Archive | Jehan Miskin RSS feed for this section

Pencarian Personaliti Glamor 8TV Bermula

8 Jul

Oleh MOHAMAD KHAIRUL AZWAN MOHD. TAJUDIN

AHMAD Izham Omar (kanan) bersama Lam Swee Kim (kiri), Yau Li Har dan Amanda Eng Wei Ru (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran program The Ultimate Prom Nite di Sri Pentas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

APA perasaan anda apabila tampil dengan gaya menarik dengan gaun malam yang cantik dan tuksedo kemas lagi bergaya sesuai untuk menghadiri majlis tari menari?

Sekali lagi The Ultimate Prom Nite (TUPN) musim kedua akan menjadi landasan untuk membawa anda mengalami pengalaman dan saat-saat indah seumpama itu.

Bersesuaian dengan temanya Bersedialah Untuk Satu Lagi Majlis Tari Menari Yang Meriah, imej dan keyakinan merupakan elemen yang harus ada bagi menampilkan gaya yang lebih berani dalam majlis seperti itu.

Program terbitan stesen 8TV melalui kerjasama produk penjagaan diri nombor satu di Malaysia, Nivea akan membantu mereka yang inginkan perubahan dan tampil dalam satu majlis yang penuh glamor dan bergemerlapan.

Menurut Pengurus Besar Penjenamaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim, program TUPN bakal membawa satu kenangan indah yang sukar dilupakan khususnya kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“TUPN adalah simbol kepada kegembiraan, keseronokan, menghabiskan masa berkualiti bersama rakan dan mengalami masa di alam dewasa.

“Mengingatkan kembali saat manis penuh kegembiraan itu di TUPN tahun lalu kami tekad untuk kembali mengendalikannya pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada sidang media dan pelancaran program itu di Sri Pentas , Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis pelancaran program TUPN disempurnakan oleh Pengurus Besar saluran 8TV, Ahmad Izham Omar.

Swee Kim berkata, program tersebut merupakan salah satu rancangan yang pengisian utamanya adalah memberi hiburan dan menyasarkan golongan remaja.

menghiburkan

“Kami bukan sahaja cuba merapatkan hubungan antara pelajar dalam program ini, malahan kami mahu menghiburkan penonton iaitu remaja supaya mereka turut merasainya,” kata Swee Kim lagi.

Swee Kim berkata, penyertaan terbuka kepada mahasiswa wanita dan lelaki yang masih menuntut di universiti dan kolej-kolej di seluruh negara.

Penerbitan TUPN kata Swee Kim juga, berteraskan matlamat mencari peserta yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai personaliti popular.

Pada masa yang sama, program itu turut menawarkan bengkel pengurusan diri, komunikasi dan penampilan diri kepada peserta.

“Bengkel pengurusan diri tersebut sangat penting kerana zaman semakin berubah, kerana apa yang jelas bukan sahaja wanita mahukan penampilan diri agar tampil menarik, bahkan lelaki juga,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Nivea, Yau Li Har berkata, Nivea merupakan satu jenama yang mementingkan penjagaan diri setiap individu untuk kelihatan cantik secara semula jadi tidak mengira faktor jantina.

“Bagi setiap remaja perempuan mereka mesti tahu bahwa kecantikan bukan sahaja untuk tatapan orang lain namun yang lebih penting untuk diri sendiri.

“Manakala untuk lelaki kerapian diri itu lebih kepada menghayati kehidupan dengan lebih bermakna. Jadi kita cuba membantu merealisasi keperluan ini,” jelasnya.

Menurut Li Har lagi, rancangan ini bertujuan juga mendidik mereka yang masih menuntut agar tampil dengan lebih berkeyakinan dalam diri mereka.

“Kami mencari pemenang anugerah Prom King dan Queen yang mempunyai keyakinan, bijak komunikasi dan mempunyai personaliti yang menarik.

“Jika menang, wang tunai yang mereka menangi itu akan menampung pembelajaran mereka,” jelasnya.

Sementara itu, pemenang Porm Queen musim pertama, Amanda Eng Wei Ru, 20, berpendapat, program TUPN berjaya mempertingkatkan keyakinan dalam dirinya dan merupakan kenangan manis yang berharga.

“Dahulunya saya kurang keyakinan diri ketika bertemu dengan orang ramai. Namun melalui rancangan ini selain akan mengubah gaya dan imej ia memberi impak positif untuk seseorang itu untuk berketrampilan menarik dan berkeyakinan,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran TUPN.

Namun, setelah setahun program tersebut diadakan, apakah impak dan sejauh manakah para peserta ini mampu melangkah?

Mungkinkah melaui tawaran berlakon mahupun tawaran peragaan?

“Sememangnya kedua-dua peluang itu pernah diterima kepada saya. Sayangnya ia hadir tidak tepat pada masanya memandangkan saya masih menuntut di luar negara.

“Manakala perkembangan finalis yang bakat mereka turut diintai agensi peragaan,” kata penuntut jurusan perniagaan di salah sebuah universiti di England.

Siri jelajah pencarian King dan Queen Prom Night akan bermula hari ini hingga 4 Ogos depan di kampus-kampus terpilih di Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru.

Sesi uji bakat akan diadakan Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Seramai 12 calon yang terpilih akan mengikuti kursus pengurusan dan turut menyediakan kursus lakonan dan pengacaraan bagi mempertingkatkan keyakinan diri yang akan dikendalikan oleh selebriti-selebriti tempatan yang terkenal.

Pemenang dalam program ini akan menerima gelaran Prom King dan Prom Queen, wang tunai RM10,000 dan hadiah dari penaja utama, Nivea.

Jangan lupa saksikan TUPN untuk episod eksklusif bermula pada 6 November dan akan berakhir pada 11 Disember depan yang akan dihoskan oleh Jehan Miskin dan Sarah Lian.

Utusan Malaysia

Ain Rela Kena Buli

31 May

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

MENIMBA pengalaman berlakon daripada pengarah ter kenal, Prof Madya A Razak Mohaideen dianggap tuah dan kelebihan bagi pelakon baru bernama Ainul Aishah Azizun.

Dalam tempoh hampir tiga tahun, Ainul atau Ain bekas personaliti Gadis Metro ini sudah membintangi empat filem. Menariknya, menerusi filem pertama, Nana Tanjung, Ain diberi peluang memegang watak utama bersama Fasha Sand ha, Saiful Apek, Waheeda dan Jehan Miskin.

Biarpun Ain hanyalah pendatang baru dalam persada perfileman tanah air tetapi dia tetap beruntung kerana mendapat kepercayaan pengarah prolifik itu untuk menggilap bakat seni lakon dalam diri. Jika dilihat pada pelakon baru lain, mereka terpaksa bertatih dari bawah memegang watak kecil sebelum bersedia dengan watak utama.

Namun, Ain sendiri mengambil peluang itu dengan penuh semangat dan berani mencuba. Melakonkan watak Siti Hajar, adik kepada Balqis (Waheeda) dan Khairunisa (Fasha Sand ha), Ain sanggup dibuli demi mendapat pengalaman berharga daripada pelakon senior lain termasuk pengarah.

“Sejak bergelar artis, banyak perkara dan pengalaman berharga yang saya belajar. Saya bersyukur kerana pelakon yang berada di sekeliling saya sudi membantu dan mem berikan tunjuk ajar mengenai aspek lakonan yang lebih membawa penghayatan.

“Memang hidup sebagai selebriti, ada kebaikan dan ke burukan yang terpaksa dilalui. Walaupun mengecapi glamor dan mempunyai peminat sendiri tetapi pada masa yang sama, saya juga perlu berkongsi kisah peribadi bersama peminat.

“Bagaimanapun, saya tidak menyesal dengan keputusan bergiat aktif dalam bidang lakonan ini. Lakonan adalah minat saya dan akan diteruskan hingga berjaya merangkul anugerah Pelakon Terbaik suatu hari nanti,” katanya.

Selepas melangkah yakin menerusi filem pertama, Ain seterusnya ditawarkan watak yang sama dalam sekuel filem itu diikuti watak pembantu dalam Otai yang menyaksikan dia menjadi wanita gila berusaha memikat anak orang kaya, Aiman (lakonan Saiful Apek).

Berdasarkan pencapaian tiga filem itu, perjalanan karier Ain kemudian beralih arah pada filem seram berudul Histeria yang diarahkan James Lee. Dalam filem terbaru yang me nantikan tayangan pada tahun ini, Ain diberi watak utama sebagai Marina. Watak Marina adalah antara tujuh rakan karib yang belajar dari sebuah kolej menggelarkan kumpulan mereka Pink Lady.

Berbeza dengan watak yang pernah dibawa sebelum ini, Ain berkata watak Marina lebih mencabar dirinya berhadapan dengan situasi yang menyeramkan. Filem itu menjalani penggambaran pada Ogos tahun lalu dan turut menampilkan M Rajoli, Adman Salleh, Ramli Hassan, Vanidah Imran, Ako Mustapha, Adlin Aman Ramlie, Ady Putra dan Liyana Jasmay.

“Meskipun saya masih membawa watak remaja sama seperti dalam filem sebelumnya tetapi cabaran melakonkan watak Marina tetap ada. Pertama, kali ini saya berpeluang membuli seorang rakan dalam kumpulan saya iaitu Murni (Liyana).

“Kedua, saya menjadi mangsa bunuh dalam tandas. Dalam adegan ini, saya dipaksa mandi darah yang memenuhi seluruh badan dan muka saya. Bukan itu saja, saya juga mati dalam tandas yang kotor dan menjijikkan.

“Walaupun nampak mudah ketika melakonkan adegan itu, saya perlu menunjukkan lakonan yang benar-benar me yakinkan. Rasa seram juga menghantui diri saya ketika itu dan ia pengalaman menarik yang tidak mungkin saya lupa sampai bila-bila” katanya.

Meskipun Ain mendapat kepuasan baru dalam filem kelima ini selepas Nana Tanjung 1 dan 2, Otai termasuk Skrip 7707, Ain mengakui dia masih tercari-cari watak yang lebih mencabar. Katanya, jika boleh dia mahu mencuba watak antagonis yang menyerlah sisi berbeza dirinya.

Mengembang bakat seni dalam diri, Ain yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kreatif Multimedia peng khususan Pengiklanan dari Universiti Multimedia Malaysia, Cyberjaya juga mula berjinak-jinak dalam bidang penga caraan apabila mengacara program hiburan Random Mania yang disiarkan menerusi laman web, http://www.gua.com.my.

“Pertama kali menjadi pengacara, pengalaman yang dilalui begitu menyeronokkan. Rupanya baru saya tahu menjadi pengacara lebih susah berbanding pelakon dan pada masa yang sama, saya juga menjalankan tugas wartawan menemu bual artis lain.

“Antara lakonan dan pengacaraan, saya suka kedua-duanya. Jika boleh saya mahu mencuba dalam bidang seni lain pula seperti berlakon teater dan menyanyi. Namun, buat masa ini saya suka dengan apa yang saya lakukan kerana minat walaupun saya tidak mempraktikkan ilmu akademik yang saya belajar dulu,” katanya.

Ain yang pernah menyertai pertandingan Personaliti Cel com Harian Metro (PCHM) 2005-2006 turut muncul di gerai Harian Metro pada Jomheboh anjuran TV3 yang berlangsung hari ini di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Katanya, peluang terbabit bersama akhbar bahasa Melayu nombor satu dalam acara itu membuka peluang besar untuk bertemu peminat dengan lebih dekat.

“Saya seronok apabila dapat menjayakan acara terbesar ini dan bertemu peminat. Sebelum ini saya pernah berkunjung ke Perlis untuk acara sama dan mendapati sambutan daripada peminat amat menggalakkan.

“Malah saya juga seronok bertemu peminat yang banyak memberi sokongan pada karier seni saya selama ini. Harapan saya agar acara seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya

Profil

NAMA: Ainul Aishah Azizun

TARIKH LAHIR: 16 April 1985

ASAL: Kuala Lumpur

FILEM: Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria.

DRAMA: KL Menjerit The Series, Enigma dan Anak Mami

Powered by Harian Metro

Nilai Bront Palare

29 May

Oleh FAIZAL SAHARUNI


KEHADIRAN Bront di persada lakonan tanah air setidak-tidaknya mencetus sisi berbeza milik aktor tempatan. Namun, cukupkah jika sekadar itu yang dimahukan anak seni berjiwa besar ini?

NAMA jejaka ini cukup unik, Bront Palare. Pasti si pemiliknya juga seorang yang istimewa. Itu tanggapan pertama yang lahir kala berbicara lebih lanjut mengenai pelakon tinggi lampai ini.

Meskipun berhasil mengisi kekosongan dalam dunia lakonan dengan menonjolkan aksi bersahaja dalam setiap produk yang menjaja namanya, malang buat Bront apabila populariti seolah-olah kurang menyebelahi.

Hendak kata Bront tiada rupa, memanglah tidak benar sama sekali. Siapa sahaja tidak terpukau dan jatuh hati apabila melihat gaya jantannya baik dia muncul di kaca TV mahupun layar lebar.

Kurang publisiti serta cerita-cerita sensasi di media cetak dan elektronik tidak membuatkan anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini menganggap dirinya tersisih dan terlepas pandang oleh khalayak.

“Mungkin cara kerja saya yang menjadikan nama Bront Palare kurang laris di surat khabar dan majalah.

“Saya bukannya artis yang suka cari publisiti. Saya adalah individu yang kurang gemar pergi ke sesebuah majlis atau acara.

“Saya lebih selesa beri komitmen di lokasi penggambaran berbanding fikir perkara lain,” kata Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin.

Hakikatnya, Bront berpegang teguh terhadap prinsip yang menjadi amalannya selama ini. Melibatkan diri dalam bidang lakonan bermatlamat hanya mahu memperlihat bakat yang ada buat tatapan audiens.

Istilah glamor bukan terkandung dalam kamus hidup Bront apatah lagi menjadi penyukat kejayaan, sebaliknya mutu lakonan yang dipersembahkan menjadi keutamaan.

Menyelami naluri anak muda penuh ambisi ini tidak mudah dan bukan sembarangan. Nampak sahaja Bront bagaikan seorang jejaka tipikal yang terbiasa kita lihat di jalanan.

Berborak hampir setengah jam bersamanya mengisyaratkan Bront bukan calang-calang pelakon. Dia tidak mendambakan kisah murahan yang boleh dikongsi bersama pembaca.

“Saya nak orang kenal Bront sebagai seorang pelakon yang serius dengan kerjaya dalam mengisi ruang dunia seni lakon.

“Tak nak orang cakap saya glamor sebab ada masalah dengan produser atau tidak berdisiplin.

“Pasti kita akan dapat tumpuan kalau buat perkara tersebut, tapi pada saya cara itu salah, malah tidak sesekali kita akan dihormati masyarakat,” hujah Bront tegas yang mendapat pendidikan di Akademi Filem Malaysia.

Bront tidak didiskriminasi

Membahas paras rupa yang dimiliki Bront, penulis sengaja menyakat, barangkali wajah ganas dan serius Bront membuatkan dia kurang nilai komersial untuk diketengahkan.

“Baru saja jiran tegur cakap saya kacak tadi,” kata Bront yang terkenal dengan watak Husin dalam drama bersiri Sindarella sambil tertawa berdekah-dekah.

Sambung Bront lagi yang kini sedang berjinak-jinak dalam penulisan skrip, dia tidak pernah rasa didiskriminasi sepanjang tujuh tahun bergelumang dalam industri seni.

“Tak timbul langsung soal saya jadi mangsa pilih bulu, malah saya gembira lihat pelakon seangkatan seperti Ady Putra dan Jehan Miskin berupaya menonjolkan kemampuan mereka dalam lakonan.

“Cuma apa yang menggelikan hati saya apabila produser dan stesen TV menggunakan majalah untuk mencari pelakon.

“Sepatutnya mereka kena saksikan sendiri sesebuah drama atau filem dalam usaha mencari pelakon. Barulah dapat lihat kebolehan dan kualiti seseorang pelakon itu.

“Kalau tengok melalui majalah atau surat khabar, jadi kita dapat lihat wajah mereka saja tanpa ketahui sejauh mana pelakon itu mampu beraksi,” ungkap Bront sedikit kesal.

Tidak memilih watak

Sesetengah pelakon berprofil tinggi akan mengalami sindrom memilih watak. Alasannya bagi menjaga status dan taraf yang dibanggakan selama ini supaya tidak dikritik peminat.

Bagi Bront, adakalanya dia pernah berperasaan untuk memilih watak yang benar-benar selayak untuk dirinya.

“Dulu saya ada juga cakap nak pilih karakter, tapi ibarat macam saya kena ludah sendiri.

“Kini saya tekankan pada idea dan objektif teratas yang menjadi pegangan si pembuat drama atau filem.

“Biasanya mereka ada visi dan agenda sendiri dalam menghasilkan sesebuah naskah. Saya cukup teruja dengan projek lakonan tiga sutradara iaitu Mamat Khalid, Khabir Bhatia dan Osman Ali.

“Mereka adalah pengarah yang punyai ilmu dan pengetahuan dalam bidang filem sekali gus tahu hala tuju industri ini,” ujar Bront menjelaskan personaliti tiga pengarah terkenal ini.

Mengakui belum puas dengan pencapaiannya sebagai aktor, Bront memberitahu, dia tidak kisah untuk membawakan karakter yang berlawanan dengan dirinya yang sebenar.

“Saya nak lakukan sesuatu yang berbeza. Tak kisah kalau dapat watak ‘adik-adik’ (lelaki lembut). Saya kena mempelbagaikan karakter,” azam Bront bersungguh-sungguh.

Hati sudah dimiliki

Lelaki sehebat Bront pasti senang memperolehi cinta apatah lagi status yang dipegangnya sebagai pelakon lelaki popular dan berbakat besar di negara ini.

Sempat berseloroh: “Kepada sesiapa yang berminat boleh hantar rombongan ke rumah saya di Hadyai, Thailand.”


BRONT bersama teman artis, Remy Ishak (kanan) serta Gayatri Su Lin Pillai dalam satu fotografi mempromosikan filem Anak Halal, tidak berapa lama dahulu.

Enggan berputus asa dan terus meneroka ceritera cintanya, Bront tetap menunjukkan riak kurang selesa dan tidak mahu bercerita panjang tentang wanita pujaannya.

“Memang saya tengah bercinta dengan seseorang, tapi cinta kami tidaklah bagai nak rak. Lagipun saya bukannya individu romantis.

“Ia cuma perhubungan biasa yang praktikal. Kami bercinta atas kematangan dan bukan macam waktu di zaman kolej.

“Dia orang biasa, bukannya artis. Susah kalau pasangan itu datang daripada bidang sama, lagipun personaliti saya tak sesuai untuk bercinta dengan artis,” luah Bront lalu menoktahkan perbualan kami petang itu.

Powered by Kosmo

Satu Lagi Magis Untuk Azean Irdawaty

28 Aug

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Azean Irdawaty sempat merehatkan kakinya di spa yang terdapat di Bazaar Fusion.

AHAD lalu aktres Azean Irdawaty nampak ceria di Bazaar Fusion, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Hari itu bazaar tersebut mengadakan jualan kebajikan bagi mengisi tabung dana membantu perubatan penyakit kanser payu daranya.

Kata Azean atau Kak Yan, hari itu dia berasa lebih sihat berbanding pertemuan kami pada 16 Ogos lalu yang terpaksa menggunakan kerusi roda.

Ketika itu Kak Yan baru selesai menjalani kemoterapi.

“Selalunya, minggu pertama selepas kemoterapi Kak Yan lemah dan letih. Minggu kedua Kak Yan lebih banyak berada di atas katil dan bergerak pun kena guna kerusi roda. Minggu ketiga lebih selesa sedikit, panas badan pun kurang,” kata Azean bercerita pengalamannya.

Kak Yan yang bakal menjalani rawatan kemoterapi untuk kali ketiga itu, bagaimanapun mengakui dia tidak pernah berasa penyakit yang ditanggungnya itu sebagai satu bebanan.

Malah katanya, sejak disahkan menghidap barah payu dara peringkat ketiga pada 18 Jun lalu, dia mengalami pelbagai magis dalam kehidupannya.

“Ini adalah satu ujian untuk Kak Yan dan baru sekarang Kak Yan tahu betapa ramainya insan yang menyayangi Kak Yan. Setiap kali bertemu dengan orang yang tidak dikenali, tidak kira apa bangsa, mereka akan datang pada Kak Yan dan berkata yang mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan Kak Yan. Sifat prihatin mereka itu membuatkan Kak Yan rasa gembira sangat,” katanya dengan wajah ceria.

Memberi contoh jualan dana di Bazaar Fusion, kata Azean, dia menyaksikan ramai rakan artis dan orang perseorangan yang begitu ikhlas membantunya.

“Dulu masa sihat, Kak Yan tidak ada masa beramah mesra begini kerana sibuk bekerja. Sekarang ini ia bagaikan satu magis. Setiap minggu ada sahaja aktiviti yang perlu Kak Yan hadir. Semua ini menjadikan Kak Yan tidak ada masa untuk memikir pasal sakit ini. Itulah keajaiban yang Allah kurniakan pada Kak Yan saat ini,” katanya tersenyum.

Pada majlis jualan amal yang dianjurkan oleh Ruhani Abd. Rahman dan Wafa Abdul Kadir itu, pelakon Sharifah Shahira menyumbang mufin, Tony Eusoffe menyediakan laksa Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA), Datuk Azizah Abot memasak nasi beriani.

Manakala artis yang hadir memberi sokongan ialah Serina Redzuawan, Hans Isaac, Jehan Miskin, Jue Aziz, Ako Mustapha dan ramai lagi.

Syanie yang bertindak sebagai juruwang pada acara yang berlangsung dari pukul 10.30 pagi hingga 5 petang itu berkata, pihaknya tidak menyasarkan jumlah kutipan.

“Idea buat jualan amal ini timbul sewaktu Wafa bercerita pada mummy (Ruhani Abd. Rahman) tentang aunty Yan yang perlu cari wang untuk kos perubatannya.

“Jadi salah satu cara untuk membantu aunty Yan, adalah menerusi jualan amal ini. Memang meriah kerana ramai rakan artis dan orang ramai yang datang membeli makanan,” katanya.

Sokongan anak-anak

Sementara Benjy yang turut hadir tampak selesa dengan imej botak sebagai tanda sokongan terhadap mamanya.

“Sebelum ini pun Ben pernah botakkan kepala tapi itu saja-saja. Tapi kali ini sebagai tanda sokongan terhadap mama yang tabah itu,” katanya terus terang.

Menurutnya, imej kepala botak boleh mengurangkan peluangnya untuk berlakon. Namun katanya, apa yang penting ketika ini adalah tanda sokongannya terhadap ibu tercinta.

Bagi Kak Yan pula tindakan Ben itu amat mengharukan.

“Satu hari dia melawat Kak Yan di hospital dan terus buka topi. Katanya, Ben tidak boleh bantu mama dengan wang ringgit tapi ini sebagai tanda Ben menyokong mama. Waktu Ben cakap begitu, Kak Yan terasa hiba.

“Entahlah, mungkin dia tidak mahu mamanya rasa rendah diri kerana mamanya pun dah botak sekarang. Tapi bagi Kak Yan, botak pun satu fesyen. Macam hari ini Kak Yan sikat belah tepi dan tetap guna spray rambut,” ceritanya.

Kata Kak Yan seorang lagi anaknya, Elza Irdalynna yang sedang mengikuti Diploma Kursus Persembahan Seni dan Media di Sunway University College juga mahu menunjukkan tanda sokongannya.

“Elza kata, dia tidak boleh botakkan kepala tapi sebagai tanda sokongan pada Kak Yan, dia lulus semua subjek dengan cemerlang. Bagi Kak Yan itu pun sudah mencukupi. Alhamdulillah, selama ini anak-anak Kak Yan tidak pernah mengecewakan Kak Yan baik dari segi perbuatan atau kata-kata,” katanya penuh bangga.

Pada majlis itu juga Azean ditemani oleh suami, Khairil Anwar dan anak bongsu, Irnessa Irdayanty yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia tidak lama lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Nana Tanjung 2 Tampil Dengan 3 Subplot

25 May

Oleh WANDA IDRIS

TIGA subplot filem Nana Tanjung 2 yang diakhiri dengan kegembiraan iaitu perkahwinan Nana Kassim-Mami Mumtaz (tengah) lakonan Pie dan Sheila Mambo, Akhbar Khan (Saiful Apek) -Khairunisa (Fasha Sandha) (kiri) dan Balkis (Waheeda) – Izad (Isaac).

KETIKA Mega berkesempatan mengunjungi lokasi penggambaran filem Nana Tanjung 2 di Shah Alam tidak lama dahulu, pihak produksi di bawah arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen sedang menyelesaikan beberapa babak terakhirnya.

Antara adegannya ialah Akhbar Khan lakonan Saiful Apek dan Zulkarnain (Jehan Miskin) yang terpaksa menyamar sebagai badut semata-mata untuk bertemu kekasih hati masing-masing, Khairunisa (Fasha Sandha) dan Balkis (Waheeda).

