Archive | Nasha Aziz RSS feed for this section

Rosyam Tidak Halang Anak Ceburi Bidang Lakonan

5 Jun

ANAK sulungnya kini menuntut di universiti.

Namun Rosyam Nor yang juga bapa lima anak itu tetap tidak akan menghalang sekiranya ada anak-anaknya yang ingin mengikut jejaknya dalam bidang lakonan atau seni.

Tetapi mereka perlu bersedia berhadapan dengan cabaran kerana kerjaya dalam bidang itu kadangkala bukan semuanya seindah yang disangkakan.

‘Kenapa perlu saya menghalang minat mereka?

‘Pendapatan artis lebih besar kalau mahu dibandingkan dengan kerjaya peguam dan doktor. Tetapi mereka kena mencari peluang itu sendiri.

‘Dunia lakonan kini dianggap sebagai kerjaya profesional dan mengikis pandangan lapuk yang memandang dunia lakonan sebagai hina.

‘Saya selalu bercakap kepada anak, jangan ingat masuk dunia seni boleh terus menjadi Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira atau Nasha Aziz.

‘Itu hanya sebilangan nama yang berjaya. Yang kurang berjaya mereka tidak nampak,’ kata Rosyam dalam laporan akhbar Berita Minggu Malaysia.

Tetapi beliau tetap berbangga dengan kejayaan anaknya dalam bidang pelajaran.

Rosyam yang sudah berumah tangga selama 22 tahun dengan Runika Mohd Yusuf terus berpegang pada prinsip enggan mendedahkan pembabitan isteri dan anak- anaknya buat tatapan umum.

‘Menjadi selebriti boleh dikatakan 90 peratus kehidupan, kisah dan aktiviti saya diselongkar umum. Selebihnya, biarkan privasi keluarga terus dijaga.

‘Kenapa saya perlu babitkan isteri dan anak- anak sedangkan hanya saya bergelar pelakon?

‘Tapi saya sedar, ada sesetengah pandangan yang mengatakan apabila seseorang itu masuk ke dunia seni, maka segala-gala harus dikongsi.

‘Saya ada alasan konkrit kenapa masih tegar berpendirian sebegitu, saya tak nak keluarga saya berpenyakit atau berperangai seperti sesetengah artis yang mudah perasan dan bangga apabila menjadi artis.

‘Saya beri contoh, andai kata saya bergambar bersama keluarga dalam satu sesi fotografi, ia sedikit sebanyak akan melunturkan minat peminat yang selama ini menyokong saya.

‘Perasaan dan hati peminat pun perlu dijaga,’ katanya.

Powered by Cyberita

Zahnita Tumpuan Kepada Peragaan

29 May

Oleh AQMAR ALLADAD

SEPI dalam bidang lakonan tidak bermakna Zahnita Dorothy Husein Wilson, 23, tidak berminat lagi untuk meneruskan kerjaya di kaca TV. Pelakon dan model jelita tinggi lampai ini sebenarnya mempunyai alasan tersendiri kenapa dia ‘bersembunyi’.

Zahnita yang berdarah kacukan New Zealand dan Melayu pernah membintangi dua buah filem berjudul Gila-Gila Pengantin Remaja dan Kuliah Cinta (2004), menyepi seketika dalam bidang lakonan setelah mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 2005.

Tidak terlibat langsung dalam lakonan bukannya kerana kerana alasan dia tidak mendapat tawaran daripada penerbit dan pengarah.

Sebaliknya dia sendiri memilih untuk menolak tawaran yang datang. Keputusan itu dibuat kerana watak yang diberikan mungkin tidak bersesuaian dan dia sedang menginginkan watak yang lebih mencabar setelah muncul dengan dua peranan yang ‘biasa-biasa’ sahaja sebelum ini.

“Tawaran berlakon memang ada dan saya sebenarnya tidak kisah bagaimana watak yang diberikan. Tetapi kalau boleh saya tidak mahu melakonkan watak sebagai remaja gedik.

“Kalau boleh saya mahu watak yang lasak dan tidak terlalu stereotaip. Bila terlalu stereotaip ia membosankan,” katanya sambil ketawa kecil ketika ditanya ke mana dia menyepi selama ini.

Selain itu, jelas Zahnita faktor terkini dirinya juga banyak menjadi kekangan. Status ibu kepada Zahra Feena Zeckery yang kini berusia satu setengah tahun juga menjadikan komitmen personalnya tertumpah kepada rumah tangga. Dia terpaksa berfikir secara bijak sebelum menerima sesuatu tawaran yang datang.

Zahnita mengakui, sejak bergelar isteri dan ibu, kasih sayang dan perhatian terhadap keluarga semakin bertambah serta dia perlu teliti membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga.

Ungkapnya, sudah tentu keluarga adalah segalanya-galanya dan perlu diutamakan memandangkan kini banyak pendedahan tentang kes perceraian. Itu yang membuatkan dirinya juga sentiasa berhati-hati.

“Sebab rumah tangga juga saya tolak tawaran untuk berlakon. Risau juga nanti, jika terlalu kejar kerjaya, anak dan suami entah ke mana.

“Jadi untuk kerjaya biarlah saya memilih untuk tawaran memperaga terlebih dahulu kerana ia lebih selesa, lagipun bidang ini lebih dekat di hati saya,” jelas Zahnita yang mengakui sesekali rasa rindunya kepada dunia lakonan, datang bertandang.

Kecewa modelling

Walaupun memiliki raut wajah yang seksi dan bentuk badan yang menawan, Zahnita tidak menafikan pernah mengalami kekecewaan dalam bidang peragaan disebabkan faktor berat badannya setelah melahirkan anak pertama.

Memang sukar untuk mengembalikan susuk tubuh seperti asal tetapi dengan membuat terapi dan senaman, akhirnya kekecewaannya terubat jua apabila selepas lapan bulan berpantang, Zahnita kembali dipanggil untuk memenuhi tawaran peragaan.

“Memang tiga bulan dalam pantang saya tak boleh kembalikan bentuk badan asal tetapi disebabkan ‘ghairah’ sangat untuk membuat peragaan saya tidak sedar waktu itu badan saya berisi.

“Dalam gambar memang tak perasaan saya gemuk, semasa mengandung berat saya bertambah sebanyak 30 kilogram, jadi pernah satu ketika, saya tidak mendapat sebarang tawaran,” jelasnya yang mampu menurunkan berat badan sehingga 55 kg dan mengekalkannya sehingga kini.

Untuk mengembalikan bentuk badan asal bukan mudah, Zahnita mengawal pemakanan dan mengamalkan senaman sebanyak tiga kali dalam seminggu sehingga lengannya kini sudah berotot.

Rahsia rumah tanggaJangan pandang mudah setelah mendirikan rumah tangga. Itulah konsep yang tekankan oleh Zahnita yang telah mengahwini seorang ahli perniagaan kereta mewah, Zackery Ghouse, 30, sejak tiga tahun lalu.

Walaupun berkahwin pada usia yang muda, Zahnita mengakui dia perlu mematangkan diri bagi memastikan rumah tangga yang dibina bersama orang tersayang kekal sehingga ke akhir hayat.


PERSONALITI lain yang turut memeriahkan acara.

Ditanya, adakah dia juga pernah berselisih faham dengan suaminya?

Lantas Zahnita mengakui, selisih faham memang wujud tetapi dia dan suami tidak akan berdiam diri dan terus berbincang dan masing-masing akan meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Tipulah kalau tidak pernah ada masalah kan? Tetapi kami tidak ego, masing-masing akan duduk berbincang untuk selesaikan masalah tanpa bantuan pihak lain,” ujarnya yang sedar hanya dengan cara itu, hubungan antara suami dan isteri dapat berkekalan. Zahnita ditemui dalam majlis Anugerah Inspirasi Triumph 2008 di Pavilion, Bukit Bintang.

Selain Zahnita, seramai 11 orang selebriti popular yang hadir antaranya Nora Danish, Fazura, Nurul, Sazzy Falak, Nasha Aziz, Andrea Fonseka, Belinda Chee, Amber Chia dan Ezlynn.

Powered by Kosmo

Bual Fesyen: Raja Denim Ingin Teroka Pelbagai Sudut Fesyen

21 May

Oleh Nor Affizar Ibrahim



BERKONGSI IDEA: Adnan juga menghasilkan rekaan untuk projek amal.

Pengalaman kerja di kilang pakaian di Bangkok sebelum bergelar pereka beri ilham kepada Adnan

RAJA DENIM! Gelaran itulah yang berjaya meningkatkan populariti nama pereka muda, Mohd Adnan Hassan. Kegilaannya menghasilkan busana berasaskan denim dengan pelbagai eksperimen dan menekankan konsep kitar semula yang menggabungkan beberapa elemen, sekali gus membuatkan namanya cukup sinonim dengan denim.

Anak muda kelahiran Kluang, Johor itu sendiri tidak menyangka akan berjaya mencipta identiti itu. Malah, ketika mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan rekaan fesyen, Anugerah Benang Emas 2002 (ABE 2002) anjuran majalah gaya hidup terkenal, Jelita, Adnan sendiri tidak pernah meletakkan sebarang sasaran. Ketika itu apa yang lebih penting baginya ialah cuba memenuhi syarat dan kriteria penganjur agar dapat menghasilkan rekaan bercirikan Malaysia dan boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

Akuinya, sebagai peserta keinginan untuk menang memang ada, tetapi sebagai pereka yang belum ada nama pada waktu itu, Adnan perlu bekerja keras dan membuktikan keupayaan serta mencurahkan segala kreativiti yang ada.

Namun, beliau bernasib baik kebetulan sebelum itu projeknya sebagai pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah berkaitan dengan kajian kitar semula menggunakan jeans yang diubah suai dan dijadikan rekaan busana bergaya. Mengambil idea itu Adnan lalu mempertaruhkan bakatnya dalam pertandingan berkenaan dan berjaya dinobatkan sebagai pemenang.

Apa yang pasti, selepas memenangi ABE 2002 dan kemudian rekaan denim itu digayakan model serta pelakon Nasha Aziz pada majlis Anugerah Era pada 2002, namanya terus melonjak naik. Pada Januari, 2003 Adnan membuka butik, Adnan Hassan Boutique dalam usahanya membina label jenama sendiri.

Pembukaan butik itu hasil dorongan banyak pihak yang menyokong dan membantu pereka itu atas keyakinan yang ada pada dirinya sendiri untuk memartabatkan kariernya sebagai pereka fesyen terkenal. Mulanya, Adnan mengorak langkah membuka butik di Plaza Alam Sentral di Shah Alam, tetapi kemudian menutupnya kerana berpendapat, lebih baik beroperasi di rumah kerana perkhidmatan disediakan adalah berasaskan tempahan eksklusif, di samping memberikan lebih keselesaan untuknya bekerja.

Adnan sentiasa melihat dunia fesyen amat luas dan boleh diterokai dari pelbagai sudut. Lebih-lebih lagi, beliau pernah bekerja di kilang pembuatan pakaian di Bangkok dan rekaan tekstil automotif sebelum bergelar pereka. Justeru, walaupun jiwanya lebih terarah kepada rekaan yang berasaskan denim, beliau tidak menolak mereka pakaian lain seperti pakaian pengantin, pakaian tradisional, pakaian seragam, pakaian lelaki dan sebagainya.

Beliau kini banyak menghasilkan rekaan pakaian pengantin dan menampilkan rekaan adi busana yang versatail, sentuhan terkini, berkonsep dan unik. Tidak kedekut dengan ilmu yang ada, Adnan turut menjadi tenaga pengajar di beberapa kolej fesyen tempatan, mengadakan kelas jahitan manik, di samping menawarkan kursus jangka pendek yang direka khas modul pembelajaran lengkap untuk bakal usahawan perniagaan persediaan perkahwinan. Mengenali lebih dekat pereka muda ini, ikutilah temubual Citra bersamanya bagi ruangan Bual Fesyen minggu ini.

Citra: Adakah sehingga kini anda masih memilih denim dalam rekaan. Mengapa?

Ya, saya masih memilih fabrik denim dalam rekaan, tetapi tidaklah sepenuhnya kerana ingin menjadi pereka versatail yang mampu mereka apa saja. Ketika ini kebanyakan tempahan rekaan denim adalah daripada individu. Biasanya mereka mahukan saya merekacipta fesyen sesuatu yang baru daripada seluar atau baju jeans tidak mahu dipakainya lagi. Denim dan saya sukar dipisahkan. Sejak semakin ramai mengenali identiti saya sebagai pereka yang melahirkan konsep rekaan kitar semula menggunakan denim tidak dinafikan, rezeki semakin bertambah. Bukan mendabik dada, tetapi saya boleh katakan berjaya mengangkat sesuatu yang baru dalam dunia rekaan fesyen tempatan sehingga menjadi perhatian. Bersandarkan rekaan kreatif dan inovasi yang tidak semestinya dibuat daripada material mahal, saya memperlihatkan konsep kitar semula dengan menggunakan seluar jeans terpakai dan menggabungkan beberapa elemen termasuk potongan baju kebaya, aliran glamor atau ranggi. Denim akhirnya, menjadi identiti saya sebagai pereka. Apabila sudah mulakan dan berjaya mencipta identiti, saya berasa ia perlu dikekalkan kerana dari situlah saya mula dikenali.

Citra: Jadi, sebagai pereka anda berasakan identiti atau trademark itu penting untuk dikenali?

Sudah tentu sekali kerana melalui identiti pereka akan dikenali. Bukan senang hendak mencipta identiti, ada berjaya dan ada yang tidak. Saya tergolong pereka yang berjaya. Walaupun denim menjadi minat sejak kecil, tidak terlintas langsung denim akan menjadi identiti. Ini kerana sebagai pereka saya mahu mencuba segala-galanya. Keadaan ini sama juga seperti penyanyi rock. Sungguhpun dikenali sebagai penyanyi rock, penyanyi itu juga berkeupayaan menyanyikan lagu rentak balada, pop dan sebagainya. Begitu jugalah saya. Apa yang sebenarnya berlaku, identiti saya sebagai Raja Denim bukan saja disebabkan percubaan berani dan kreatif saya saja, tetapi media yang banyak berperanan mempopularkan identiti itu. Jika tidak, saya mungkin tidak dikenali dengan denim. Saya lihat identiti adalah satu anugerah untuk pereka. Apabila diiktiraf ia bukan saja satu kebanggaan, tetapi mestilah cuba dikekalkan dan tidak salah jika hendak mempelbagaikan rekaan.

Citra: Sebagai pereka yang bermula dengan denim, apakah yang anda lihat kelebihan pada fabrik itu?

Memang denim ada keunikan tersendiri. Ketika membuat kajian mengenai denim bagi projek tahun akhir ketika menuntut di UiTM dulu, ia bukan saja membuatkan saya mengenali lebih dekat mengenai fabrik itu, tetapi turut membuka minda terhadap kelebihan yang ada material itu. Paling nyata, denim bersifat sejagat. Semua menggemari material itu tidak kira di mana, sama ada tua mahupun muda. Ia juga dipakai sepanjang zaman kerana orang tidak akan jemu menggunakannya.

Citra: Ada yang berpendapat, denim walaupun diangkat sebagai gaya glamor masih dilihat sebagai fabrik kasual atau dikaitkan dengan aktiviti lasak. Bagaimana anda sebagai pereka ingin mengubah persepsi itu?

Itulah antara cabaran besar saya ketika mula-mula memilih denim sebelum mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan dulu. Sebenarnya tidak menjadi masalah untuk mengangkat martabat denim sehingga menjadi rekaan adi busana, tetapi memang agak sukar untuk menukar persepsi orang lain mengenai sesuatu perkara baru, lebih-lebih lagi jika ia sudah lama tersemat dan bertapak di fikiran. Bagaimanapun, sebagai pereka kita mesti mencuba dan terus mencuba, malah itulah sebenarnya tugas pereka iaitu menghasilkan sesuatu yang baru dan unik walaupun dianggap mustahil.

Citra: Mengapa pereka tempatan lebih gemar mengambil inspirasi dari luar sedangkan negara kita ada banyak sumber yang boleh dijadikan ilham?

Bukan tidak mahu mengambil sumber ilham tempatan, tetapi setiap pereka mempunyai prinsip masing-masing. Jika dilihat secara keseluruhan, pereka tempatan memang banyak yang berpaksi pada inspirasi dari luar terutama Eropah seperti Milan dan Perancis. Oleh kerana negara berkenaan terkenal sebagai pusat fesyen, pereka tempatan merujuk kepada mereka sebagai petunjuk aliran. Pengaruh dibawa menyebabkan pereka tempatan terikut-ikut dan terpengaruh, tetapi tidak bolehlah salahkan mereka kerana ia mengikut arus aliran terkini dalam dunia rekaan. Inspirasi tempatan bukan jadi pilihan mungkin juga disebabkan ada perasaan bimbang dan sikap berhati-hati pereka terutama jika sumber itu mengaitkan sensitiviti budaya dan nilai yang dipegang masyarakat di negara ini. Jika hendak mengambil sumber ilham tempatan bukan sekadar untuk lihat hasil rekaan itu cantik dan kreatif semata-mata, tetapi perlu ambil kira aspek lain seperti susur galur, etika dan sebagainya kerana jika boleh pereka tidak mahu menyinggung sesiapa. Kita kena faham apabila memperkatakan nilai atau adab budaya ada golongan yang begitu kuat mempertahankannya dan pendirian itu perlu dihormati. Begitu juga dari segi penggunaan material ada yang bertanya mengapa tidak pilih fabrik seperti songket, batik dan sebagainya untuk mencurahkan kreativiti dalam rekaan. Bukan tidak mahu, tetapi mungkin pereka itu berasa tidak sesuai. Contohnya, songket bukan saja menyerlahkan hasil kerja seni yang begitu tinggi, tetapi juga dikategorikan fabrik mahal. Apabila hendak menggunakan suntikan songket dalam gaya glamor memang boleh, tetapi pereka tidak boleh keterlaluan kerana silap percaturan rekaan akan tampak ‘berat’, sekali gus tidak memberi impak ia sebagai fabrik mahal. Namun, ada juga pereka yang berani dan cuba menggandingkan inspirasi dari luar serta tempatan. Suai dan padan daripada kedua-dua sumber itu mungkin berkesan, tetapi tetap perlu berhati-hati.

Citra: Sekarang ini kita lihat jalinan kerjasama antara selebriti dan pereka begitu erat. Sebagai pereka apakah kelebihan yang diperoleh terutama jika terpaksa menaja sepenuhnya pakaian untuk selebriti?

Sebagai pereka saya lihat kerjasama itu satu perubahan dan perkembangan yang baik. Malah, saya akui nama sebagai pereka fesyen mula dikenali apabila bekerjasama dengan Nasha iaitu model dan pelakon terkenal. Selepas itu beberapa artis lain pula yang mengenakan rekaan saya termasuklah Erra Fazira, Mawi dan ramai lagi. Oleh kerana selebriti orang yang dipuja dan dikenali ramai tempiasnya juga terkena kepada pereka. Apa yang ketara, apabila selebriti itu ada nama, populariti pereka yang menaja pakaian untuknya pun cepat naik. Bagaimanapun, saya berpendapat hubungan terjalin itu perlulah ada situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak. Masing-masing perlu jujur dan kena berbincang terlebih dulu sebelum bersetuju bekerja sama supaya tiada perkara berbangkit kemudian hari.

Jika di Barat, memang diakui pereka yang membayar selebriti bagi menggayakan rekaannya. Soal kos tidak menjadi masalah besar kepada pereka Barat kerana kebanyakan mereka sudah pun ada jenama sendiri. Tetapi pereka fesyen tempatan bukan bertaraf dunia dan jika terpaksa keluar semua kos membuat sesuatu rekaan pakaian sakit juga, khususnya bagi pereka baru. Lagipun, menaja pakaian untuk selebriti belum tentu menjanjikan apa-apa. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam dan begitulah nasib pereka sebab itu ada yang berundur awal. Tetapi ada juga pereka tidak kisah mengenai kos, sebaliknya tidak mahu menjual dan ingin menyimpan pakaian digayakan selebriti yang ditajanya. Mungkin pereka itu menganggap rekaan itu ada nilai sentimental.

Citra: Apakah pandangan anda apabila ada usaha sesetengah pihak untuk mengetengahkan dan memartabatkan rekaan busana Muslimah di negara ini?

Usaha itu memang bagus dan sesuatu yang positif apatah lagi ada pereka yang berjaya menghasilkan rekaan busana Muslimah moden dan menepati ciri-ciri pakaian dituntut dalam Islam. Apabila ada usaha seperti itu Malaysia boleh menjadi fokus dunia terutama negara Islam. Ini turut memberi ruang untuk Malaysia menjadi hab fesyen Islam dan paling ketara ia akan memberikan impak kepada ekonomi. Bagaimanapun, sebagai pereka kita perlu berhati-hati kerana untuk menepati ciri pakaian sepenuhnya ada beberapa aspek lain perlu diambil kira seperti cara potongan, pilihan warna dan sebagainya. Jika boleh jangan sehingga menimbulkan kontroversi.

Citra: Sepanjang membabitkan diri dalam bidang rekaan adakah anda pernah berasa kecewa?

Setakat ini semuanya berjalan baik dan bersyukur selepas meraih kemenangan nama saya tidak berkubur sebaliknya, berjaya mencapai hingga ke peringkat ini iaitu sekurang-kurangnya sudah pun dikenali sebagai pereka yang mempunyai idea tersendiri. Cuma apa yang diharapkan, suatu hari nanti saya mempunyai kewangan yang besar supaya dapat menghasilkan rekaan koleksi denim sedia untuk dipakai dan membina jenama sendiri dalam kuantiti besar seperti Levi’s.

Citra: Apakah nasihat anda kepada pereka baru yang berhasrat ingin mencipta identiti?

Seperti yang saya katakan sebelum ini, mencipta identiti bukanlah mudah, tiada jalan pintas dan mungkin pereka itu perlu mengambil masa sebelum mencapai titik pertemuan itu. Nasihat saya janganlah mudah terikut-ikut dengan apa yang pereka lain buat. Obses dan kreatif saja tidak cukup. Oleh itu lebih baik kenal pasti dulu apa yang anda inginkan, kemudian kenalah faham dan buat pemerhatian menyeluruh serta teruskan usaha sehingga berjaya.

PROFIL: Mohd Adnan Hassan

  • LAHIR : 10 Februari 1976.
  • ASAL: Kampung Bentong Dalam, Kluang, Johor.
  • PENDIDIKAN: Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
  • ANUGERAH: Anugerah Benang Emas 2002. Excellence Award, The Sixth Brother Cup China International Young Fashion Designer Contest di Beijing, China, 1998.
  • Laman web: wow.e-manik.com atau http://www.adnanhassan.com.my

Powered by Berita Harian

Sindrom Takut Tua

10 May

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian,com.my



Pembedahan plastik, Botox dan vitamin C elak kulit berkedut

ORANG tua, warga emas, orang lama, senja atau istilah popular, ‘kertu’ boleh menjadi topik perbualan hangat, lebih-lebih lagi bagi mereka yang pantas memasuki fasa usia yang dikatakan merujuk kepada kumpulan ini.

Tabiat suka merahsiakan umur yang kadang kala bertukar ekstrim apabila tangan pantas mengubah dua angka pertama MyKad yang mewakili tahun kelahiran ketika mengisi borang soal selidik atau borang memohon pas masuk, membuktikan ada antara kita enggan mengakui hakikat usia makin lanjut.

Istilah tua yang kadang kala diselitkan unsur humor seperti ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’, ‘buang tabiat’ atau ‘tua tak sedar diri’ boleh menjadi isu sensitif. Bagi sesetengah orang, istilah tua bagaikan halilintar dan mimpi ngeri seolah-olah enggan mengakui fitrah manusia yang suatu ketika akan bergelar orang tua.

Tua mengikut definisi Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud orang yang sudah lama hidup atau dalam erti kata lain, orang yang sudah lanjut usia. Sesuai dengan peningkatan angka usia, gelaran tua itu sendiri memberi pelbagai ungkapan dan pengertian dalam kehidupan manusia sejagat.

Bagi sesetengah orang, gelaran ‘orang lama’ membangkitkan rasa bangga kerana pengalaman dalam menjalani kehidupan yang sedikit sebanyak mencerminkan rasa hormat. Lain pula senarionya bila berhadapan dengan kelompok masyarakat yang memiliki sindrom fobia tua!


Fobia tua atau dalam bahasa saintifiknya gerascophobia adalah lumrah biasa dihadapi mereka yang sudah berusia melepasi separuh abad. Pada usia sebegitu, perasaan rendah diri dan gusar dengan perubahan fizikal menyulitkan lagi keadaan. Faktor lain seperti gejala menopaus, rambut beruban dan mati pucuk menambahkan kesengsaraan.

Bercerita mengenai fobia tua, sememangnya ramai di kalangan masyarakat hari ini tidak boleh menerima hakikat bahawa suatu ketika nanti akan bergelar orang tua. Sindrom ingin kelihatan muda mendorong kumpulan ini melakukan pelbagai cara, termasuk pembedahan kosmetik atau menempuh kesengsaraan suntikan demi kelihatan muda.

Ditambah pula dengan kemajuan dunia perubatan yang membantu melambatkan proses penuaan, industri kecantikan begitu popular sekarang malah mampu menjana pendapatan lumayan. Selain pembedahan kosmetik yang menjadi alternatif kembali muda, lambakan produk kecantikan dari dalam dan luar negara menawarkan pelbagai pilihan untuk menegang, mencerah, menganjak dan meremajakan semula kulit wajah.

Pucuk pangkalnya, adakah ia mampu menjadikan kulit wajah kembali muda atau tidakkah ada kesan sampingan pengambilan ubat-ubatan yang belum tentu baik buruknya? Mengapa makin ramai cenderung menafikan umur atau hakikat kematangan usia? Apakah tuntutan gaya hidup moden menjadi punca semua orang mahu kelihatan muda?

Isu fobia tua yang cuba dikupas i-Kon ini mengingatkan penulis kepada seorang kenalan yang sedang meniti usia 30-an. Seperti juga wanita lain seusia dengannya, ungkapan tua begitu sensitif setiap kali menerjah telinganya. Melihatkan raut wajahnya yang tidak menampakkan beliau berusia, kenalan ini terus dibelenggui faktor fobia tua membuatkan beliau menjadi runsing.

Itu belum lagi mengambil kira perbelanjaan kecantikan dan perawatan spa yang wajib dilakukannya setiap bulan. Setakat krim anti penuaan dan masker penegang kulit, produk kecantikan ini memang sentiasa ada dalam simpanannya. Apatah lagi hari minggunya pula diisi ke salun kecantikan semata-mata untuk memastikan kulit wajahnya seperti wanita muda.

i-Kon memilih gadis jelita, Hanis Zalikha Zainal, 18, yang menjadi penghias muka depan sisipan Sabtu minggu ini untuk membicarakan soal usia dan persediaan menjadi tua. Pandangan Hanis Zalikha yang merangkul pemenang ketiga pencarian model tempatan, Malaysian Dreamgirl dianggap mampu mewakili generasi seusianya dalam membincangkan soal umur dan fobia tua.

Sisipan ini juga melakukan eksperimen terhadap wajah Hanis Zalikha. Beliau sporting membenarkan wajahnya ‘dituakan’ seperti yang berjaya dilakukan melalui kepakaran Unit Grafik Berita Harian Sdn Bhd. Tambah menarik, setiap pose yang diberikan Hanis begitu berjiwa. Ditambahkan dengan sentuhan solekan Zakiah Elora menampakkan imejnya sebagai wanita sofistikated sebelum wajahnya ‘dituakan’.

Seperti kebanyakan gadis lain, Hanis Zalikha tidak terkecuali menitikberatkan soal kecantikan.

Bagi Hanis, sindrom takut tua dialami semua orang terutama wanita kerana kecantikan adalah kekuatan dalaman wanita.

“Apatah lagi apabila sudah menjadi tua kelak dan tidak secantik zaman remaja tentu akan membuatkan penampilan agak terbatas. Seperti ramai remaja wanita lain, saya sentiasa menumpukan soal kecantikan dengan menggunakan produk bersesuaian dengan kulit.

“Mama sayalah yang banyak membantu mengenai soal kecantikan ini terutama apabila menginjak usia remaja kerana memang penting untuk memilih produk yang betul bagi memastikan kulit wajah sihat seiring usia,” katanya yang bercita-cita untuk menceburi bidang seni dan pengacaraan.

Hanis Zalikha berkata, rejim kecantikannya mungkin sama seperti yang dilakukan gadis lain.

“Seperti kebanyakan orang, saya juga melakukan proses mencuci wajah, mengenakan penyegar dan seterusnya menyapukan krim pelembap setiap kali mandi dan sebelum tidur. Dulu memanglah tidak mementingkan sangat soal kecantikan dan pernah hanya mengenakan sabun mandi untuk mencuci wajah,” kata Hanis.

Ditanya bersediakah beliau menjadi tua suatu hari nanti, Hanis Zalikha berpendapat, soal menjadi tua bukanlah perkara penting dalam hidupnya kerana baginya personaliti diri yang akan menonjolkan keperibadian sekali gus menyerlahkan kecantikan luaran dan dalaman.

Katanya, sebagai wanita biasa memang tidak lari daripada menjadi tua dan beliau juga bersedia. Dalam masa yang sama, Hanis Zalikha menolak pembedahan kosmetik untuk menjadi cantik kerana bimbang dengan kesan sampingan yang mungkin berlaku kemudian hari.

Hanis Zalikha berkata, setiap orang mempunyai pesona kecantikan semula jadi dan tidak harus mempersiakan dengan mengambil pelbagai bahan kimia terlarang semata-mata untuk kelihatan cantik.

“Saya tidak rasa mahu melakukan semua itu (suntikan botox dan kolagen) kerana bersyukur dengan segala yang dikurniakan Ilahi. Mungkin setiap orang ada alasan kukuh untuk melakukan suntikan kolagen dan perawatan botox. Tetapi, saya tetap berpegang kepada kecantikan semula jadi,” tegas gadis ini.

Biarpun tewas kepada juara Malaysian Dreamgirl, Tey Cindy tetapi itu bukan penamat Hanis Zalikha mencuba lebih banyak peluang sebagai usaha mengembangkan bakat yang ada.

“Malaysian Dreamgirl adalah pertandingan pertama yang saya ceburi. Itupun selepas mendapat dorongan daripada mama yang terlihat pertandingan itu di akhbar. Tidak sangka pula saya terpilih ke peringkat akhir dan menjadi pemenang tempat ketiga.

“Kalau nak diikutkan bidang modeling ini memang cukup saya minati kerana ia adalah kerjaya profesional di pentas peragaan.” katanya yang memilih Nasha Aziz sebagai idola kerana mendominasi bidang modeling, fotografi dan lakonan bagi mengukuhkan kerjayanya.

Ditanya bagaimana beliau menguasai ilmu dunia peragaan itu sendiri, kata Hanis Zalikha, pengalamannya masih cetek dan masih belajar dalam banyak perkara. Beliau beruntung kerana mendapat banyak ilmu grooming oleh seorang model sepanjang menyertai pertandingan Malaysian Dreamgirl.

Katanya, model terkenal Elaine Daly antara tenaga pengajar yang membantu peserta untuk tampil yakin dengan bergaya di depan kamera serta catwalk.

“Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari untuk memantapkan karier dalam bidang modeling.

“Namun, kecantikan sememangnya menjadi kunci utama dalam membentuk keyakinan diri ketika berhadapan dengan orang ramai,” katanya.

Ditanya mengenai definisi kecantikan mengikut pemahamannya, Hanis Zalikha berpendapat kecantikan itu akan lebih cantik jika personaliti dalaman dapat ditonjolkan serentak.

“Ia secara tidak langsung akan menampakkan keserian wajah, sekali gus kata orang kelihatan seperti awet muda,” katanya tersenyum.

Menyentuh mengenai perubahan hidunya selepas bergelar model, Hanis Zalikha berkata, beliau perlu menitikberatkan soal kecantikan terutama kulit wajah kerana mahu mengekalkan raut wajah bersih tanpa cela, selain menjaga soal pemakanan seimbang.

Kata Hanis Zalikha, beliau beruntung kerana kulit wajahnya tidak sensitif kecuali harus sentiasa menjaga pemakanan untuk memastikan bentuk badan sempurna.

Hanis Zalikha juga menolak suntikan Botox atau kolagen kerana yakin dengan kecantikan semula jadi tanpa perlu menggunakan teknologi sains kecantikan untuk menjadi muda.

“Sejauh mana kita tua, yang penting keperibadian kita… Itu perkara utama di mana masyarakat menghargai kita,” ungkap Hanis Zalikha.

Ditanya sejauh mana beliau tahu mengenai botox dan kolagen, Hanis berkata botox mengikut pemahamannya adalah bahan yang digunakan untuk menghilangkan kedutan khususnya di bahagian bawah mata, dahi, dan sekitar mulut manakala kolagen merangsang proses penegangan kulit wajah supaya lebih muda dan berseri.

Bio

Nama: Hanis Zalikha Zainal

Umur: 18 tahun

Tarikh lahir: 9 Oktober 1990

Tempat lahir: Shah Alam, Selangor

Tinggi: 168 sentimeter

Berat: 47 kilogram

Rahsia kecantikan alaf baru

Botox

Diperbuat daripada botulinum toxin iaitu sejenis bahan bakteria oleh bacterium clostridium botulinum. Bakteria itu menghasilkan bentukan keras daripada racun makanan. Namun dalam jumlah yang kecil, Botox hanya bertindak meningkatkan pembentukan otot di bahagian wajah. Penggunaan botox kali pertama ialah pada 1980 untuk merawat fungsi otot seperti bahagian sekitar mata. Botox hanya mula dikomersilkan pada 1987.

Kolagen

Protein utama bagi tisu penyambung di dalam haiwan dan paling banyak terdapat di dalam manusia iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan protein dalam tubuh. Kolagen menjadi komponen penting dalam tulang, gigi, ligamen dan tendon. Bersama dengan keratin ia bertanggungjawab ke atas kekuatan dan elastisiti kulit. Kekurangannya membawa kepada kekedutan pada kulit. Justeru, suntikan kolagen mampu menghilangkan kesan-kesan penuaan seperti kedutan pada sekitar kulit wajah.

Vitamin C

Suntikan vitamin C jika dilakukan mengikut prosedur teratur dan berkesan mampu mencerahkan kulit wajah. Efek kulit cerah dan bercahaya dapat dilihat hasilnya selama lima kali suntikan, iaitu sekali setiap minggu. Suntikan vitamin C plus colagen yang digunakan untuk pemutih berfungsi untuk merangsang agar kulit lebih cerah dan anjal.

Liposuction

Teknik sedutan lemak atau liposuction adalah alternatif paling cepat untuk menguruskan badan tanpa melakukan senaman dan diet yang ketat. Perawatan ini menggunakan satu jarum dengan menyuntik ke beberapa bahagian anggota wajah dan badan, terutama di perut, paha, pinggang dan bahagian lengan bagi membuang lemak berlebihan. Cara ini diyakini berkesan dan pantas untuk mengurangkan lemak yang terkumpul. Bagaimanapun, kos untuk melakukan proses liposuction masih tinggi.

Powered by Berita Harian

Rekaan Eksklusif Adnan

5 May

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN

Lelaki ini pernah diberi gelaran Raja Denim kerana keunikan hasil rekaannya. Kini Adnan Hassan meluaskan lagi imaginasinya menghasilkan gaun-gaun ratu sehari.

RAJA Denim Malaysia. Itulah gelaran yang dianugerahkan oleh industri fesyen tanah air dan antarabangsa kepada pereka fesyen tempatan, Adnan Hassan.

Pengiktirafan ini sebagai mengangkat usaha beliau yang melonjakkan populariti industri fesyen tempatan selaras dengan hasil rekaannya. Beliau berjaya menonjolkan gabungan denim dan irama fesyen tempatan.

Pereka yang berusia awal 30-an ini menampilkan sifat unik dalam rekaannya dengan konsep tersendiri.

Menyedari permintaan perkahwinan yang semakin meningkat, jejaka kelahiran Kluang, Johor ini terus menghasilkan rekaan eksklusifnya yang penuh dengan perincian-perincian mewah untuk si ratu sehari.

DARIPADA dres denim, Adnan kini beralih angin menghasilkan gaun-gaun pengantin yang moden dan eksklusif.

“Sebelum ini, koleksi yang ditampilkan oleh saya mempunyai unsur-unsur denim. Keghairahan menghasilkan koleksi denim semata-mata untuk mengukir identiti tersendiri dalam dunia fesyen yang sentiasa mengalami pelbagai transformasi.”

Itulah luahan Adnan Hassan mengimbas pengalaman dan pencapaiannya selama sedekad.

Sejak beberapa tahun lalu, penampilan dan penglibatan Adnan dalam industri fesyen ini kurang menyerlah. Namun, ini tidak bermakna beliau memencilkan diri.

Sebenarnya segala tumpuan dan perhatiannya kini lebih berfokus dalam bidang pendidikan dan perniagaan apabila beliau lebih berminat untuk mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang dimiliki untuk dikongsi bersama generasi muda.

“Sejak tahun 2007, saya mula berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Lim Kok Wing. Kini, tiga semester telah berlalu dan saya berasa cukup gembira dan teruja dapat berkongsi pengalaman.

“Tempoh pengajaran selama dua hingga tiga hari seminggu secara tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada saya untuk meneruskan perniagaan menghasilkan rekaan eksklusif untuk perkahwinan dan mendapatkan tempahan daripada orang ramai,” kata Adnan ketika ditemui di kediamannya di Bandar Seri Permaisuri, Cheras, baru-baru ini.

DENIM menjadi identiti Adnan sejak sekian lama.

Jejaka tinggi lampai dan berambut panjang ini, mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan apabila beliau diberi kepercayaan oleh sebuah majalah perkahwinan terkenal tempatan dalam ruangan soal jawab pengantin bagi menyelesaikan masalah bakal ratu sehari untuk mendapatkan rekaan yang sesuai.

Ruangan tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan. Impiannya meneruskan perniagaan rekaan perkahwinan turut mendapat perhatian media elektronik tempatan apabila beliau sering menjadi tetamu undangan dalam program-program televisyen khususnya yang berkaitan dengan fesyen pengantin.

Graduan Sarjana Muda Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini memberitahu, rekaan baju pengantin pula lebih kepada konsep pengantin moden. Ini jelas kelihatan menerusi potongannya yang ringkas dan kemas. Namun, kadangkala sesuatu rekaan bergantung kepada si pengantin. Jika mereka menginginkan rekaan yang bersifat ekstravaganza dan unik maka rekaan akan dibuat mengikut cita rasa mereka.

RONA warna putih dan merah jambu disatukan menghasilkan busana pengantin yang anggun dan ekstravaganza.

“Alang-alang membuat pakaian perkahwinan, saya juga turut menawarkan perkhidmatan lengkap sebagai perancang majlis perkahwinan apabila semua kelengkapan dan keperluan persiapan mempelai ditawarkan di bawah satu bumbung.

“Bukan itu sahaja, saya dan rakan-rakan lain sentiasa menerima tempahan untuk perkhidmatan merancang majlis-majlis lain seumpama majlis hari jadi, pelancaran produk dan perkhidmatan serta lain-lain lagi,” ujar jejaka yang pernah meraih dua anugerah fesyen iaitu The Sixth Brother Cup China Young Fashion Designer Contest di Beijing China pada tahun 1998 dan Juara Anugerah Benang Emas pada tahun 2002 anjuran majalah Jelita.

Beliau juga cuba sedaya upaya merealisasikan impian para pelanggannya kerana kepuasan pelanggan adalah segala-galanya. Komitmen dan perkhidmatan yang berkualiti menjadikan perniagaannya terus maju.

Pereka yang banyak mencipta rekaan yang cukup hebat untuk artis tempatan seperti Nasha Aziz dan Mawi ini berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam dunia rekaan fesyen menerusi penganjuran kelas intensif, kursus, seminar dan bengkel.

“Aktiviti-aktiviti seumpama ini dianjurkan bagi mereka yang meminati bidang ini sama ada sekadar hobi baik menambah ilmu mahupun untuk memulakan perniagaan.

“Satu bengkel intensif jahitan manik secara kreatif bagi peringkat asas dan lanjutan baru sahaja dimulakan atas permintaan orang ramai dan para pelanggan,” jelasnya sambil menunjukkan bilik khas yang diadakan bengkel tersebut di kediamannya.

Tambahnya, bengkel yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang mendapat sambutan.

Namun, pelajarnya bukan sahaja datang dari sekitar Kuala Lumpur. Ada juga beberapa pengusaha wanita dari Kelantan dan Terengganu mahu mempelajari rahsia dan teknik-teknik menghasilkan sulaman manik yang menarik.

RANGGI dengan fesyen denim.

Apakah perancangan Adnan dalam tempoh sedekad akan datang? Beliau bercadang memperkembangkan perniagaannya dan ingin memiliki lebih banyak butik yang memperagakan rekaan eksklusif di seluruh negara.

“Saya juga ingin menubuhkan sebuah kolej yang menawarkan pengajian fesyen kreatif khas buat generasi muda yang ingin menceburi industri fesyen yang menjanjikan populariti dan kemewahan,” ujar Adnan.

Powered by Kosmo

Gaya: Sehelai Baju Untuk Dua Majlis

4 May



Wan Huzairil Wan Hussein

Soalan:

SAYA akan menghadiri satu majlis perkahwinan gilang gemilang pada Ogos ini dan satu majlis makan malam pada November. Saya merancang untuk membuat sehelai baju yang boleh dipakai pada dua majlis ini. Selain mengenakan baju kurung yang sememangnya sesuai untuk menghadiri semua majlis, saya ingin mengenakan fesyen lain seperti kurung moden ataupun gaun. Saya mempunyai ukuran badan 40-35-41 dan ukuran agak besar pada bahagian lengan iaitu 13 inci. Untuk pengetahuan saudara, saya berkulit cerah.

Fida Sahlan, melalui emel.
Jawapan

Menghadiri majlis perkahwinan dan makan malam memerlukan dua gaya berbeza iaitu busana bercirikan tradisional dan moden. Oleh itu, saudari perlu bijak membuat percaturan dalam usaha menjimatkan kos dan memudahkan tugas memilih busana. Pada saya, sehelai baju untuk dua majlis berkenaan sudah memadai.

Justeru, kali ini saya lakarkan rekaan bercirikan tradisional dan moden khusus untuk saudari. Busana ini kelihatan seperti kebaya singkat berkolar pada potongan depan baju tetapi pemilihan fabrik dan sentuhan moden membuatkan busana itu kelihatan seperti sut tiga keping.

Tubuh saudari adalah normal, cuma ukuran pada bahagian dada agak besar menjadikan ia kelihatan tidak seimbang. Jadi saya cadangkan leher baju dipotong berbentuk V bagi memberi ilusi kecil pada bahagian dada. Tampalan renda Perancis (French Lace) pada kolar pula dibuat supaya busana kelihatan lebih elegan dan mewah.

Selain renda Perancis, saudari boleh gantikan ia dengan renda lain yang lebih murah, namun prinsip untuk menjadikan sesuatu rekaan kelihatan mewah adalah melalui penggunaan tatahan manik dan kristal.

Selain itu, sulaman jemeki dan tampalan kristal Swarozki pada kolar juga penting bagi mengalih tumpuan dan menyembunyikan bahagian dada anda selain menambah seri busana.

Untuk rekaan kali ini, saya cadangkan supaya saudari gunakan sifon berwarna merah. Ciri sifon yang jatuh cantik membuatkan potongan jaket lebih terserlah. Boleh juga buatkan alas (lining) untuk jaket, tetapi kali ini saya cadangkan supaya saudari hanya mengenakan anak baju (camisole) pada bahagian dalam jaket.

Jangan abaikan hiasan pada hujung lengan misalnya melalui tampalan renda Perancis seperti yang digunakan pada kolar. Oleh kerana saudari mempunyai ukur lilit lengan yang agak besar, sembunyikan bahagian berkenaan dengan mengelakkan pemakaian baju daripada fabrik keras.

Padankan jaket dengan kain kembang atau berpotongan A-line bagi menyeimbangkan bentuk tubuh dan punggung. Kreativiti dalam menggandingkan penggunaan material merubah gaya busana. Oleh itu, saya cadangkan supaya saudari menggunakan alas skirt daripada fabrik sutera satin hitam. Gandingan merah dan hitam pada dua jenis material itu pasti membuatkan gaya anda lebih menyerlah pada majlis itu nanti.

Penggunaan aksesori perlukan sederhana. Bagi menyesuaikan ia dengan kebaya singkat berkolar merah dan hitam, saya sarankan supaya anda gandingkan ia bersama kalung mutiara hitam atau seutas rantai berlian (one line diamond). Pastikan ia tidak terlalu sarat.

PROFIL: Wan Huzairil Wan Hussein

  • Lulusan Diplome de Proffesuer in Moulage dan Diplome de Proddesuer in Fashion Design di Esmod Paris, Bangkok.
  • Antara pencapaian pereka berbakat ini, tempat ketiga Pakaian Pengantin Majalah Wanita (1994), Juara Pertandingan Jarum Berlian (1998), Juara Pertandingan Pakaian Pengantin Majalah Nona (1999), menerima gelaran ‘Raja Corset’ dan ‘Raja Songket Kontemporari’ pada 2005.
  • Rekaan pereka berbakat kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menjadi pilihan kerabat diraja Kelantan, selebriti terkenal Nasha Aziz, Anita Sarawak, Nurul, Ajai, Rozita Chek Wan dan artis baru seperti Sherry Ibrahim, Ashraf Muslim serta Iqram Dinzly.
  • Sesiapa yang berminat mendapatkan khidmat Wan Huzairil, hubungi beliau di talian 016-3653341 atau kunjungi butik Wan Huzairil di No 43, Jalan Suadamai 2/3, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras atau Lot 1308, Jalan Seroja, Taman Uda Murni, Kota Bharu, Kelantan.

INFO:

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Powered by Berita Harian

Bual Fesyen: Peranan Jurusolek Dipandang Sepi

30 Apr

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Kerja di belakang tabir tidak diberi tumpuan meskipun fesyen dan solekan saling berkait rapat

PERANANNYA tidak dirasai sungguhpun sentuhan tangannya kunci kehebatan dunia kecantikan dan peragaan. Dior, Shu Uemura dan Chanel antara nama besar peringkat antarabangsa yang mampu menggandingkan gaya dan solekan dalam satu, hingga menjadi ikutan seantero dunia.

Gaya smoky eyes yang mula diperkenalkan Dior menerusi sentuhan jurusolek sehingga ke hari ini berjaya menjadi ikutan di pentas peragaan, hinggalah ke jalanan. Daripada model terkenal hingga gadis biasa, di situlah peranan jurusolek dalam menentukan arah tuju serta gaya terkini dunia persolekan yang realitinya sentiasa ligat berputar.

Di Malaysia, nama model terkenal dan selebriti ternama, hampir semua pernah mendapat sentuhan jurusolek dan penggaya rambut, Razlan Bahari. Cuma berbeza namanya tidaklah sebesar mana. Siapa ambil peduli kerana yang paling mustahak, insan yang menerima sentuhannya mesti cantik dan molek dipanah lensa kamera. Begitulah hukumnya kerja belakang tabir.

Memulakan kerjaya pada usia 19 tahun, Razlan sedar di Malaysia peranan jurusolek tidak begitu dirasai sungguhpun pada peringkat antarabangsa, kelompok itu menjadi cukup penting dalam menentukan arah serta hala tuju, bentuk dan gaya solekan yang pasti bertukar setiap musim.

Jurusolek peringkat antarabangsa pula mampu menzahirkan karya dan kreativiti apabila bentuk solekan diadaptasikan ke gaya pakaian dalam menjayakan pertunjukan fesyen yang rancak diadakan di Paris, Milan atau New York. Karya mereka selalunya ditunggu-tunggu dan menjadi rebutan majalah fesyen untuk dimuatkan dalam terbitan masing-masing.

Citra berpeluang menemubual jurusolek artis dan penggaya rambut yang kini semakin dikenali namanya, malah tidak keterlaluan dikatakan sentuhannya menjadi rebutan. Solekan selebriti penghias kulit depan majalah dan pentas peragaan, sering memberi impak besar.

Citra : Bagaimana Razlan mula meminati bidang solekan?

Jawapan: Ketika di bangku sekolah dulu, sayalah budak kelas sains tetapi amat meminati fesyen. Ketika bersekolah dulu saya gemar menatap majalah antarabangsa seperti Vogue dan Glamour. Gambar kulit depan yang popular ketika itu Brooke Shileds, Iman dan saya selalu terfikir, bagaimanakah kerja mereka belakang tabir hingga boleh menghasilkan gambar kulit muka depan yang cukup mengagumkan. Kadangkala wanita berkenaan kelihatan cukup cantik. Minat saya itu menjadikan saya sudah dapat mengagak dunia glamor itu bakal menjadi milik saya. Lepas sekolah saya bekerja di salon selebriti Noor Kumalasari (kini sudah tutup) di Petaling Jaya. Bermula sebagai pembancuh air, saya akhirnya dibenarkan ‘memotong’ rambut dan menyolek. Saya belajar daripada pengalaman, sambil mengambil inspirasi gaya solekan Barat ketika itu. Kini sebagai jurusolek bebas, saya bebas menyolek di mana-mana, tetapi lebih gemarkan peragaan dan majalah.

Citra : Sejauh manakah peranan jurusolek dalam dunia fesyen dan kecantikan?

Jawapan : Peranan yang dimainkan jurusolek, sangat besar. Bayangkan kalau semua model tidak memakai sebarang solekan, tidakkah ia cukup membosankan? Hakikatnya solekan tidak sekadar menampal rona menarik pada wajah model, tetapi ia tampil bersama tema tertentu yang mempengaruhi dunia fesyen dan gaya solekan untuk sesuatu musim serentak. Kalau di Barat pereka seperti Alexender McQueen akan berbincang dengan penata gaya untuk menentukan gaya yang bakal dihasil.

Jenama tersohor seperti Christian Dior umpamanya melancarkan fesyen dan solekan sekali gus yang baru-baru ini mengambil ilham tahun 30-an dan 40-an, tetapi diperkaya dengan labuci dan kilatan. Malah ilham berkenaan diangkat menerusi koleksi alat soleknya.

Di sini pula, saya pernah terbabit dalam penggambaran kulit majalah Ziana Zain untuk memperkenalkan gaya solekan Chanel yang mengambil ilham gaya Shanghai pada 1950-an lalu. Kami berbincang terlebih dulu mengenai gaya solekan dan pakaian yang hendak digayakan, maka lahirkan kulit majalah yang cantik sebegitu, dan sampai maksud untuk mempromosi pakaian diserikan solekan yang bertepatan.

Citra : Bagaimanakah bentuk kolaborasi solekan dalam menjayakan sesebuah pertunjukan fesyen?

Jawapan : Gaya solekan menyampaikan maksud ilham rekaan seseorang pereka. Masih menggunakan contoh Dior, kolaborasi ini jelas sekali di dalam koleksi Ultra Shine, teknologi makmal bekerjasama dengan kumpulan pakar Dior menghasilkan solekan berkenaan dan diaplikasikan dalam pertunjukan fesyennya. Pada peringkat antarabangsa pertunjukan fesyen oleh jenama besar selalunya amat ditunggu-tunggu malah berebut-rebut pembeli fesyen, orang dalam industri fesyen dan sebagainya ingin mengetahui mengenai apa buah tangan terbaru daripada jenama berpengaruh ini. Selalunya solekan dipertunjukkan pentas itu digayakan lebih keterlaluan dan mempunyai konsep tertentu, yang disesuaikan dengan gaya fesyen. Kalau ia memilih gaya anggun, gaya solekan sedikit lembut, manakala kalau fesyen berkenaan funky, maka solekan umpamanya menjerit. Sebagai contoh sekiranya nama besar seperti Chanel itu menggunakan rona berkilat untuk solekan, dan fesyen, maka seantero dunia menggunakan rona yang sama.

