Archive | Noraniza Idris RSS feed for this section

Belum Bertudung

13 Apr

RAMAI yang teruja apabila si cantik berusia 23 tahun ini bergaya dengan tudung, menutup aurat seorang perempuan muslim. Mereka menyangka Farah Diana Anuar yang lebih dikenali sebagai Farah sudah berganjak daripada fasa lama kehidupannya menjadi seorang muslimah sejati mengikut langkah Datin Seri Siti Nurhaliza juga Noraniza Idris.

Realitinya, beritahu pemenang tempat kedua Akademi Fantasia 2 (AF2) ini, tindakan bertudung diambil kerana menghormati program yang dikendalikannya iaitu Rasa Halal Orien untuk saluran Astro Oasis yang bakal disiarkan bermula 18 April depan.

Menjadi perantara kepada program masakan 13 episod yang mengambil lokasi di Xia, China ini dengan penampilan bertudung, jelas Farah: “Sebenarnya saya masih belum bertudung. Saya hanya bertudung untuk menghormati program itu.

“Namun siapa tahu, mungkin ini langkah awal saya yang bakal bertudung juga. Saya berharap peminat tidak salah faham, kerana hakikatnya saya memang belum bertudung. Sama-sama kita berdoa agar hati saya terbuka dan mahu segera bertudung.”

Tidak melihat ia sebagai satu beban, Farah kini bersedia kembali memanaskan gelanggang nyanyian apabila album keduanya, 9 Langkah yang diterbitkan bersama oleh Ajai, Aidit, Alim Razman, akan dipasarkan sekitar bulan ini.

Makanan

Hari-hari saya makan. Saya gemar makanan terutama dari utara seperti mihun sup dan laksa. Satu ketika dahulu, saya pernah berdiet untuk mendapatkan bentuk badan yang sesuai usia. Walaupun berdiet saya tetap wajib makan nasi kerana tanpa nasi, saya tidak mempunyai tenaga untuk menyanyi.

Tapi saya ambil dalam kuantiti yang sikit. Namun sekarang saya tidak lagi berdiet. Saya makan apa yang saya suka, hanya saya kontrol supaya tidak makan secara berlebihan.

Jenama

Saya bukan orang yang gilakan jenama dan tidak mengajar diri untuk membeli barang-barang berjenama. Pun, saya akui, sebagai selebirti tak salah jika punya barang berjenama, sekurang-kurangnya sebuah beg tangan, sebagai hadiah penat bekerja.

Cuma jangan sampai ketagih kerana pada saya, masih ada benda yang lebih penting daripada jenama yang harus difikirkan. Jenama pertama yang saya beli Guess. Sekarang mula meminati Coach.

Politik

Suka tengok orang politik berucap, gaya mereka bercakap dan perkataan-perkataan baru yang mereka ucapkan. Saya mula ambil tahu hal politik bermula era Tun Dr. Mahathir Mohamad lagi. Tetapi saya akui, saya tidak mengikut hal politik terlalu dalam.

Namun apa yang pasti politik amat penting kepada sesebuah negara. Saya bersyukur menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai politik yang stabil sehingga membolehkan semua rakyat hidup aman. Itu penting.

Malam

Kalau sebut pasal malam, saya teringat kepada lagu Shades. Saya bukan gadis yang mengagumi malam dengan mengira bintang di langit. Tapi saya akan pastikan menjadi orang yang tidak terlepas melihat gerhana bulan. Dulu, saya tunggu hari Jumaat sebab nak pergi pasar malam dengan kawan-kawan.

Peluang

Semenjak masuk AF, saya dapat banyak peluang dan kesempatan dan saya tak terlintas di fikiran. Saya dapat peluang jadi duta produk, ada album sendiri dan dilayan dengan baik. Jadi saya harus menghargai peluang yang ada dalam kehidupan.

Powered by Kosmo

Advertisements