Archive | Ning Baizura RSS feed for this section

Pak Engku Makin Laku

8 Sep

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
TERKENAL dengan masakan Melayu, nama Raja Rosly Raja Mazlan atau lebih popular dengan panggilan Pak Engku bukan asing dalam persada seni hiburan tanah air. Malah di kalangan artis, Pak Engku dikenali ramai kerana keenakan masakan yang dipersembahkan hingga menerima banyak tempahan untuk acara kenamaan, majlis perkahwinan mahupun berbuka puasa.

Pak Engku yang menguruskan perniagaan Kuzie Catering selama 15 tahun kini mampu berbangga dengan pencapaiannya dalam bidang masakan. Digelar chef selebriti, Pak Engku sebelum ini terbabit dalam pelbagai acara seperti majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza bersama Datuk Khalid Mohd Jiwa dan turut menganjurkan Konsert Seroja Bersama Mawi yang diadakan dua tahun lalu.

Dalam majlis perkahwinan penyanyi popular Ning Baizura bersama Omar Sharif Christopher Layton Dalton pada 2 Februari lalu, Pak Engku juga bertanggungjawab menyediakan masakan kampung kepada tetamu. Bagi mereka yang pernah menikmati masakan Pak Engku pasti mengetahui betapa istimewa sajian Melayu yang diperkatakan ramai.

Namun, ketibaan Ramadan pada tahun ini tidak menutup rezeki sebaliknya Pak Engku masih sibuk memenuhi tempahan majlis berbuka puasa. Malah sebelum Ramadan menjelang, pada 12 Ogos lalu, Pak Engku terbabit dalam penyediaan jamuan Aidilfitri sempena rakaman program TV, Teratak Siti Nurhaliza yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Pada kesempatan bulan mulia ini, Pak Engku tidak melupakan tanggungjawab untuk bersedekah apabila mengadakan majlis berbuka puasa bersama artis, pihak media dan anak yatim. Dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Wisma PKPS, Persiaran Perbandaran, Shah Alam Selangor, baru-baru ini, Pak Engku meraikan lebih 500 tetamu yang hadir di samping pelbagai aneka masakan Melayu yang lazat.

“Sejak awal Ramadan, sambutan yang diterima daripada pengunjung begitu menggalakkan. Sudah tentu aneka masakan Melayu menjadi tarikan kepada pengunjung yang mahu merasai masakan dari hidangan lauk-pauk hingga kuih-muih tradisional.

“Di sini, pengunjung berpeluang merasai keenakan masakan Kuzie Catering seperti kuih lopes, apam balik, mi rebus Kuala Langat, laksa Sabak Bernam, gulai daging kawah dan tiga jenis asam pedas yang tentu membangkitkan selera.

“Sebagai anak jati Selangor dari Kampung Batu Laut, Kuala Langat, saya berbangga untuk menggunakan nama tempat di Selangor sebagai nama masakan saya. Kepelbagaian resipi dalam masakan Melayu ini menjadi keistimewaan kepada pengunjung.

“Walaupun Ramadan, saya tetap menerima banyak tempahan untuk majlis berbuka puasa termasuk jamuan Aidilfitri nanti,” katanya.

Pak Engku, 48, menyatakan populariti masakannya hadir daripada resipi kedua ibu bapanya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai tukang masak istana. Lalu, tidak hairan masakan Pak Engku begitu popular di kalangan tetamu kenamaan (VIP) hingga menjadi sebutan artis yang mahu menggunakan perkhidmatan katering.

Dalam majlis berbuka puasa kali ini, beberapa selebriti turut hadir antaranya Jeffrydin, Jaafar Onn, Rohana Jalil, Nash Lefthanded, Raja Azura, Maya, Nabil Raja Lawak dan artis Akademi Fantasia, Haziq bersama Farhan. Pada majlis itu, Pak Engku juga menyampaikan sumbangan duit raya kepada 34 anak yatim dari Yayasan Al-Ijabah, Subang Jaya, Selangor.

Harian Metro

RTM Sedia Program Untuk Pelajar Kulinari

6 Sep

PELUANG menyertai sesebuah pertandingan memasak pastinya cukup dinantikan penuntut yang mengikuti kursus dalam bidang kulinari atau masakan.

Justeru pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Ramadan ini cuba menampilkan kelainan dengan menyiarkan program Kuih Raya, Juara Antara Kolej mulai hari ini setiap Sabtu dan Ahad, jam 11.00 pagi menerusi RTM2.

Apa yang menarik pembabitan penuntut kolej di Malaysia ini cuba mempamerkan skil dan kelebihan mereka beraksi menyediakan kuih raya istimewa dan resipi ciptaan terbaru.

Antara kolej yang terbabit menyertai pertandingan ini seperti Politeknik Johor Bahru, Food Institute of Malaysia (FIM), Kolej KDU Petaling Jaya dan Pulau Pinang, Kolej Taylor, Keris Kolej, UiTM Shah Alam dan Kolej Komuniti Langkawi.

Kuih Raya – Juara Antara Kolej menampilkan hos Chef Zamzani Abdul Wahab atau dikenali sebagai Chef Zam yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan & Seni Kulinari Kolej KDU.

Sementara juri pula terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang masakan iaitu Chef Zaidah dan chef profesional daripada hotel terkemuka dari KL Hilton dan Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

Turut diundang menyerikan pertandingan ini termasuklah selebriti popular seperti Erra Fazira dan Ning Baizura yang juga diberi peluang untuk merasai masakan peserta bertanding.

Menariknya penganjur pertandingan terbitan Sazawan Supply Sdn Bhd sepanjang lapan episod siarannya menyediakan hadiah RM5,000 untuk johan dan RM2,000 untuk naib johan. Malah setiap peserta yang bertanding juga tidak pulang dengan tangan kosong dengan menerima RM500 selain hamper dan piala.

Peserta daripada dua kumpulan yang melayakkan diri bertanding pada peringkat akhir diberi peluang menjemput idola mereka meluangkan masa memasak bersama mereka.

Episod pengenalannya bermula dengan mengetengahkan resipi biskut istimewa disediakan sekumpulan tiga penuntut Politeknik Johor Bahru antaranya Toblerone Maa’mor, Trio Nut Cookies, Popia Serunding Rangup dan Almond London.

Manakala penuntut Food Institute of Malaysia (FIM) yang menjadi tandingan mereka pula menyediakan Almond Cr
me Brule with Coconut Crumble, Coconut Sable, Crepe Roulede Stuffed with Pulut & Rendang Tuna dan Almond Sable.

Istimewanya di penghujung pertandingan Kuih Raya – Juara Antara Kolej dalam setiap episod siarannya setiap minggu menampilkan kelainan dengan misteri resipi yang ada kalanya tidak pernah terfikir oleh penonton tetapi cuba diperkenalkan kumpulan peserta yang bertanding.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan siapakah kumpulan layak digelar juara pertandingan Kuih Raya – Juara Antara Kolej mulai hari ini jam 11.00 pagi di RTM2.

Berita Harian

Syahdu Berbuka

2 Sep

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


DARI kiri: Nubhan, Farah dan Aizat.

Tetap ligat ketika Ramadan: Puasa tak bataskan pergerakan Farah, Nubhan dan Aizat

RAMADAN datang lagi dan kali ini Hip dapat mengumpulkan tiga bintang comel, Farah, Aizat dan Nubhan yang dulunya bersaiz agak besar tetapi kini sudah langsing serta bergaya. Pada mulanya fokus Hip hanya pada isu itu tetapi akhirnya secara kebetulan, tanpa disedari mereka juga adalah anak seni yang mula melakar nama dalam program realiti nyanyian yang cukup popular iaitu Akademi Fantasia. Yang penting, mereka bertiga kurus secara sihat.

Di satu lokasi yang dirahsiakan, mereka dikumpulkan dalam suasana yang cukup gamat dan meriah. Mereka sama-sama berbuka puasa secara pot luck. Farah membawa ayam goreng kegemaran ramai, Kentucky Fried Chicken manakala Aizat pula membawa kuih karipap yang cukup enak hingga licin pinggan dihabiskan mereka. Nubhan pula tidak sempat membawa juadah berbuka gara-gara tersekat dengan kesesakan lalu lintas di jalan raya.

Tapi tidak mengapa, sikap profesional mereka memudahkan sesi fotografi berbuka puasa ini dijalankan kerana gelagat dan keletah masing-masing cukup menyeronokkan. Menurut Farah, biarpun dia jarang berjumpa dengan Aizat dan Nubhan, tetapi dia ternyata seronok dapat berbuka puasa bersama-sama. Kata Farah lagi, karipap yang dibawa Aizat memang sangat sedap. Tapi kalau Farah nak tahu, karipap itu Aizat beli khas untuk fotografi ini.

