Archive | Lost RSS feed for this section

Fenomena Upin & Ipin

6 Apr

SELEPAS berjaya mencipta fenomena dalam industri animasi di kaca televisyen dan layar perak, Upin & Ipin bakal melakar satu lagi sejarah dalam industri apabila teater muzikalnya yang bakal dipentaskan tidak lama lagi menjadi satu-satunya teater paling lama berlangsung.

Membariskan 55 pelakon pelbagai usia, bangsa dan latar belakang, turut terbabit memantapkan lagi produksi pementasan ini adalah Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sebagai pengarah muzik dan A. Aris Kadir selaku koreografer di bawah pengarahan Zaifri Husin.

Dipentaskan selama 23 hari, bermula 14 April sehingga 6 Mei nanti, pementasan ini juga akan menjadi teater dengan paling banyak persembahan tanpa henti iaitu 30 persembahan; 23 persembahan untuk sesi malam bermula jam 8.30 manakala sesi siang pada jam 3 petang.

Satu persembahan khas juga turut diadakan pada 28 April ini bermula jam 3 petang di Istana Budaya dan istimewanya ia dipersembahkan dalam Bahasa Inggeris.


Mendapat tajaan sepenuhnya daripada syarikat hospitaliti gergasi, KPJ Healthcare Berhad, pementasan yang menelan belanja kira-kira RM2 juta itu bukan saja menjanjikan satu pengalaman muzikal segar dengan aksi mantap pelakon, malah sepanjang tahun ini, pelbagai program sudah diatur termasuklah siri jelajah ke beberapa hospital cawangan KPJ sebagai usaha sama dengan Les’ Copaque Production.


Menurut Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Baki, KPJ selama ini tercari-cari maskot yang sesuai untuk menghiburkan pesakit-pesakit yang ada di KPJ terutama golongan kanak-kanak dan tawaran kerjasama dengan produksi Upin & Ipin membuka ruang bagi merealisasikan impian itu.

“Upin & Ipin adalah ikon dan idola kepada rakyat Malaysia pada masa kini dan golongan kanak-kanak terutamanya sudah sebati dengan animasi ini. Maka, ketika mendapat tawaran untuk berkolaborasi, KPJ tidak ragu-ragu untuk menjadi penaja kepada pementasan terbabit di samping mengikat kerjasama dalam menjayakan siri jelajah ke lebih 20 cawangan hospital KPJ sepanjang tahun ini.

“Ini adalah pembabitan sulung KPJ dalam lapangan seni dan kerjasama saya lihat ia satu idea yang sangat baik di mana setiap kali lawatan dibuat ke hospital nanti, pesakit kanak-kanak bukan saja akan teruja malah gembira kerana dapat berjumpa mereka dengan lebih dekat.

“Pementasan itu nanti juga akan menerapkan pelbagai cara penjagaan kesihatan sesuai untuk lapisan ini, di mana penonton bukan saja akan menyaksikan hiburan semata-mata namun bakal mempelajari banyak perkara seperti tugas-tugas doktor, jururawat, penjagaan gigi dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada sesi pratonton fragmen teater berkenaan baru-baru ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan teater ini, pertanyaan boleh diajukan di talian 03-41478600/ 03-61866592/ 017-2004249 atau layari http://www.ticket2u.biz.

Khas buat pembaca Harian Metro, bagi yang ingin memenangi sepasang tiket menonton teater Upin & Ipin The Musical, anda hanya perlu menjawab satu soalan setiap hari bermula Rabu lalu, dan soalan terakhir hari ini.

Soalan: Siapakah pengarah pementasan Upin & Ipin The Musical?

Kumpulkan ketiga-tiga jawapan anda sekarang dan hantarkan ke alamat e-mel tertera berserta NAMA PENUH, NOMBOR KAD PENGENALAN dan NOMBOR TELEFON.

e-mel jawapan kepada; fatensuhaira@gmail.com

Harian Metro

Nanti Pentas Upin & Ipin Dibuka

5 Apr

JENAMA Upin & Ipin kini bukan saja dikenali di Malaysia bahkan turut meraih kejayaan di luar negara apabila diterima peminat di Indonesia, Singapura, Brunei dan terbaru Filipina. Tidak menghairankan apabila sebaik sahaja ada cadangan mengadakan pementasan Upin & Ipin The Musical, ramai yang tampil menyokong termasuk syarikat korporat KPJ Healthcare Berhad apabila bertindak sebagai penaja.

Memulakan latihan sejak Disember lalu, semua persiapan kini sudah hampir sempurna dan hanya menunggu detik untuk dipentaskan di tempat berprestij, Istana Budaya (IB) pada 14 April hingga 6 Mei ini. Di sini, segala usaha gigih dan kerja keras tenaga kerja yang diterajui oleh Zaifri Husin sebagai pengarah dan 55 pelakon akan dinilai oleh peminat.

Zaifri memberitahu, perkembangan yang ditunjukkan oleh pelakon teater ini semakin baik. Dia yakin penonton yang hadir akan berpuashati dengan kualiti yang ditunjukkan oleh pelakon di bawah bimbingannya.

“Mereka cepat belajar dan mudah memahami arahan. Setiap yang diajar diambil serius oleh mereka untuk memberikan yang terbaik kepada peminat. Saya beruntung kerana dibantu oleh tenaga kerja yang mantap dan sangat profesional. Bantuan rakan-rakan seperti A Aris A Kadir dan dua lagi koreografer banyak melancarkan tugas saya.


“Tugasan yang digalas saya sememangnya mencabar kerana teater ini ditunggu-tunggu oleh peminat. Jadi, saya sangat menekankan pada aspek latihan agar mereka dapat memahami karakter serta dialog yang ingin disampaikan. Ini perlu kerana saya tak mahu peminat keliru antara animasi dan pementasan teater.


“Bagi membentuk lakonan supaya mantap, saya adakan latihan lima hari seminggu bermula dari jam 8 malam hingga 11 malam. Pada Sabtu dan Ahad, latihan bermula jam 2 petang hingga 7 petang. Mungkin latihan kelihatan agak padat, tapi sebenarnya pelakon kanak-kanak ini langsung tak nampak penat dan tak pernah timbulkan masalah,” katanya.

Tugasan Zaifri boleh dikatakan besar kerana selain mengarah dia juga bertanggungjawab menghasilkan skrip dan dialog Upin & Ipin The Musical.

Pementasan teater muzikal yang memakan masa selama 90 minit ini menampilkan 17 buah lagu di mana 16 ciptaan Pak Ngah dan sebuah dari kumpulan Padi.

Memandangkan pembabitan KPJ Healthcare Berhad sebagai penaja utama Upin & Ipin The Musical anjuran Les’ Copaque Production bersama CTRA Production, Upin & Ipin kini diangkat sebagai ‘sahabat’ kepada Cutie Club KPJ yang dilancarkan, baru-baru ini semasa Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2012 di Hospital Tawakal.

Sempena program itu, pelbagai aktiviti dilakukan termasuk gerai jualan, senamrobik, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta persembahan pendek Upin & Ipin The Musical. Sesi showcase selama 30 minit itu memaparkan peranan Dr Ravi yang mengajak kanak-kanak di Tadika Mesra untuk belajar cara-cara menggosok gigi dengan betul.

Berbanding teater lain, Upin & Ipin The Musical juga bakal mencatat rekod tersendiri kerana tampil dengan 30 persembahan yang dibahagikan kepada 23 persembahan malam dan 7 persembahan pada sebelah siang. Turut diadakan ialah persembahan khas dalam bahasa Inggeris pada 28 April jam 3 petang.

Proses merealisasikannya bukan satu perkara mudah kerana pelbagai perkara perlu diperhalusi terutama dari segi pemilihan pelakon, set serta modal yang perlu dikeluarkan iaitu hampir RM2 juta. Bagaimanapun produksi ini beruntung kerana KPJ Healthcare Berhad sudi tampil sebagai penaja utama.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan teater ini, pertanyaan boleh diajukan di talian 03-41478600/ 03-61866592/ 017-2004249 atau layari http://www.ticket2u.biz.

Hari ini adalah hari kedua kuiz mudah anjuran Harian Metro. Jawab satu soalan setiap hari dan kumpul sehingga Jumaat ini untuk memenangi sepasang tiket menonton Upin & Ipin The Musical. Alamat e-mel akan diberikan kelak.

Soalan 2: Namakan tarikh pementasan Upin & Ipin The Musical?

Harian Metro

Miera Tak Jujur

2 Oct


LASH tidak mahu isu ini terus berpanjangan.

JOYAH perlu memberi keadilan kepada pelakon Lash Mokhtar yang dikatakan cukup kecewa dengan penangan yang dibuat oleh bekas kekasihnya, Miera Liyana.

Sebelum ini, Pancaindera ada tulis berkenaan Lash yang dikatakan kecewa teruk sebab Miera mempermainkan cintanya seperti sampah.

Memang macam sampahlah bila bercinta bagai nak rak, bila putus boleh diam-diam saja dan tup-tup bercinta dengan orang baru. Miera pergi tanpa pesan, sudahnya menjaja cinta baru di media kononnya sedang berbahagia dengan mamat baru, Shahz Jaszle. Kalau Joyah, memang sudah lama makan ‘sup selipar’.

Beberapa minggu mencari, akhirnya Lash Mokhtar sudi bercerita kepada kawan Joyah, Syed Mussaddad dan jurugambar Amin Farij. Di sini, Joyah ceritakan balik apa yang telah diulas oleh Lash panjang lebar.

‘Saya memang terkejut dengan tindakan mereka dan sejujurnya saya akui agak kecewa. Tapi tak sampai ‘frust menonggeng’. Apa-apapun mungkin itu yang terbaik buat mereka,’ luah pelakon Lash Mokhtar ketika diminta mengulas mengenai Shahz Jaszle yang dikatakan ‘menyapu’ kekasihnya, Miera Liyana.

Tidak mahu terus mengeruhkan keadaan, Lash seboleh-bolehnya mahu isu ini diselesaikan segera. Bukan niatnya tampil untuk mengeruhkan keadaan tetapi dia hanya mahu membersihkan namanya daripada terus dikaitkan dalam hal ini.

Dalam nada yang cukup merendah diri, Lash tidak mahu terus bersembunyi daripada rasa yang mencengkam lubuk hatinya.

Namun dia sekali-kali tidak mahu terus menyalahkan mana-mana pihak biarpun ramai yang tahu dia berada di pihak yang benar.

‘Dalam lima bulan juga kami rapat. Memang hubungan kami cukup mesra seperti mana yang diketahui umum. Cuma ada satu ketika dia minta time off pada saya. Dua kali dia cakap perkara yang sama dan akhirnya ini yang terjadi.

‘Kalau nak kata saya mengongkong dia tak juga. Sebab kami jarang juga berjumpa. Jadual dia macam ni, jadual saya macam tu, jadi masa yang kami ada memang agak terbatas sebenarnya.

‘Bila dia minta time off saya pelik. Akhirnya bila keluar cerita cinta mereka di surat khabar, baru saya tahu apa yang dah jadi.

‘Siapa yang tak rasa kecewa tapi bukan bermakna hidup saya sudah hancur musnah. Ini mungkin ujian buat saya kali ini dan saya sedia hadapinya. Lagi pun masalah ini bukan besar mana kalau nak banding dengan masalah orang lain,’ luah Lash mengatur ayat satu persatu.

Sebelum ini Lash menggambarkan Miera sebagai wanita yang cukup matang walaupun masih berusia belasan tahun. Namun persepsi Lash terhadap Miera sedikit berubah apabila berlakunya insiden ini.

Baginya Miera telah membuatkan dia terdiam seketika dengan ‘peralihan’ cinta tanpa memberikan apa-apa alasan yang munasabah.

‘Industri ini kecil sahaja. Kalau nak bergaduh kerana hal ini, baik tak payah. Banyak lagi perkara lain yang perlu diutamakan daripada terus meratapi cerita macam ni.

‘Famili saya memang cukup terkejut dengan cerita mereka. Apa yang saya boleh buat? Kalau itu pilihan terbaik Miera, saya hormati keputusannya. Rasa kecewa tu ada bila mengenangkan cara Miera putuskan hubungan.

‘Cuma saya selalu mahu bertindak profesional. Bila cerita tu keluar, Miera tidak pernah menerangkan apa yang terjadi pada saya. Sama juga dengan Shahz. Ada kata nak jumpa, tapi sampai ke hari ini belum datang.

‘Kalau saya boleh profesional dalam hal ini, saya juga mahu mereka profesional. Datang jumpa dan terangkan hal ini. Itu sahaja. Lepas tu apa yang nak jadi pada mereka saya tak kisah,’ luahnya kesal.

Lash yang akan membintangi drama bersiri Bicara Hati menafikan yang dia tidak serius dalam hubungan cinta. Tanpa ragu-ragu Lash mengaku dia cukup serius dalam hubungan yang dibina dan seboleh-bolehnya mahu ia berakhir di jenjang pelamin.

‘Semua itu dah jadi sejarah. Buat apa nak ungkit lagi kisah-kisah tu. Kepada mereka saya doakan mereka semoga berbahagia dan berkekalan,’ luah Lash ringkas.

Alah, kalau macam tulah sikapnya,Joyah fikir, tak ke mana juga cinta si Miera dengan Shahz tu. Kita tengok sajalah nanti ya. Masa tu, kalau Miera cari Lash balik, pandai-pandai sajalah nak pulangkan ‘paku buah keras’ ya.

Utusan

Danny & Leen Pilih Hari Malaysia

25 Sep

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto IHSAN DVAZZ STUDIO


Tanggungjawab besar menanti usai bergelar pasangan suami isteri.

HATI Mohd. Kardanie Anwa kini sedang berbunga riang ketika ini apabila wanita idaman, Zaidatul Norfazlin Zakaria, 25, sah menjadi teman hidupnya. Momen indah yang termeterai pada Hari Malaysia iaitu 16 September 2011, pasti tidak akan dilupakan.

Pada tarikh bersejarah itu penyanyi kumpulan X-Factor ini bersatu dengan pramugari syarikat penerbangan Air Asia X.

Mengambil keberkatan hari Jumaat yang mulia, majlis tersebut berlangsung di Masjid An-Nur, Kampar, Ipoh.

Seramai kira-kira 50 orang terdiri dari ahli keluarga terdekat menyaksikan Danny dinikahkan dengan Zaidatul Norfazlin atau lebih mesra disapa Leen.

‘Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya dah ada tanggungjawab baru sekarang ini,’ reaksi awal Danny sejurus selepas upacara terbesar dalam hidupnya itu diadakan.

Bercerita tentang detik keramat sebelum Danny diijabkabulkan mengundang rasa lucu. Mungkin disebabkan terlalu gemuruh, dia melafazkan akad nikah sebanyak dua kali.

Perasaan tersebut sukar ditafsirkan walaupun ditenangkan oleh kedua-dua abangnya, Mohd. Shamsuri dan Mohd. Anusidiqie, serta ahli keluarga lain yang berada di sekeliling Danny.

‘Saya tak tahu apa yang berada dalam fikiran ketika itu. Syukurlah semua berjalan lancar. Tapi saya tak boleh lupa bagaimana sukarnya tok kadi menyebut nama saya sampai berbelit lidah dia.

‘Sebab selalunya kita lihat, tok kadi yang tunggu sang pengantin, tapi kes saya ini terbalik pula. Apa pun, itu adalah kenangan manis yang pasti disimpan sampai mati,’ ceritanya penuh ceria.

Kegembiraan itu turut dirasai kedua-dua ibu bapa Danny iaitu Anwar Muhammad dan Shamsiah Shiraku serta keluarga mentua sejurus upacara wajib itu selesai.

Pada majlis tersebut, Danny menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1,500 dan wang hantaran sebanyak RM11,201.11.

Sebenarnya, angka wang hantaran yang diberikan berkait rapat dengan tarikh perkenalan Danny bersama Leen buat pertama kalinya iaitu pada 1 Januari 2011.

Menurut Danny, momen terindah itu sengaja diabadikan kerana ia bakal diceritakan kepada bakal anak-anak yang lahir kelak. Bagaimana kedua-dua ibu bapa mereka bertemu janji, bertunang (20 Mac 2011) sebelum berkahwin.

Mengajukan persoalan ke mana pasangan pengantin ini bakal berbulan madu, lelaki berusia 31 tahun ini masih belum memberi jawapan. Katanya, semuanya bergantung kepada jadual penerbangan Leen yang tidak menentu.

‘Kita tengoklah nanti, macam mana. Nak cakap pasal bulan madu ini susah. Nanti, kalau dah selesai semua, kita berbulan madu,’ ringkasnya.

Majlis kesyukuran di rumah Danny bakal diadakan di Pasir Mas, Kelantan pada 1 Oktober 2011. Sementara majlis resepsi untuk sahabat dan rakan di sekitar ibu kota bakal diadakan di Dewan Seri Hendon, Putrajaya pada Disember depan.

Kepada Danny dan Leen, Pancaindera mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan semoga berbahagia “>

Utusan

Dia Akhirnya Minta Maaf

25 Sep


Julfekar mengaku enggan terus mengheret isu lebih panjang demi kebaikan semua pihak.

KHABARNYA anda telah menarik semula saman terhadap Farawahida. Apa cerita ni? Tiga tahun lalu, memang saya ada memfailkan saman terhadap Farawahida.

Tapi sekarang keadaan dah berbeza sebab pihak mahkamah telah mengeluarkan perintah supaya dia membuat permohonan maaf berhubung isu-isu yang timbul.

Jadi Farawahida sudah buat permohonan maaflah?

Ya. Dia sendiri sudah buat permohonan maaf sebagaimana diperintahkan di hadapan hakim mahkamah, Datuk Nor Bee Ariffin pada 21 September lalu. Saya hadir bersama peguam Noor Bahyah Yahya manakala Farawahida ditemani peguamnya, Farhan Hamid.

Jadi selepas permohonan maaf dibuat, segala hutang piutang yang dituntut sebelum ini macam mana? Kira langsailah?

Hakikatnya memang saya rugi banyak. Tapi saya ambil keputusan untuk terima kemaafan yang dibuat oleh dia di mahkamah. Sebabnya cuma satu, saya tidak mahu mengheret isu ini lebih lama. Bila fikir-fikir balik, kita baru sahaja mengharungi Ramadan dan kini berada di bulan Syawal, rasanya lebih baik saya maafkan saja.

Bukan jumlah yang sedikit tu. Tak rasa rugi ke?

Dah rugi nak buat macam mana? Sekurang-kurangnya dia minta maaf dan menyedari kesilapan yang dia buat terhadap saya. Saya anggap segala hutang itu telah dibayar dengan kemaafan yang dia buat. Itu pun dah memadai.

Tertekan tak sepanjang tiga tahun menunggu proses keputusan mahkamah?

Jujurnya tidak. Malah saya tak fikir sangat pun. Saya banyak tumpu pada kerja saja dan berdoa supaya diberikan jalan yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini. Alhamdulillah, sekarang saya terbuka hati menerima permohonan maaf itu.

Agaknya kenapa anda tidak tampil mengeluarkan sebarang kenyataan di mana-mana medium media untuk memberi komen lanjut mengenai isu? Nampak lebih rela mengunci mulut. Cuba jelaskan?

Semuanya sebab saya malas nak jadi orang bodoh. Bosan bercakap hal yang berulang-ulang. Ditambah pula dengan cerita-cerita buruk mengenai saya. Jadi rasanya tak perlu. Bila keputusan mahkamah dah keluar sekarang barulah saya berani berdepan dengan semua pihak sebab bukti sudah ada depan mata dan keputusan mahkamah tiada siapa yang boleh bangkang.

Kononnya sekarang sudah terpampanglah siapa benar dan siapa salah. Begitu?

Tak perlu saya jawab pun orang semua sudah dapat baca dan nilai.

Apa perasaan anda sekarang?

Syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya nama saya sudah dibersihkan dan tindakan saya mengambil jalan tengah telah membuktikan segalanya. Lepas ni tak perlu nak tampil keluarkan sebarang kenyataan mengenai isu ini sebab saya dah tutup buku. Tak perlu ungkit cerita lama dah. Baik saya dan dia, kami masing-masing bawa haluan sendiri. Saya harap semua pihak menghormati keputusan ini. Ini semua dibuat demi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Utusan

Aizat & Bunkface Menakluk

4 Sep

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto Noor Asrekuzairey Salim & Wan Nur Amirah
Pakaian LAT’S Collection, Taman Maluri KL.


Aizat (dua dari kanan) mengambil kesempatan bermaafan dengan ahli kumpulan Bunkface.

BAIK Aizat mahupun Bunkface, kedua-dua sedang menerobos ruang angkasa. Ini masa mereka dan sudah pasti mereka tahu apa yang dicari. Bukan sekadar mahu popular tapi ada agenda lain yang harus dilunaskan oleh mereka.

Tidak mahu terus diselaputi populariti yang entah apa-apa, tekad mereka mahu menjadi orang yang disegani. Bukan sekadar pemain muzik yang biasa-biasa kemampuan Aizat dan Bunkface sudah terbukti mampu memberi impak pada industri muzik yang tidak sebesar mana ini.

Bagi Aizat apa juga halangan harus ditempuhi walaupun seribu halangan datang melanda. Dia tidak mahu menjadikan masalah-masalah biasa sebagai penghalang sebaliknya mahu apa yang sudah direncanakan menjadi kenyataan.

Atas dasar itu Aizat dilihat mampu ke mana sahaja. Walaupun ketiadaan penaja ketika membuat konsert tempoh hari, dia sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk merealisasikan impiannya.

Nah akhirnya dia berjaya merealisasi impian yang lama terpahat dalam sanubari. Bukan sahaja di Damansara, Selangor malah Aizat sudah menakluk Sabah dan juga Sarawak.

‘Bila tiba lebaran, ini masa untuk Aizat meluangkan masa dengan keluarga setelah penat merencana perjalanan seni. Bukan mengeluh tetapi tiap kali hari raya Aizat akan gunakan masa yang ada sebaiknya.

‘Ini masa untuk Aizat pulang ke kampung, berjumpa dengan saudara-mara dan sahabat handai. Kadang kala kesibukan kita membataskan waktu bersama mereka.

‘Jadi bila dah ada peluang Aizat guna sebaik mungkin. Macam pagi raya tempoh hari Aizat sempat beraya di Kampung Melayu Ampang sebelum bergerak ke Raub, Pahang.

‘Bila sampai sahaja Raub memang banyak aktiviti yang Aizat kena buat dengan keluarga besar di sana. Bukan sahaja bermaaf-maafan di hari lebaran tapi kami akan pastikan album keluarga akan diambil pada hari itu.

‘Ini dah macam tradisi bila berkumpul ramai-ramai. Macam-macam perangai dan macam-macam gambar yang akan kami ambil. Semua itu akan jadi memori yang cukup indah tiap kali menjelang hari raya,’ kata Aizat tersenyum.

Lain pula cerita Sam, Paan dan Youk. Ini bukan tahun pertama mereka beraya sebagai orang popular sebaliknya mereka cukup seronok meraikan kedatangan hari raya seperti orang lain.

Selain dapat mengeratkan silaturahim sesama sendiri, inilah peluang untuk mereka menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai yang tak pernah luput dalam ingatan.

Magis Bunkface

Jika Aizat ada misi besar yang perlu dicapai, hal yang sama berlaku pada tiga lelaki asal Kelang, Selangor ini. Sudah jauh perjalanan yang dilalui oleh Bunkface yang cukup mereka banggakan. Bukan sahaja berpeluang membuat persembahan di sekitar Asia Tenggara tetapi mereka sudah pusing keling dunia dengan muzik mereka.

Biarpun sudah jauh perjalanan, itu tidak membuatkan Bunface bangga diri. Bagi mereka masih banyak cabaran yang harus dihadapi apatah lagi untuk ‘menjual’ muzik mereka ke peringkat tertinggi.

Bagi Paan atau nama sebenarnya Ahmad Farhan Hashim, dia hanya akan beraya di Kelang seperti mana kebiasaan.

‘Lepas sembahyang raya tempoh hari saya terus menziarahi rumah saudara-mara yang hanya mengambil masa 10 minit dari rumah saya. Nak buat macam mana sebab saya memang orang Kelang.

‘Kalau orang lain sibuk mengemas barang nak balik kampung, saya nak pulang ke mana? Semua keluarga besar saya banyak yang duduk di sini. Jadi kemeriahannya tetap ada bila bersama adik beradik yang lain.

‘Paling seronok sebab dapat makan biskut Arab. Itu memang menu wajib yang akan dibuat oleh ibu saya tiap kali hari raya,’ kata gitaris kecil molek ini lagi.

Lain pula cerita dengan Sam, 1 Syawal yang lalu merupakan hari yang cukup sibuk buat dia dan keluarga memandangkan mereka telah menziarahi keluarga besar sebelah ayahnya.

Pemilik nama Shamsul Annuar ini, dia cukup berbangga kerana ayahnya dilahirkan 14 beradik dan yang sudah pasti mempunyai saudara mara yang cukup ramai.

‘Kami sempat berkonvoi ke rumah semua pakcik dan makcik terdekat sepanjang hari raya pertama tempoh hari. Bila dah singgah daripada satu rumah ke rumah yang lain macam-macam cerita yang ada.

‘Itu memang perkara yang seronok sebab sekali sekala berjumpa dengan mereka. Hari raya kedua dan ketiga barulah saya tunggu kawan-kawan datang rumah.

‘Persiapan raya kami sekeluarga biasa-biasa sahaja. Jangan tak tahu saya pandai anyam ketupat okey. Itulah yang akan saya dan adik beradik yang lain buat tiap kali sambut raya.

‘Rendang ayam dan ayam masak kicap memang wajib ada. Itu memang tak boleh tak ada,’ kata abang kepada pelakon Siti Saleha ini lagi.

Berbeza suasana raya bagi Youk. Dia menyifatkan hari raya tahun ini sebagai hari raya yang suram berikutan kehilangan ayah buat selama-lamanya beberapa bulan yang lepas.

Tidak mahu terlalu berseronok ketika lebaran, Youk sempat menziarahi kubur arwah bapanya pada pagi raya yang lalu.

‘Memang suasana raya sedikit suram tahun ni. Saya kehilangan bapa dan ini merupakan raya pertama saya tanpa ayah. Suasananya memang lain dan tak meriah dulu.

‘Cuma saya masih lagi merai biasa-biasa sahaja. Tapi orang makin kenal saya. Itu memang betul sebab ramai yang datang beraya di rumah saya kali ini.

‘Lepas raya Bunkface akan sibuk dengan album terbaru, kali ini lebih hebat daripada album sebelumnya. Itu formula yang baik untuk Bunkface terus memberikan muzik yang segar pada peminat,’ kata Youk lagi.

Utusan

Artis Itu Memang Perampas

21 Aug


NORAINI mendakwa Joey mula mengabaikan anak setelah bertemu cinta baru.

‘SAYA hanya nak pesan kepada artis-artis wanita, jika banyak lagi lelaki lain, jangan ambil suami orang. Tolong cari lain, jangan runtuhkan rumah tangga orang lain dan biarkan anak-anak kecil tanpa bapa.’

Inilah pesanan pedas yang terpancul dari mulut bekas isteri penyanyi dan pelakon Joey, Noraini Mohamad Nasir semasa melangkah keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang pada 11 Ogos lalu.

Sebagai seorang wanita, pesanan begitu sebenarnya sudah cukup menyakitkan telinga kaum hawa lain.

Apalagi, ia datang dari mulut seorang wanita yang baru sahaja ditinggal dan diceraikan suami selepas si lelaki dikatakan asyik dilamun cinta dengan kekasih barunya.

Biarpun kemelut rumah tangga mereka sudah berlalu, namun kata-kata Noraini atau mesra dipanggil Kak Amy jelas melekat di hati sesiapa sahaja yang faham akan kedudukannya.

Dan semua juga faham dan tahu benar kepada siapakah kata-kata itu dituju. Tentulah kepada kekasih Joey sekarang, artis sensasi, Watie Elite.

Banyak lagi yang diceritakan Noraini apabila wartawan SITI ATHIRAH DZULKIFLY meminta dia supaya Tolong Jawab.

PEDAS benar bunyi kenyataan Kak Amy baru-baru ini. Semua tahu pesanan itu ditujukan kepada siapa. Agaknya kenapa kak Amy buat begitu ya?

Kenapa? Sebab sebelum ini, bila saya cuba betulkan kedudukan sebenar, orang kata saya begitu begini. Saya dihentam teruk. Malah ada di kalangan wartawan yang tak percaya dengan apa yang saya cakap walhal perkara ini benar-benar berlaku. Kalau awak tengok, ramai artis wanita kita yang berperangai begini, suka ambil hak orang.

Maksudnya, merampas suami orang sudah jadi macam trend?

Susah nak cakap. Tapi perkara ini dah banyak yang terjadi depan mata dan saya antara yang diberi dugaan ini. Saya nak cakap lebih pun tak boleh sebab iyalah, saya ni bukan artis. Bila saya cakap nanti orang bidas saya semula. Macam mereka (Joey & Watie) senanglah boleh cerita macam-macam. Banyak wartawan yang tak tahu cerita sebenar, percaya bulat-bulat apa yang mereka cakap.

Habis, adakah ini bermaksud akak bermasalah dengan wartawan?

Saya tak pernah ada masalah dengan wartawan. Kalau media tanya, saya akan beritahu. Seboleh-bolehnya cakap benda yang betul, tak perlu sembunyi. Tapi yang sedihnya, bila saya beritahu, ada media yang putar-belit kata-kata saya.

Selepas bercerai, apa yang akak rasa sekarang?

Saya reda dengan ujian Allah S.W.T ini. Rasa lega sebab dah tak perlu turun naik mahkamah lagi. Cuma sekarang, saya fikirkan anak sajalah. Saya kena bangkit dari kegagalan ini dan hanya Tuhan sajalah yang tahu betapa sukarnya nak bina semula hidup apatah lagi saya ditinggalkan dalam keadaan yang cukup hina.

Maksudnya?

Saya diceraikan dalam keadaan tak ada pekerjaan. Macam mana saya nak besarkan anak kalau saya tak bekerja? Saya sanggup berhenti kerja produksi dua tahun lepas sebab Joey kata dia sudah boleh menyara keluarga lebih-lebih lagi banyak tawaran dia dapat sejak kebelakangan ini. Tak sangka tahun kedua selepas saya berhenti, dia mula buat perangai dan saya dapat tahu mengenai skandal dia dan Watie. Joey juga tak mahu berbincang dan cuba memulihkan hubungan. Baginya, cerai sahaja yang ada sebagai jalan penyelesaian.

Jadi selama ini siapa yang menyara keluarga?

Saya kenal Joey dah lama, 14 tahun. Kami berkahwin enam tahun lepas. Masa tu, dia tak dikenali. Saya yang kutip dia, ‘cuci’ dia daripada karat menjadi manusia. Boleh katakan, sebenarnya saya yang menyara hidup kami anak-beranak hasil bekerja produksi dengan gaji lima hingga enam ribu sebulan. Tapi bila saya rela berhenti sebab hormat keputusan dia sebagai suami, ini yang dia buat pada saya. Madu yang saya beri, racun yang dia balas.

Selepas bercerai, ada tak Joey datang menjenguk atau bertanya khabar anak?

Maaf cakap ye, memang tak ada dan inilah yang membuatkan saya rasa lebih terkilan. Usahkan pada hari-hari biasa, hari jadi anak pun dia tak ada nak beri ucapan atau telefon anak. Paling saya ralat, masa anak sakit sampai masuk wad di hospital baru-baru ini pun dia tak datang jenguk. Bila saya tanya dia tahu tak yang anak ada di hospital? Dia kata tahu. Bayangkan, sampai hati dia sebagai seorang bapa buat begitu. Bukan anak orang lain, anak dia juga. Kenapa anak kekasih dia, Joey boleh layan dengan baik pula?

Maknanya, kita boleh bacalah yang Joey pun tak adalah bertanya mengenai persiapan raya anaknya, begitu?

Memang langsung tak ada.

Lama mengenali Joey, sebelum ini memang begitukah dia sebenarnya?

Dulu dia tak begitu. Dia seorang yang penyayang pada anaknya. Kami pun dulu, selalu dicop sebagai pasangan yang romantis. Ke hulu ke hilir bersama. Tapi tak sangka, sekelip mata kerana artis itu, dia boleh berubah. Dia lupa pada pengorbanan saya selama ini terhadap dia. Saya faham kalau dia dah tak mahu pedulikan lagi diri saya sebab kami dah tak ada apa-apa ikatan. Tapi dia masih punya pertalian dengan anak. Hari-hari si anak bertanya mengenai ayahnya. Setiap kali itulah saya terpaksa menipu dan katakan yang ayahnya pergi bekerja.

Sebagai seorang wanita, apa agaknya tanggapan kak Amy mengenai punca yang membawa kepada perubahan Joey?

Manusia diberikan akal untuk berfikir. Tapi kerana nafsu, manusia boleh hilang pertimbangan. Entahlah, saya pun pelik, perempuan tu masih muda dan ada rupa, tapi kenapa dia nak sangat dengan suami orang? Saya percaya ramai lagi lelaki bujang, kacak dan kaya yang mahu dekati Watie, tapi kenapa dia pilih Joey? Sudahlah suami orang, Joey tu pun bukannya kacak, bukannya artis yang berduit, jadi apa sebenarnya yang perempuan itu cari? Fikirlah sendiri. Mujurlah saya ni boleh berfikir dengan waras dan tak ikut emosi. Sekarang ini, kalau boleh, saya tak nak tahu dan tengok di surat khabar mengenai kisah mereka berdua. Kalau boleh bayang-bayang mereka pun saya tak mahu tengok.

Ada apa-apa lagi pesanan untuk wanita lain di luar sana?

Saya tak layak nak beri nasihat pada orang tetapi kalau berkawan dengan suami orang, fikirlah baik-baiknya. Macam mana kalau ia terjadi pada diri mereka sendiri? Sejauh mana mereka boleh tanggung seksa dan peritnya bila rumah tangga hancur? Paling penting, fikirkanlah nasib anak kecil yang akhirnya hilang kasih sayang seorang bapa kerana angkara anda yang berlandaskan nafsu semata.

Utusan

KL Gangster: Perlu Episod

14 Aug

Oleh MOHD. RASDAN AHMAD
Rasdan_utusan@yahoo.com

FILEM KL Gangster yang mencecah RM12 juta telah menjadi satu bualan hangat peminat filem tempatan. Ini adalah pungutan tertinggi dan filem ini juga dilihat sebagai sebuah karya yang berjaya menaikkan kembali martabat filem Melayu.

Tidak hanya filem seram sebelum ini, genre aksi telah diketengahkan dengan cemerlangnya oleh pengarah muda, Syamsul Yusof.

Kejayaan demi kejayaan yang diperlihatkan oleh Syamsul menunjukkan dia telah mendapat sentuhan tersendiri bagi menghasilkan filem yang digemarinya.

Khabar terbaru KL Gangster akan mempunyai sekual iaitu KL Gangster 2, mungkin filem ini juga diharapkan akan memberi kesan yang besar kepada industri perfileman tempatan. Namun, jika diperhatikan secara teliti dalam filem pertama ini, banyak persoalan masih belum terjawab.

Secara umumnya, filem ini berjaya diolah oleh pengarah dengan plot penceritaan yang begitu mudah difahami oleh setiap pelusuk penonton.

Hakikatnya, filem aksi ini sebenarnya memerlukan penerangan dengan lebih jelas jika diterbit sebuah lagi ‘episod awal’ atau origin filem ini. Maksudnya kisah terdahulu yang tidak dipaparkan dalam KL Gangster diisi kepada sekuel ini.

Banyak persoalan yang boleh dijawab sekiranya ‘episod awal’ filem ini diterbitkan. Sebagai contoh penonton boleh melihat bagaimana kekuasaan Malik lakonan Aaron Aziz yang dikatakan seorang gangster yang digeruni sebelum dia dipenjarakan.

Mungkin pengaruh Malik serta zaman kegemilangannya boleh diceritakan balik dan mungkin dengan cara ini, penonton serta peminat tidak sabar untuk menunggu dan melihat sendiri di sebalik kehidupan gangster Malik sebelum ini.

Bagaimana cara Malik dan King sebelum ini sama-sama menaikkan kumpulan mereka perlu juga dikupas secara terperinci, episod ini akan menjadi lebih menarik.

Selain itu juga, watak Shark lakonan Syamsul sendiri juga banyak yang perlu dikupas, misalnya bagaimana dia berjaya memusnahkan kuasa Malik sehinggakan Malik dipenjarakan.

Dalam pada itu, ada dalam satu babak filem KL Gangster yang menyatakan watak King lakonan Rizduan Hashim memusnahkan hidup ibu Shark, bagaimana cara King memusnahkan hidup ibu Shark juga perlu dikupas kerana itu adalah satu penyebab besar dendam yang menyebabkan King telah dibunuh.

Walaupun kehadirannya sekejap dalam filem ini, namun watak Fadil lakonan Zizan Raja Lawak begitu dinanti-nanti, sikapnya yang lucu serta sebagai penasihat kepada Malik adalah watak yang perlu ada dalam setiap filem.

Watak tersebut adalah untuk merehatkan fikiran penonton yang telah disajikan dengan adegan aksi yang ganas. Walaupun wataknya tidak terlalu besar, namun persahabatannya dengan Malik sebelum ini perlulah diceritakan kembali.

Dalam pada itu juga, dalam filem KL Gangster ini ada juga menyatakan adik perempuan Malik telah dirosakkan oleh kumpulan gangster lain yang berdendam dengan Malik ketika zaman kegemilangannya.

Segala persoalan serta kisah sebelumnya perlu diceritakan semula dalam episod awal filem KL Gangster ini. Mungkin baik kalau diterbitkan The Origin of KL Gangster dan rekod angka RM12 juta itu akan terpadam dan fenomena kegilaan terhadap filem ini akan terus hebat.

Utusan

Industri Muzik Makin Nazak

14 Aug

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto RASHID MAHFOF


Jay Jay

PENYANYI Jay Jay membayangkan negara kita bakal menjejak Singapura yang mengalami kejatuhan zaman industri seni Melayu satu masa nanti. Malapetaka ini pasti berlaku berdasarkan pemerhatiannya yang merasai sendiri kemerosotan idea dan penghasilan kerja kreatif sejak kebelakangan ini.

‘Kita tak mahu jadi macam Singapura atau Brunei yang mengimport lagu dari luar. Singapura misalnya adalah pusat kesenian Melayu yang cukup terkenal di rantau ini satu ketika dahulu.

‘Semua orang tahu Studio Jalan Ampas cukup berkembang pesat dengan pemasaran, rakaman dan penerbitan aktiviti kesenian.

‘Tapi apa yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya. Kita tak nak industri muzik Malaysia mengalami masalah yang sama. Jadi seperti industri muzik Cina di Malaysia yang terpaksa mengimport lagu dari negara China dan Taiwan,’ hujah penyanyi kumpulan Carefree tatkala mengukuhkan kenyataan yang dikeluarkannya itu.

Mengulas tentang ‘ramalan’ penghibur yang sudah mengabdikan diri dalam industri muzik sejak 31 tahun yang lalu ini, dia memberitahu kemunduran industri muzik tanah air berdasarkan kekurangan penghasilan lagu baru terbaik.

‘Dahulu, kita ada banyak lagu kuat yang masih malar segar sehingga hari ini. Contohnya lagu Issabella atau Srikandi Cintamu. Setiap lagu dicipta dan diukur mengikut lenggok suara penyanyi tertentu.

‘Contohnya Datuk Ahmad Nawab dan M. Nasir. Mereka akan cipta lagu yang dikhususkan untuk penyanyi tertentu sahaja sebab mereka dah kaji latar belakang suara penyanyi itu.

‘Maknanya, tidak akan berlaku jual beli lagu kepada penyanyi lain andai lagu itu tidak dinyanyikan olehnya,’ dedahnya lagi.

Ditanya apa kriteria utama yang membezakan penyanyi sezaman Jay Jay dengan hari ini, lelaki ini ada jawapannya.

‘Bakat menyanyi di Malaysia ini berlambak. Semua orang boleh menyanyi. Tapi bagaimana pula dengan akar pada sesebuah penghasilan produk lagu itu.

‘Adakah penyanyi sekarang punya keseimbangan tahap disiplin, emosi dan jiwa seperti mana orang dahulu. Nilaikan sendiri etiket kerja orang lama dengan sekarang dalam menghasilkan sesebuah karya agung itu. Cukup jauh berbeza,’ kesalnya.

Mengajukan persoalan kemungkinan hubung kait gaya hidup dan teknologi sekarang mempengaruhi cara kerja generasi pemuzik sekarang, lelaki ini tidak menafikan.

‘Artis perlu bersyukur dengan senario negara kita yang pesat membangun. Banyak acara korporat yang sentiasa menjemput artis setiap masa. Pentas ballroom adalah perkara biasa.

‘Sebab itu, mereka ‘malas’ nak bekerja lebih. Nyanyi sikit, dapat duit dan terus pulang. Mereka tak rasa bagaimana jerit perit orang dahulu sewaktu memperjuangkan lagu mereka,’ katanya.

Mengulas persoalan terdapat punca lain yang menyebabkan industri muzik negara semakin tandus, Jay Jay punya alasan tersendiri.

‘Teknologi kita terlalu cepat berkembang. Tapi ada tak bagus. Contohnya, Indonesia menapis teknologi yang digunakan. Masih menggunakan cara lama, kaset dan sekat penggunaan laman sosial Facebook dan Twitter. Sebab itu artis mereka masih laku bila tiada yang percuma di situ.

‘Berlainan di Malaysia. Penyanyi kita buat promosi pun kena menyanyi satu dua lagu. Itu dah dikira seperti mini showcase. Orang tengok benda ini ringan tapi sebenarnya berat.

‘Kalau nak tahu, kita adalah negara yang mengamalkan cara ‘pakej’ macam itu. Negara lain tak pernah buat pun. Sebab itu dah hilang nilai eksklusif bagi seseorang penyanyi itu bila dia muncul di mana-mana tempat,’ dedahnya yang berharap agar semua pihak mengambil berat isu yang diketengahkan itu.

Utusan

Juara Milik Nor Asma & Nurul Faizatul

24 Jul

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto AHMAD ZAKKI JILAN


Nor Asma Che Som, 25, tersenyum bangga dinobatkan sebagai juara Ratu Kebaya kategori b.

SAMBUTAN yang diterima sepanjang Fiesta Bera 2011 berlangsung dua minggu sudah memang cukup hangat. Namun jangan tak tahu, tempias kemeriahan fiesta juga turut dirasai semua peserta pertandingan Ratu Kebaya Pahang Mak Dara 2011!

Merupakan lokasi keenam selepas Melaka, pertandingan kali ini telah disertai seramai 25 peserta yang tentunya bukan sahaja dari daerah Bera, tetapi seluruh negeri Pahang.

Diadakan di Tapak Expo Daerah Bera, pertandingan kali ini telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada Nurul Faizatul Othman, 24.

Kemenangan Faizatul dilihat cukup istimewa kerana selain telah bergelar ibu, dia juga telah mengejutkan barisan juri apabila mendedahkan bahawa dia bertugas sebagai seorang anggota polis berpangkat konstabel.

Juri yang dibarisi oleh pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib dan dua pelakon terkenal iaitu Abby Abadi dan Neelofa ternyata kagum dengan bakat yang ada pada Faizatul meski dia dilihat memiliki ciri-ciri kelembutan dan keayuan seorang wanita Melayu.

Menurut Faizatul, misi utama dia menyertai pertandingan adalah untuk membuka mata umum bahawa tidak semua wanita yang bertugas sebagai anggota polis tidak boleh menyertai pertandingan ratu sedemikian.

‘Sebagai anggota polis, saya sememangnya dilatih dengan disiplin yang ketat dan diterapkan dengan komitmen yang tinggi terutama ketika menjalankan tugas.

‘Tetapi itu tidak bermakna saya tidak mempunyai kelembutan sebagai seorang wanita Melayu. Jadi saya mahu buktikan bahawa saya juga boleh lakukannya seperti ratu-ratu cantik yang lain.

‘Lagipun tak salah saya mencuba, ‘ katanya.

Kemenangan Faizatul sekali gus melayakkan dia pulang dengan gelaran juara Ratu Kebaya Pahang Mak Dara untuk kategori A yang dikhaskan kepada wanita yang mempunyai berat badan 59 kilogram ke bawah.

Keterujaan tentunya semakin terserlah di wajah Faizatul apabila dia diumumkan turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest’ Secret bernilai RM500 serta cenderahati eksklusif daripada Mingguan Malaysia.

Menumpaskan 15 peserta yang lain, kemenangan Faizatul itu turut menyaksikan Fatin Yang Maida Ramli, 24, sebagai naib juara manakala Rosmaliza Rameli, 25, pemenang di tempat ketiga.

Sementara itu, untuk kategori B (60 ke atas), juri telah sebulat suara memilih Nor Asma Che Som, 25, yang merupakan seorang suri rumah dan juga ibu kepada seorang cahaya mata.

Pulang membawa hadiah wang tunai berjumlah RM500, hamper tajaan Forest’ Secret (RM500) serta cenderahati eksklusif daripada Mingguan Malaysia, Nor Asma ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah bergelar juara.

Menurut Nor Asma, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut apalagi penyertaan itu pada awalnya disertai secara suka-suka selain berniat mahu mencuba nasib.

‘Tak sangka pula menang. Saya anggap ini rezeki anaklah. Apa yang menyebabkan saya lebih terharu, sebelum saya masuk pertandingan ini, ramai di antara kawan-kawan yang memandang rendah.

‘Iyalah..sebab saya ni montel. Tapi saya tetapkan juga keyakinan bahawa saya boleh lakukannya dan ternyata saya berjaya membuktikannya sekarang,’ katanya bangga.

Kemenangan Nor Asma diikuti oleh Hafidah Abdul Malik, 28, meraih tempat kedua manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Rosmawati Rahmat, 29.

Sementara itu, pencarian Ratu Kebaya di Negeri Sembilan, Johor Bharu dan berikutnya, akan diteruskan selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai, sila dapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini yang akan dimaklumkan menerusi sisipan Pancaindera dari semasa ke semasa.

Utusan