Archive | Que Haidar RSS feed for this section

Buah Hati Baru Hattan?

22 Aug

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


JIWA rock dan kehidupan sosial bergelar artis tidak menjadi alasan buat Hattan menyahut seruan mengerjakan haji ketika tubuhnya masih berkudrat.

DUDA popular bernama Hattan ini tidak mampu mengelak apabila tampil bersama seorang gadis tinggi lampai pada majlis kesyukuran dan doa selamat penggambaran telemovie terbaru lakonannya, Hanya Aku di Rumah Pengasih, baru-baru ini.

Lirik matanya nakal saat dikerling para wartawan. Yang nyata, lelaki berusia 43 tahun ini arif benar dengan mata-mata yang memerhatikannya, terutama tatkala ada wanita cantik menemaninya ketika berpergian.

Sebelum bersama gadis yang dikatakan berasal dari daerah kelahirannya ini, Hattan pernah dikaitkan dengan beberapa nama popular seperti Farah Dhiya, Kat Mentor dan Siti Elizad.

Mengenali Hattan, dia bukan jenis yang gemar memberi jawapan no comment. Dengan selamba gadis yang tampil ayu berkebaya dan berkain batik ini diperkenalkannya sebagai Wawa.

“Kalau dalam ayat yang klise, kami sedang mengenali hati-budi masing,” beritahu penyanyi judul Memburu Rindu ini berseloroh.

Seperti biasa, dia tidak mahu terburu-buru bercerita lebih jauh atau apa sahaja berhubung soal hati dan perasaan. Kata Hattan, cukuplah sekadar dia bersikap terbuka dan mengakui bahawa gadis berusia 25 tahun yang baru dikenali sejak beberapa bulan itu sedang bertakhta sebagai ‘kawan’ di hatinya.

“Saya nak kenal dia lebih dalam lagi, sebab itulah saya ikhlas bawa dia bersama. Saja nak kenalkan dia dengan apa yang saya buat sekarang, tentang Rumah Pengasih, kami berkawan-kawan jelah bukannya bercinta-cinta,” ujar Hattan bertegas.

Sepanjang perbualan, anak lelakinya, Adam Iman tidak mahu berganjak dan sesekali mencelah tidak selesa ayahnya berkali-kali diasak persoalan yang serupa berulang-kali.

Faham benar keletah anak tunggalnya itu, Hattan menjelaskan, Wawa seorang gadis berpendidikan dan jika hubungan mereka bisa berpanjangan, Wawa boleh membantunya merealisasikan impian untuk membuka sebuah taska, satu hari kelak.

Tentang hubungan ini, tidak banyak yang boleh dikongsi bersama kerana apa yang bermula masih lagi terlalu awal untuk direncanakan.

Bakal bergelar Haji

Di sebalik kisah terbaru ini, Hattan sebenarnya ada perkhabaran manis yang pastinya menggembirakan semua.

Jika diizinkan Tuhan, hajat besar Hattan mahu mengerjakan haji ke Tanah Suci Mekah akan termakbul hujung tahun nanti.

“Buat masa ini saya masih menunggu jawapan rasmi. Saya difahamkan keputusan kuota haji akan dikeluarkan pihak Tabung Haji sekitar minggu ini atau minggu depan.

“Insya-Allah, kalau segala-galanya berjalan lancar, saya dan Adam akan berangkat ke Mekah pada 29 November nanti,” luah Hattan yang sebelum ini pernah sekali menunaikan umrah juga bersama anaknya, Adam sekitar pertengahan tahun, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai lakonannya sebagai Jamil menerusi telemovie Hanya Aku yang turut dibintangi oleh Que Haidar dan Sheila Rusly itu, Hattan mengakui, walaupun lakonan bukan fokus seninya, inilah kali pertama dia menikmati istilah puas terhadap apa yang telah dilakukan menerusi drama itu.

Jelas Hattan, sebelum ini perasaan yang sama pernah dirasainya menerusi filem Selubung, berbelas tahun lalu.

“Karakter Jamil beri banyak ruang untuk saya luahkan emosi yang selama ini tak ada dalam watak-watak yang pernah saya jayakan.

“Terus-terang saya katakan, saya terima tawaran berlakon drama ini bukan kerana duit tetapi kerana watak yang ditawarkan. Bekerja dengan JS Pictures juga satu pengalaman yang seronok dan saya sukakan cara mereka bekerja,” beritahu Hattan memuji produksi milik Azman Yahya atau Jinggo dan isterinya, Sheila Rusly.

Hanya Aku sebuah drama yang mengisahkan kehidupan para penagih yang tinggal di Rumah Pengasih meletakkan Hattan sebagai Jamil, penagih dadah yang sudah beristeri, lakonan Wan Norazlin.


ANAK dan wanita sememangnya dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dalam diari peribadi Hattan.

Sambil mengagumi keberkesanan lakonan Wan Norazlin yang lama menyepi dari bidang lakonan, Hattan menyifatkan keterlibatannya menerusi drama ini sebagai satu sumbangan totalnya terhadap masyarakat dalam usaha memerangi dadah secara habis-habisan.

“Kalau tak banyakpun, saya harap penonton akan dapat iktibar menerusi lakonan kami semua,” beritahu Hattan yang sebenarnya tidak sabar menanti kemunculan Hanya Aku yang dijadualkan ke udara di saluran Astro menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Kosmo

Sheila Rusly Takut Tua?

10 Jun

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

WANITA walaupun sudah berusia tidak dihalang untuk tampil menawan dan berkeyakinan, apatah lagi jika sudah bergelar artis. Hidup yang menjual bakat, nama dan karya seni, mahu tidak mahu, soal paras rupa antara agenda utama.

Ini yang menjadi prinsip penerbit dan selebriti popular yang bernama Sheila Rusly, walaupun usia sudah mencecah angka 37 tahun, dia harus berusaha untuk terus tampil menawan.

Bukan semata-mata untuk kepuasan peribadi tetapi keyakinan diri yang lebih utama.

“Di samping cara hidup sihat, penggunaan produk kecantikan yang tepat juga sangat membantu. Berada dalam karier seni begini, saya kena jaga penampilan,” kata Sheila yang sangat terkesan dengan produk antikedut yang sedang digunakannya ketika ini.

Adakah Sheila takut dengan usia tua sehinggakan bersungguh-sungguh mengambil produk kosmetik untuk membuang segala kedut di wajahnya.

“Usia memang tidak dapat dihalang, buat macam mana sekalipun, ia tidak akan berkurang. Sebenarnya, tiada jalan pintas untuk kelihatan cantik dan muda.

“Dan sebagai artis, saya harus sentiasa kelihatan menarik dan keyakinan saya sekarang bertambah dengan penggunaan produk ini,” jelas Sheila.

Bertindak sebagai jurucakap, walaupun bukan duta produk secara rasmi, Sheila menganggap, ini peluangnya untuk berkongsi awet muda yang diperolehi dengan rakan-rakan artis yang lain.

“Saya dah dua bulan mencuba produk ini dan ia berkesan pada saya. Jadi, saya mahu kawan-kawan seperti Sofea Jane, Mas Idayu, Melissa Saila dan Sharifah Shahora turut mencuba dan merasai kesannya,” kata Sheila yag ditemui di Mid Valley, baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, Emelda Rosnaida, Abby Abadi dan Dee Hasnan turut teruja mengikut jejak

SHEILA menunjukkan cara penggunaan produk antikedut ke wajah Sharifah Shahora.

Sheila untuk mengurangkan kedut-kedut pada wajah masing- masing.

“Kak Sheila, kaulah penyelamat hidupku,” luah kata Melissa sambil berseloroh.

“Masa remaja bermasalah dengan kulit berminyak, sekarang pula kulit makin mengecut. Saya memang pernah guna banyak produk kurangkan kedut sebelum ini, ada yang tidak berkesan dan ada berkesan tapi harganya pula yang buat saya tak tahan,” tambah aktres yang sedang sibuk menjayakan watak Norizan menerusi persembahan teater muzikal P. Ramlee The Musical ini penuh rasa lega.

Sambil menyokong pendapat Melissa, kata Sheila: “Nak buang kedut boleh tapi biarlah produk yang betul-betul halal dan tak memudaratkan.”

Sheila mahu JamalMenyentuh perkembangan lain, walaupun sudah bergelar hajah, Sheila terus aktif berlakon. Tambahan pula, JS Pictures, syarikat perkongsian dengan suaminya, Jinggo masih banyak perancangan untuk menghasilkan karya-karya bermutu sebagai satu bentuk pengisian kerohanian buat para penonton di Malaysia.

Baru selesai penggambaran siri, Ta’in 3T sebanyak 13 episod yang bakal disiarkan Ramadan nanti, Sheila dan Jinggo kini sedang dalam proses merealisasikan telemovie terbarunya, Hanya Aku yang mengisahkan kehidupan penghuni-penghuni di Rumah Pengasih.

“Telefilem yang dijadualkan siarannya pada hari raya puasa nanti ini akan menjadi lebih istimewa jika Jamal Abdillah sudi menerima lamaran saya. Dalam kepala saya, hanya ada nama dia dan perkara ini sudahpun dimaklumkan kepada pihak Rumah Pengasih.


ABBY ABADI (kiri), Emelda dan Shahora teruja dengan kesan serta-merta produk antikedut yang dicuba mereka.

“Secara peribadinya, saya tidak nampak ini satu masalah buat Jamal kerana saya percaya, dia sendiri mahu berkongsi erti kehidupannya dengan seluruh masyarakat,” kata Sheila yang telah mencuri perhatian ramai apabila drama lakonan dan terbitannya, Sebuah Ijtihad diangkat sebagai Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2007.

Selain nama besar seperti Jamal Abdillah, nama-nama lain yang dalam perhatian Sheila untuk projek hari rayanya ini adalah Que Haidar dan Fasha Sandha.

Tidak terhenti dengan agenda Ramadan dan hari raya, jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, JS Pictures juga sedang membuat penelitian untuk menggarap semula kisah rakyat, Anak Buluh Betung untuk dijadikan drama bersiri.

Untuk siri ini kelak, nama Eman Manan dan Fizz Fairuz sudah bermain di fikiran Sheila.

BERSAMA teman-teman artis serta kakitangan Beautybank di Mid Valley baru-baru ini.

Katanya, jika produksi Indonesia berjaya mengkomersialkan kisah rakyat milik orang Melayu, Bawang Putih Bawang Merah sehingga menjadi kegilaan ramai, tidak mustahil Anak Buluh Betung juga boleh diangkat menjadi sebuah drama bersiri kontemporari yang berjaya.

“Kalau bukan kita yang mengangkat legenda kita, siapa lagi. Saya harap pendekatan dan kerja-kerja yang telah dihasilkan JS Pictures selama ini dan akan datang, sedikit sebanyak dapat memberi impak kepada bentuk tontonan semua,” jelas Sheila berkeyakinan.

Kosmo

2008 Tahun Cerewet Eja

2 Apr

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

SELAMA 11 tahun, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja mendambakan diri di persada hiburan tanah air. Dalam tempoh itu, Eja mencuba pelbagai watak sama ada menjadi anak, isteri dan ibu. Semakin banyak berlakon, kian banyak pengalaman diraih dan hakikatnya, Eja lebih matang dalam lakonannya.

Meskipun pada satu-satu masa, wajah Eja kerap muncul dalam drama bersilih ganti namun dia masih bekerja keras untuk berjaya. Tahun ini, Eja kembali ke layar perak apabila mempertaruhkan tiga filem terbaru lakonannya iaitu Malaikat Maut, Sepi dan Janin.

Melalui ketiga-tiga filem itu, Eja memperlihatkan penghayatan yang berbeza dengan cabaran yang ditempuh. Dalam Malaikat Maut arahan Bade Azmi, Eja perlu berperang dengan emosi diri yang tertekan kesan kematian adiknya lakonan Que Haidar.

“Filem ini membawa tiga kisah berbeza yang berkembang dalam plotnya sendiri dan cerita saya bersama adik saya adalah satu daripada kisah yang ingin dikongsi bersama penonton. Sebagai kakak dalam filem ini, saya perlu menonjolkan perasaan tertekan, kecewa dan menyesal dalam diri.

