Barangkali sebab itulah, lebih suka duduk di rumah sekiranya ada masa terluang,” ujar Rubytah lagi.

Sebelum menceburi bidang ini, Rubytah terlebih dahulu terbabit dalam perniagaan pengurusan acara.

Katanya, selepas menjadi ibu tunggal, beliau bercadang untuk berniaga seperti arwah bapanya, seorang ahli perniagaan di Kedah.

“Walaupun Ruby tidak berkelulusan tinggi Ruby tetap percaya boleh melakukannya sekiranya ada kemahuan dan minat,” ujarnya.

Semasa berkahwin dulu, Rubytah adalah suri rumah sepenuh masa. Tetapi selepas bersendirian barulah beliau berjinak-jinak dengan bidang perniagaan.

Katanya, beliau kemudiannya ditawarkan menjadi rakan kongsi perniagaan pengurusan acara. Dari situlah sempat belajar selok-belok berniaga dan menimba pengalaman. Selepas lebih lima tahun, tercetus pula keinginan menceburi bidang baru.

”Alhamdulillah, kerjaya baru ini juga memberi pulangan yang baik malah mempunyai daya tarikannya sendiri,” jelas Rubytah lagi.

Walaupun rumah tangganya hanya bertahan selama dua tahun, Rubytah tidak mengunci hatinya daripada lelaki.

Perpisahan yang terjadi itu mungkin disebabkan kedua-dua pihak kurang sabar kerana berkahwin dalam usia yang begitu muda. Jika lebih bersabar barangkali perkahwinan masih boleh diselamatkan.

Pun begitu, Rubytah menganggap itu sudah ditakdirkan beliau menjadi ibu tunggal dalam usia muda.

Katanya, semuanya sudah berlalu dan kini beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Matlamat dan prinsipnya lebih kepada kebahagiaan anaknya daripada memikirkan diri sendiri.

Biarpun Rubytah adalah adik kepada pelakon dan model Rosita Che Wan dan kakak kepada pendatang baru Ayu Raudhah Che Wan (watak Farah dalam Manja Lara) namun sehingga ini belum terlintas lagi untuk berlakon.

”Ruby tidak ada bakat sebaik mereka yang boleh berlakon mahupun menjadi model. Ruby lebih minat berniaga macam arwah ayah,” jelasnya.

Sungguhpun begitu ujar Rubytah, beliau tertarik dengan dunia fesyen dan mengikuti aliran fesyen masa kini serta gemar dengan pakaian tradisional.

Sehinggakan dalam diam-diam, rupa-rupanya Rubytah juga pandai menjahit dan menyulam manik. Andai tertarik dengan sesuatu rekaan baju itu dan mahu nampak cantik, beliau sanggup menyulam manik sendiri biarpun mengambil masa yang cukup lama.

Beliau berkata, “Pertama kerana minat, kedua memberi kepuasan dan ketiga menjimatkan kos. Bakat menjahit diwarisi daripada mama Ruby. Malah mama serta anak merupakan sumber inspirasi selain sokongan keluarga.”

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: