Archive | Tiara Jacquelina RSS feed for this section

Belasungkawa Hani Mohsin – Semuanya Demi Karmila

30 Jul

“Aku hidup untuk Karmila. Aku tak ada siapa-siapa. Nasib baik ada Karmila.” Itu antara yang diluahkan semasa saya dan Hani Mohsin menginap di bilik 214 Hotel Seri Malaysia Kuantan 30 Jun dan 1 Julai lalu. Hani Karmila adalah anak tunggal Mohsin dengan bekas isterinya, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Rasa terleka tatkala dia melukiskan kemanjaan dan keletahnya Karmila yang berusia sembilan tahun itu. Ternyata Karmila sangat membahagiakan dan Karmila tidak pernah lekang dari ingatan. Demikian kasih sayang yang tidak terucapkan daripada seorang ayah kepada anak tunggalnya.

Mohsin adalah anak tunggal yang kematian kedua-dua orang tuanya. Sekalipun Mohsin seorang selebriti popular tetapi di sisi lain hidupnya penuh sepi. Kesepian itu cuma terusir apabila tiba giliran Karmila bermalam di rumahnya di Bukit Antarabangsa.

Saya mendengar dengan tekun tentang Karmila, tentang ibu, tentang ayah yang telah tiada dan tentang hidupnya yang kosong. Mohsin lelaki bersemangat kuat meneruskan hidup sekalipun orang-orang yang rapat dengannya telah tiada.

Pemergian ibu secara tiba-tiba menyentak sebahagian daripada jiwanya. Berbulan lamanya dia tidak berupaya melihat sofa yang sering diduduki ibunya kerana seakan-akan ibu masih di situ.

Karmila adalah satu-satunya zuriat yang menjadi permata hati. Saya cuba berada di tempatnya. Dan tidak bertanya apa-apa, cuma menjadi pendengar yang setia. Ada kata-kata yang tersekat di kerongkong apabila bercakap tentang ibu dan ayahnya. Pantas pula saya mengalih bicara.

Selasa lalu Mohsin juga telah tiada. Allahyarham pergi dihantar sendiri oleh permata hatinya di terminal terakhir sebuah kehidupan. Simboliknya keberangkatan untuk kembali ke kampung halaman di Perlis, tempat Allahyarham dilahirkan. Kita tentu dapat membayangkan kegembiraan Allahyarham apabila berpeluang untuk bercuti bersama Karmila di rumah ibu saudara sebelah ibunya di Perlis. Kemudian mereka merencana meneruskan perjalanan ke Langkawi. Tetapi semuanya tidak kesampaian apabila saat keberangkatan telah tiba.

Allahyarham Mohsin jatuh dan meninggal dunia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di KLIA pada usia 41 tahun. Segera ingatan saya tercampak pada 30 Jun lalu, saya dan Allahyarham diundang memberi ceramah penulisan drama radio di Taman Budaya Negeri Pahang.

Turut sama ialah rakan-rakan dari Unit Drama Radio RTM; Zuraidah Mohd. Noh, Muhamad Ibrahim, Rahman Ismail, Fauziah Sidek, Bandung Lihya (pelajar UMS) dan Azizah Ariffin (pelajar UMS).

Penglibatan Allahyarham dalam bengkel itu secara percuma. Tidak ada bayaran apa-apa, cuma disediakan tempat penginapan sedangkan dua hari bagi selebriti seperti Mohsin adalah suatu yang bernilai.

“Semua ini amal jariah aku untuk orang ingat bila aku tak ada lagi,” demikian jawab Allahyarham apabila ditanya komitmen secara percuma dalam program itu.

Mungkin ada yang terkejut selebriti popular seperti Allahyarham juga tetap menerima undangan berlakon drama radio sekiranya tidak bertindih dengan jadual rakaman Roda Impian di Astro. Tentulah bukan bayaran yang menjadi faktornya.

“Kami di Unit Drama Radio RTM sangat senang bekerja dengan Allahyarham. Kalau dia lapang, mesti tak tolak berlakon drama radio sekalipun bayarannya kecil,” demikian kata Pemangku Pengawal Unit Drama Radio RTM, Zuraidah Mohd. Noh.