Citra : Benarkah jurusolek yang menggunakan jenama solekan seperti Shu Uemura boleh terkenal lebih cepat berbanding jurusolek bebas?

Jawapan : Saya memulakan kerjaya sebagai jurusolek bebas sejak berbelas tahun yang lalu, dan pada saya jawapan kepada soalan itu betul dan ada tidaknya. Betul kerana jurusolek berkenaan menggunakan jenama ‘jurusolek Shu Uemura’ atau ‘jurusolek L’Oreal’ dan sebagainya menjadikan mereka cepat terkenal. Tetapi tidak juga kerana sekiranya kita terikat, maka kreativiti jurusolek berkenaan mungkin terhad, dengan menggunakan alat solek daripada jenama tertentu. Saya tidak gemar terikat kerana ia hanya akan mengehadkan kreativiti saya. Saya senang begini, membawa segala jenis jenama kerana saya bereksperimen dengan ronanya. Saya tidak suka terikat kerana kadangkala segelintir jenama punyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Jurusolek Laura Mercier antara yang bertuah kerana hasilkan produk sendiri, dan gaya solekan selalu menjadi rujukan. Bagi saya menjadi sepertinya? Mungkin tidak akan berlaku, malah jurusolek lain pun di Malaysia mungkin tidak akan jadi seperti Laura kerana industri kita terlalu kecil.

Citra : Bagaimanakah daripada segi pendapatan? Adakah nasibnya sama dengan model tempatan, yang tidak boleh dibanggakan?

Jawapan : Kalau dibandingkan dengan peringkat antarabangsa, perkembangan solekan negara ini jauh 20 hingga 30 tahun ke belakang. Daripada segi pendapatan, ia bergantung kepada kesungguhan jurusolek. Kalau rajin maka pendapatan anda juga hebat. Saya juga buat pelbagai kerja, daripada solekan pengantin, selebriti hingga kulit majalah, semuanya saya boleh lakukan, tetapi kalau solekan pengantin memang saya sengaja tidak buat banyak kerana saya tidak mahu dikaitkan sebagai pak andam. Kecenderungan saya lebih cenderung kepada dunia peragaan dan glamor. Hari ini saya merasakan peranan jurusolek semakin dihargai, dengan kewujudan majalah fesyen seperti Glam, saya dapat merasakan kepuasan. Ini kerana kalau sebelum ini dan mungkin dalam majalah wanita yang lain, jurusolek hanya akan dipanggil selepas gaya yang dipaparkan untuk muka depan diputuskan oleh jawatankuasa majalah, tetapi di majalah ini, jurusolek, penata gaya, penulis malah jurugambar akan duduk semeja, berbincang bagaimana dan apa yang perlu dipaparkan untuk majalah keluaran terbaru. Kepuasan dalam bekerja ada di situ.

Sungguhpun begitu masa depan insan seni seperti saya masih samar. Saya juga agak kecewa kerana tidak ada badan yang memberi sokongan menjadikan ramai yang tidak nampak kepentingannya. Ini berlainan sekali dengan Indonesia yang mana mereka ada produk sendiri seperti Mustika Ratu dan Sari Ayu, tetapi dalam majlis yang gah, mereka selalu dipanggil menjadi entiti rasmi.

Citra : Siapakah antara model atau selebriti yang paling anda gemari untuk dirias?

Jawapan : Nasha Aziz, Tengku Azura dan Datuk Siti Nurhaliza kerana mereka mempunyai gaya tersendiri. Nasha Aziz mampu ‘membawakan’ setiap solekan yang mana ia satu kemahiran yang bukan mudah untuk dilakukannya. Kadangkala ada orang yang kita solek garang dan mahukan ‘rupa’ garang juga, tetapi ada yang tidak mampu menggayakannya, tetapi berilah apa pun kepada Nasha kerana beliau mampu membawakan apa saja. Saya juga senang bekerjasama dengan Tengku Azura kerana bentuk wajah yang tajam selain gelaran supermodel menjadikan bonus untuk dirinya bergaya hebat. Sementara Datuk Siti pula, daripada rupa gadis biasa sederhana, solekan boleh membuatkan dirinya kelihatan cukup jelita. Ini adalah satu kelebihan kerana ada wanita yang sungguhpun cantik, tetapi bila disolek kelihatan biasa, nasib tidak baik jadi tidak cantik pula.

Citra : Siapakah pula individu yang anda teringin benar untuk merias wajahnya?

Jawapan : Kalau tempatan, saya impi sangat untuk menyolekkan Raja Permaisuri Agong dan kalau pada peringkat antarabangsa, saya teringin menyolekkan Madonna. Mungkin kerana minat dan memuja maka kedua-dua ini menjadi cita-cita saya untuk menyolekkan mereka.

Citra : Apakah istilah solekan yang baik?

Jawapan : Orang selalu berkata, kerja menyolek itu tampak mudah dan siapa saja boleh melakukannya. Memang betul, tetapi seorang jurusolek, berfikir bagaimana menjadikan solekan itu memikat, tampak cantik dan diterima ramai. Bagi orang biasa, rutin seharian adalah biasa seperti mata, pipi dan bibir. Untuk jurusolek mungkin musim ini mengetengahkan gaya bulu mata palsu yang keterlaluan, tetapi bibir hanya dibias pengilat bibir. Pada pandangan saya seorang jurusolek perlu menghasilkan solekan yang cantik. Saya pernah membawakan solekan muka depan majalah fesyen tempatan Glam oleh pelakon Ida Nerina. Kalau tengok dari jauh memang menakutkan, tetapi ia sesuatu yang cantik dan tidak jemu di pandang.

Saya sebenarnya sukakan gaya solekan 1980-an dulu yang mana lebih kepada pop art. Ketika itu artis seperti Noor Kumalasari, Sudirman gemar tampil dengan gaya dan solekan yang dramatik dan ‘over’. Pada saya ia sangat menarik kerana mereka berani dengan gaya begitu. Begitupun dikalangan selebriti Indonesia, mereka gemarkan solekan tebal yang tahan berhari-hari, malah segelintir artis membuang semua bulu mata dan kening supaya mudah mengenakan yang palsu. Mereka lebih ekstrim. Tetapi saya tidak suka begitu, saya gemar kekalkan yang asli dan saya lihat orang sekarang pun gemarkan kesederhanaan, dan kita cuba ikut cara begini.

Powered by Berita Harian

Cerita Itu Karut! – Aqasha

22 Apr

AQASHA mengakui cukup selesa dan serasi berlakon bersama pasangan lakonan terbarunya, Fazura dalam drama bersiri, Bicara Cinta yang akan ditayangkan di Astro Prima bermula 7 Mei depan. Gambar JEFFRI IRAN

TIBA-TIBA sahaja, nama aktor dan penyanyi kacak ini, Firdee Akassya Rosli, 26, atau dengan nama komersialnya, Aqasha menjadi bualan. Dia menjadi mangsa gossip liar kononnya menjalin hubungan cinta dengan model dan pelakon terkenal, Nasha Aziz sewaktu mereka digandingkan bersama membintangi telemovie arahan Rashid Sibir, Kasihnya Mia.

Saat diajukan soalan tersebut kepada empunya diri, tiada kata yang mampu dilafazkannya melainkan dengan memberikan wajah yang cukup terkejut kerana tidak menyangka sama sekali namanya dibabitkan dengan model terkenal itu.

Dia yang terkejut dengan berita itu menganggap berita itu sebagai tidak berasas serta sebuah cerita yang karut.

“Siapalah saya untuk mendampingi Nasha. Saya masih lagi berpijak di bumi nyata. Jujurnya, saya memang tidak menyangka sama sekali hubungan kami yang hanya sekadar teman artis telah disalah erti oleh sesetengah pihak.

“Saya profesional dalam kerja dan saya pasti Nasha juga begitu. Saya berharap agar cerita sebegini tidak timbul lagi dan semoga penjelasan saya ini dapat menjawab segala persoalan anda juga,” jelas Aqasha penuh mengharap ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Astro Megadrama, Bicara Cinta di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Malah, Aqasha memberitahu, hubungannya dengan Tasha yang juga bekas peserta konsert prelude Akademi Fantasia musim keempat pada ketika ini juga masih berjalan dengan lancar dan tiada masalah yang mereka hadapi sepanjang perhubungan mereka.

“Kami masih lagi berkawan dan hubungan kami masih baik seperti biasa. Kami berjaya mengekalkan hubungan yang harmoni setakat ini. Malah, saya juga tidak mahu terlalu merancang untuk membawa hubungan kami ini ke peringkat perkahwinan.

“Saya berserah kepada qada’ dan qadar dalam menentukan siapa jodoh saya. Mungkin juga kerana sebelum ini, beberapa hubungan cinta saya menemui kegagalan dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi diri saya untuk lebih berhati-hati.

“Seandainya jodoh saya bersama Tasha, saya terima dan begitu juga sebaliknya. Buat masa ini, saya suka melihat bagaimana kami mengekalkan hubungan ini dan menjaga ikatan silaturahim itu dengan sebaiknya,” cerita Aqasha yang mula mencipta nama sebagai seorang pelakon menerusi filem Embun arahan Erma Fatima pada tahun 2002.

Bercerita tentang karier seninya pula, dalam diam, anak jati Kuala Lumpur ini sudah memasuki tahun kedua pengajiannya dalam bidang kejuruteraan audio di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) sepenuh masa sejak tahun 2007 lagi.

Dia mengakui, begitu meminati bidang muzik dan keinginannya melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut sebagai jaminan masa depan kerana Aqasha akur bahawa industri hiburan tanah air ada pasang dan surutnya.

“Setidak-tidaknya, saya sudah mempersiapkan diri saya dengan ilmu pengetahuan serta saya dapat aplikasikan apa yang saya belajar dalam pengajian saya ini untuk menerbitkan lagu-lagu saya sendiri kelak.

“Setakat ini, memang saya banyak mencipta lagu dan koleksi saya juga kalau dikira sudah cukup untuk membuat sebuah album. Saya akan membuat kemunculan semula selepas saya tamat belajar yang dijangka pada awal 2010 kelak. Mungkin saya akan melahirkan sebuah album mini selepas ini. Pastinya saya akan lebih berpuas hati kerana dapat menentukan arah tuju saya dalam bidang muzik,” ujarnya.

Anak muda itu sebelum ini pernah menjadi artis rakaman Suria Records (SRC) selama lima tahun dan sempat melahirkan dua buah album iaitu Cahaya Hati (2001) dan Impian (2002).

