FFKL: Fabrik Istimewa

31 Mar

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my


Hazwani Osman

Pelihara darjat dan kesopanan songket cabaran buat Hazwani

MENGHASILKAN busana moden hasil gabungan fabrik moden dan tenun memberikan cabaran besar kepada pereka Hazwani Osman apabila perlu memastikan fabrik yang melambangkan kedaulatan kesultanan Melayu itu terus terpelihara darjat dan kesopanannya.

Menjejaki sejarah fabrik berkenaan, Hazwani berkata, ia jelas menunjukkan darjat fabrik itu menyebabkan beliau perlu menghasilkan pakaian yang menyerlahkan lagi kedudukan fabrik itu, bukan menjatuhkan atau melindungi ia hingga kalah dek fabrik moden lain seperti renda dan sutera.

“Saya bakal mencetuskan kejutan, kerana lari daripada ‘trademark’ sebelum ini yang kerap tampil bersama gaun malam. Saya boleh menyifatkan kali ini ia akan lebih mengejutkan, atau mungkin juga di luar jangkaan.

“Saya akan menonjolkan rekaan yang mampu menyerlahkan ciri kewanitaan seperti potongan feminine, lebih kepada beralun, dengan penggunaan sutera sifon dan sedikit perincian seperti renda. Banyak bermain dengan rona pastel seperti merah jambu, biru dan kelabu, tetapi saya akan selitkan juga wana terang seperti merah hati dan merah terang untuk memberi ‘stage effect’,” katanya yang banyak menggunakan songket pada bahagian atas pakaian.

Hazwani bersama sembilan pereka lain terbabit dalam Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) anjuran Berita Harian yang akan berlangsung selama dua hari bermula 6 April depan di pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama dan Hotel One World, Petaling Jaya.


HAZWANI (dua dari kanan) dan empat pereka FFKL lain dibantu Jasleen Kaur daripada Euromoda, memilih kain bersesuaian.

Selain Hazwani, sembilan pereka fesyen yang terbabit dalam FFKL ialah Nik Erwan Nik Roseli, Chandra Shegar, Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Hazwani Othman, Calvin Thoo, Amir Luqman, Aidawati Saidin, Nazreen Idris, Nik Erwan Roseli dan Zery Zamry.

Antara penenun yang terbabit dalam FFKL ialah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnah Songket, Zaidah Songket, Atikah Songket TTDI dan Nur Atikah Songket. Acara itu mendapat tajaan daripada Secret untuk solekan dan dandanan artis serta peragawati, Euro Moda menaja fabrik, manakala R&R Craft, Fruitale dan Leesa Formula, penaja cenderamata.

Sambil memuji usaha Berita Harian itu, Hazwani berkata FFKL, terlalu amat besar ertinya kepada pereka dan penenun dalam industri fesyen tanah air. Malah menjadi tanggungjawab pereka membawa songket ke peringkat lebih tinggi menerusi rekaan yang lebih ‘terhormat’ sesuai dengan martabat fabrik itu, supaya orang luar yang menyaksikannya akan faham mengenai apa yang dipaparkan.

“Rekaan yang terlalu kasual, mudah, seksi atau yang boleh dipakai seharian seperti seluar pendek atau sendat, bagaikan ‘menjatuhkan’ martabat fabrik diraja itu. Saya lebih setuju sekiranya pakaian yang menggunakan fabrik songket diketengahkan untuk acara tertentu saja seperti rasmi, berprestij dan dihormati.

“Besar harapan saya ia mampu menjadi landasan kepada pelbagai pihak untuk terus memartabatkan fabrik tempatan. Pada masa sama saya berharap ia menjadi titik tolak kepada bangsa kita sendiri untuk melihat fabrik tempatan dihargai, malah menjadi pilihan untuk digayakan atas permaidani merah dan tidak lagi terlalu mengagung-agungkan buah tangan Eropah,” katanya.

Sungguhpun menghasilkan busana menggunakan songket bukan asing baginya, malah pernah beberapa kali terbabit dalam rekaan fesyen yang memerlukan penggunaan songket beberapa tahun lalu, beliau seakan tidak sabar melihat reaksi orang ramai terhadap acara ini, pada masa sama menyaksikan pereka muda dengan buah tangan masing-masing.

“Kerjasama antara pereka, penenun dan pihak media ini dijangka mampu memberikan kejutan yang mendatangkan kebaikan kepada banyak pihak,” katanya.

INFO

Hazwani Osman

Umur: 27 tahun

Asal: Perak

Kelulusan:

Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam.

Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) UiTM Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Pakaian Terbaik Lelaki (Ijoy) Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007

Finalis top 20 Mifa 2006

Finalis Trofi Pesona Pengantin 2005

Finalis Jusco Young Designer 2003

Mereka pakaian selebriti seperti Nasha Aziz, Mawi, Fazura, Fara Fauzana, Faizal Tahir, Fazli Zainal, Mila, Diddy AF, Dafi, Awal Ashaari, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Berita Harian

Leave a comment