“Kehidupan saya tertekan kerana adik saya terbabit dengan kumpulan Black Metal dan bertambah tidak terurus apabila adik kesayangan mati dalam satu kemalangan. Sebagai kakak, saya seperti tidak boleh menerima kenyataan itu dan rasa bersalah mula menghantui diri,” katanya.

Berbeza pula dengan pengarahan Khabir Bahtia menerusi Sepi, kali ini Eja kembali melakonkan watak isteri. Bergandingan bersama Tony Eusoff dan Riezman Khuzaimi, filem ini menjurus pada plot percintaan antara tiga pelakon utama ini.

“Saya melakonkan watak Marya iaitu isteri Zain (Riezman). Kehidupan kami pada mulanya bahagia sehingga isu anak menjadi persoalan. Perkahwinan kami semakin hambar kerana tidak dikurniakan zuriat.

“Lalu, saya berkongsi cerita dan luahan hati dengan seorang rakan lelaki iaitu Sufie (Tony). Dalam diam, kami menjalinkan hubungan cinta sebaliknya percintaan kami tidak kesampaian,” katanya.

Membezakan dua watak dalam dua filem berbeza, lakonan Eja diuji pula menerusi filem seram, Janin. Filem arahan Yeop Hitler ini mencipta watak baru buat Eja apabila dikaitkan dengan pembunuhan dan unsur mistik.

“Menariknya dalam filem ini, watak saya pada mulanya mempunyai perasaan cemburu terhadap suami. Suatu hari, ketika mengendap suami saya, secara tidak sengaja saya membunuh anak saya sendiri yang terjatuh dari sampan. Sejak kejadian itu, anak saya kembali menjadi hantu,” katanya.

Berdasarkan tiga filem terbaru tahun ini, kemunculan semula Eja ini sudah tentu menggembirakan peminatnya. Namun, di sebalik kegembiraan itu, ada perasaan yang terbuku dalam hati Eja. Katanya, dirinya mula berasa bosan dengan kebanyakan karakter yang pernah dibawa.

“Ada sedikit kebosanan dalam diri saya kerana asyik melakonkan karakter yang sama. Setiap kali tawaran berlakon yang saya terima, karakternya tidak lari daripada karakter yang saya lakonkan sebelum ini.

“Oleh itu, saya menetapkan matlamat 2008 untuk bersikap cerewet dalam memilih sesuatu watak yang ditawarkan. Bukan niat saya untuk merajuk tetapi saya terlebih dahulu akan meneliti setiap tawaran yang datang selepas ini.

“Dalam membuat pilihan, saya akan memberi fokus pada faktor watak penting yang dilakonkan, skrip, pengarah dan teknikal. Semua perkara itu penting untuk dinilai.

“Bagi saya, lebih senang jika saya tidak berlakon sekiranya tidak mendapat karakter yang sesuai. Jika boleh, saya mahukan karakter yang benar-benar menyentuh jiwa,” katanya.

Sebagai pelakon, Eja berpendapat skrip yang mengandungi plot penceritaan perlu diberi perhatian yang lebih serius kerana watak ditampilkan tidak dapat berdiri kuat andai skrip rapuh. Sejujurnya, pelakon berusia 36 tahun ini menyatakan dia belum puas dengan mutu lakonannya selama ini.

“Saya suka melihat pelakon senior seperti Eman Manan yang juga cerewet dalam berlakon. Biar dua hingga tiga bulan tidak berlakon tetapi apabila muncul semula, kita akan berasa puas. Walaupun bersikap selektif dalam setiap lakonan saya terima, saya tetap memberi komitmen sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Eja kini sibuk dengan penggambaran drama 26 episod, Wadi Unung arahan Raja Ahmad Alauddin dan pada awal Mei nanti, Eja juga terbabit dalam drama 26 episod terbitan RTM.

Dalam pada itu, buat pertama kali Eja dilantik duta produk kecantikan Forest Secret. Dilantik sejak November tahun lalu, Eja menandatangani kontrak selama setahun dengan produk tempatan itu. Sebelum ini Eja pernah menjadi model produk Nivea dan Clarins.

Profil:

Nama sebenar: Siti Shahrizah Saifuddin

Nama komersial: Eja

Tarikh lahir: 18 January 1972

Asal: Petaling Jaya, Selangor.

Status: Pelakon.

Drama: Demi Rahsia, Teduh Kabus, Salam Taj Mahal, Kiranya Ku Tahu, Takhta Hati, Rindu Semakin Jauh, Kalau Itu Takdirnya, Masih Ada Cinta, Wajah Kekasih, Mya Zara, Seputih Qaseh Ramadan, Sadiq & Co dan Wadi Unung.

Filem: Sara, Anak Mami The Movie, Bilut, Misi 1511, Kayangan, Malaikat Maut, Sepi dan Janin.

Powered by Harian Metro

Ramalan FFM19

12 Aug

Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

MAYA Karin dan Nanu dua pelakon utama Pontianak Harum Sundal Malam 2.

KEMUNCAK Festival Filem Malaysia Ke-19 2006 (FFM19 ) yang dinamakan Malam Anugerah bakal berlangsung gilang gemilang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam esok.

Debaran FFM19 semakin dirasai apabila tekaan nama pemenang mula menjadi sebutan. Namun filem manakah yang akan muncul sebagai Filem Terbaik 2006 daripada 23 judul filem cereka yang dipertandingkan?

Ramai yang meramalkan Pontianak Harum Sundal Malam 2 (PHSM2) dan Bilut akan bersaing bagi kategori Filem Terbaik.

Kedua-dua filem itu jauh meninggalkan filem lain apabila menguasai senarai calon lima terbaik di FFM19.

PHSM2 memperoleh 14 pencalonan manakala Bilut mengekori rapat dengan jumlah 13.

Calon filem terbaik mungkin condong kepada PHSM2 apabila dikatakan menjadi pilihan awal 35 orang juri walaupun terselit kelemahan kecil di sebalik ‘kekacauan penceritaan’. Tetapi dari segi arahan Suhaimi Baba, ceritanya masih kuat berbanding filem-filem lain.

Bilut pula menampilkan tema patriotik kuat yang jarang dipersembahkan kepada penonton sebelum ini. Subjek pembangunan tanah yang diketengahkan Bilut memang jelas walaupun perjalanan ceritanya tidak konsisten dan agak mendadak.

Gubra juga perlu diberi perhatian. Dari sudut subjek yang diketengahkan, Gubra setia dengan elemen cintanya yang kuat. Ia juga kelihatan hebat kerana gaya pengarahan Yasmin Ahmad yang bersahaja.

Kalau lima juri profesional (termasuk dua juri luar dari Taiwan dan Indonesia) terpikat dengan Gubra, jangan pula sampai wujud kontroversi seperti Sepet di festival lalu.

Dan jangan ketepikan Buli Balik kerana temanya yang menarik dan lari daripada topik biasa filem Melayu. Watak-watak utamanya berkembang dengan meyakinkan dan dikategorikan sebagai sebuah filem yang menarik.

Barangkali kontroversi hanya wujud jika Gol dan Gincu menjadi pilihan juri dan diangkat filem terbaik 2006. Hanya juri profesional yang mengenal manikam.

Sementara itu, senarai lima finalis bagi kategori utama – Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – sudah pun diketahui umum.

Apa yang menarik, nama pemenang memang sukar diramal. Namun tentu satu nama sahaja yang akan dipilih menerima anugerah pada malam esok bagi setiap kategori.

Anugerah Perdana FFM19 akan disiarkan secara langsung di Astro Ria dan Radio Sinar dari PWTC malam esok bermula pukul 8.30 malam.

Senarai Calon dan Ramalan

Pemenang Pilihan MEGA FFM19

Ramalan Filem Terbaik

Pontianak Harum Sundal Malam 2 (PHSM2)

Pengarah Terbaik

Afdlin Shauki – Buli Balik

Bade – Bilut

Yasmin Gubra – Gubra

Bernard Chauly – Gol Dan Gincu

Shuhaimi Baba – PHSM2

Ramalan MEGA: Afdlin Shauki

Pelakon Lelaki Terbaik

Afdlin Shauki – Buli Balik

Rosyam Nor – Bilut

Que Haidar – KL Menjerit

Hans Isaac – Pesona Non Grata

Rusdi Ramli – PHSM2

Ramalan MEGA: Rusdi Ramli atau

Rosyam Nor

Pelakon Wanita Terbaik

Eja – Bilut

Sharifah Armani – Gubra

Nur Fazura – Gol Dan Gincu

Erra Fazira – Pesona Non Grata

Maya Karin – PHSM2

Ramalan MEGA: Maya Karin

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

Harun Salim Bachik – Baik Punya Cilok

Hans Isaac – Buli Balik

Rusdi Ramli – Bilut

Que Haidar – Castello

Zul Huzaimy – Remp-It

Ramalan MEGA: Zul Huzaimy atau

Rusdi Ramli

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

Nor Khairiah – Gubra

Sazzy Falak – Gol Dan Gincu

Sharifah Sofia – Gong

Ida Nerina – PHSM2

Chelsia Ng – Salon

Ramalan MEGA: Sazzy Falak atau

Nor Khairiah

Pelakon Harapan Lelaki

Que Haidar – Castello

Que Haidar – KL Menjerit

Cat Farish – Remp-It

Mohd. Pierre Andre – Salon

Nicholas Teo – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Que Haidar

Pelakon Harapan Wanita

Liyana Jasmy – Castello

Juliana Ibrahim – Gubra

Sazzy Falak – Gol Dan Gincu

Raja Farah – Salon

Carmen Soo – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Liyana Jasmy, Sazzy Falak atau Carmen Soo

Pelakon Kanak-Kanak

Hafizu Din Hamza – Bilut

Mohd. Shahraen – Gong

N.Adruce N.Adelin – Tipah Tertipu The Movie

Ramalan MEGA: Hafizu Din Hamza

Lakon Layar

Afdlin Shauki – Buli Balik

Yasmin Ahmad – Gubra

Rafidah Abdullah – Gol Dan Gincu

Mamat Khalid – Man Laksa

Shuhaimi/ Haslina – PHSM2

Ramalan MEGA: Rafidah Abdullah

Cerita Asal

Afdlin – Baik Punya Cilok

Yusof Noor – Bilut

Yasmin Ahmad – Gubra

Mamat Khalid – Man Laksa

Shuhaimi Baba – PHSM2

Ramalan MEGA: Afdlin Shauki

Sinematografi

R. Mukhris – Bilut

Keong Low – Gubra

D.Raghavan – Gong

M.Filus – PHSM2

Hor Chee Leong – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Hor Chee Leong

Penyunting

Sukhdev Singh – Baik Punya Cilok

Bade – Bilut

Bade – Castello

R.Affandi – Gubra

Kamaruddin Abu – PHSM2

Ramalan MEGA: Kamaruddin Abu

Skor Muzik

Afdlin/Ahmad F – Baik Punya Cilok

Khoo Fok Sin – Bilut

Hardesh Singh – Gubra

Megat Azura – Persona Non Grata

Shamsul Cairel – PHSM2

Ramalan MEGA: Afdlin/Ahmad F

Penataan Seni

Azwan A – Bilut

Rosnah K – Gubra

Kamarul Nizam – PHSM2

Hor Kam L – The 3rd Generation

Mazlan AL – Gong

Ramalan MEGA: Kamarul Nizam

Penataan Bunyi

Azman A – Bilut

Azman AH – Castello

Azman A. Hassan – KL Menjerit

Ashley Ibrahim – PHSM2

Ng Kang Wei – Remp-It

Pilihan MEGA: Ng Kang Wei

Lagu Tema

Afdlin – Baik Punya Cilok

Semalam – Bilut

Sesat Dalam Gelap – Castello

Teruja – Gol Dan Gincu

Ku Seru – PHSM2

Ramalan MEGA: Ku Seru

Busana

Izzat – Art Bilut

Izzat – Art Gol Dan Gincu

Dee Hasnan – PHSM2

Hatim – Thai Rock

Eric Cheong – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Hatim Thai

Poster Terbaik

X – Gubra

Red Film – Gol Dan Gincu

Sendosh – Gong

Pesona Picture – PHSM2

Blackbox Pic – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Pesona Picture

Powered by Utusan Malaysia