Kurus selepas lihat Rosma

FARAH memang antara bintang Akademi Fantasia musim kedua yang masih utuh meneruskan legasi seninya biarpun program realiti itu sudah bersiaran selama enam musim. Sepanjang hujung minggu di dalam bulan Ramadan ini, Farah, 23, sekali lagi terbabit bersama personaliti Astro dan bintang Akademi Fantasia dalam program Marhaban Di Astro.

“Selain itu, Farah akan berlakon drama untuk stesen radio ERA dengan beberapa orang pelakon termasuk Farish Aziz. Farah sudah selesai menjalani penggambaran tele filem yang judul sementaranya ialah Popular dan dijangka disiarkan selepas raya nanti.

“Julai lalu, Farah baru balik dari Taiwan untuk penggambaran program Rasa Halal Orient musim kedua yang akan disiarkan pada bulan puasa di Astro Oasis. Insya-Allah, kalau jadi raya kelapan nanti Farah akan ke Hong Kong pula untuk sambungan penggambaran program yang sama,” kata Farah yang masih setia menanti kemunculan album keduanya.

Berbanding Aizat dan Nubhan, Farah sebelum ini bukanlah dalam kategori berbadan yang sangat besar tetapi dianggap tembam. Motivasi untuknya tampil kurus datang dari dalam diri sendiri apabila melihat gadis lain boleh berpakaian cantik dan pandai melawa.

“Di awalnya Farah selalu membuat senaman di gim sambil mendapat bimbingan jurulatih peribadi. Tapi kini di atas kesibukan, Farah tidak mampu mengikut jadual untuk ke gim. Apabila Farah lihat orang lain yang kurus dan cantik, Farah mula bagi kata semangat kepada diri sendiri untuk menjadi seperti mereka. Sebagai contohnya, macam Farah tengok Rosma, dia boleh kurus sebab rajin buat senaman.

“Apa yang Farah nak tekankan kalau nak kurus sekalipun biarlah dalam keadaan sihat. Jangan paksa diri untuk berlapar takut memakan diri pula nanti. Sekarang ini, Farah belasah makan apa yang rasa teringin. Farah cuma jaga soal minuman saja dan jarang makan pada waktu malam,” kata Farah yang kini mempunyai berat badan ideal sebanyak 47 kg.

Tak dilayan kerana gemuk

AIZAT, 19, pula semakin meledak apabila lagu Hanya Kau Yang Mampu semakin menjadi perhatian dan siulan ramai. Aizat kini juga dalam perancangan untuk menghasilkan pembungkusan semula album sulungnya, Percubaan Pertama.

Kata Aizat, atas sebab tidak dapat menyertai pencalonan Anugerah Industri Muzik, Aizat ingin mencukupkan syarat dengan menambah dua lagi lagu. Ramadan ini selain mendapat undangan membuat persembahan di majlis berbuka puasa, Aizat akan cuba memastikan masanya bersama keluarga tetap ada.

“Insya-Allah kalau jadi, Aizat akan menyanyikan lagu tema untuk sebuah drama bagi slot Lagenda di TV3. Aizat juga sudah merakamkan dua lagu runut bunyi bagi filem Talentime arahan Yasmin Ahmad. Judul-judul lagu itu ialah I Go dan Just One Boys ciptaan sepenuhnya Pete Teo.

“Pada masa yang sama Aizat sudah mula belajar di ICOM, Setapak mulai 8 Ogos lalu. Aizat ambil bidang pra asas muzik,” kata Aizat yang berjaya mengurangkan berat badannya daripada 113 kg menjadi 78 kg.

Bulan puasa ini menjadi medan terbaik untuk mengurangkan berat badan tetapi perlu kena pada caranya, hal itu diakui sendiri Aizat. Tanpa berselindung, Aizat memberitahu dia pernah tidak dilayan, berdepan dengan diskriminasi yang tidak pernah dipinta.