Malah menerusi dua buah album itu juga, Aqasha yang memiliki suara yang boleh dikategorikan sebagai penyanyi bersuara jantan pernah mencuri perhatian peminat hiburan tanah air dengan lagu Cahaya Hati dan Embun.

Kegagalan

Namun, tidak berasa putus asa dengan kegagalan kedua-dua buah albumnya sebelum ini, Aqasha memberanikan diri dengan menceburi bidang lakonan yang ternyata berjaya meletakkan dirinya sebagai antara pelakon pelapis yang berwibawa membawa karakter yang diberikan.

“Saya bersyukur kerana rezeki saya cukup murah dalam bidang lakonan dan walaupun begitu, saya tetap akan memilih karakter yang bersesuaian dengan diri saya kerana saya tidak mahu dilabelkan sebagai tamak dan mengambil apa sahaja watak yang diberikan kepada saya.

“Seandainya nanti saya tidak mampu membawakan watak yang diberikan, saya juga akan dilabelkan sebagai seorang pelakon yang tidak pandai berlakon,” ucapnya jujur saat ditanya tentang pasangan pelakonnya.

Baginya, apa yang paling penting untuk setiap drama mahupun filem adalah keselesaan dan keserasian itu akan datang sendiri dalam diri masing-masing.

Anak muda ini mengakui beliau cukup selesa berlakon di samping Rita Rudaini dan terbaru, Nur Fazura yang pertama kali digandingkan bersama saya dalam Bicara Cinta. Begitu juga dengan Nasha yang disifatkannya sebagai pelakon berbakat.

Selain Aqasha dan Fazura, Bicara Cinta yang akan menemui penonton setia saluran Prima (saluran 105, Astro) pada setiap hari Rabu bermula 7 Mei depan pukul 9.30 malam selama satu jam turut dibintangi Beego, Zizie Izette dan Fauziah Nawi.

Powered by Utusan Malaysia

Aqasha Cinta Baru Nasha?

21 Apr

Oleh HARYATI KARIM

SUDAH lama tidak mendengar khabar jejaka yang bernama Aqasha ini. Nampaknya badannya sedikit susut tetapi dia tetap laris sebagai pelakon.

Sebelum ini dia dikenali sebagai penyanyi dan sempat melahirkan dua buah album, tetapi kini nampaknya dia lebih selesa dengan gelaran pelakon pula.

Lihat saja deretan filem dan drama yang pernah dilakonkannya, antaranya filem Embun dan GK3 The Movie serta drama Tikar Buruk, malah banyak lagi sehingga tidak terkira dek jari.

Namun, baru-baru ini ada khabar angin sepoi-sepoi bahasa yang membawa berita bahawa sang jejaka ini sedang hangat bercinta dengan supermodel Malaysia yang juga pelakon handalan, Nasha Aziz.

Apabila tercetus gosip artis bercinta sesama artis, apatah yang membabitkan Nasha pula, mahu atau tidak mahu, Aqasha terpaksa menerima kenyataan diri diheret menjadi bahan tulisan hangat dalam dunia hiburan tempatan.

Lagipun, sebelum ini dia dihebohkan bercinta dengan seorang gadis bernama Tasha.

Dia juga dikatakan sudah putus kasih dengan Tasha hanya kerana Nasha.

Aqasha dengan riak terkejut menjawab: “Itu kurang tepat dan tidak betul sama sekali. Mana ada saya bercinta dengan Nasha, saya tidak tahu macam mana cerita ini boleh timbul,” tegas Aqasha menafikan dakwaan itu.

Dia yang bergandingan bersama Nasha Aziz dalam drama Kasih Mia menegaskan hubungan mereka berdua tidak lebih daripada seorang kawan sahaja.

“Memang saya pelik, saya sendiri pun tak pernah dengar cerita ini. Mungkin orang cakap begitu sebab nampak kami minum bersama, tetapi itu mungkin masa penggambaran.

“Lokasi penggambaran kami semua tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti KLCC, masa rehat kami ada juga minum di kedai makan berdekatan mungkin orang nampak kami berdua waktu itu dan terus mengatakan kami bercinta,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Tambah pemilik nama Ferdee Akassya ini lagi, hubungannya dengan Nasha sama seperti pelakon lain dan menurut Aqasha dia sedar siapakah dia.

Untuk bertakhta di hati Nasha dia mungkin tidak layak jauh sekali bergandingan dengan wanita jelita dan ternama sepertinya.

“Dia siapa dan saya siapa? Saya orang baru, kami menghormati antara satu sama lain tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

“Lagipun kami hanya bertemu di set penggambaran sahaja, malah kami juga tidak pernah keluar berdua selepas waktu penggambaran, habis sahaja penggambaran kami tidak lagi berhubung,” ujarnya.

Reaksi diri Tasha


AQASHA mengakui Tasha terkejut dengan gosip hubungan cintanya dengan Nasha.

Justeru itu, bagaimana pula reaksi Tasha, kekasih hati yang sudah dikenalinya hampir empat tahun lalu, berhubung cerita cinta ini?

Tidakkah terluka dan terguris apabila kekasih hati kita sedang dikatakan rapat dengan artis tersohor seperti Nasha?

“Saya pasti dia juga akan terkejut dan tidak menyangka yang saya akan dikaitkan dengan Nasha. Tetapi itu tidak mendatangkan masalah kerana hubungan kami masih berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Bercerita lebih lanjut tentang temannya itu, Aqasha memberitahu mereka ada juga merancang untuk menamatkan zaman bujang masing-masing, tetapi buat masa ini dia mahu memantapkan kerjayanya terlebih dahulu

“Saya orang yang sudah lalui beberapa hubungan yang tidak menjadi, itu yang memberi saya pengajaran dan pengalaman untuk menjaga hubungan ini dengan lebih baik lagi.

“Bohonglah kalau saya kata saya tidak merancang untuk masa depan saya sendiri. Jadi atau tidak hubungan kami hanya Tuhan sahaja yang tahu, tetapi andai kata tiada jodoh, kami akan terus berkawan sebagai manusia biasa,” jelasnya lagi.

Belajar sambil bekerjaDalam kesibukan dirinya di lokasi-lokasi penggambaran, jejaka berusia 26 tahun ini sempat juga mencuri masa untuk menyambung pelajarannya di peringkat diploma dalam jurusan jurutera audio.

Katanya lagi, tahun ini merupakan tahun akhir dia di International College Of Music.

“Saya memang minat dalam jurusan yang saya ambil ini, kerana saya dulunya seorang penyanyi dan kini masih lagi seorang penyanyi cuma tidak seaktif dulu.

“Matlamat saya, selain berlakon saya juga ingin menjadi seorang pemuzik yang berilmu dan apabila tamat belajar saya akan teruskan perjuangan muzik saya yang tergendala sebelum ini,” tuturnya.

Apa yang penting baginya kini ialah menamatkan pelajaran dahulu sebelum mengambil mana-mana tawaran.

“Memanglah belajar sambil bekerja penat tetapi saya tidak mahu mengulang semula kerana gagal, oleh itu pelajaran merupakan perkara yang paling penting untuk saya sekarang ini,” luahnya lagi.

Serasi bersama Fazura

AQASHA bersama cinta hati terbarunya di layar kacanya, Fazura.

Aqasha yang ditemui semasa majlis MegaDrama Astro di Damansara baru-baru ini, kelihatan secocok dengan pelakon Fazura yang merupakan pasangan heroinnya di dalam drama bersiri arahan Rashid Sibir, Bicara Cinta.

Dan jangan pula selepas ini tiba-tiba dia dikaitkan pula dengan Fazura kerana mereka hanya berhubungan di lokasi penggambaran. Itu sahaja, tidak ada lebihnya.

Ulas Aqasha lagi tentang Fazura, “Dia memang seorang yang menarik dan juga amat berbakat, saya juga senang berlakon bersamanya.

Keserasian itu dapat dilihat dalam drama terbaru lakonan mereka berdua yang dipertontonkan kepada media pada majlis itu.

“Dia memang senang untuk dibawa berbincang, dia juga banyak membantu saya untuk menghayati watak yang saya bawakan,” tuturnya jujur.

Ditanya apalah misinya selepas ini dalam karier dan kehidupan, dengan tenang Aqasha menjawab: “Saya ingin bercuti dan berehat kerana sepanjang tahun lalu saya sibuk berlakon.

“Mungkin saya akan bercuti dalam tiga bulan sebelum meneruskan kerja dan kuliah seperti biasa.

Powered by Kosmo

Bual Fesyen: Kreativiti Richie Zahirkan Gaya Glamor Peragawati

16 Apr

Oleh Halina Mohd Noor



GIGIH: Kreativiti menjadikan Richie unik dan tampil dengan kelas tersendiri.

Pengalaman daripada pembelajaran, pemerhatian digunakan sepenuhnya apabila pulang ke tanah air

DIKALANGAN mereka yang terbabit dalam dunia fesyen tanah air, nama Richie Rachman bukanlah asing, khususnya mereka yang boleh dikatakan senior dalam industri ini. Mungkin Richie tidak terbabit secara langsung dengan rekaan fesyen tetapi beliau banyak menghasilkan nama besar dalam bidang ini seperti Aleeza Kassim, Nasha Aziz, Sofia Jane, Erra Fazira, Umi Aida, Irene Santiago dan ramai lagi. Bermula sebagai gadis biasa, bakat mereka diasah Richie melalui majalah remaja popular ketika itu sehingga menyerlah dalam pelbagai bidang sama ada peragaan, lakonan mahupun nyanyian.

Tidak setakat itu saja, Richie juga banyak mengetengahkan pereka fesyen tempatan dan juru mekap yang kini mencipta nama dalam bidang masing-masing. Pendek kata, berilah apa saja kepada Richie, pasti hasil yang dikemukakan tidak mengecewakan. Walaupun kini bergelar Pengarang Kumpulan-Kreatif dan Pengarang majalah Arena Bola Sepak, ia sekalipun tidak menghalang beliau daripada menggunakan kreativitinya. Malah bakatnya itu digunakan sepenuhnya bagi menampilkan keunikan pada majalah berkenaan. Lebih menarik, Richie yang pernah tampil dengan novel Skandal dan Ratu, kini mencurahkan bakat penulisan kreatifnya dengan menghasilkan novel terbarunya, Noda.

Selain bergelar pengacara radio Wanita, Richie juga sering diundang memberikan ceramah mengenai ketrampilan diri kepada pelbagai persatuan wanita dan pelajar pusat pengajian tinggi. Mengenali lebih dekat insan kreatif ini, ikuti temu bual Citra bersamanya.

Citra: Bagi mereka yang mengikuti perkembangan majalah fesyen sekitar pertengahan 80 an dan 90 an, nama Richie Rachman pasti cukup dikenali sebagai pengarah gaya yang begitu kreatif. Ramai tertanya-tanya, siapakah Richie sebenarnya dan apakah anda mempunyai latar belakang dalam bidang seni khususnya fesyen?

Sebelum menyertai bidang penulisan, saya belajar di Institut of Art di Paris sekitar 1980 an. Bagaimanapun, oleh kerana kejutan budaya di sana, saya tidak dapat menyempurnakan kursus itu. Visa untuk belajar selama setahun itu lebih banyak saya gunakan untuk melawat ke pelbagai butik dan muzium fesyen sekitar Eropah. Semuanya kerana minat yang begitu mendalam dalam bidang ini. Hasil pengalaman daripada pembelajaran mahupun pemerhatian itu, saya gunakan sepenuhnya apabila pulang ke tanah air dan bekerja di majalah untuk golongan muda terbitan Kumpulan Karangkraf sebagai pengarang. Di samping bertindak sebagai pengarang, saya juga menyelaraskan ruangan fesyen termasuk sudut fotografi serta teks.


BERJAYA: Ramai nama besar dilahirkan menerusi pertandingan Dewi Remaja yang dikelolakan Richie.

Citra: Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, anda adalah antara individu yang memperkenalkan penata gaya di negara ini yang ketika itu belum ada pihak yang memandang fungsinya secara serius. Bagaimana anda melihat kepentingan seorang penata gaya dan kesan yang dihasilkannya?

Saya tidak pasti mengenai perkara itu (perintis penata gaya). Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang baru di kota fesyen ketika itu. Kebanyakan majalah fesyen terkenal pasti ada penata gaya yang menentukan gambar yang ingin dihasilkan. Misalnya, kesan pencahayaan dalam fotografi ke atas baju yang digayakan. Seorang penata gaya juga menentukan konsep baju, lokasi, mood dan latar belakang yang ingin diterapkan dalam gambar termasuk dandanan rambut serta mekap. Kemudian, barulah ditentukan apakah pakaian yang sesuai dengan semua itu. Saya lebih gemarkan kesan gambar lebih dramatik dalam menampilkan gaya fesyen. Misalnya berlatar belakangkan air terjun berbanding di studio yang agak kaku. Air terjun yang jatuh ke muka model menghasilkan kesan yang tidak dapat diceritakan dengan perkataan atau baju bermotif bunga mungkin lebih menarik perhatian jika peragawatinya memegang sesuatu di tangan seperti tembikai besar yang merah menyala.

Seorang penata gaya melihat semua ini dari sudut lensa jurugambar dan emosi pembaca ke atas pakaian yang ingin diserlahkan. Kita tidak boleh mengharapkan semua hasil terbaik ini kepada jurugambar semata-mata. Mungkin mereka mahir dalam teknik foto tetapi tidak dalam beberapa hal membabitkan fesyen. Apabila segala-galanya terancang, gambar yang dihasilkan lebih unik serta mampu menceritakan segala-galanya.

Citra: Apakah sesi fotografi yang paling anda tidak dapat lupakan sepanjang kerjaya anda?

Setakat ini saya pernah diundang ke Singapura dan Jakarta untuk sesi penggambaran fesyen di sana yang ditaja oleh syarikat penerbangan tempatan. Bagaimanapun yang paling menarik dan tidak dapat dilupakan adalah sesi penggambaran di dalam kapal mewah bersama model, Shelly Ann Clark. Kapal berkenaan belayar dari Kuantan ke Kuching. Ia menarik sekali kerana merakamkan keindahan alam dan pakaian santai berkonsep percutian. Salah satu gaya yang menarik ialah Shelly terpaksa memanjat tiang layar untuk memberikan mood percutian.

Citra: Sejauh mana anda melihat kepentingan peranan penata gaya di negara ini terutama majalah tempatan?

Tidak semua majalah tempatan menggunakan sepenuhnya penata gaya. Apa yang berlaku hari ini, kebanyakannya sekadar melepaskan batuk di tangga dalam menghasilkan ruangan fesyen mereka. Mungkin ada beberapa halangan seperti masa dan wang atau kurangnya kesedaran mengenainya. Hasilnya, fesyen yang dipaparkan lebih banyak berlatar belakangkan studio yang pastinya kelihatan kaku. Tidak dinafikan ada majalah tempatan yang menghasilkan gambar fesyen yang menarik dan dramatik.

Citra: Anda seorang yang mempunyai cita rasa tersendiri terhadap bidang fesyen mahupun segala yang berkaitan dengannya. Mengapa tidak menggunakan kreativiti yang anda untuk menghasilkan rekaan sendiri?

Sebaik kembali ke Malaysia, saya memang menyimpan cita-cita itu. Sasaran ketika itu, ingin bergelar penulis fesyen dan kecantikan yang unggul serta mengeluarkan koleksi sendiri. Bagaimanapun, hakikatnya, ingin bergelar pereka fesyen mesti ada modal. Jika tidak, sukar untuk menghasilkan pakaian berkualiti. Modal menjadi penghalang, apatah lagi ketika itu saya masih baru membina kerjaya. Walaupun tidak bergelar pereka fesyen, sebagai pengarang, saya banyak berkawan dengan pereka terkenal seperti Bill Keith, Datuk Bernard Chandran dan Albert King. Bergaul dengan mereka membolehkan saya mendapat maklumat terkini mengenai aliran fesyen seperti potongan terbaru, warna dan sebagainya. Disamping itu, saya juga banyak membaca untuk menambahkan pengetahuan. Bagaimanapun, hari ini saya berpuas hati walaupun mungkin tidak sepenuhnya kerana mampu berkarya melalui cara tersendiri.

Citra: Bagaimana anda melihat perkembangan fesyen hari ini? Apakah rekaan yang anda gemari?

Dulu kalau dikatakan glamour mesti berbentuk kembang meleret tetapi hari ini, lebih kepada ringkas sama ada dari segi potongan mahupun butiran hiasan yang menampilkan kesan mewah. Secara peribadi, saya lebih gemarkan rekaan penuh dramatik yang dihasilkan Dior dan Vivienne Westwood yang potongannya unik dan banyak menggunakan ropol. Saya juga memilih Escada untuk potongan mewah dan moden.

Saya juga turut mengagumi pereka tempatan seperti Datuk Bernard Chandran yang menghasilkan rekaan mewah manakala Bil Keith untuk gaya ringkas tetapi menarik sekali. Rekaan Izal dan Amin Jauhary juga tidak kurang menarik perhatian.

Citra: Anda banyak melahirkan bakat besar dalam pelbagai bidang sama ada lakonan, peragaan dan nyanyian juga. Secara peribadi, siapakah yang boleh anda banggakan dan apakah kriteria penting untuk bergelar peragawati?

Mereka semua adalah kebanggaan saya seperti Aleeza Kassim, Sofia Jane, Nasha, Irene Santiago, Umi Aida, Kuza dan ramai lagi. Sememangnya cita-cita saya untuk melahirkan model tanah air yang berjaya. Daripada gadis biasa, mereka bergelar ‘somebody’. Bagi saya, Aleeza Kassim paling berjaya dan berpotensi tinggi sebagai model. Susuk tubuhnya yang langsing memang sesuai untuk menggayakan apa juga jenis potongan. Dia juga memiliki bahasa tubuh yang bijak apabila berdepan kamera. Seorang model bagaikan penyangkut baju, selain tinggi, cantik dan ramping, mereka perlu bijak bergaya depan kamera. Aleeza juga kini mempunyai akademi model tersendiri. Nasha Aziz juga tidak kurang hebatnya. Bermula daripada model, dia kini bergelar pelakon berjaya. Tidak dinafikan hari ini, Tengku Azura menjadi model yang paling digemari hari ini. Seorang model perlu tinggi dan kurus iaitu perlu ada pinggang selain bijak memberikan mood tersendiri dan sesuai dengan konsep baju digayakan. Mereka perlu berusaha ke arah itu untuk berjaya.

Citra: Apa pandangan anda mengenai kemasukan model asing ke negara ini. Adakah ia baik untuk industri ini?

Terus terang saya katakan, amat kasihan dengan gadis tempatan terutama gadis Melayu kerana peluang mereka seolah-olah terus tertutup dengan kehadiran model berdarah ‘mat salleh’ hari ini. Bukannya kita hendak menutup rezeki mereka tetapi sebaiknya ia dikawal agar tidak menghalang peluang gadis tempatan dalam industri ini. Kerajaan perlu melihatnya secara lebih serius kerana ia langsung tidak mencerminkan imej negara. Saya sedar usaha ini pernah dilakukan tetapi ia sekadar hangat-hangat tahi ayam dan tidak begitu menjadi.

Mungkin ketinggian menjadi halangan bagi gadis tempatan tetapi ini boleh diatasi dengan mencari lebih ramai bakat di luar sana. Dalam perkara ini, kita boleh mencontohi Aleeza Kassim yang menubuhkan akademi modelnya sendiri. Lebih banyak akademi sebegini perlu diwujudkan jika mahukan lebih ramai gadis tempatan menyertai bidang ini.

Citra: Dikalangan selebriti lelaki, pada pandangan anda, siapakah yang bijak bergaya? Apakah pilihan anda sendiri?

Saya boleh bahagikan kepada kategori usia iaitu 40 an, 30 an dan 20 an. Lelaki 40 an yang bijak bergaya adalah Hattan. Gayanya santai tetapi menampilkan gaya macho dan seksi. Pemilihan fabrik linen aadlah yang terbaik untuknya dan digayakan dengan jeans serta jaket. Ia membuatkan penyanyi ini kelihatan ‘smart’ dan lasak. Manakala Anuar Zain mewakili mereka yang berusia 30 an. Dia adalah ikon bagi gaya rasmi kerana kelihatan begitu segak apabila menggayakan sut. Jeans juga membuatkan Anuar kelihatan santai dan kemas. Setakat ini belum ada personaliti berusia 20 an yang boleh dicontohi. Bagi golongan muda kini, gaya Gothic menjadi pilihan tetapi tidak ada yang menonjol.

Secara peribadi, saya lebih gemar tampil santai dan lasak seperti jeans bersama baju t. Gaya rasmi, saya lebih gemarkan pakaian daripada linen dengan menggayakan koleksi Malique Fusion atau William Liu. Di konti radio pula saya lebih senang bergaya muda bagi menghayati muzik dalam semua genre.

Powered by Berita Harian