Semuanya gara-gara Nana Kassim, lakonan Pie melarang keras bakal menantunya itu bertemu dengan anak-anaknya.

Jadi dalam usaha untuk merealisasikan impian bertemu kekasih masing-masing, pelbagai helah dilakukan.

Selain menjadi badut, Akhbar Khan dan Zulkarnain sanggup bertukar jantina untuk menjadi orang gaji di rumah Nana Kassim.

“Itu sebahagian elemen komedi dalam filem Nana Tanjung 2. Jika filem pertamanya, Nana Kasiim tidak tahu siapa teman lelaki anak-anaknya.

“Kesinambungannya kali ini, Nana Kassim meletakkan pula syarat yang ketat untuk bakal-bakal menantunya itu sebelum bergelar suami isteri,” ujar Razak.

Semuanya kerana Nana Kassim mulai kurang senang apabila orang sekeliling memperkatakan mengenai sikap Nana Kassim yang cukup sporting membiarkan mereka bebas keluar masuk ke rumahnya dan bertemu dengan anak-anaknya.

Selain tidak dibenarkan bertemu selagi belum berkahwin, Nana Kassim juga meletakkan syarat agar bakal menantunya menyediakan wang simpanan sebanyak RM50,000 di akaun bank masing-masing dengan wang hantarannya sebanyak RM10,000.

Menariknya, pada filem kali ini, bukan sahaja anak-anak Nana Kassim yang berkahwin, Nana Kassim juga bertemu jodohnya dengan teman wanita lamanya, Mami Mumtaz.

Menurut Razak yang juga penulis lakon layarnya, dia menyediakan tiga subplot dalam filem kali ini yang melibatkan kisah-kisah percintaan dan perkahwinan Akhbar Khan-Kharunisa, Zulkarnain-Balikis dan Nana Kassim sendiri.

Ia bukan sahaja dipenuhi dengan komedi tetapi juga pengajaran buat tontonan seisi keluarga.

“Ini termasuklah mengenai alam perkahwinan yang bukan sekadar untuk suka-suka. Sebaliknya merupakan satu tanggungjawab besar dan memerlukan pengorbanan,” jelas Razak.

Dijangka ditayangkan kepada umum penghujung tahun ini, selain Shah Alam, penggambaran yang bermula pada pertengahan April lalu juga diadakan di Pulau Pinang.

Turut menampilkan kelainan daripada segi sinematografinya, kata Razak, Nana Tanjung 2 berakhir dengan penuh kegembiraan.

Pada hari terakhir pengambaran filem Nana Tanjung 2 juga, pihak produksi sempat mengadakan majlis kejutan buat Razak bagi meraikan filem ke-25 arahannya.

FILEM: NANA TANJUNG 2

ARAHAN/CERITA/LAKON LAYAR: PROF. MADYA A. RAZAK

MOHAIDEEN

SKRIP: A. SHUKOR MOHAIDEEN

PENGARAH FOTOGRAFI: EMRAN MOHRAM

PENERBIT: LINECLEAR MOTION PICTURES SDN. BHD.

PENERBIT EKSEKUTIF: GRAND BRILLIANCE SDN. BHD. (GBSB)

PELAKON: PIE, SAIFUL APEK, FASHA SANDHA, WAHEEDA, JEHAN MISKIN, AZEAN IRDAWATY & SHEILA MAMBO

LOKASI: SHAH ALAM, SELANGOR

TAYANGAN: PENGHUJUNG TAHUN 2007

Powered by Utusan Malaysia

2 Hati Duga Kesetiaan Persahabatan

22 Jul

Oleh: WANDA IDRIS

PENDUKUNG utama drama 2 Hati, Linda Rafar (kanan) dan Jue.

’PERBEZAAN personaliti menyatukan mereka namun ujian duniawi menduga kesetiaan persahabatan mereka.’

Itulah ungkapan untuk menggambarkan situasi drama 2 Hati yang menghiasi slot Lestary di TV3 pada setiap Selasa, pukul 9 malam, bermula 18 Julai lalu.

Kisah persahabatan yang diselubungi cemburu, hasad dengki dan pengkhianatan itu menggandingkan Linda Rafar dan peserta Malaysia Most Beautiful, Zuliana Abdul Aziz atau Jue.

Diterbitkan oleh Asia Media Content Sdn. Bhd., 2 Hati diarahkan oleh Faisal Ishak yang sebelum ini pernah menangani drama bersiri popular seperti Natasha.

Kalau kita menyaksikan sedutan drama 26 episod itu, tidak dinafikan seakan-akan ada persamaan garapan antara 2 Hati dengan Natasha.

Ia diakui sendiri oleh Faisal. “Tapi ada kelainan antara kedua-dua drama itu,” tegasnya pada sidang akhbar pelancaran 2 Hati baru-baru ini.

Menurut Faisal, aspek situasi menguatkan drama Natasha tetapi bagi drama 2 Hati, karakter yang menjadi tonggaknya.

“Karakter Nadia dan Kyra yang membawa perjalanan cerita ini. Watak-watak itu mempunyai kekuatan masing-masing dan mereka juga ada bahagian putih dan hitam dalam hidup

“Kedua-duanya bersahabat tetapi ia satu persahabatan yang amat berbeza,” kata Faisal yang mengakui gemar menonjolkan isu kekeluargaan, masalah sosial remaja dan pengorbanan cinta.

“Ia juga genre yang diminati audiens,” tambah Faisal yang mengharapkan drama itu mendapat sambutan menggalakkan seperti mana yang diterima drama Natasha yang berjaya memikat hati 3.96 juta penonton pada setiap kali ia ditayangkan.

Faisal sebelum ini pernah mengarah drama-drama seperti Rafflesia, Balkis, Selumbar Di Hati Mama dan Impian Ilyana.

Masih menjalani penggambaran di beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang dan Cameron Highlands, 2 Hati turut dibintangi Jalaluddin Hassan dan Mustapha Kamal selain beberapa bakat-bakat baru seperti Iqram Dinzly, Fezrul Khan, Fizz Fairuz dan Marisa Yasmin.

Turut membuat penampilan istimewa ialah Fasha Sandha, Nabila Huda Suhaimi dan Maizurah Hamzah.

2 Hati berkisar tentang kehidupan dua gadis iaitu Nadia dan Kyra yang menjadi sahabat baik setelah bertemu di kolej.

Kyra, lakonan Jue, tampil sebagai seorang gadis yang pemalu dan pendiam serta amat dikongkong oleh bapanya setelah satu peristiwa menimpa keluarganya.

Watak Nadia yang didukung oleh Linda pula ialah seorang gadis yang ceria dan diberi kebebasan penuh oleh bapanya.

Walaupun mempunyai latar belakang berbeza, mereka kemudian menjadi sahabat baik sehingga sikap cemburu dan dengki Nadia terhadap Kyra menimbulkan konflik dan mengugat persahabatan mereka.

Namun, kata Linda, bukan mudah menyempurnakan watak gadis bernama Nadia.

“Pengembangan watak Nadia mencabar saya. Daripada seorang gadis yang ceria, manja dan disukai oleh semua lelaki, dia akhirnya hilang arah selepas kematian bapanya. Kemudian dia dirogol dan menjadi perempuan yang tidak elok,” jelas Linda mengenai wataknya.

Linda gerun melakonkan watak itu. Katanya: “Saya ni jenis kalau berlakon, saya akan berlakon betul-betul. Jadi saya takut penerimaan orang terhadap watak itu.”

Mengakui bahawa bayaran yang diterimanya lumayan, Linda menganggap drama itu juga sebagai satu come back dalam dunia lakonan.

Jue pula mengakui dia pernah tawar hati untuk melibatkan diri dalam bidang showbiz kerana pernah dilanda gosip yang kurang enak.

Malah dia menyepikan diri selama hampir setahun setelah menyertai program Malaysia Most Beautiful kerana tidak mahu dikatakan menumpang populariti orang.

“Tapi saya merasakan buat apa mensia-siakan peluang yang ada, apatah lagi setelah menyertai program realiti terbitan TV3 itu semakin ramai orang mengenali saya,” jelasnya.

Akhirnya dia menerima tawaran melakonkan watak Kyra. Kata Jue, drama itu merupakan drama TV pertama lakonannya.

Sebelum ini Jue pernah terlibat dalam bangsawan Naga Chini bergandingan dengan Ako Mustapha dan Jehan Miskin.

“Saya menyukai skrip drama 2 Hati. Kisahnya menyedihkan,” kata Jue sambil memberitahu wataknya berkembang daripada seorang gadis yang fragile (lemah) kepada seorang yang matang.

Tambah Jue: “Tidak sukar membawakan watak Kyra. Sifat kelembutan Kyra itu ada dalam diri saya yang mudah mengalirkan air mata.”

Ditanya apakah yang mendorongnya untuk kembali aktif dalam bidang seni, kata Jue: “Tawaran daripada TV3 serta sokongan dan galakan daripada Jehan (Miskin).”

Diusik apakah dia kini menjalinkan hubungan dengan aktor muda itu, kata Jue, “Buat masa ini, apa yang boleh Jue katakan ialah kami memang rapat.

“Jue menyukai Jehan kerana dia seorang yang sangat profesional. Dia banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar pada Jue,” katanya yang mengakui mengenali Jehan pada November lalu dan rapat sejak Februari lepas.

Powered by Utusan Malaysia

‘Saya Memang Suka Jue’

28 Jun

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

Jue dan Jehan semakin mesra sejak terlibat dalam pementasan Bangsawan Naga Chini bulan lalu.

ARTIS dan gosip adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Biarpun kadangkala gosip itu amat memedihkan tetapi sebagai artis, mereka harus menghadapinya dengan bijak dan tenang.

Hari ini nama pelakon yang sedang meningkat naik, Jehan Miskin, berada pada carta teratas gosip dunia hiburan.

Kisah cinta tiga segi antara dirinya, Zuliana Abdul Azizi (Jue) dan aktor Ako Mustapha hangat diperkatakan sekarang.

Jehan dikatakan menjadi punca keretakan hubungan cinta Ako dan Jue.

Pementasan Bangsawan Naga Chini di Istana Budaya baru-baru ini dikatakan telah menjalinkan kemesraan yang begitu ketara antara Jehan dan Jue.

Gosip membelai rambut dan shopping bersama antara Jehan dan Jue heboh jadi bualan. Malah Jue, 23, telah membuat pengakuan hubungannya dengan Ako sudah berakhir.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Ejen 016 di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, Jehan dalam nada tegas memberitahu, dia agak kesal dan kecewa dengan gosip-gosip yang menimpa dirinya.

“Saya sudah malas nak terangkan apa yang berlaku. Kalau saya cakap benar, orang tetap cakap saya bersalah.

“Sebenarnya sewaktu kenal Jue, hubungan dia dan Ako sudah bermasalah. Tetapi kami bertiga memang berkawan baik. Semuanya berlaku tanpa dirancang,” kata Jehan membuka mulut.

Apabila ditanya status hubungannya dengan Jue, pelakon utama filem Qaisy & Laila itu bersikap jujur menceritakan senario sebenarnya.

“Saya dan Jue tidak bercinta tetapi berkawan rapat. Saya memang suka Jue dan sedang cuba mengenali hatinya.

“Kami kenal sejak tahun lepas. Hanya awal tahun ini kami berkawan rapat,” jelasnya.

Jehan juga menjelaskan hubungannya dengan Ako masih seperti dulu.

“Kami masih berkawan dan apa yang terjadi tidak akan mengubah apa-apa antara kami bertiga.

“Namun saya sedih dengan budaya orang kita yang sibuk hendak mengetahui hal orang lain.

“Mereka seolah-olah lebih mengetahui kisah kami dan tidak berasa malu mengambil tahu kisah peribadi orang lain,” kata Jehan meluahkan isi hatinya.

Mengambil contoh dirinya, Jehan berkata, dia sendiri mempunyai masa yang terhad untuk bercerita tentang hal peribadi orang lain.

Kata Jehan, banyak benda lain yang perlu difikirkan untuk dirinya dan keluarga demi masa depan.

Simpati dengan Jue

“Orang boleh jatuhkan hukuman ke atas saya tetapi ia tidak adil buat Jue. Berilah dia peluang bertapak dalam dunia seni kerana dia memiliki bakat yang besar.

“Masyarakat tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” pinta Jehan tanda sokongan kepada teman baiknya itu.

“Saya memang simpati dengan Jue,” tegas Jehan mengakhiri perbualan.

Utusan Malaysia

Naga Chini Lakonan Ako Mustapha, Jehan Miskin Di Istana Budaya

15 May

Oleh: ANI AWANG

BARISAN artis yang terlibat menjayakan bangsawan Naga Chini di Istana Budaya dari 6 hingga 13 Jun ini.

ISTANA Budaya Kuala Lumpur bakal meneruskan kesinambungan menjayakan pementasan bangsawan. Kali ini yang dipersembahkan ialah bangsawan Naga Chini yang akan berlangsung pada 6 hingga 13 Jun ini.

Pementasan ini menggabungkan pelakon teater dan artis bagi menarik khalayak agar menonton bangsawan.

Antara artis yang terpilih menjayakan Naga Chini ialah Ako Mustapha, Jehan Miskin, Serena Redzuawan, Zuliana Aziz, Juhara Ayob, Yalal Chin dan Ebby Yus.

Pada sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, pengarah persembahan bangsawan itu, Sufiat Mukri menjelaskan, pementasan Naga Chini menampilkan beberapa elemen bangsawan moden dengan menggunakan teknik multimedia.

Sufiat yang merupakan penulis skrip Naga Chini yakin elemen moden dan tradisional yang digabungkannya itu mampu menjadikan bangsawan sebagai seni yang boleh dikomersialkan.

Bagaimanapun, pementasan itu tidak akan lari daripada elemen tradisional, terutama kostum pelakonnya.

Selain itu, kata Sufiat, dia juga mempertaruhkan lakonan mantap oleh para artis yang terlibat.

Pementasan Naga Chini menelan kos produksi mencecah kira-kira RM400,000.

Tiket-tiket bagi pementasan itu dijual pada harga RM20, RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150. Orang ramai yang membeli tiket sebelum 25 Mei ini akan diberikan diskaun 30 peratus untuk tiket RM50, RM70, RM100 dan RM150.

Pembelian tiket boleh dibuat di Box Office Istana Budaya. Tempahan juga boleh dibuat melalui talian 03-4026 5558 atau secara online di http://www.ticket2u.biz.

Apa komen pelakon?

Ako Mustapha

“Saya rasa bertuah kerana dipilih untuk berlakon dalam teater ini. Malah diberikan watak yang penting sebagai Gempita Sakti. Sudah lima tahun saya tidak berteater,” kata Ako Mustapha.

Pelakon drama dan filem terkenal ini memulakan kerjaya dalam bidang lakonan melalui pentas teater pada tahun 1996. Antara teater lakonannya ialah Kuala Lumpur Knock Out, The Storyteller dan Mahkamah Keadilan.

Jehan Miskin

“Saya diberikan watak Orang Asli bernama Arus Putra. Memang berat watak ini tapi saya anggap itu sebagai cabaran,’’ kata Jehan Miskin yang pernah muncul dalam beberapa telemovie dan filem Qaisy dan Laila.

Powered by Utusan Malaysia