“Pada kebiasaannya, saya akan berbuka dengan sekadar kurma, air kosong dan sembahyang maghrib. Selepas sembahyang, baru saya ambil makanan dalam kuantiti berat. Sebaik-baiknya selepas bersahur jangan tidur balik.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah rasa terpinggir sewaktu berbadan besar, kadang-kadang orang nak pandang sebelah mata pun tak ingin. Biarpun sudah kurus, saya rasa macam sama saja dan saya menghargai diri saya seadanya.

“Seboleh-bolehnya saya mahu penggemar muzik memberi fokus kepada lagu nyanyian saya berbanding soal wajah dan saiz saya kini. Jika dipuji yang positif, siapalah yang tak mahu. Itu satu nilai tambah untuk saya dan bagus untuk stamina saya di atas pentas termasuk aspek vokal,” ungkap Aizat.

Berat badan pernah cecah 100kg

MUNGKIN ada yang tidak sedar sebenarnya Nubhan, 22, pernah berbadan gempal hingga mencecah berat badan, 100 kg. Tapi kini, Nubhan sudah memiliki berat badan sebanyak 70 kg. Itu satu pencapaian hebat buat dirinya. Akui Nubhan, peluang berada jauh daripada keluarga kerana menuntut ilmu menjadi satu ruang untuk dirinya mengurangkan berat badan.

“Dua tahun saya belajar dalam sijil pelancongan dan duduk menyewa rumah di Ulu Selangor. Nak makan pun tak kedai jauh daripada rumah sewa. Jadi saya manfaatkan peluang ini untuk membuang lemak yang ada di badan. Bayangkan kalau saya ada di rumah, saya boleh melantak makan nasi sehingga lima kali. Tambah pula kalau ada masakan tempoyak, saya boleh jadi gila hingga tak ingat dunia.

“Cuma satu saja jangan tiru amalan saya apabila saya diet secara tidak seimbang dengan hanya memakan sayur saja, rambut saya mula gugur. Tapi kini, saya sudah mula mengambil makanan berkhasiat dan stabil. Saya tidak lagi pelahap seperti dulu,” kata Nubhan yang cukup meledak dengan lagu Ada Untukmu.

Kerjaya seninya kini semakin memuncak, apatah lagi sudah mula menyertai syarikat Ning Baizura, Artistes United Records selama tiga tahun. Kes Nubhan lebih kurang Dafi yang menyertai KRU Music biarpun masih di bawah naungan Maestro. Bulan Ramadan ini insya-Allah, Nubhan mula sibuk membikin album sulungnya.

“Saya bertuah dapat rezeki dilamar Ning Baizura kerana ini satu peluang untuk saya terus melangkah lebih jauh. Saya juga bersyukur lagu single, Ada Untukmu juga memberi impak yang cukup baik untuk saya memulakan pacuan seni. Lagu itu diiringi dengan lirik yang cukup puitis dan saya rasa amat senang dapat melantunkan lagu itu. Selain itu, saya juga terbabit mengalih suara satu watak untuk filem Teenage Mutant Ninja Turtles,” kata Nubhan yang mengatakan puasa adalah satu terapi terbaik untuk mengawal nafsu makan dan sebagainya.

Profil Farah AF2

Nama sebenar: Farah Diana Anuar Nama komersial: Farah Umur: 23 tahun Tarikh lahir: 25 Januari 1985 Tempat lahir: Kuala Lumpur Bilangan adik beradik: Anak ketiga daripada enam beradik Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk Album: Antara Dua dan 9 Langkah (belum lagi muncul) Drama: Akademi Filem: Man Laksa Pencapaian: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH05 Laman web: http://www.farahfanclub.com Tagline di AF2: Breep breep Mekap Farah: E’sham (012-2869864)

Profil Aizat AF5

Nama sebenar: Muhammad Aizat Amdan Nama komersial: Aizat Asal: Kuala Lumpur Umur: 19 Tahun Tarikh Lahir: 21 Januari 1989 Kerjaya: Penyanyi & komposer Album: Percubaan Pertama Tagline di AF5: Kasi gegar Emel: run10_absolution@hotmail.com

Profil Nubhan AF6

Nama sebenar: Ahmad Nubhan Ahamad Nama komersial: Nubhan Tarikh lahir: 2 April 1986 Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan Umur: 22 tahun Pencapaian: Tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam Emel: nubhanc@yahoo.com.my Tagline di AF6: Cayalah Laman web: http://www.cayalahnubies.com

Berita Harian

Ikatan Cinta Naz – Sheahnee Iman Lee

13 Jul

Oleh WANDA IDRIS Foto JEFRI IRAN

MEREKA kelihatan begitu romantik sekali. Dengan lemparan pandangan penuh kasih dan sayang, pada malam berlangsungnya majlis resepsi pada malam Selasa lalu di Dewan Perdana Felda, kedua-duanya juga erat menggenggam tangan masing-masing.

Nazrudin Habibul Rahman sendiri kelihatannya tidak jemu-jemu memandang ke wajah manis isterinya, Sheahnee Iman Lee yang malam itu indah mengenakan gaun putih-merah pulasan dengan selendang panjang.

“Ya, dia cantik sungguh malam ini,” kata Nazrudin yang mesra dipanggil Naz sambil menatap terus ke wajah Sheahnee Iman dengan senyuman manisnya.

Memang daripada pandangan yang dilemparkan hinggalah kepada senyuman yang diberikan pada malam Raja Sehari itu, ia adalah tentang kasih dan sayang.

Dan malam itu juga terasa hangat dengan semangat kekeluargaan. Ibu bapa Naz sendiri kelihatan begitu romantis dan ada ketikanya kelihatan agak ‘gila-gila’ dan gandingan itu nyata telah menjadikan malam menyambut menantu itu menjadi lebih istimewa.

Malah ketika ucapannya kepada tetamu, bapa Naz sempat memberikan ciuman pada dahi ibunya sebagai tanda terima kasih dan rasa bangganya dengan segala perancangan untuk menjayakan majlis pada malam itu.

Sebenarnya kata Naz, begitulah juga keinginannya dalam melayari bahtera rumah tangga bersama Sheahnee Iman. Dia mahu kekal romantik dan terus ‘gila-gila’ seperti ibu bapanya itu.

“Memang konsep kekeluargaan erat dalam famili saya. Malah kalau nak tahu, daripada konsep hinggalah kepada pelamin dan dekorasi dewan, semuanya dibuat sendiri oleh ahli keluarga dan saudara mara saya.

“Seronoknya memang tak terungkap kerana saudara mara yang jauh seperti di Singapura dan Kemboja pun sanggup turun padang membantu.

“Lagipun, bagus juga semangat kekeluargaan itu kerana boleh juga ditunjukkan kepada isteri saya yang mempunyai latar budaya berbeza,” kata Naz.

Sheahnee Iman merupakan wanita berdarah kacukan Cina – Australia dan Naz sendiri mempunyai darah kacukan Melayu-India-Cina. Lalu majlis pada malam itu bukan sahaja menyaksikan kehadiran keluarga, saudara mara dan rakan taulan daripada pelbagai kaum malah konsep perkahwinannya juga menjurus kepada konsep kepelbagaian budaya yang simple dan moden tetapi tetap terpelihara adat resam Melayunya.

Malah selain laungan marbahan, tidak ketinggalan persembahan istimewa daripada para sepupu Naz dan teman-temannya daripada kumpulan Soulstreets.

Lebih 1,000 tetamu yang hadir pada majlis itu dan separuh daripadanya kata Naz adalah terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak menjadikan malam itu indah dan penuh kenangan.

Antara yang hadir pada malam itu termasuklah teman baik mereka, Daphane Iking dan suami, Ning Baizura dan suami serta Harith Iskander.

Naz dan Sheahnee Iman bernikah 26 Jun lalu. Bagaimanapun, kata Naz, mengikut perancangan, mereka sepatutnya disatukan pada 6 Julai. Namun kerana perkara yang tidak dapat dielakkan, maka majlis pernikahannya dipercepatkan.

Justeru tarikh 6 Julai dijadikan majlis untuk upacara pertukaran hantaran dan berinai kecil di pihak Naz sementara acara bertandang ke rumah pengantin perempuan untuk upacara minum teh dilakukan pada sebelah petang hari yang sama.

Dengan wang hantaran bernilai RM8,888, pada majlis itu, kedua-duanya bertukar-

tukar hantaran sebanyak 11 dulang berbalas sembilan dulang.

Telah menjalinkan hubungan sejak dua tahun lalu, Naz dan Sheahnee Iman pernah bekerja bersama untuk Breakfast Show di ntv7. Pun begitu, kolaborasi mereka hanya sebulan.

