Superstar Bertukar Islamik

11 May

“PLANET saya dulu, nauzubillah. Disko, perempuan dan ya, semua jenis maksiat seperti itu berlarutan selama enam tahun. Rocklah katakan. Semoga Tuhan mengampunkan dosa saya,” akui Ustaz Akhil Hayy yang dulu hidup berpaksikan gelombang rock seperti kumpulan Poison dan Loudness tanpa selindung sambil memohon ampun beberapa kali.

Namun, segala kemungkaran itu sudah tidak lagi melingkarinya selepas lelah menanti hasil menjadi anak seni yang tidak ke mana selain kerap bermimpi soal kematian. Dan harapan bekas vokalis kumpulan rock terkenal tahun 80-an, D’Riyadh ini, semoga Tuhan tidak mencabut imannya sehingga akhir hayat.

Pada usia 39 tahun, dia yang sudah dua kali menunaikan haji berasa masih baru menjalani transformasi kehidupannya. Baru masuk usia 14 tahun, katanya yang mula mendekatkan diri kepada Tuhan selepas membawa diri ke Indonesia. Itu semua berkat pujukan arwah ayah, Haji Abdul Hai, sekitar tahun 1994 yang banyak membimbing dirinya daripada terus hanyut bersama syaitan.

Akil yang pernah digelar jalang jantan kerana dunia maksiatnya dahulu, tidak sukar untuk kembali ke sisi Tuhan yang telah melimpahkan sinar baru dalam kehidupannya. Apatah lagi dipermudahkan keluarga yang tidak putus memberi sokongan.

Akhil mendalami ilmu agama di Madrasah Al Mustaufiwiyyah di Sumatera Barat pada usia mencecah 26 tahun. Di situ, dia ‘mencuci diri’, kembali mengaji dan akhirnya selepas kerap berulang alik dari Malaysia ke madrasah ini untuk tujuan tersebut, akui Akhil, akhirnya dia berjaya menimba ilmu akhirat.

“Alhamdulillah, hari ini, saya dapat berkongsi ilmu saya bersama orang ramai melalui dakwah saya. Dan biar sudah menukar paksi kehidupan, saya masih mendengar muzik rock dan melepak dengan remaja yang menjadikan rock sebagai paksi hidup mereka.

“Saya nak tahu apa yang mereka cari dalam kehidupan,” ujarnya yang berkata penghijrahan bukan satu transformasi yang boleh dibuat-buat.

Katanya yang bakal muncul dengan album Nasyid Legenda 11 sambil memanjatkan syukur: “Tiada jalan pintas untuk berhijrah. Sebaliknya inilah senjata Allah kepada sesiapa sahaja yang mahu Dia berikan. Senjata itu adalah taufik dan hidayah. Dan gunalah ia sebaik mungkin kerana ia tidak akan berlaku dua kali.”

Siapa: Akhil Hayy @ Ustaz Akhil, 39. Transisi: Bekas vokalis D’ Riyadh ini mula ‘beralih arah’ pada tahun 1994. Kini: Pendakwah, penyanyi dan pengemudi program sendiri di Astro Oasis, Kafe Akhil.

SELAIN nama-nama seperti Azmil Mustapha, Gito Rollies atau Sahara Yaacob, rockers tersohor Amy Search sempat dikatakan sudah menukar ‘kiblat’ kehidupan lamanya yang kini lebih Islamik sekembalinya daripada umrah.

Namun lebih daripada isu tersebut, wartawan MALIAH SURIP yang menemu bual beberapa bintang terkenal tanah air dan Indonesia yang sudah ‘cuci tangan’ dan keluar dari zaman jahiliah mereka menyimpulkan bahawa hidayah yang Tuhan pancarkan kepada mereka menjadi ‘pintu’ buat mereka melangkah ke alam kehidupan yang lebih tenang.

Siapa: Noorkumalasari Mohammad Taib, 52. Transisi: Bekas pelakon dan penyanyi popular ini mula menjalani transformasi penuh pada tahun 1997. Kini: Suri rumah sepenuh masa kepada suami, Wan Mohd Yusuf, 57, dan tiga puteranya, Wan Amin Nurrasyid (16), Wan Amni (14) Wan Irfan Nurul Atiq (12).

