Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Solekan Reiza Amour (012-3208530)
Pakaian I Nee By Melson (012-3819726)
TANPA diduga, gadis yang memiliki raut wajah manja dan cantik ini rupanya begitu petah berbahasa Melayu dan Inggeris ketika membincangkan masa depan dan kerjayanya, membuatkan beliau kelihatan lebih matang daripada usianya.
Sesi fotografi yang diaturkan Sabtu lalu di studio Utusan berjalan lancar dengan kehadiran Lisa Surihani Mohamed, 22 tepat seperti masa yang dijanjikan. Dengan gaya ringkas dan bersahaja, Lisa kelihatan memiliki kecantikan semula jadi tanpa calitan solekan.
Walaupun rekaan busana yang dibawa oleh pereka, Melson tidak bertepatan dengan imej Lisa yang gemar berpakaian sopan dan ringkas, namun pelakon muda ini tetap memakainya agar tidak menghampakan permintaan pereka.
Ternyata personaliti Lisa tampak sederhana dan rendah diri.
Begitulah sikapnya yang sentiasa menghargai orang lain dan membuatkan orang sekelilingnya selesa berbicara dengannya. Tema wanita elegan serta jelita dan ala-ala Inggeris ketika sesi fotografi itu seakan serasi dengan penampilan Lisa.
Kebetulan kulitnya cerah ditambah dengan tata rias wajah yang jelita.
Sekilas pandang, wajahnya sekan-akan iras pelakon Diana Danielle. Namun, Lisa memiliki kejelitaan dan perwatakan yang tersendiri.
Teringat satu artikel yang ditulis oleh seorang rakan penulis pada 13 Ogos tahun lalu, yang menyebut, “Lisa Surihani heroin baru filem Melayu”. Mungkin betul kata rakan penulis kerana selain rupa, Lisa memiliki bakat dan ilmu.
Apatah lagi Lisa berjaya menggondol Anugerah Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM 21) baru-baru ini. Mungkin Lisa akan menjadi heroin baru pilihan pengeluar filem tempatan dan menjadi rebutan suatu hari nanti.
“Saya menganggap itu sebagai rezeki dan satu tekanan yang positif. Saya masih baru dalam bidang ini dan banyak lagi yang perlu saya pelajari,” ujarnya.
Lisa sebenarnya terkejut dan pada pendapatnya, kemenangan ini bukan bermakna dia sudah mampu berdiri setaraf dengan pelakon popular lain. Baginya, kemenangan ini merupakan pembakar semangat untuk dia terus maju dalam bidang ini.
“Saya sedar saya pelakon baru. Saya tidak langsung menjangkakan kemenangan ini. Saya amat berterima kasih kepada keluarga, MIG, pihak media dan Pierre Andre. Tidak lupa kepada pereka baju saya pada malam FFM 21, Nik Erwan ,” katanya.
Lisa, pendatang baru dalam dunia lakonan mengenepikan Julia Ziegler (Kayangan), Mas Muharni (Wayang), Avaa Vanja (Kala Malam Bulan Mengambang) dan Diana Rafar (Susuk).
Walaupun menerima ijazah luar negara, Lisa sebenarnya lebih memuja artis tempatan sebagai idola lakonannya seperti Rosyam Nor, Farid Kamil, Vanidah Imran dan Sharifah Amani .
Sentiasa ditemani ibu, Siti Amira Ahmad, 58, Lisa baru sahaja menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom.
l Bakal jadi peguam
Ditanya tentang perancangannya selepas ini sama ada memilih bidang lakonan atau peguam, Lisa memberitahu minatnya terhadap kedua-dua bidang ini sangat mendalam.
Sementara menanti keputusan melakukan Certificate of Legal Practice (CLP), dia mahu memanfaatkan masa dengan mengembangkan bakat seni yang ada dalam dirinya.
“Saya memang nak amalkan apa yang saya belajar. Saya merancang untuk mengambil kursus CLP hujung tahun ini. Ikutkan saya memang hendak buat kedua-dua bidang ini serentak,” jelasnya yang yang memang bercita-cita sebagai peguam.
Kini, segala jadual dalam bidang lakonan diatur oleh pihak MIG Production dan terbaru, Lisa sibuk di lokasi pengambaran Samarinda, Obsesi.
Walaupun masih digelar bintang baru dalam dunia perfileman, Lisa sebenarnya telah menceburi bidang ini sejak berusia 11 tahun dan ketika itu dia muncul dalam drama, Double. Dia kemudian melangkah setapak demi setapak dalam bidang hiburan ini sebagai model iklan, pengacaraan dan lakonan.
Jelas waktu itu, Lisa mula bijak mengatur jadual pembelajarannya dan dia sendiri tidak pernah hanyut dalam dunia glamor.
“Itu yang saya belajar untuk bijak memilih masa dan seperti lakonan saya dalam I’m Not Single, pengambaran dilakukan selepas tahun kedua dan ketika itu saya tidak mempunyai masalah membahagi masa antara pelajaran dan lakonan,” katanya yang kali terakhir muncul dalam telemovie, Goodbye Boys.
Selain itu, Lisa juga pernah mengacara program X-Fresh TV, Whoa! dan X-presi bersama Dafi AF5 dan akan muncul dalam sebuah telemovie, Anak Merdeka terbitan MIG yang akan disiar sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-51 nanti.
l cinta bidang lakonan
Berkisar soalan peribadi, Lisa mengakui dia sentiasa diajukan soalan tentang siapa di hatinya kini. Jelas di wajah gadis manis ini, dia kurang bersedia berkongsi rahsia hatinya berbanding perjalanan kariernya sekarang.
“Sekarang ini tumpuan saya hanya cinta terhadap bidang lakonan. Saya masih muda lagi dan buat masa ini saya lebih selesa berkawan dengan sesiapa sahaja. Saya ingin kerjaya saya lebih menonjol berbanding kisah peribadi dan buat masa kini, saya boleh katakan banyak benda yang perlu saya pelajari,” ungkapnya ringkas.
Serasi berlakon bersama Farid Kamil di lokasi pengambaran I’m Not Single dan hero-heroin ini kelihatan sepadan ketika menghadiri FFM 21 baru-baru ini, Lisa mengakui Farid seorang yang baik.
“Farid seorang yang berbakat. Saya bertuah dapat berlakon bersamanya dan kami bekerjasama dengan baik. Selain itu, bagi memudahkan kami menghayati watak masing-masing, kami saling berbincang,” jelasnya.
Mengakui dalam bidang ini dia perlu bersedia berhadapan dengan pelbagai gosip, Lisa lebih gemar mendiamkan diri.
“Dalam industri ini, kita tidak perlu melatah. Namun biarlah gosip itu terutamanya khabar angin tidak memalukan keluarga dan menjatuhkan maruah saya,” katanya yang gemar membaca, melayari Internet dan menonton wayang.
Utusan Malaysia