Tuah Wajah Kacukan

12 Sep

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com,my

KATA orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah perumpamaan yang tepat untuk menggambarkan situasi yang dialami gadis berdarah kacukan bernama Pamela Chong ini.

Bermula dengan hanya menemani ibunya untuk bertemu pengarah terkenal Yasmin Ahmad, tidak disangka pula dia juga akan turut terbabit dalam filem terbaru pengarah ini yang berjudul Telentime.

Itulah yang diluahkannya saat pertama kali bertemu dengannya di lokasi penggambaran filem itu di Perak baru-baru ini.

Dia yang kelihatan ayu mengenakan baju kurung tanpa solekan tebal, hanya tersenyum manis dan ramah menjawab soalan demi soalan yang diajukan kepadanya tanpa sebarang keluhan.

“Sebenarnya saya tidak menyangka yang saya akan berlakon filem sebab peluang itu tidak pernah muncul sebelum ini. Dulu saya cuma berangan saja tetapi sekarang ia jadi kenyataan dan sampai sekarang saya masih tidak percaya saya jadi pelakon (ketawa).

“Mana tidaknya, seingat saya, saya hanya menemani ibu, Susan Ann Chong untuk berjumpa dengan Yasmin.Oleh sebab terlalu teruja untuk jumpa Yasmin saya pun ikut sekalilah. Yasmin pun ada meminta saya untuk mencari mana-mana gadis yang ada darah kacukan.

“Kemudian dia tanya berapa umur saya dan meminta saya untuk hadir ke uji bakat tetapi saya tidak pergi. Tidak lama selepas itu saya dapat panggilan daripadanya dan mengatakan dia memilih saya untuk memegang watak Melor. Semuanya bermula daripada situlah,” ujarnya tanpa berselindung.

Jelasnya lagi, selepas mendapat panggilan secara mengejut itu, dia seakan-akan berada di dunia khayalan kerana tidak mempercayai tuah yang datang kepadanya.

“Perasaan saya ketika itu bercampur-campur. Gembira, terkejut dan macam-macam lagi. Sampai ke hari latihan bacaan skrip baru saya perlahan-lahan mula mempercayai yang saya akan berlakon,” tuturnya sambil diiringi gelak tawa.


FILEM Malaysia. Menampilkan pelbagai kaum, Talentime dijangka menyuntik elemen baru dan segar terhadap wajah filem Melayu.

Tambahnya, selain berlakon di bawah arahan pengarah idamannya, dia juga berpeluang bergandingan bersama ibunya dalam filem ini.

“Emak saya sudah lama mahu berlakon sejak dari dulu lagi cuma dia tidak berani saja. Macam saya jugalah. Walaupun sudah berumur tetapi dia tetap ingin berlakon dan saya rasa macam saya ini pewaris hasratnya.

“Dalam filem ini emak akan menjadi nenek saya. Mula-mula pelik sikit. Sudahlah kali pertama berlakon, dengan ibu pula tu, perasaan itu sukar untuk saya gambarkan. Apa pun saya bangga dengannya kerana dia tetap melaksanakan impiannya,” kata adik kepada juara Akademi Fantasia musim pertama, Vince ini.

Namun, tidakkah terlalu lewat untuknya mengejar impian sebagai pelakon sedangkan usianya sudah pun mencapai angka 24 dan sebelum ini dia telah pun memiliki profesion sebagai kareografer tarian?

Menjawab persoalan itu, gadis berkulit putih ini terdiam sejenak lalu berkata: “Saya contohi ibu saya, tidak kiralah berapa pun usia kita ataupun betapa selesa kerjaya saya sebelum ini, selagi saya tidak mencapai impian, selagi itu saya akan berusaha untuk mengejarnya.

“Saya adalah seorang yang berfikiran terbuka, saya rasa seronok apabila menari, saya rasa lebih yakin selepas masuk Amazing Race Asia bersama kakak saya Venessa. Sekarang saya mencari lebih kepuasan dan lihat kepada peluang yang datang.”