Tapi waktu-waktu itulah, hati mula terpaut dan tidak dinafikan, keserasian antara keduanya dan lebih penting, kata Naz, sikap Sheahnee Iman yang begitu memahami dan tahan dengan fiilnya telah membuahkan bibit-bibit cinta di hati masing-masing.

Juga sebagai orang yang terlibat dalam industri yang sama iaitu penyiaran maka masing-masing juga amat memahami komitmen dan tanggungjawab kerja yang tidak menentu masa.

“Dan tentunya yang membuatkan saya terpikat dengan Iman apabila dia bertemu buat pertama kalinya dengan ibu saya, dia bersalaman dan mencium tangannya.

“Dia bukan Melayu dan apabila dia melakukannya, ia membuatkan saya tersentuh. Sebenarnya itu mungkin satu benda yang kecil tetapi itulah yang kita tengok dan menilainya,” ujar Naz.

Hanya akan bercuti selepas seminggu majlis resepsinya, Naz dan Sheahnee Iman terus bekerja sehari selepas resepsi mereka. Kata Naz, dia dan isterinya memilih Pangkor Laut sebagai destinasi bulan madu.

“Itupun tidak lama, lima hari sahaja,” kata Naz yang mengadakan majlis pertunangannya semasa Sheahnee memeluk Islam tidak berapa lama dahulu.

Ditanya mengenai harapannya, kata Naz, dia mahu membimbing isterinya sebaik mungkin dan dia bertuah kerana Sheahnee Iman merupakan seorang yang cepat belajar dan amat bersikap terbuka dan memahami selain bertolak ansur.

Dan mengenai cahayamata, sambil berlawak Naz memberitahu, kalau boleh dia mahu anak seramai satu pasukan bola sepak. “Tapi isteri saya tak setuju,” katanya sambil ketawa.

“Saya mempunyai keluarga yang besar. Walaupun adik beradik empat orang, tapi sebelah ibu dan bapa masing-masing ada lapan dan 11 orang. Itu belum masuk sepupu yang ada lebih 50 orang.

“Tapi sebenarnya saya tak kisah pun berapa yang dikurniakan. Ikut rezeki yang Tuhan berikan. Cuma kalau boleh, dapat secepat yang mungkin, seronok juga. Sebab saya memang dah bersedia bergelar bapa. Saya pun suka dan sayang budak-

budak,” tambahnya.

Utusan Malaysia

Emas Keperangan Sesuai Untuk Si Hitam Manis

25 May

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my



Warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna sesuai digayakan

Soalan:
Saya berkulit gelap dengan ketinggian 157 sentimeter, berat badan 49 kilogram. Saya akan menghadiri majlis perkahwinan yang mewajibkan saya memakai pakaian berwarna keemasan. Bagaimanapun saya tidak yakin untuk mengenakan warna itu kerana kulit yang gelap bimbang akan menyebabkan saya bertambah gelap. Bagaimana cara untuk mengatasi keadaan ini? Apakah skim warna keemasan yang sesuai dengan kulit saya?

Merkatus melalui emel.

Jawapan:
Kulit hitam manis tidak menjadi masalah langsung jika hendak berfesyen. Malah, menjadi trend terkini untuk memiliki kulit yang berona ‘tan’ atau hitam manis. Lihat saja pada ikon fesyen di Malaysia mahupun di persada fesyen dunia.

Nama besar seperti Beyonce Knowles, Halle Barry dan Naomi Campbell sudah lama menjadi ikon fesyen malah di Malaysia sendiri mereka yang berkulit hitam manis seperti Ziana Zain, Ning Baizura dan Nurul sangat terkenal di dalam industri fesyen Malaysia dan menjadi inspirasi kepada pereka fesyen di Malaysia.

Diakui warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna yang muncul selari dengan aliran semasa sesuai untuk digayakan.

Apabila bercakap mengenai warna ia banyak bergantung dengan kesesuaian padanan warna dengan tona kulit dari kuning langsat hinggalah ke hitam manis.


Warna krim pucat misalnya tidak sesuai untuk digayakan orang yang berkulit putih kerana ia akan mentafsirkan imej yang pucat manakala ungu gelap juga kurang sesuai untuk orang yang berkulit hitam manis kerana akan menjadikan rona kulit anda bertambah gelap.

Bagaimanapun, secara peribadi saya berpendapat semuanya bergantung dengan cara seseorang individu itu sendiri menggayakan bajunya.

Tidak salah jika anda hendak mencuba, namun ia perlu bersesuaian dengan gaya. Lihat saja busana yang Ning Baizura gayakan pada hari persandingannya.

Kalau diikutkan, kurang sesuai warna ‘royal blue’ untuk digayakan oleh orang yang berkulit hitam manis tetapi dengan cara pembawaan dirinya dan juga gaya yang bersesuaian, Ning begitu menyerlah dengan warna itu.

Untuk Fariza, warna gold atau keemasan tidak menjadi masalah untuk digayakan tetapi pemilihan ronanya haruslah bertepatan.

Rona keemasan mempunyai pelbagai variasi yang mana untuk orang yang berkulit hitam manis, rona bronze gold atau emas keperangan dan soft gold – keemasan lembut sangat sesuai untuk anda.

Tetapi anda harus berhati-hati dengan pemilihan fabrik. Pada pendapat saya, fabrik seperti sutera Thai atau sutera asli sangat sesuai dengan anda memandangkan potongan badan anda yang agak kurus.

Rekaan kurung moden yang berpotongan lurus sangat sesuai selari dengan majlis yang bakal anda hadiri. Untuk imej yang lebih trendy, leher berpotongan ‘v’ akan menaikkan seri anda di samping ilusi leher yang lebih jinjang.

Perincian seperti ‘pleated’ atau ‘pin tuck’ di bawah baju dan di hujung lengan menjadi ‘trend’ terkini dan juga memberikan ilusi tinggi. Untuk melengkapkan gaya, kain sarung bersusun kipas dan berbelah depan sangat ideal untuk digayakan. Tetapi adalah lebih sesuai untuk anda gayakan kain yang bercorak kontra bersama baju yang polos.

Profil: Rizman & Ruzaini

  • Rizman Ruzaini adalah label bagi pereka fesyen muda Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.

  • Rizman Nordin, berasal dari Pulau Pinang dan Wan Ruzaini dari Perak.

  • Terbabit dengan rekaan pakaian untuk nama besar dalam industri hiburan dan industri fesyen tempatan seperti Datin Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Erra Fazira, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah dan Nurul.

  • Terpilih sebagai pereka fesyen untuk perkahwinan Ning Baizura dan label Rizman & Ruzaini dicalonkan sebagai antara 10 pereka fesyen pakaian pengantin di Malaysia.

  • Menyertai industri fesyen selepas menyertai MIFA 2007, Piala Jarum Berlian ’03 dan Piala Pesona Pengantin pada 2004,

  • Rizman dan Ruzaini adalah pemegang Ijazah Sarjana Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

  • Beroperasi dari butik rumah di Shah Alam dan mereka boleh dihubungi di talian +6017 4766 004 dan +6012 4805 742 atau emel, rizman_ruzaini@yahoo.com. Untuk keterangan lanjut layari laman web http://www.rizmanruzaini.blogspot.com

    Info:

  • RUANGAN ini membantu anda yang menghadapi masalah fesyen bersesuaian tubuh serta majlis yang hendak dikunjungi. Semua masalah akan dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu. Hantarkan masalah anda melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

    Powered by Berita Harian

  • Stacy Dinobat Juara AF6

    25 May

    Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



    Stacy

    KUALA LUMPUR: Seperti yang diramal, Stracie Angie Anam atau Stacy, 18, yang sentiasa menduduki tempat teratas dalam setiap persembahan mingguannya dinobatkan sebagai juara program TV realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada konsert akhir yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

    Stacy tidak dapat menahan sebak sebaik diumumkan sebagai juara oleh pengacara AF6, AC Mizal. Dia yang menyampaikan lagu Atas Nama Cinta nyanyian asal Rossa dan lagu baru, Aku Stacy ciptaan Intan Norul Azlina dan lirik oleh Intan Norul Azlina dan Layla Ismail berjaya memukau penonton.

    Malah, pengkritik tetap, iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Ning Baizura serta pengkritik jemputan, Adlin Aman Ramlie turut kagum dan memuji persembahannya pada konsert akhir itu.

    Pelajar kecil molek yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu menerima hadiah lumayan keseluruhan bernilai RM733,734, termasuk sebuah banglo empat bilik di A Famosa, Melaka (RM550,000), kereta Peugeot 307 XS tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM139,535), wang tunai RM25,000 sumbangan Hotlink, pakej percutian ke Itali tajaan Mayfirst, pakej pelancongan ke New York tajaan Maybelline, Sony Playstation tajaan Astro (RM1,199) bersama trofi AF6.