Zuraidah menambah, berita pilu pagi Selasa itu seolah-olah menandakan dia dan rakan-rakan kehilangan seorang rakan yang banyak memberikan kerjasama selama ini.

Semasa kami berbual hingga larut malam di Seri Malaysia, Kuantan, Allahyarham memuji dan sangat menghargai bekas isterinya, Tiara. Bagi Allahyarham, Tiara yang banyak membantu menjaga Karmila apabila Allahyarham sibuk dengan rakaman dan penggambaran di luar Kuala Lumpur.

“Karmila tak hilang ayah dan ibu. Aku baik dengan Tiara. Aku pun baik dengan Datuk (Datuk Seri Affendi Norwawi). Itulah kebahagiaan aku,” kata Allahyarham. Kami sudah kenal pada penghujung 80-an lagi tapi jarang berjumpa. Cuma bertanya khabar menerusi telefon saja.

Saya pula tidak pernah bertanya tentang hal-hal peribadinya, bimbang Allahyarham berasa terpaksa menjawab benda yang tak perlu dijawab. Kisah Allahyarham dengan Serina yang akhirnya putus di tengah jalan apabila mendapat tentangan di sebelah Serina heboh diperkatakan. Tetapi tidak sampai hati untuk bertanya.

Allahyarham seorang yang sangat terbuka dan pintar menguruskan kerjaya. Malah Allahyarham menerima dengan senang hati sekalipun saya berkata, “Lakonan kau dalam drama itu buruk sangatlah.”

Azamnya besar dan hidup dalam lingkaran gemerlapan sama sekali tidak pernah melekakan. Allahyarham mahu lebih dikenali sebagai usahawan daripada artis popular menerusi syarikatnya Imagine Pictures.

Selain menerima tawaran menjadi pengacara program Roda Impian di Astro, Allahyarham mencuri masa untuk membangunkan syarikat penerbitannya. Terbaru sekali Imagine Pictures selesai membuat penggambaran program dokumentari memperkenalkan tempat-tempat menarik dan unik untuk RTM.

“Mohsin hebat sekarang kerana gigih. Kami pernah berkongsi mi segera masa di UiTM. Selepas masing-masing keluar UiTM, berjumpa pula dalam busines buat drama,” beritahu ahli perniagaan Datuk Meswan Dol ketika ditemui semasa menziarahi jenazah Allahyarham Selasa lalu.

Beratus-ratus orang yang terdiri daripada pelakon dan mereka yang terlibat dalam bidang produksi membanjiri rumah Allahyarham. Boleh dikatakan hampir semua pelakon bermula yang paling veteran seperti Datuk Jins Shamsudin dan Datuk Mustapha Maarof hinggalah pelakon-pelakon baru yang mengenali Allahyarham.

Allahyarham telah menyambut hari lahir terakhirnya pada 18 Jun lalu dalam suasana yang sangat membahagiakan. Kata Allahyarham; “Karmila buat suprise party, disuruhnya aku berkurung di bilik atas. Bila aku turun aku hampir menitis air mata tengok Karmila dengan kek hari lahir. Tiara dengan Datuk pun ada juga.”

Nama Hani Mohsin yang sedikit unik itu mulai bertebaran popularnya selepas berlakon filem period Jimi Asmara (1988) arahan Erma Fatima. Dalam filem bersandarkan zaman 50-an itu, Allahyarham mendukungi watak Jimi Asmara penyanyi yang dimangsai transisi muzik pop yeh-yeh.

Watak Jimi Asmara benar-benar melonjakkan nama Allahyarham malah kelihatan begitu karismatik untuk seorang pelakon baru sepertinya. Erma bijak menyusuri kewibawaan pelakon baru ini untuk menggalas watak yang seberat itu.

Allahyarham tidak hanya di layar perak atau di kaca televisyen. Potensi menguji dan mempertajamkan lakonan di pentas teater juga tidak dipersia-siakan. Lakonannya dalam Perempuan Seorang Leftenan Inggeris arahan Zakaria Ariffin juga memancarkan kecemerlangan.

Allahyarham tidak pernah kontroversi kecuali cerita percintaannya dengan Serina. Yang lain tidak ada malah perceraian dengan Tiara juga berlangsung dalam suasana yang sangat harmoni. Tidak pernah berdesir cerita-cerita belakang tabir tentang sikap-sikapnya yang kurang enak.

