Archive | Ramli Sarip RSS feed for this section

Niskala Jelmaan Headwind

6 Dec

Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN

ANGGOTA NISKALA terdiri daripada (duduk dari kiri) Tapai, Rene dan Faizal.Belakang dari kiri, Bad dan Kudin.

Pasti masih ramai mengingati kumpulan Headwind yang terkenal sekitar tahun 80-an. Lagu-lagu seperti Cinta Si Camar Putih, Kita Serupa dan Berakhirnya Satu Percintaan merupakan antara lagu-lagu Headwind yang masih diminati sehingga kini.

Kini Headwind ditransformasi menerusi kumpulan Niskala. Kumpulan ini dianggotai oleh anggota-anggota Headwind iaitu Kudin, Bad, Faizal dan Tapai, cuma vokalisnya sahaja daripada orang baru iaitu Rene.

Menurut Kudin selaku ketua kumpulan Niskala, “Kita tak kekalkan nama Headwind kerana muzik mereka berbeza dengan kami. Nada memperdengarkan muzik yang mencerminkan budaya Melayu tradisional. Kita tampilkan jiwa Melayu.

“Lagipun nama Headwind cukup sinonim dengan Zainal Abidin. Bila sebut Headwind orang ingat dia. Jadi biarlah kami muncul dengan nama baru. Tapi sejujurnya, Niskala merupakan kesinambungan kepada Headwind,” katanya.

Memeriahkan industri seni tempatan, Niskala kini muncul dengan album sulung berjudul Nada. Album itu, diharapkan Niskala, akan dapat menambahkan bilangan kumpulan-kumpulan muzik yang sedia ada dan memberi pilihan yang lebih luas kepada peminat-peminat muzik tempatan.

Album yang mengandungi 10 buah lagu antaranya Nada, Raungan Terakhir, Masih Di Sini, Lupa Diri dan Wanita ini mempunyai mesej-mesej tersendiri.

“Lagu Raungan Terakhir menceritakan seorang remaja yang sedang menanti hukuman mati. Kisah penderitaannya dipaparkan menerusi lagu itu,” kata Kudin ketika ditemui pada majlis pra-dengar album Nada di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Album Nada telah pun berada di pasaran dan diedarkan oleh Nature Records. Antara yang terlibat dalam pembikinan album ini ialah Sabri Yunus, S. Atan, Ramli Sarip dan Loloq.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Siapa Juara Bintang Klasik Nasional 2007?

3 Aug
FINALIS Bintang Klasik Nasional 2007. Barisan depan dari kiri: Mohd. Zaidi Zen, Muhaizam Ahmad, Muhaimin Azzahan, Mohamad Hasnul Hassan, Rahayudean Rahmat dan Fazrul Misran.Belakang dari kiri: Nadia Adha Mohd. Abid, Eliana Marfika Mokhtarudin, Fify Emelia Shazlin Murshaidi, Anis Salwa Alaluddin, Dayangku Nurul Fattihah Umi Qalthum Pengiran Zainal Abidin dan Nurliza Usup.

SERAMAI 12 peserta akan bertanding bagi merebut gelaran juara Bintang Klasik Nasional 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pukul 8.30 malam ini.

Pertandingan akhir yang disertai enam peserta lelaki dan enam peserta wanita dari zon timur, tengah, selatan, utara, Sarawak dan Sabah itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan Radio Klasik Nasional.

Pemenang bagi kategori lelaki dan wanita akan menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. Naib johan akan mendapat RM5,000, trofi dan sijil, tempat ketiga menerima RM3,000, trofi dan sijil sementara enam pemenang saguhati masing-masing akan mendapat RM1,000, trofi dan sijil.

Kesemua peserta akan mendendangkan lagu malar segar yang ditentukan oleh pihak RTM dengan iringan Orkestra RTM.

Sementara itu markah akan dinilai oleh juri profesional berdasarkan mutu suara (50 peratus), pengawalan suara (25 peratus) dan penghayatan (25 peratus).

Selain bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam nyanyian lagu-lagu lama, Bintang Klasik Nasional 2007 juga bertujuan untuk memberi pendekatan kepada rakyat tempatan agar menghargai khazanah lagu-lagu Melayu lama agar tidak pupus ditelan zaman.

Menariknya, juara lelaki dan wanita Bintang Klasik Nasional akan mewakili negara ke pertandingan akhir Bintang Klasik Nusantara 2007 yang melibatkan penyertaan juara dari Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.

Pertandingan akhir Bintang Klasik Nusantara 2007 akan diadakan pada 7 September depan di PWTC pukul 8.30 malam.

Pada malam ini juga beberapa penyanyi undangan akan tampil memeriahkan pertandingan akhir Bintang Klasik Nasional 2007. Mereka ialah Ramli Sarip, Kopratasa, Sofaz, Achik Spin, Siti Nordiana, Siti Sarah, Haziq, Bob dan Velvet.

Powered by Utusan Malaysia