SAKTI selepas dua tahun melepaskan segala kemewahan lebih senang tampil dengan jambang, kerana mengikut sunah nabi. Ketika ditemu bual, Sakti menjaga tertib matanya dengan tidak memandang penulis.

DIKENALI sebagai pemain gitar kedua grup terkenal Indonesia, Sheila On 7 (SO7), Sakti yang duduk di hadapan kami, berkata, hari ini cukup berbeza dengan apa yang pernah dilihat sepanjang pembabitannya dalam industri lebih enam tahun lalu.

Dalam pertemuan eksklusif yang diatur teman di kediaman Eross di Yogyakarta, Indonesia itu, kelihatan mukanya dijalari janggut, menyarung baju dan seluar khakis polos. Bicaranya teratur. Sakti membuka lembaran sejarah hidupnya – dari zaman jahiliah kepada seorang yang cukup patuh terhadap Islam.

“Saya takut mati dan api neraka itu maha dahsyat,” luah Sakti serius. Perasaan takut mati itu terdetik selepas dia terpandang sebuah buku dengan judul Menjemput Sakaratul Maut Bersama Rasulullah di dalam sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Yogyakarta sewaktu mahu ke Malaysia menghadiri majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) dua tahun lalu.

“Saya masuk ke sebuah kedai buku, ternampak buku ini dan fikiran saya berputar tentang senario kapal terbang yang kerap terhempas.

“Saya bayangkan kalau kapal terbang saya terhempas dan saya mati, apa bekalan yang saya ada? Saya tiada apa-apa. Tapi saya percaya mati tetap akan datang kepada saya pada bila-bila masa,” ceritanya yang kemudian membeli dan habis membaca buku tersebut sepanjang kembara ke Malaysia.

Kembali ke Indonesia, dia terus dibelenggu perasaan takut mati selepas menjaga ibunya yang sakit di hospital selain membaca sebuah tabloid yang menyiar isu kematian. Insiden yang berturut ini, kata Sakti, sebagai satu petunjuk agar dirinya berubah.

Dilepaskannya status pemain gitar SO7 saat grup ini sedang berada di kemuncak.

“Saya tekad membuat keputusan dan tidak berasa rugi melepaskan status artis pada zaman kegemilangan kami kerana saya sendiri sudah tidak boleh memberi fokus pada hiburan.

“Adakah saya menyesal melepaskan kemewahan dunia? Tidak sama sekali kerana saya lebih rela menyesal dan melepaskan semua di dunia sebelum saya dijemput ‘pulang’.

“Saya tidak mahu menyesal di akhirat kelak dan tidak terbayang panas api di sana,” kata Sakti yang turut mengaku kerap menangis mengenang dosa silam.

Usai rasmi keluar dari SO7, anak kedua daripada tiga beradik ini berangkat ke Pakistan (menuntut di sebuah masjid di Rewin) dalam usahanya mendasari semula asas seorang Islam sejati selama dua bulan sebelum kembali ke Indonesia dan menimba ilmu daripada para ulama di negara sendiri.

“Di Pakistan saya diajar menyayangi agama Islam sebagai sebuah agama yang indah.”

Lantas sewaktu disuakan hal tentang zaman jahiliahnya dahulu, Sakti tersenyum dan berkata: “Dulu saya pemabuk,” katanya tanpa selindung dan menambah: “Saya mula minum alkohol sejak zaman sekolah, bukan semasa jadi artis. Saya hanya berhenti minum pada usia 26 tahun sewaktu mahu beralih menjadi umat Islam yang sebenar.”

Tambah Sakti, solat lima waktu juga selalu rompong, jauh sekali solat Jumaat yang akuinya paling jarang dilakukan. Sebaik mendapat hidayah dan memahami disiplin kehidupan yang telah ditentukan Tuhan, dia cukup takut untuk meninggalkan solat.

Apa lagi saat mengenangkan kalau tiba-tiba dirinya dijemput ‘pergi’ tanpa sempat ‘bermanja’ dengan Tuhan.

Tanpa kemewahan, kata suami kepada Miftahul Jannah, 23, dia menjalani kehidupan kini serba sederhana sambil mengusahakan sebuah kedai dobi dan kedai mini sejak tiga bulan lalu di kampung halamannya.

Ditanya tidakkah rindu untuk memeluk keenakan hiburan, pantas dia menggeleng. Namun dia masih menyentuh gitar.