Pada malam 2 Julai lalu tatkala menghantar Allahyarham pulang ke rumahnya, beria-ia menyuruh masuk ke rumahnya. Terasa hening dan sepi, ruang tamu terpamer gambar-gambar ibu, ayah dan Karmila.

Ketika menghantar ke pintu pagar, Allahyarham secara bergurau tapi kelihatan sungguh-sungguh meminta saya menulis tentangnya. Selama ini saya sekalipun tidak pernah menulis tentang kerjayanya.

“Kau tulislah. Sekalipun cukuplah,” saya diam tatkala mata kami bertemu di samar senja Bukit Antarabangsa. Dalam hati memang berjanji akan menulis tentang kegigihan Allahyarham; sebagai pelakon dan produser program televisyen.

Pandangan Allahyarham menghantar saya dan rakan-rakan RTM hingga kami hilang di sebalik simpang. Selasa lalu suasananya berbeza, ruang tamu dibasahi dengan ayat-ayat suci dan wajah-wajah suram menandakan ini satu kehilangan.

Kepada Karmila; biarpun jasad telah jauh dibatasi bumi namun kasih sayang Allahyarham kepada anda tidak pernah terkuburkan.

Tanpa disangka belasungkawa ini telah menjadi tulisan saya yang pertama tentang Allahyarham. Janji ditunaikan tetapi tetap rasa terhutang.

ῖ KU SEMAN

Powered by Utusan Malaysia

Guru Vokal – Hazami, Syafinaz & Juliza Adlizan

28 Feb

Oleh ABD. AZIZ ITAR

Siapakah guru vokal yang paling hebat antara Juliza Adlizan, Hazami dan Syafinaz?.

TIGA guru vokal yang paling popular masa kini ialah Hazami, Syafinaz dan Juliza Adlizan. Dengan latar belakang mereka sebagai penyanyi di samping kelulusan dalam bidang vokal, nyatalah mereka bukan sahaja dikagumi sebagai penyanyi malah kemampuan mereka sebagai guru vokal tidak perlu dipertikaikan lagi.

Walaupun kehebatan mereka sebagai guru vokal jarang diperkatakan tetapi dalam diam, sebenarnya ramai di kalangan penyanyi di Malaysia berguru dengan mereka.

Siapa sangka Ning Baizura, Fazley, Camelia, Jeslina Hashim, Ezlynn dan Noreen adalah di antara penyanyi yang pernah mengikuti kelas vokal yang dikendalikan oleh tiga penyanyi ini di samping anak-anak remaja yang meminati bidang seni.

Dengan bayaran perkhidmatan yang ditentukan, guru-guru vokal glamor ini menaburkan bakti bagi membantu para pelajar mereka memantapkan suara untuk menjadi penyanyi yang dikagumi.

MEGA sempat bersua muka dengan tiga penyanyi itu untuk berkongsi kesibukan, pengalaman dan perancangan masa depan mereka dalam dua bidang tersebut iaitu sebagai guru vokal dan penyanyi popular.

Hazami jadi guru vokal pada umur 18 tahun

SEPULUH tahun lalu, Hazami mungkin tidak menyangka dia akan menjadikan bidang nyanyian sebagai kariernya, apatah lagi menjadi guru vokal.

Sejak dari kecil penyanyi berusia 31 tahun ini amat meminati dunia matematik dan fizik selain mempunyai ijazah dalam bidang Kejuruteraan Kreatif dari Brunel University, West London, United Kingdom (UK).

Bagaimanapun, minat dan kecenderungan kepada dunia seni suara menyebabkan Hazami melupakan ijazah yang dimilikinya itu.

“Semasa bersekolah dulu, saya cemerlang dalam mata pelajaran matematik dan fizik. Saya memang minat dengan dua subjek tersebut.

“Hinggakan sebelum tidur pada waktu malam saya akan belajar dan buat latihan matematik, kalau tidak saya susah hendak tidur.

“Pada masa yang sama, saya juga meminati muzik. Ketika itu abah saya sarankan supaya saya sambung belajar tetapi bukan dalam bidang muzik. Tetapi hari ini saya tidak sangka menjadi penyanyi,” kata Hazami mengimbas kenangan lamanya.

Menurut Hazami, dia sukar melupakan minatnya yang mendalam dalam bidang nyanyian meskipun mempunyai peluang kerja yang cerah dengan ijazah yang dimilikinya itu.

Bagi penyanyi bertubuh kecil ini, menyanyi banyak memberi kepuasan kepada dirinya selain mampu menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Saya memang suka menyanyi. Dengan menyanyi saya dapat kurangkan tekanan. Setiap hari saya akan berlatih menyanyi di rumah selama enam jam.

“Selain sebagai hobi, cara itu juga dapat mempertingkatkan lagi mutu vokal saya. Sebagai penyanyi, saya kena berlatih menyanyi setiap hari,” ujar Hazami.

Di samping menyanyi, Hazami yang popular dengan lagu Kata percaya kebolehannya sebagai guru vokal juga mendapat perhatian seiring dengan kejayaannya sebagai penyanyi.

Katanya, kelas vokal yang diikutinya sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Penang Free, Pulau Pinang banyak membantunya sebagai penyanyi dan guru vokal.

“Saya memang tidak ada pendidikan formal dalam bidang vokal tetapi saya pernah mengikuti kelas vokal di sekolah itu selama lima tahun sejak umur saya 13 tahun. Daripada situlah saya mendapat pendidikan awal dalam bidang vokal,” katanya.

Apa yang membanggakan, sebelum bergelar penyanyi lagi, Hazami sudah mencurahkan kemahirannya sebagai guru vokal.

Artis Warner Music ini mula bergelar guru vokal ketika berusia 18 tahun dengan menjadikan bidang itu sebagai kerja sambilannya.

“Cuma baru sekarang saya jadikan guru vokal sebagai salah karier saya. Bagaimanapun, buat masa ini saya kendalikan kelas vokal di rumah saya.

“Dalam tempoh enam bulan dari sekarang, saya merancang untuk membuka sebuah kelas vokal. Saya akan berkongsi dengan penyanyi Dia Fadila yang mungkin turut menjadi tenaga pengajarnya termasuk lima pekerja lain,’’ ujarnya.

Kesibukan menyanyi menyebabkan Hazami terpaksa membahagi-bahagikan masanya untuk dua bidang yang diceburinya itu iaitu sebagai penyanyi dan guru vokal.

Lantaran itu, buat masa ini anak kelima daripada tujuh beradik ini hanya mampu mengambil jumlah pelajar yang terhad bagi mendapatkan bimbingannya.

“Saya bukan sahaja mengambil dua tiga pelajar pada satu masa tetapi saya juga tidak mengenakan bayaran yang tinggi untuk yuran pelajar saya.

Kesedaran

“Biasanya saya mengehadkan dua tiga pelajar untuk satu sesi kelas vokal selama dua jam. Saya rasa bayaran yang saya kenakan berpatutan dengan jumlah waktu pembelajaran yang saya sediakan.

“Saya takut kalau letak yuran yang tinggi pelajar saya tidak mampu hendak bayar. Lagipun kesedaran orang ramai untuk mengikuti kelas vokal belum tinggi.

“Ramai orang terutama penyanyi yang menganggap mengikuti kelas vokal tidak penting dan mereka berpuas hati dengan mutu vokal yang ada,” kata Hazami.

Selama menjadi guru vokal sepenuh masa sejak lima tahun kebelakangan ini Hazami telah memberi bimbingan vokal kepada ramai pelajar termasuklah beberapa penyanyi yang sudah menempa nama.

Antara penyanyi yang pernah mendapat bimbingan kelas vokal Hazami ialah Ning Baizura, Fazley, Bienda, Farahdhiya, Elly Mazlein, Fazli Malaysian Idol, Nikki dan Yani.

“Walaupun saya mudah ketawa dan ramai pelajar itu adalah kawan saya tetapi saya amat serius semasa mengajar. Sebab itulah ramai pelajar kata saya seorang cikgu yang garang,” ujarnya lagi sambil ketawa.

Penyanyi yang telah menghasilkan dua album berjudul Tekad, Redha, Tabah (2003) dan Kata (2005) ini mempelawa individu yang berminat untuk menyertai kelas vokalnya supaya melayari laman web http://www.hazami.com.my.

Pelbagai maklumat untuk menyertai kelas vokal itu disertakan menerusi laman web itu termasuklah bayaran dan jadual kelas vokal penyanyi tersebut.

Juliza contohi Michael Jackson

SEBAGAI penyanyi dan guru vokal profesional, Juliza Adlizan banyak mengambil contoh kejayaan penyanyi bertaraf antarabangsa untuk memantapkan kariernya.

Menurut ibu kepada Amzar Mustazly, 18, Nur Addin Arif, 10, dan Julia Afrina Batrisyia, 6, dia amat menekankan betapa pentingnya penyanyi mempelajari teknik menyanyi dengan betul.

Menurut Juliza, setiap penyanyi perlu mempunyai guru vokalnya sendiri bagi memastikan mutu vokal mereka sentiasa disenangi oleh para peminat.

“Bagi saya, setiap penyanyi kena ada guru vokal sepanjang karier mereka menjadi penyanyi. Saya dapat tahu penyanyi berpengalaman seperti Michael Jackson juga ada guru vokalnya sendiri.

“Sampai sekarang Michael Jackson belajar vokal. Guru vokal penting kerana mereka ini boleh dianggap sebagai reminder yang akan menegur dan memperbetulkan kesilapan nyanyian kita,” ujarnya.

Menurut Juliza, dia amat menekankan soal fokus terutama sewaktu mengendalikan kelas vokal.

Justeru, pemegang ijazah sarjana muda Muzik dan Persembahan Vocal dari Utah State University, Amerika Syarikat ini tidak mengambil ramai pelajar dalam sesebuah kelas vokal yang dikendalikannya.

“Biasanya ada dua pelajar sahaja dalam kelas vokal untuk dua jam dalam satu-satu sesi yang saya kendalikan.

“Saya tidak mengambil ramai pelajar dalam sesuatu sesi kerana mahu memberikan tumpuan kepada pelajar tersebut.

“Ini kerana proses pembelajaran teknik vokal secara tidak langsung memerlukan saya mengenali perangai dan kecenderungan serta bakat pelajar saya.

“Jadi, dengan adanya pelajar yang terhad saya dapat memberi lebih banyak tumpuan. Saya rasa cara ini lebih berkesan.

“Apatah lagi pelajar saya terdiri daripada kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa yang mempunyai perangai berbeza,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kuda Hitam ini menetapkan harga bayaran yang berbeza mengikut kategori usia para pelajarnya.

Juliza mengenakan bayaran RM200 untuk pelajar berusia 15 tahun bagi sesi kelas dua jam dan RM240 selama dua jam untuk pelajar berusia 15 tahun ke atas.

Pelajar Juliza bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak, orang dewasa tetapi meliputi juga golongan artis.

Selain itu, Juliza tidak menggunakan khidmat pembantu sebaliknya dia mengajar sendiri semua pelajar yang mengikuti kelas vokal sejak tahun 1995.

Antara artis yang pernah mendapatkan khidmat kelas vokal Juliza ialah Datin Seri Tiara Jacquelina, Camelia, Deana Yusof, Anis Suraya, Amir (Ruffedge), Adam (BY’U), Jeslina Hashim, Azura Zainal dan ramai lagi.

Juliza yang mengendalikan kelas vokal menerusi syarikatnya, Tasmeen Entertainment Network, mengadakan dua sesi kelasnya dua kali sehari iaitu dari pukul 11 pagi hingga 1 petang dan dari pukul 4 petang hingga 6 petang.

Katanya, kelas vokal amat penting untuk diikuti oleh penyanyi bagi membolehkan mereka tampil dengan gaya suara yang tersendiri.

“Dengan mengikuti kelas vokal, seseorang penyanyi itu dapat mengetahui kelemahan dan kelebihan mutu vokal mereka.

“Sebagai tenaga pengajar pula saya dapat mengetahui potensi mutu suara mereka. Apabila semua faktor itu dapat dikenal pasti ia akan memudahkan kita melahirkan penyanyi yang mempunyai keunikan suara masing-masing.

“Saya kata begitu berdasarkan pengalaman saya sebagai penyanyi selama 22 tahun,” ujarnya dengan penuh yakin.

Syafinaz belajar vokal dengan Siti Chairani

WALAUPUN mempunyai mutu suara yang baik dan bergelar guru vokal, tetapi Syafinaz masih belum puas dengan kebolehan yang dimilikinya itu.

Sebaliknya, penyanyi berusia 33 tahun ini tidak jemu untuk terus mempelajari teknik-teknik vokal daripada guru vokal yang lebih berpengalaman daripadanya.

Pensyarah Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, sehingga kini dia masih mempelajari teknik vokal dengan guru vokal terkenal dari Indonesia, Siti Chairani Proehoeman.

“Biasanya setiap kali Siti Chairani berkunjung ke Kuala Lumpur saya akan berjumpanya untuk mempelajari teknik-teknik vokal dengannya.

“Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari. Bagi saya, perlu ada orang (guru vokal) yang sentiasa mendengar dan membantu mempertingkatkan lagi mutu vokal saya.

“Dengan adanya guru vokal dia akan menegur apabila saya menyanyi dan memperbetulkan cara nyanyian saya supaya menjadi lebih baik,” katanya.

Antarabangsa

Selain Siti Chairani, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Ingin Bersamamu ini juga tidak pernah melepaskan peluang mengikuti kelas vokal yang diadakan oleh penyanyi ataupun guru vokal antarabangsa setiap kali ia diadakan di Malaysia.

“Saya biasa mengikuti program Master Class yang diadakan oleh guru vokal dari luar negara. Selain itu, saya juga pernah mengikuti kelas vokal yang diadakan di Istana Budaya,” ujarnya.

Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Muzik dari UiTM, Syafinaz mendapat kepercayaan untuk mengendalikan kelas vokal di beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini.

Selain mengajar kelas vokal di UiTM, penyanyi bergelar pensyarah vokal ini juga mencurahkan ilmunya di Jabatan Muzik, Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dan kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia.

“Saya mula menjadi guru vokal sejak 10 tahun lalu iaitu selepas menerima ijazah dalam bidang muzik dari UiTM, Shah Alam.

“Setakat ini saya mempunyai ratusan pelajar yang berusia dari tujuh tahun hinggalah orang dewasa. Malah beberapa penyanyi juga pernah belajar teknik vokal dengan saya, antaranya Ezlynn, Tiara Jacquelina, Noreen, Rozita Ezlynn dan ramai lagi,” katanya yang setiap hari berkejar ke sana ke mari untuk memenuhi kelas vokal yang dikendalikannya itu.

Setiap Isnin Syafinaz akan mengajar di UiTM manakala pada Khamis dan Jumaat di ASK. Sementara pada hari Selasa, Jumaat serta Ahad masanya diperuntukkan untuk kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia.

Kesibukan itu tidak membebankan Syafinaz. Sebaliknya dia gembira kerana dapat menyumbang bakti demi kemajuan bidang seni suara tempatan.

“Kalau hendak diikutkan memanglah penat terkejar ke sana ke mari tetapi saya rasa puas dengan kerjaya saya ini.

“Banyak cabaran mendidik orang untuk menjadi penyanyi kerana kebanyakan pelajar saya tidak faham dengan konsep pembelajaran teknik vokal.

“Ini kerana subjek ini kita tidak nampak instrumennya dan ia hanya berbekalkan kepada suara, sistem pernafasan dan anatomi badan,” jelasnya.

Kesibukannya sebagai penyanyi dan pensyarah vokal menyebabkan Syafinaz tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan soal jodoh.

“Kalau hendak diikutkan, jangankan hendak fikir fasal orang lain (teman hidup), hendak fikir fasal diri sendiri pun tidak ada masa,” katanya sambil ketawa.

Dalam kesibukan mengajar, Syafinaz tidak pernah melupakan bidang nyanyian yang amat diminatinya.

Justeru, setiap kali menerima undangan mengadakan persembahan Syafinaz jarang menghampakan permintaan pihak penganjur.

“Saya sudah mula menyanyi sejak umur sembilan tahun dan diberi peluang merakamkan album pertama ketika berusia 16 tahun menerusi album berjudul Syafinaz dan album kedua berjudul Ingin Bersamamu.

“Selepas 24 tahun menyanyi, bukan mudah untuk saya melupakan bidang yang amat saya minati. Saya merancang untuk merakamkan album terbaru selepas lima tahun tidak buat album baru,” katanya yang muncul menerusi album ketiga Syyy!… pada tahun 2000.

Powered by Utusan Malaysia