    Naib juara, Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz, 22, dari Grik, Perak menyanyikan lagu 11 Januari (Gigi) dan Hanya Sandiwara ciptaan Norliza Abu Bakar serta lirik oleh Dean. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM96,076 iaitu kereta Naza Bestari tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM68,877), wang tunai (RM15,000), pakej percutian ke Itali, baucar pelancongan (RM3,000), Sony Playstation serta trofi AF6.

    Tempat ketiga, Ahmad Nubhan Ahmad atau Nubhan, 22, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan menyampaikan lagu Bukan Di Sini (Sofaz) dan Ada Untukmu ciptaan Zeti Akmar, manakala lirik oleh Abie Abdullah. Kejayaan itu membolehkannya

    membawa pulang hadiah bernilai RM21,199, iaitu wang tunai (RM10,000), pakej percutian ke Afrika Selatan, baucar pelancongan (RM2,000), Sony Playstation serta trofi AF6.

    Khairul Nizam Baharom atau Toi, 31, dari Johor Bahru sekadar menduduki tempat keempat. Dia yang mendendangkan lagu Cinta Zulaikha (Mawi) dan Panahan Asmara ciptaan Muhd Nur Hadi dan Muhamad Hafiz manakala lirik oleh Ad Samad. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM9,199 iaitu wang tunai (RM5,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.

    Tempat kelima, Nadia Haswani Hasnan atau Nadia, 18, dari Kuala Lumpur yang menyampaikan Aku Lebih Tahu (Mila AF5) dan Kalut Lagi Mengarut ciptaan Clifford Joseph Hughes dan Amiruddin Syawal, manakala lirik oleh Syeikh Qalam. Dia menerima hadiah bernilai RM7,199 iaitu wang tunai (RM3,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.

    Jumlah keseluruhan tajaan dan hadiah bagi AF6 bernilai hampir RM900,000. Hadiah disampaikan Pengetua AF6, Ramli MS.

    Powered by Berita Harian

    Sunday Nite Live With Wings

    15 May

    Awie (right) and Wings perform at Planet Hollywood on Sunday and March 25. They will be joined by Mel (left) and Mus.

    Awie (right) and Wings perform at Planet Hollywood on Sunday and March 25. They will be joined by Mel (left) and Mus.

    THE Sunday Nite Live 2008 series will present Wings at Planet Hollywood on Sunday and March 25.

    The 10.30pm showcase is in conjunction with the band’s 21st anniversary.

    It will feature Awie on vocals, Joe (guitar), Eddie (bass) and Black (drums).

    The band will perform hits such as Sejati, Bernafas Dalam Lumpur, Misteri Mimpi Shakila, Taman Rashidah Utama, Di Ambang Wati, Bazooka Penaka, Inspirasi Taming Sari, Jerangkung Dalam Almari and Intan Ku Kesepian.

    It will be accompanied by other rock legends including Sham, Jojet, Mel, Mus, Hattan, Ito, Hillary and Kit.

    The band members have collaborated with various established solo artistes and bands, such as M. Nasir and Search.

    Awie and Joe have also acted in Malay movies.

    Awie has appeared in Sembilu (alongside Erra Fazira and Ziana Zain), Iskandar (with Datuk Jalaluddin Hassan and Jeslina Hashim), Baik Punya Cilok (with Afdlin Shauki, Hans Isaac and A.C. Mizal), Sumolah (with Afdlin and Patrick Teoh), Diva Popular (with Anita Sarawak, Ezlynn and Umie Aida), and most recently, Cinta U-Turn (with Fasha Sandha and Abu Bakar Omar).

    Joe’s movie credentials include Putera, a Malaysian version of Eddie Murphy’s comedy Coming To America.

    Planet Hollywood showcases Malaysia’s most prominent artistes in various events, most notably the Sunday Night Live series.

    Artistes who have performed at the bistro include Dayang Nurfaizah, Siti Sarah Raisuddin, M. Nasir, Ning Baizura, VE, Search, Sheila Majid, Jaclyn Victor, Lefthanded and Misha Omar.

    Entry is RM50, inclusive of one drink. For details, call 03-2144-6602.

     

    Powered by New Straits Times