Bercakap seorang diri

Beralih kepada filem pertama lakonannya ini, perbualan yang agak perlahan tiba-tiba bertukar rancak apabila dia tanpa henti menghuraikan peranannya dalam filem ini.

Memegang watak sebagai Melor, seorang gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris, dia akan berlakon di samping watak-watak seperti Melati dan Mawar yang menjadi adik-adiknya.

“Dalam filem ini saya lebih berpeluang untuk mendalami budaya masyarakat Melayu, walaupun saya adalah Cina-Inggeris tetapi dalam filem ini saya jadi Melayu.

“Bagi saya watak Melor tidak berapa sukar kerana saya sendiri lahir dalam keluarga campuran. Ada bahagian yang lebih kurang sama dan ada yang tidak, jadi saya lebih banyak buat kajian dan tanya kawan-kawan Melayu sebelum penggambaran bermula,” katanya lagi.

Bagaimanapun, menurut Pamela kesukaran untuknya adalah ketika berdialog kerana dia yang lebih senang berbahasa Inggeris terpaksa menukar lenggok bahasanya untuk menjadi seorang gadis Melayu yang tulen.


BANGSA bukan halangan. Pamela di samping gandingan dalam Talentime, Mahesh.

“Setakat ini, itulah yang susah untuk saya, sebab skrip sudah cukup baik tetapi saya pula mempunyai pelat yang agak susah untuk saya buang kerana orang Cina bertutur berbeza sedikit daripada orang Melayu.

“Penyelesaiannya saya akan tanya rakan Melayu bagaimana mereka cakap sesuatu perkataan itu, dan banyak berlatih di rumah bersama keluarga saya. Sampaikan adik-adik saya pula yang naik bosan tengok saya cakap seorang diri (ketawa),” bicara graduan dari Universiti Lim Kok Wing ini lagi.

Menurutnya lagi, Yasmin selaku pengarah sangat bijak dalam memandu arah pelakon ke tahap yang dikehendakinya.

Ini kerana walaupun Pamela tiada pengalaman berlakon selain pementasan sewaktu zaman persekolahan, menurutnya, dia merasa selesa di bawah tunjuk ajar pengarah ini.

Manakala, saat berada di set penggambaran selama 15 hari merupakan satu yang pengalaman yang cukup menyeronokkan, apatah lagi mereka seumpama satu keluarga yang besar dan rapat.

“Saya pasti akan rasa rindu pada semua yang terlibat dalam filem ini, mungkin kerana itu tidak sukar untuk kami beraksi di hadapan kamera sebagai adik-beradik dan rakan,” tuturnya.

Mula terokai peluang

Nampaknya, rezeki Pamela tidak terhad pada bidang lakonan saja. Ini kerana setelah tamat Amazing Race Asia musim kedua tahun lalu, dia mula dilimpahi tawaran untuk menjadi pengacara beberapa program TV pula.

“Saya mengaku memang kerana Amazing Race Asia saya diberi lebih banyak peluang dan saya bersyukur sangat-sangat kerana bukan mudah untuk mendapat tawaran yang saya perolehi seperti hari ini.

“Oleh sebab itu, saya kini lebih fokus kepada dunia baru saya daripada bidang tarian, tetapi tidak bermakna saya lupakan terus tarian kerana tarian perkara pertama yang saya cinta,” terangnya.

Sebelum menamatkan bicara petang itu, sempat ditanya impian yang ingin dilaksanakan setelah bergelar pelakon, pantas kata Pamela: “Menari dalam filem iaitu berlakon dan juga menari, dua pekerjaan yang saya suka lakukan.


KEMUNCULAN sulung di layar perak menerusi watak orang Melayu bernama Melor, Pamela Chong turut bergandingan dengan ibunya, Susan yang juga buat pertama kali berlakon.

“Ini bermakna saya tidak akan ketepikan mana-mana minat saya. Kalau ada peluang saya harap dapat lakukannya dalam sebuah filem muzikal.”

Selain Pamela dan ibunya, Talentime yang menampilkan buat pertama kali Jaclyn Victor di layar perak itu turut memperkenalkan Amelia Thripura Henderson dan Mahesh Kishor.

Kosmo

Leave a comment