Archive | M. Nasir RSS feed for this section

Ikhwal Cekal Kejar Impian

3 Feb

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


Iqwal bakal muncul dengan album perdana bulan ini.

Sokongan KPKKW, keluarga hampir melaksanakan cita-cita perluas bakat ke Amerika Syarikat

TIADA kesal meskipun usia remajanya dihabiskan untuk mengejar cita-cita dalam bidang seni. Semuanya dilakukan atas dasar minat dan kerana itu, Ikhwal Hafiz Ismail atau Iqwal tidak merungut dengan segala perancangan yang disusun ibunya, Normin Shah Khairuddin.

Pada usia 16 tahun, Iqwal membanggakan negara apabila merangkul empat pingat emas dan satu perak pada pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) Ke-12 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Ogos tahun lalu.

Kesungguhannya juga melayakkan Iqwal menerima Anugerah Industri pada pertandingan lanjutan di Kodak Theatre, Hollywood sekali gus membuka ruang untuk mengetengahkan bakatnya ke pasaran AS.

Untuk merealisasikan impian itu, Iqwal memerlukan sekitar RM500,000 dan kos itu katanya, hanya diperuntukkan untuk produksi album yang memenuhi standard antarabangsa.

Iqwal juga diminta berada di sana selama empat bulan bagi memenuhi tuntutan promosi, namun segala perbelanjaan adalah atas tanggungan sendiri.

Bagaimanapun, Iqwal berterima kasih kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) yang berusaha untuk merealisasikan impian besarnya itu.

Namun, itu tidak bermakna dia hanya menyerah tanpa melakukan apa-apa. Persediaan katanya, memainkan peranan penting supaya kehadirannya nanti tidak hanya bersandar kepada tuah semata-mata.

Justeru, Iqwal kini mengikuti pelbagai kelas termasuk seni persembahan, piano, gitar klasik selain nyanyian lagu asli untuk memastikan dia benar-benar bersedia melangkah ke persada antarabangsa.

“Saya agak bertuah kerana KPKKW berusaha keras untuk merealisasikan impian itu. Jujurnya saya memang sudah bersedia untuk mencuba di pentas yang mencabar, namun sesekali saya juga tidak terlepas daripada perasaan takut.

“Saya membawa harapan negara dan tanggungjawab itu terlalu besar. Apatah lagi pengalaman saya dalam bidang seni juga belum cukup meluas, membuatkan saya sukar untuk meramalkan apa yang bakal dilalui nanti,” katanya ketika ditemui untuk satu sesi fotografi bersama Hip, baru-baru ini.

Iqwal berkata, selepas meraih Anugerah Industri, pihak berkaitan menawarkan peluang untuk dia membina karier nyanyian di Hollywood.

Bagaimanapun, Iqwal tidak mahu cepat berasa selesa lalu menyerahkan kepada KPKKW untuk menguruskan semua urusan ke sana kerana ia bukan satu perkara kecil.

“Kemenangan itu melayakkan saya untuk diketengahkan di sana tanpa melalui proses yang sulit. Disebabkan itu, saya bersama KPKKW sedang berusaha mendapatkan penajaan supaya impian itu dapat segera direalisasikan. Memang sudah ada yang menunjukkan minat, namun saya lebih senang jika KPKKW yang berunding kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk saya nanti,” katanya.

Menyifatkan peluang itu bukan sesuatu yang mudah untuk digapai membuatkan Iqwal enggan mempersiakan tawaran keemasan yang menanti di depan matanya.

Memikirkan jaminan yang diberikan oleh pihak di sana mengenai peluang yang menantinya di AS, Iqwal dan KPKKW enggan membiarkan ia berlalu begitu saja.

“Semuanya sudah tersedia termasuk pasukan produksi yang akan menjalankan pelbagai kerja termasuk pemilihan lagu dan promosi.

“Apa yang perlu disediakan adalah peruntukkan kerana segala proses awal pembikinan album hanya akan mula berjalan sebaik saja jumlah yang diperlukan itu diperoleh.

“Saya difahamkan mereka juga sedang menyusun jadual promosi yang berkesan untuk memastikan pelaburan yang dilakukan itu memberikan pulang berbaloi.

“Disebabkan itu, saya berharap sangat apa yang diimpikan ini menjadi kenyataan. Ini bukan usaha kosong kerana setiap apa yang dilakukan mempunyai sebab,” katanya.

Atas alasan itu juga, Iqwal sendiri sedia turun padang ketika proses perundingan dibuat kerana itu dia serius memastikan segala perancangan berjalan di atas landasan yang betul.

“Keikhlasan itu penting dan kerana itu, saya sedia merentasi pelbagai cabaran serta halangan untuk memastikan usaha kami ini berhasil. Tidak adil jika saya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mencari penaja kepada KPKKW kerana mereka juga mempunyai banyak komitmen lain.

“Terpulang apa tafsiran umum, namun yang utama saya berhasrat mahu membanggakan nama negara dengan bakat dan kelebihan yang dimiliki,” katanya berharap dapat ke sana Ogos ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Bagaimanapun, Iqwal terlebih dulu akan kembali ke AS sekitar bulan ini untuk menjayakan persembahan di New York selama 10 hari.

Album sulung menyusul

Iqwal kini mengikuti pengajian di The Singing Shop dan School Of Music di Subang untuk memantapkan kemunculannya sebagai penghibur sedang menanti masa untuk melancarkan album perdananya.

Tujuh lagu sudah sedia dirakamkan, tinggal tiga lagi untuk dilangsaikan sebelum ia dilancarkan sekitar Februari ini.

Diterbitkan di bawah Empire All Star Event milik keluarganya, album yang mengetengahkan konsep versatile itu mendapat sentuhan nama terkenal dalam industri hiburan.

Antara mereka yang menyumbang khidmat untuk album itu ialah M Nasir, Pak Ngah, Audi Mok, Nas Affandi dan Jebat dengan tanggungjawab keseluruhan diserahkan kepada Hadi Hassan.

“Konsep yang dipilih memberi refleksi kepada kejayaan yang saya lakar ketika menyertai WCOPA itu. Ia dibuat hasil perbincangan bersama dan alhamdulillah, saya berpuas hati dengan apa yang diberikan.

“Andai ditanya kecenderungan saya lebih selesa membawakan irama rock. Namun sebagai permulaan tiada salahnya saya mencuba pelbagai genre kerana ia secara tidak langsung menyerlahkan kepelbagaian bakat yang ada dalam diri ini,” katanya.

Info

Nama Penuh: Ikhwal Hafiz Ismail

Nama Komersial: Iqwal

Tarikh Lahir: 16 April 1992

Asal: Teluk Intan, Perak

Kebolehan: Menyanyi, berlakon, bermain gitar, dram dan piano

Pencapaian: Empat emas, satu perak di World Championship Of Performing Artis (WCOPA) 12 di Los Angeles

Anugerah Industri Hollywood

Anugerah Bakat Baru Terbaik di Kodak Theatre, Hollywood

Berita Harian

Advertisements

Dengarnya…: Rakam Suara Album Runut Bunyi Magika

30 Jan



Diana Danielle

SEWAKTU Cik Normah sedang leka menonton wayang dengan suami hujung minggu lalu di Pavilion, Cik Normah menerima SMS memberitahu filem Magika akan menampilkan ramai pelakon hebat seperti Maya Karin, Ziana Zain, Aznil Nawawi, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.

Cik Normah dapat tahu Amani dan Aleya akan berlakon sebagai cameo memegang watak Bawang Putih dan Bawang Merah.

Filem yang bakal memulakan penggambaran 8 Februari ini akan menggandingkan Mawi dan Diana Danielle sebagai hero dan heroin. Filem ini bercorakkan dunia fantasi dan muzikal.

Sebut mengenai Diana, selain berlakon, dia turut menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem ini. Ada lagu duet dan penampilan istimewa membabitkan M Nasir, Fauziah Ahmad Daud, Mawi dan ramai lagi. Album ini, Cik Normah difahamkan sudah dirakamkan sejak Disember tahun lalu. Nampaknya ini permulaan awal bagi Diana untuk bergelar penyanyi.

Dalam masa terdekat juga, Cik Normah dapat tahu Diana akan merakamkan lagu di Malaysia untuk album sulungnya. Makin murah rezeki Diana dan Cik Normah harap dia akan terus fokus. Ambillah peluang sewaktu menyertai Program Latihan Khidmat Negara ini untuk merehatkan diri serta bermuhasabah. Dalam pada itu, bolehlah Diana melupakan seketika dunia seni dan memberi tumpuan menjadi remaja biasa.

Oh ya, esok jangan lupa untuk mengunjungi acara jualan dan lelongan amal ABPBH 2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Insya-Allah, Cik Normah akan datang juga memberi sokongan kepada karnival amal ini. Haa… kalau jumpa Cik Normah, jangan lupa tegur. Cik Normah tak ‘kekwat’ dan pasti melayan anda semua okey. Kalau nak ambil gambar dengan Cik Normah pun boleh. Ingat, esok kita bukan sekadar berhibur, sebaliknya melakukan perkara paling murni bagi mengurangkan beban penderitaan rakyat Palestin. Cik Normah tahu rakyat Malaysia memang prihatin bab ini.

Berita Harian

Epilog: Filem Pahlawan Mat Kilau Wajar Cetus Kejutan

29 Jan

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

PADA pertengahan bulan depan, projek filem epik sejarah patriotik berjudul Pahlawan Mat Kilau dijadualkan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Hebahan awal mengenai perancangan filem ini tidak dibuat lagi kerana produsernya masih bersikap ‘merendah diri’ kerana sibuk menjalankan proses praproduksi.

Seperti dimaklumkan kepada akhbar ini, syarikat Lagenda Studios Sdn Bhd menerusi Pengurus Perhubungan Awamnya, Julia Mohamad,

pihaknya masih dalam peringkat awal praproduksi dan berasakan mungkin terlalu awal bagi mereka untuk menggembar-gemburkan rancangan itu, tambahan pula, pengarah dan penerbit masih sibuk membuat tinjauan lokasi di luar negara.

Dalam kenyataannya, dimaklumkan juga selain filem itu bakal ditangani pengarah Rodzee A Razak, filem berkenaan dijangka membabitkan kos sebanyak RM10 Juta.

“Tujuan Lagenda Studios mahu menghasilkan penerbitan filem itu adalah sebagai menyahut seruan kerajaan supaya menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara. Ia juga boleh dijadikan teladan kepada generasi masa kini, bagaimana gigihnya perjuangan nenek moyang kita menentang penjajahan.

“Untuk pengetahuan, Lagenda Studios akan mengadakan acara pelancaran dan sidang media mengenainya pada pertengahan Februari sebelum memulakan penggambaran filem pada penghujung Mac 2009,” kata Julia dalam satu kenyataan sambil memohon maaf kerana lambat menghebahkan projek Pahlawan Mat Kilau kepada media massa.

Projek filem ini menjadi sesuatu yang menarik kerana banyak sebab. Pertamanya tentulah kerana berkaitan dengan seorang tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar, Pahang bangkit untuk menentang penjajahan British pada era penghujung abad ke-19 hingga dia menjadi buruan dan menghilangkan diri hinggalah akhirnya muncul semula memperkenalkan dirinya pada awal 1970-an ketika berusia 123 tahun. Keberaniannya dulu yang turut mengkritik golongan bangsawan kerana berbaik dengan penjajah menyebabkan Mat Kilau menjadi sasaran untuk ditangkap dan dihukum tetapi berjaya melarikan diri.

Keberanian Mat Kilau menjadi sebutan ramai dari dulu dan terus dikenang hingga kini. Keberaniannya itu terserlah dengan pelbagai peristiwa termasuklah ketika pada 14 Jun – Pada 1894, tokoh itu bersama pahlawan Melayu Pahang yang lain termasuk Tok Gajah, Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai.

Lebih menarik bagi Mat Kilau ialah sepanjang kehilangannya selepas menjadi buruan, apa yang dilakukannya. Ini menarik untuk dibongkar dan diceritakan menerusi filem berkenaan. Penyelidikan terhadap susur galur perjuangan, pengembaraan dan persembunyian Mat Kilau harus dipaparkan supaya masyarakat akan lebih jelas untuk mengenai aspirasi dan patriotisme Mat Kilau sebenarnya selain sudah tentu sebagai sebuah filem cereka patriotik, akan ada elemen tokoh tambah yang disesuaikan mengikut mood sebuah filem epik.

Kita berharap menerusi filem Pahlawan Mat Kilau, akan dipaparkan juga bagaimana strategi perang dan ciri keberanian yang menjelma dalam diri tokoh itu. Sudah tentu pihak produksi dari Lagenda Studios sudah membuat kajian terperinci mengenai peribadi dan fizikal Mat Kilau, selain melihat bagaimana gayanya bercakap, cara berjalan, aksinya berpencak silat dan beberapa ciri kehebatannya yang luar biasa. Kajian juga tentunya sudah dibuat untuk melihat bagaimana bentuk khazanah Mat Kilau yang lain seperti pedang, keris, pakaian, kitab, barang persilatan, rumah dan sebagainya yang relevan dengan diri Mat Kilau. Ini semua harus diambil kira dalam menghasilkan epik Pahlawan Mat Kilau.

Sebab kedua yang mengejutkan industri ialah kerana projek filem ini bakal membabitkan bajet RM10 juta, iaitu filem cereka tempatan kedua termahal setakat ini selepas filem cereka Puteri Gunung Ledang terbitan Enfiniti Productions yang membabitkan kos produksi lebih RM16 juta.

Kita berharap Lagenda Studios juga teliti dalam casting atau pemilihan pelakon untuk filem itu kerana kesilapan casting selalunya akan menyebabkan persembahan filem menjadi hambar kerana lakonan tidak meyakinkan serta tidak disertai mutu persembahan yang boleh menggerakkan naratif serta feel filem itu sebagai sebuah cereka yang bermain dengan manusia zaman silam.

Kita berharap pelakon yang membawa watak Kilau akan benar-benar dapat membawa watak tokoh perwira itu dengan berkesan, sesuai dengan lagak fizikal, cara bermain air muka dan mampu menjelmakan ketokohan. Kita bimbang jika tersilap pilih pelakon, ia akan memberi kesan seperti berlaku dalam beberapa filem sejarah seperti Puteri Gunung Ledang apabila M Nasir tidak menyerlah membawa imej hebat Hang Tuah, begitu juga filem Leftenan Adnan yang memperlihatkan Hairie Othman tidak menyerlah sebagai perajurit hebat itu.

Dalam filem Raja Melewar dulu, watak Raja Melewar yang dilakonkan Eizlan Yusof juga tidak memenuhi ciri berkesan dan boleh dianggap sebagai casting yang gagal. Ini menyebabkan ketokohan perwira kita dulu tidak menyerlah dalam filem dan lebih menyedihkan apabila cerita dalam filem itu sendiri tidak begitu berkesan, gagal memberi feel dan semangat kepada penonton dan tidak menggambarkan dengan berkesan milieu zaman yang dibawa dalam skrin.

Filem Pahlawan Mat Kilau wajar mencetuskan kejutan yang bukan saja membanggakan industri filem dan menarik perhatian ramai untuk menonton cereka ini, sebaliknya harus boleh memberi kebanggaan kepada anak Pahang sendiri khususnya serta bangsa kita umumnya. Filem ini kelak harus bertanggungjawab untuk mengangkat imej sebenar Mat Kilau sebagai sebuah naskhah yang bukan sekadar ‘janji ada’ tetapi harus memenuhi agenda sebuah filem cereka patriotik seperti kata pihak produksi Lagenda Studios – ‘menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara’. Jika benar ia untuk meniupkan rasa patriotisme, wajarlah ia ditangani dengan baik supaya ia mampu memberi kekaguman dan kebanggaan apabila ia ditayangkan kelak. Pahlawan Mat Kilau akan menjadi perhatian untuk warga filem dan pengkritik yang kini sedang menanti dengan suspen untuk menilai sejauh mana hasil kerja Rodzee. Kita tunggu dan lihat saja nanti.

Kata orang, mati ikan kerana umpan, mati manusia kerana budi…

Berita Harian

Artis Boleh Sertai AF7

14 Jan

Rap
PROGRAM realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) kini membuka lembaran baru dengan meneruskan misi bagi pencarian bakat baru dunia nyanyian.

Selepas enam musim bersiaran dan berjaya menempatkan kedudukannya tersendiri di hati peminat seni tanah air, AF7 turut menampilkan kejutan dan pembaharuan apabila buat pertama kalinya membuka peluang kepada bukan hanya warganegara Malaysia tetapi juga Singapura dan Brunei.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan berkata, pembaharuan itu dilakukan untuk mengukuhkan lagi matlamat dan usaha Astro dalam memberikan hiburan terbaik kepada pelanggannya melalui mutu produksi dan format yang mantap.

Katanya, elemen pembaharuan ini tidak terhenti di situ apabila AF7 turut membuka penyertaan kepada golongan artis tidak kira sama ada dari bidang nyanyian mahupun lakonan untuk turut serta.

“Objektif utama penerbitan AF7 adalah untuk memberikan kelainan dalam kandungan tempatan dan format program di samping komitmen kami dalam mencari dan membimbing bakat baru bagi mewarnai persada seni tempatan.

“Bersesuaian dengan arus peredaran zaman, beberapa elemen pembaharuan dilakukan bagi memberikan saingan yang lebih sengit dalam kalangan peserta.

“Bagaimanapun, kami hanya memberi peluang kepada artis yang tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman mahupun pengurusan,” katanya.

Mengenai langkah Astro turut membuka penyertaan kepada warga Singapura, Khairul menjelaskan, langkah itu dilihat sejajar dengan hasrat Astro Ria yang ingin meluaskan pengaruhnya kepada penonton di Singapura.

Katanya, AF mempunyai peminatnya di negara itu kerana ia boleh ditonton melalui mio TV milik Singtel. Langkah ini membuka peluang kepada Astro Ria terutama AF untuk meraih sokongan yang meluas dari seluruh warga Singapura.

“Penerbitan dan produksi AF7 tidak sabar untuk memulakan penjelajahan uji bakat ke empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak bagi mencari penyanyi yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Nama seperti Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila dan Stacy adalah nama yang pernah merangkul gelaran juara AF musim pertama hingga enam dan kini berjaya menempatkan diri dalam kalangan artis popular berbakat dan mempunyai kualiti tersendiri,” katanya.

Mereka yang ingin bergelar penyanyi, jangan lupa hadir pada sesi uji bakat di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Januari, The Zon Regency Hotel, Johor Bahru (24-25 Januari), Borneo South Atrium, Kota Kinabalu (30-31 Januari), Enter K Entertainment, Crown Square, Kuching (31 Januari dan 1 Februari) dan Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur (7-8 Februari).

Kaunter pendaftaran bagi setiap uji bakat dibuka dari jam 9 pagi hingga 1 petang. Peserta digalakkan hadir awal bagi mengelakkan kesesakan. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) dan menyanyi lagu pilihan secara acapella.

Lagu pilihan untuk peserta wanita ialah No One (Alicia Keys), Kalis Rindu (Elyana), Dikir Puteri (Noraniza Idris), Karma (Cokelat) dan Tari Silat Melayu (Aishah).

Lagu pilihan untuk peserta lelaki, Angan dan Sedar (Mawi), You Raise Me Up (Josh Groban), Ketelusan Hati (Anuar Zain), Hanya Engkau Yang Mampu (Aizat) serta Ada (M Nasir).

Harian Metro

Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara

27 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.

Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.

Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.

Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.

Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.

Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.

Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.

Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17

hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.

Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.

Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.

Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.

Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.

Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.

Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.

Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.

Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.

Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.

Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.

Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.

Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.

Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.

Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.

Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.

Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.

Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.

Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.

Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.

Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.

Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.

Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.

Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.

Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.

Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.

Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati

nyanyian Siti Nurhaliza).

Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.

Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.

Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.

Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.

Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.

Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.

Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.

Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.

Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Harian Metro

Lagu Etnik Kreatif Semakin Susut

24 Nov

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Sebanyak 34 lagu dari tiga kategori mula berentap di peringkat separuh akhir untuk merebut slot Anugerah Juara Lagu TV3

KEKURANGAN lagu ciptaan terbaru akibat kesuraman pasaran muzik memberi kesan ketara terhadap jumlah lagu yang menyertai program Muzik Muzik terbitan TV3.

Penutupan dan penggabungan syarikat rakaman selain kecenderungan menerbitkan single berbanding album penuh turut menyumbang kepada kemerosotan lagu-lagu ciptaan terbaru.

Paling ketara ialah lagu-lagu terbaru untuk genre Etnik Kreatif yang semakin hari semakin berkurangan. Selain faktor kelembapan pasaran muzik dan penghasilan single, langkah stesen radio popular yang terlalu memilih dan enggan menyiarkan lagu bercorak Etnik Kreatif ini dipercayai turut menjadi penyumbang sampingan kepada kekurangan lagu ciptaan terbaru.

Betapa besarnya kesan kekurangan lagu Etnik Kreatif ini diakui sendiri oleh Pengurus Penerbitan Hiburan Primeworks Studio, Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria.

Menurutnya, daripada 300 lagu yang menyertai program ini, hanya 34 saja daripadanya adalah lagu-lagu dalam kategori Etnik Kreatif.

“Kekurangan penyertaan kali ini mungkin bertitik tolak kepada keadaan industri hiburan semasa yang suram dan daripada label syarikat rakaman yang ada daripadanya sudah tutup dan bergabung dengan syarikat lain. Penerbitan album juga lebih terarah kepada menghasilkan lagu single.

“Jika tahun sebelum ini, industri meriah dengan kehadiran dua tiga album sekali gus, namun dengan pasaran sekarang tidak menentu maka strategi merakamkan lagu single lebih diutamakan.

“Bagaimanapun, keadaan ini tidak memberi kesan sangat kepada penerbitan Muzik-Muzik kerana masih ada lagu yang daripada kategori Pop Rock dan Balada masih mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Cuma daripada kategori Etnik Kreatif, ia semakin berkurangan kerana tidak ramai artis yang ingin membikin album sedemikian. Kita menerima lebih 300 buah lagu, namun hanya lebih 180 hingga 200 lagu saja layak untuk memasuki Muzik – Muzik,” katanya dalam sidang media mengumumkan senarai lagi yang berjaya ke peringkat separuh akhir bagi semua kategori di Sri Pentas TV3, baru-baru ini.

Peringkat akhir Anugerah Juara Lagu TV3 kali ini akan diadakan pada 18 Januari tahun depan.

Antara pencipta dan penulis lirik yang karya mereka tersenarai ke peringkat separuh akhir Ajai dan Allahyarham Loloq menerusi lagu Doa Dalam Lagu, M Nasir dan Seth dengan lagu Jarak Rindu; Adnan Abu Hassan dan penulis lirik, Faris dengan lagu Puteri Tarian Kasih; Radeen Sri/Hairul Anuar Harun (Pujangga Merindu), Sang Dewi/Ahmad Fedtri Yahya (Lambaian).

Antara komposer dan penulis lirik kategori Balada Azalea dengan lagu Teman Terulung, Aubrey Suwito/Habsah Hassan (Hanya Di Mercu), Audi Mok/Faizal Tahir (Sampai Syurga), Azlan Abu Hassan/Azalea (Dingin), Edry Abd Halim (Bila Terasa Rindu), Sharon Paul/Ahmad Fedtri Yahya (Sejauh Ini) dan Zetty/Abie Abdullah (Ada Untukmu).

Bagi kategori Pop Rock pula, antara lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir ialah Kalis Rindu ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh Ad Samad, Cinta Si Rama Rama (Edrie Hashim), Aku Lebih Tahu (Ajai/Loloq), Lagu Untukmu (Taja, Tass, Lan), Mabuk (Tam/Loloq) dan Separuh Masa (Edry Abd Halim).

Seperti tahun lagu, hampir semua lagu yang dipertandingkan ke peringkat separuh akhir dinyanyikan oleh penyanyi dari program realiti televisyen seperti One In A Million (OIAM), Akademi Fantasia (AF), Malaysian Idol, Gang Starz dan Akademi Nasyid.

Antara mereka ialah Mawi, Heliza, Dafi, Aizat, Nubhan, Dina, Faizal Tahir, Aiman, Azfar, Stacy, Fazli Zainal, Ayu, Mila dan The Lima. Begitu juga dengan kumpulan Estranged yang mana vokalisnya, Rich pernah menyertai Akademi Fantasia musim keempat. Estranged juga mencatat sejarah pada AJL 22 apabila menjuarai kategori Pop Rock dan keseluruhan (Juara Lagu) menerusi lagu Itu Kamu.

“Penguasaan penyanyi dari program realiti ini bukanlah bukan sesuatu yang perlu dijadikan isu. Ini kerana AJL bukan mempertandingkan penyanyi sebaliknya karya lagu itu sendiri.

“Kehadiran penyanyi baru ini patut digalakkan kerana mereka penyambung warisan penyanyi sedia ada,” kata Fadzlinina yang menekankan corak penjurian masih dikekalkan formatnya seperti tahun terdahulu.

Menurutnya, ada beberapa lagu yang pada mulanya tersenarai di bawah kategori tertentu sama ada Etnik Kreatif, Balada atau Pop Rock dan akhirnya ditukar kategorinya. Ia menjawab persoalan kepada beberapa lagu yang berubah kategori pada saat akhir sebelum berlangsungnya separuh akhir.

“Sebelum separuh akhir, pihak kami mendengar kembali lagu yang tersenarai dan kadang kala berlaku perubahan. Panel yang terbabit akan memutuskan kategori yang mana sesebuah lagu itu patut diletakkan mengikut keserasian,” katanya ketika ditemui selepas sidang media ini di perkarangan Sri Pentas.

Info Muzik- Muzik Separuh Akhir

Tahun ini juga menyaksikan lima pencalonan lagu membabitkan Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis menerusi lirik lagu Doa Dalam Lagu, Bila Nak Saksi, Bukti, Mabuk, Aku Lebih Tahu.

Faizal Tahir, Mila dan kumpulan Spider masing-masing dicalonkan untuk dua buah lagu. Spider (Bila Nak Saksi dan Mabuk), Mila unggul di kategori Pop Rock menerusi lagu Mila Bila Cinta dan Aku Lebih Tahu mana kala Faizal Tahir mempertaruhkan lagu Sampai Syurga dan Cuba dalam kategori Balada.

Masih mengekalkan gandingan serasi Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai pengacara.

Dipancarkan secara langsung di TV3 dan Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral jam 9 hingga 10.30 malam.

Dimulakan dengan kategori Etnik Kreatif pada 28 November, Balada (5 Disember) dan Pop Rock (12 Disember)

Tiket percuma boleh diperoleh di Balai Pengawal Sri Pentas Bandar Utama dan Balai Pengawal Sri Pentas 2 mulai 24 November ini.

Sidang produksi Muzik-Muzik terdiri daripada Khalijah Mohamed (Penerbit Eksekutif), Roslina Abd Rahman (Penerbit), Nor Shafina Ahmad (Penolong Penerbit), Intan Suraya A Kadir (Pengarah Etnik Kreatif), Annie Safinas Hassan (Pengarah kategori Balada) dan Farina Pahruddin (Pengarah kategori Pop Rock)

Sepintas Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu

Mula disiarkan pada 2 Mac 1986 jam 8.30 malam.

Dulu undian dilakukan melalui akhbar dan bukannya SMS.

Tahun 1992, Carta 20 mula diperkenalkan sebelum disaring ke peringkat separuh akhir.

Penampilan band dalam peringkat AJL sememangnya meriah lebih-lebih lagi ketika era 90-an. Mungkin ramai masih ingat dengan kumpulan seperti Freedom, Steps, Gersang, Medicine, Illusi, Blackrose, Damasutra dan Dinamik.

Senarai lagu dan penyanyi mengikut turutan persembahan

Senarai Lagu Kategori Etnik Kreatif

1) Doa Dalam Lagu (Komposer: Ajai/Lirik: Loloq) Penyanyi – Mawi dan Heliza

2) Jarak Rindu (M Nasir/Seth) – Azfar

3) Puteri Tarian Kasih (Adnan Abu Hassan/Faris) – Anis Aneesa

4) Pujangga Merindu (Radeen Sri/Hairul Anuar Harun) – Syura

5) Songo (Edrie Hashim/Ahmad Farid) Amy Search

6) Persoalan Cinta (Julfekar/Ku Seman/Izza Rosley) – Farawahida

7) Panas (Cat Farish/Adeeb) – Ifa Raziah

8) Dusta Berkalang (Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya) – Aiman

9) Mengharap Sinar (Dior/Khairafik) – Dior

10) Lambaian (Sang Dewi/Ahmad Fedtri Yahya) – Fazli Zainal

Senarai Lagu Kategori Balada

1) Teman Terulung (Azalea) – Anuar Zain

2) Hanya Di Mercu (Aubrey Suwito/Habsah Hassan) – Ayu

3) Lagu Kita (Aizat) – Aizat

4) Sampai Syurga (Audi Mok/Faizal Tahir) – Faizal Tahir

5) Tanpa (Gjie/Wan) – 6ixth Sense

6) Bila Nak Saksi (Tam/Loloq) – Spider

7) Dingin (Azlan Abu Hassan/Azalea) – Ziana Zain

8) Cuba (Audi Mok/Faizal Tahir) – Faizal Tahir

9) Bila Terasa Rindu (Edry Abd Halim) – Dafi

10) Cinta Terhalang (Sharon Paul/Shimy) – Bob

11) Ada Untukmu (Zetty/Abie Abdullah) – Nubhan

12) Sejauh Ini (Sharon Paul/Ahmad Fedtri Yahya) – Dina

Senarai Lagu Kategori Pop Rock

1) Separuh Masa (Edry Abd Halim) – The Lima

2) Aku Stacy (Intan Norul Azlin/Layla Ismail) – Stacy

3) Kalis Rindu (Aidit Alfian/Ad Samad) – Elyana

4) Mila Bila Cinta (Audi Mok/Ad Samad) – Mila

5) Cinta Si Rama-Rama (Edrie Hashim) – Hattan

6) Ku Merindu (Datuk Syed Elias/Syed Ahmad) – Ella & Shah

7) Aku Lebih Tahu (Ajai/Loloq) – Mila

8) Bukti (Tony Iskandar/Loloq) – Fiq

9) Rimas (Cat Farish/Roxy Tail) – The Fabulous Cats

10) Yang Pernah ( Estranged) – Estranged

11) Lagu Untukmu (Taja, Tass, Lan) – Meet Uncle Hussain

12) Mabuk (Tam/Loloq) – Spider

Berita Harian

Joey Penyanyi Baru Exist

12 Nov

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

SEBELUM ini, terdapat khabar angin yang mengaitkan Exist berantakan. Vokalisnya, Ezad dikatakan membuat hal, malah ada juga anggota kumpulan itu tidak terkecuali punya ragam tersendiri.

Perihal si Ezad yang kononnya gemar mengambil undangan nyanyian tanpa pengetahuan Exist, malah ada ahli lain rakus melakukan tugasan luar untuk kepentingan peribadi, semua itu menjadi titik awalan pergolakan ini.

Kesempatan bertentangan mata dengan anggota Exist, Musa, semasa mengadakan fotografi untuk kulit album mereka berlangsung di Ada Studio, Bandar Sri Damansara, minggu lepas, menjawab lebih lanjut tentang cakap-cakap kurang enak ini.

Musa dalam nada tenang merungkai, barangkali Ezad kurang mengerti tentang konsep ‘solo’ yang diterang dalam sebagai syarat Exist sebelum ini.

“Sama ada dia tak faham atau buat-buat tak faham tentang perkara ini. Kami berikan kebenaran jikalau dia (Ezad) ingin menonjolkan diri secara solo, walaupun masih bersama Exist.

“Cuma apa yang kami kesalkan, dia selalu ambil persembahan pentas secara berseorangan, tanpa beritahu kepada ahli lain.

“Sudahlah dia nyanyi lagu-lagu Exist dalam setiap pertunjukan, selepas itu dia makan duit hasil nyanyian itu sendirian. Mana adil kalau benda ini berlaku bukan? “Soal Musa sambil disetujui ahli lain, Ujang dan Along.

Sambung Musa lagi, tidak dinafikan ada anggota Exist lain seperti Ujang yang banyak menerima kerja luar, namun ia jauh daripada ruang lingkupnya sebagai anggota Exist.

“Kalau nak diikutkan, Ujang sekadar bermain alat muzik untuk melatari ramai penyanyi termasuk Datuk Siti Nurhaliza.

“Ujang tak gunakan lagu-lagu Exist jika dia ada aktiviti luar, sebaliknya dia hanya menggunakan kepakaran sendiri untuk mendapat kerja lain sekali gus menambah sumber kewangan.

“Kami juga sudah suruh Ezad buat perkara sama, contohnya mengubah lagu ataupun menulis lirik. Dia punya kepakaran dalam soal itu.

“Jadi kenapa dia harus sia-siakan begitu saja. Kenapa dia perlu ambil tawaran nyanyian seorang diri, tanpa melibatkan anggota Exist lain.

“Kami percaya, dari situ Ezad tak faham konsep yang kami ketengahkan dalam Exist,” luah Musa menjelaskan perkara sebenar.

Mencedok situasi dan amalan penyanyi kumpulan Spider, Tam, Musa berkata, Tam tidak pernah sesekali membuat persembahan seorang diri, sebaliknya tawaran itu bersyarat; harus melibatkan semua anggota.

“Itulah prinsip yang dipegang kian lama oleh Spider. Tam juga aktif menggubah lagu hingga hasil ciptaannya berhasil meraih perhatian khalayak,” jelas Musa.

Menganggap setiap yang berlaku dalam Exist ada hikmah tersendiri, Musa mengaku ramai yang bercakap berkaitan masalah disiplin Ezad dan beberapa perkara lain.


LANGKAH Exist diteruskan dengan kehadiran anggota baru, Joey sebagai vokalis pengganti tempat Ezad.

“Ramai bising tentang masalah dan telatah Ezad termasuk wartawan bila dia tidak hadir dalam fotografi dan bermasalah dengan promoter persembahan.

“Kami sudah lama bagi muka kepada Ezad lebih-lebih lagi kami semua sayang dia dan Exist. Beberapa kali kami ada menegur setiap kesilapan dia.

“Mana yang rasa tidak elok itu, kami akan tegur. Bukan dia saja, sebaliknya kami akan ingat-mengingat sesama sendiri untuk kebaikan nama kumpulan ini.

“Hinggalah Ezad ambil keputusan ingin tinggalkan grup, jadi kami sudah tidak boleh cakap apa-apa lagi. Kini Exist sudah tiada kena mengena dengan dia lagi,” jelasnya telus enggan menyembunyi perkara sebenar.

Dalam diam-diam, rupanya Exist kini menampilkan penyanyi iaitu Zulkifli Daud atau lebih dikenali sebagai Joey.

Pasti ada yang terkejut melihat jejaka berusia 34 tahun. Masakan tidak, wajah Joey sering terlihat di kaca TV disebabkan dia juga mencipta nama dalam dunia lakonan. Dia juga pernah menghasilkan album di bawah syarikat milik seniman M. Nasir dan popular dengan lagu Beradu Suratan.

Dan kemunculan ahli baru ini barangkali mengesahkan lagi kebenaran bahawa Ezad dan Exist berpatah arang akibat daripada perselisihan faham yang timbul.

Musa bagaimanapun menolak dakwaan yang dianggap tidak berasas tersebut. Dia menyatakan perubahan vokalis grup terkenal ini berlaku dek Ezad mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Exist.

Difahamkan, Ezad mahu meneruskan aktiviti nyanyian dalam industri seni tempatan secara bersendirian tanpa dibayangi nama Exist lagi.

“Kami akui tiada sebarang pertengkaran ataupun perselisihan faham yang berlaku antara Exist dan Ezad.

“Justeru, tiada istilah Ezad disingkir daripada kumpulan ini. Sebaliknya Ezad yang hendak melangkah secara sendiri.

“Tidak dinafikan, dia (Ezad) memiliki impian lain yang perlu dikejar dalam kehidupan, cuma kemasukan Joey ke dalam kumpulan tidak diketahui Ezad hingga artikel ini keluar.

“Mungkin Ezad bakal terasa dengan tindakan kami yang seolah meminggirkan dia. Dalam masa sama, kami tidak rasa dia perlu kecewa, lagipun dia yang tinggalkan grup ini.


MAMAT(dua dari kiri) adalah vokalis yang cukup berjasa kepada Exist tetapi akhirnya jodoh mereka tidak panjang dan Mamat bergerak secara solo.

Menyambung bicara, Musa menjelaskan, kemasukan Joey sebenarnya sudah mula dirancang sejak tahun 1995 setelah disarankan oleh M. Nasir.

“Idea asal hendak gabung bermula daripada saranan M. Nasir bermula 13 tahun lepas. Sebab masa itu Exist masih berdepan dengan masalah pembahagian harta serta royalti dengan label rekod, jadi kami memendamkan terlebih dulu niat itu. Kiranya waktu itu Joey belum ada jodoh dengan Exist.

“Sekarang dengan keadaan tidak mempunyai penyanyi setelah Ezad mengambil keputusan keluar, ditambah tidak dapat meneruskan karier, maka kami mula rancang untuk cari vokalis baru.

“Dari situlah Exist mulakan pencarian pengganti Ezad dengan mengadakan uji bakat, namun kami berada dalam dilema sama ada mahu kekalkan nama Exist atau cipta nama baru.

“Setelah berbincang dengan semua ahli kumpulan ini, maka kami pun nekad untuk kekalkan nama Exist,” akui Musa.

Ditanya tentang keistimewaan Joey, hingga dia terpilih menjadi ‘wakil’ Exist seperti Mamat dan Ezad sebelum ini, Musa dengan pantas berkata: “Joey datang uji bakat kami dengan penuh persediaan.

“Untuk memilih vokalis baru bukan mudah. Kami lebih suka menduga individu itu dulu sebelum dikategori layak untuk bersama Exist. Kami akan beri material seperti lagu pada awalnya untuk dibawa pulang. Dari situ kami dapat tahu kalau dia betul-betul bersedia mempersembah karya tersebut dengan bagus.

“Itulah yang berupaya dilakukan Joey. Dia datang dengan idea yang penuh, lalu komitmen yang diperlihat tidak mengecewakan kami.

“Dia (Joey) datang bukan dengan tangan kosong, sebaliknya benar-benar bersedia daripada segi mental dan fizikal. Ciri itulah yang Exist mahukan dalam diri anggotanya,” ujar Musa.

Menyambung bicara Musa, Along yang hanya terdiam sejak dari awal berkata, Exist dan Joey sebenarnya sudah punya keserasian apatah lagi masing-masing mengenali antara satu sama lain.

“Sudah lama Exist kenal Joey, tapi ‘jodoh’ kami dengan dia baru tiba. Kami cukup yakin dia dapat memajukan Exist ke tahap lebih membanggakan.


LEBIH 10 tahun, Ezad (kiri) memberi jasa kepada Exist tetapi kemudiannya dia juga mengucapkan selamat tinggal.

“Kami sekadar hendak teruskan perjuangan Exist, malah kami juga perlu ada sumber rezeki sendiri,” akui Musa.

“Itulah janji kami kepada peminat yang selama ini menyokong Exist sejak ditubuhkan pada tahun 1991,” ikrar Along kepada pemuja Exist.

Dalam pada itu, Joey menganggap tanggungjawab bertindak selaku vokalis Exist bukannya suatu perkara boleh dipandang ringan.

“Amanah ini sangat besar dan berat buat saya. Selama ini Ezad sudah cukup sebati dengan nama Exist, kini saya pula menggantikan tempatnya. Saya berazam untuk tingkatkan diri dan jenama Exist dalam peringkat tertinggi,” jawabnya bersungguh-sungguh.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini memberitahu, dia sedia berdepan dengan segala kemungkinan apatah lagi dia juga ada pengalaman dalam lapangan seni.

“Mungkin selama ini orang sudah kenal saya sebagai pelakon, maka saya berharap peminat dapat terima dan beri peluang kepada untuk menunjukkan bakat dalam bidang seni suara.

“Nyanyian adalah keutamaan saya. Saya tetap akan berlakon kerana ahli Exist tidak pernah sesekali membantah niat saya.

“Terimalah saya dengan hati terbuka. Kalau ada sebarang komen atau nasihat, jangan malu-malu untuk cakap kepada saya.

“Saya bersedia memperbaiki diri daripada semasa ke semasa untuk kepentingan Exist dan juga diri saya,” jelas Joey dalam nada perlahan.

Exist akan muncul dalam sebuah album kompilasi tidak lama lagi yang memuatkan dua buah lagu hasil nyanyian Joey, Aku Denganmu gubahan Musa dan Cinta Terindah (Along).

Kosmo