“Tapi bukan untuk dipertontonkan seperti dulu. Saya juga masih mendengar muzik, tapi lebih senang kepada nasyid atau memuji Islam seperti karya-karya Yusuf Islam. Muzik rock sudah jarang,” ujarnya yang tidak pernah menganggap hiburan sebagai perosak jiwa, tetapi ia menjadi rosak dengan penerimaan yang salah.

Sedang menghitung waktu untuk menggarap album berbentuk Islamik bersama seorang teman, Sakti saat diminta menyimpulkan kehidupannya kini memberitahu: “Nikmat punya agama seindah Islam memberi efek luar biasa dalam hati saya.

“Apa yang saya bimbangkan kini jika Tuhan menterbalikkan hati saya seperti dahulu. Nauzubillah, kerana saya mahu terus berada dalam hidayahnya sehingga saya mati.”

Siapa: Sakti Ari Seno@ Sakti, 28. Transisi: Bekas pemain gitar Sheila On 7 (SO7) ini mula mengubah ‘kiblat’nya sejak dua tahun lalu. Kini: Pendakwah bebas serta pemilik kedai dobi dan kedai mini bernama Smart.

PADA zaman kegemilangannya, pelakon kelahiran Jakarta ini pernah dilabelkan sebagai simbol seks kerana keberaniannya beraksi ‘panas’ selain sempat berbogel dalam beberapa filem dan sinetron lakonannya seperti Ranjang Yang Ternoda atau Gadis Metropolis juga Wanita Dan Ghairah.

Memiliki sosok tubuh yang menggiurkan selain kerap berimej seksi, isteri kepada Fahmi Darmawansyah ini bagaimanapun mengejutkan banyak pihak selepas drastik merubah kiblat kehidupannya dengan bertudung.

“Semua orang miliki kisah lalu dan saya kira tidak adil jika kita mengungkitnya untuk dijadikan ukuran,” katanya pada satu temu bual mengenai zaman jahiliahnya.

Dia kemudian memberitahu kehidupannya kini lebih tenang. Bertudung dan berubah menjadi manusia yang cuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam yang baik sekembali dari umrah lebih 10 tahun lalu telah membuka hatinya bahawa Tuhan begitu menyayanginya.

Selain kerap didatangi mimpi tentang kematian dan takut kepada azab Tuhan, hatinya terus layu untuk menutup aurat.

“Kini saya banyak berpuasa dan solat untuk mengganti semula semua kewajipan yang saya tinggalkan satu ketika dahulu. Syukur kepada Tuhan kerana memberi kesempatan buat saya berubah,” katanya yang cukup terkenal menerusi sinetron berunsur dakwah, Mutiara Hati sambil menyifatkan pembabitannya dalam dunia hiburan kini lebih kepada menyebarkan dakwah.

Siapa: Inneke Koesherawati @ Inneke, 33. Transisi: Mula bertudung pada tahun 2001. Kini: Pelakon & Duta Astro Oasis Indonesia

Powered by Kosmo

Advertisements

3 Responses to “Superstar Bertukar Islamik”

  1. shafie June 18, 2008 at 12:20 PM #

    Pembetulan:

    Tajuk: Superstar bertukar Islamik

    Merujuk kepada gambar Ustaz Akhil berbaju hitam diatas tu dan gambar kecil didalam. Untuk makluman anda gambar kecil itu adalah JP – Gitar Utama D’Riyadh, bukan gambar Ustaz Akhil dahulu.

    JP – masih aktif dalam bidang muzik dengan Studionya di Pandan Indah.

    Sekian terima kasih.

    Peminat D’Riyadh,Ustaz Akhil & Ubie ( JP and the gang ).

Trackbacks/Pingbacks

  1. Bekas pemain gitar Sheila On 7 (SO7) ini mula mengubah ‘kiblat’nya sejak dua tahun lalu « MENCARI HUKUM ALLAH - June 13, 2008

    […] di Lapangan Terbang Yogyakarta sewaktu mahu ke Malaysia menghadiri majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) dua tahun […]

  2. Inneke Koesherawati Mula bertudung pada tahun 2001 « MENCARI HUKUM ALLAH - June 13, 2008

    […] berbogel dalam beberapa filem dan sinetron lakonannya seperti Ranjang Yang Ternoda atau Gadis Metropolis juga Wanita Dan […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: