Archive | Irwansyah RSS feed for this section

Belajar Menyanyi Lagu Hindi

23 Apr

Bakat menyanyi yang dimiliki membolehkan mereka tinggal secara percuma di sebuah hotel di Australia selepas mendendangkan beberapa buah lagu di situ.


TUANKU sempat berduet dengan Ogy Ahmad Daud dalam satu majlis amal.


AKSI Toh Puan ketika menjalani pengambaran klip video di Rajasthan, India.

Percaya atau tidak, adinda kepada Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah iaitu Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isterinya, Toh Puan Noor Suzanna Abdullah berkongsi minat yang sama iaitu menyanyi.

Tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada, pasangan ini menghasilkan album sebagai usaha menambah pendapatan bagi Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBANK) yang mereka terajui.

Ketika ditanya kenapa album dan bukannya produk-produk yang lain, Toh Puan memberitahu, album tidak mempunyai tarikh tamat tempoh. Sedangkan kalau buat produk makanan atau kosmetik, ia ada tarikh tamat dan mungkin menyebabkan kerugian.

“Memandangkan saya dan Tunku minat menyanyi dan dapat pula sokongan daripada penaja, kami ambil keputusan untuk terbitkan album supaya boleh dijual sampai bila-bila.

“Orang lain boleh membuat album kompilasi. Maknanya, kalau ada syarikat rakaman yang berminat dengan mana-mana lagu dalam album ini, mereka boleh beli. Jadi, keuntungan yang dijana daripada album ini tidak sekadar bergantung kepada aspek jualannya sahaja.

“Pendapatannya juga berterusan. Album pertama yang diterbitkan pada tahun 2005 mendapat sokongan memberangsangkan. Pada tahun ini, ada pihak bersetuju untuk menaja proses rakaman termasuk pembikinan klip videonya. Sebagai balasannya, nama pihak penaja dicetak pada kulit CD,” jelas Toh Puan panjang lebar.

Bertepatan dengan tema PBANK iaitu Dari Rakyat untuk Rakyat, maka semua orang boleh menghulurkan bantuan dengan membeli cakera padat ini.

Ada benarnya, bukan ramai yang mempunyai atau sanggup menderma sebanyak RM10,000 atau RM20,000. Tetapi, dengan membeli CD ini, ia sudah memadai.

Cuba mengetahui dari mana datangnya minat menyanyi, Tunku dengan pantas memberitahu, beliau hanya mempunyai dua minat. Pertama, memandu kereta laju dan kedua, menyanyi.

“Saya sangat suka menyanyi. Sewaktu muda dulu, saya selalu buat konsert di Kolej Sultan Abdul Hamid, selain pernah menyanyi dan bermain muzik sehingga ke Perlis.

“Minat ini diteruskan ketika belajar di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar). Ketika pergi ke Australia untuk bercuti bersama dua orang kawan, kami bermain muzik di hotel dan dapat tinggal di sana secara percuma.

“Kami menyanyi dan bermain muzik di atas pentas. Saya nyanyi lagu Burung Kakak Tua dan Rasa Sayang, serta lagu Sway versi original, bukan versi Micheal Buble tu…,” cerita Tunku yang memiliki kemahiran bermain gitar.

Minatnya terhadap muzik tidak pernah padam dan akan terus menyanyi. Meminati genre muzik pop, balada dan sedikit irama dangdut, Tunku menjadikan penyanyi Ray Charles dan Frank Sinatra sebagai idolanya.

Sementara Toh Puan pula amat meminati lagu-lagu Hindi. Justeru, peluang untuk merakamkan lagu dan menyiapkan klip video di Rajasthan India baru-baru ini tidak disia-siakan untuk mendalami ilmu yang berkaitan dengan sewajarnya.

Hanya memerlukan beberapa jam, Toh Puan dapat mengingati setiap lirik lagu Hindi itu dengan baik.

“Toh Puan diajar oleh jurulatih nyanyian profesional di India. Dia pastikan Toh Puan menyebut semua perkataan macam orang Hindi. Maknanya, kalau orang India dengar, mereka mesti tidak sangka bahawa lagu itu dinyanyikan oleh orang Malaysia,” cerita Tunku.

“Penulis lirik dan individu yang bertanggungjawab menjaga vokal ialah orang dari Mumbai. Dia akan dengar sebutan dengan teliti kerana bahasa Hindi sama macam bahasa Arab, kalau sebut panjang atau dengungnya salah, maksudnya jadi lain,” jelas Toh Puan yang sempat merakamkan empat buah lagu Hindi di sana.

Berbalik kepada cakera padat kedua bertajuk Cinta ku Cinta mu yang menyusul selepas album Dang Dang Dut 3, ia mengandungi 13 buah lagu yang turut dinyanyikan secara duet bersama artis-artis popular dari Malaysia (Adibah Noor, Mawi) dan artis Indonesia seperti Rhoma Irama, Dewi Yull, Rani dan Irwansyah.

Album Cinta ku Cinta mu ini telah dilancarkan (soft launch) dan dihasilkan dengan kerjasama Maestro Talents serta TH Master Productions Sdn. Bhd.

“Saya amat berharap CD ini menerima sambutan dan boleh dipasarkan hingga ke Indonesia, berikutan penglibatan beberapa orang penyanyi popular Indonesia.

“Misalnya, Toh Puan ada menyanyi duet dengan Rhoma Irama. Manakala saya pula menyanyi dengan Dewi Yull,” kata Tunku sambil memberitahu, ketika pelancarannya nanti, CD itu akan dijual pada harga RM10, sementara VCD karaoke pula RM15 sekeping.

Bercerita tentang pengalaman merakamkan lagu, pasangan ini mengakui ia bukanlah satu kerja mudah. Berada di dalam studio selama berjam-jam sangat memenatkan kerana lagu perlu dirakam sebaris demi sebaris.

“Pada awalnya, mereka tidak berani untuk tegur saya. Tetapi saya kata, tidak boleh buat cincai. Saya adalah pelajar, kalau tidak puas hati, paksa saya buat lagi sekali. Saya tidak mahu mereka ambil mudah kerana saya mahu menghasilkan album ini sesempurna yang mungkin. Kalau buat main-main, macam mana orang nak beli?” kata Tunku menutup bicara.

Powered by Kosmo

Acha Septriasa Tinggalkan Kekasih

9 Mar

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Acha Septriasa.

KETIKA melangkah masuk untuk mengadakan sesi fotografi di studio Utusan, wajah gadis yang lembut ini kadangkala kelihatan agak gelisah.

Mungkin masih baru dengan suasana di Malaysia tetapi jauh di sudut hatinya kita dapat meneka dia mungkin memikirkan sesuatu yang berada nun jauh di seberang sana.

Saya bertanya adakah hatinya masih di Indonesia?

Ringkas dia menjawab: ‘‘Ya, terkadang masih mengingati mereka yang di sana.’’

Begitulah luah pelakon dan penyanyi yang berjaya mencipta tapaknya di negara ini, Acha Septriasa.

Sekadar bertanya apakah perkara penting yang dirindui itu? Tanpa mengambil masa yang panjang, gadis ini dengan ikhlas memberitahu, ada tiga perkara yang sukar untuk dilupakan pada saat ini.

Pertama, keluarga, keduanya kekasih hati dan ketiga, makanan dan masakan Indonesia.

Sambil tersenyum di hadapan kamera, Acha memberitahu, apa yang penting pada saat ini dia perlu untuk memperkukuhkan semangat.

Kedatangan Acha ke Kuala Lumpur sejak 15 Februari lalu bukannya untuk bersuka ria ataupun bermain drama tetapi matlamatnya hanya satu iaitu bagi menimba ilmu.

Membuat keputusan untuk bergelar pelajar di negara orang merupakan satu keputusan yang amat berat bagi Acha.

Mana tidaknya pada saat dia meniti arus populariti selepas kemunculannya dalam filem blockbuster Heart dan Love Is Cinta, dia menerima banyak tawaran berlakon lain.

Kalau hendak diikutkan, pendapatan bulanannya sudah mampu untuk dia miliki sebuah rumah yang boleh dibeli secara tunai.

Bukan untuk bercerita tentang kemewahannya ketika ini tetapi sekadar memberitahu, antara wang dan ilmu itu merupakan dua perkara berbeza.

Wang, kata Acha, suatu hari akan habis digunakan tetapi ilmu itu akan dibawa sampai ke mati.

Mahu belajar berdikari

Bergelar pelajar di Universiti Limkokwing yang terletak di Cyberjaya, pemilik nama Jelita Septriasa ini memberitahu, segalanya mengajar dia untuk hidup berdikari.

Dari membuat pilihan untuk menyambung pelajaran sehinggalah pada hari pendaftaran, segalanya diuruskan sendiri oleh Acha.

Merasakan semuanya memang menyukarkannya tetapi dia mempunyai tekad dan semangat untuk tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Sebelum ini segalanya diuruskan oleh keluarga. Ketika di rumah segalanya terhidang sudah.

Memilih berjauhan dengan mereka satu tindakan yang amat berat dibuat tetapi sampai bila Acha hendak berada dalam kongkongan keluarga?

Malah ibunya, Rita Emza dan bapanya, Sagitta juga menggarapkan anak gadis mereka itu supaya berdikari dan tidak terlalu mengharapkan bantuan orang lain untuk meneruskan impian.

‘‘Pada hari pertama mendaftar masuk ke universiti, saya tidak tahu apa-apa. Sukar untuk meneruskan perkara yang tidak pernah kita lakukan.

‘‘Tetapi saya bersyukur kerana ramai juga pelajar Malaysia yang mengenali saya. Merekalah yang banyak membantu,’’ katanya.

Mengakui mahu hidup berdikari, Acha tidak mahu berterusan bergantung kepada orang lain terutama kepada ibu dan bapanya.

Sejak kecil sehinggalah meningkat remaja, Acha sudah terbiasa dengan layanan bagaikan ‘raja’ dan kali ini dia mahu mencuba sesuatu perkara yang tidak pernah dia lakukan seorang diri.

Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarganya namun ia memberikan Acha satu kekuatan dan semangat untuk mengenali apa itu susah berada di tempat orang.

‘‘Saya memang sudah biasa dimanjakan oleh keluarga. Sebab itu saya merasakan agak kekok apabila berjauhan dengan mereka.

‘‘Tetapi saya mengambil ia sebagai positif dan berusaha untuk berhadapan dengan kepayahan itu,’’ katanya.

Meminati dunia hiburan dan ingin memahami selok-belok menjadi pengacara, gadis berusia 19 tahun ini memilih untuk mengikuti kursus peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi.

Dijadual kira-kira tiga tahun menuntut di universiti itu, Acha mengharapkan selepas tamat belajar nanti dia dapat meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang pengacara yang bagus dan bijak.

Memikirkan kerjaya dalam bidang lakonan tidak selamanya indah, Acha juga mengharapkan ilmu yang bakal dimilikinya nanti dapat digunakan untuk kerja-kerja belakang tabir.

‘‘Saya berhasrat untuk menjadi pengarah atau produser filem. Maka menjadi harapan saya untuk mendalami ilmu komunikasi ini dengan sebaik mungkin,’’ katanya.

Tinggal bersama teman senegara

Memilih Malaysia sebagai destinasi bagi melanjutkan pelajarannya, kata Acha, keseragaman budaya merupakan antara faktor penariknya untuk ke negara ini.

Hasrat itu difikirkan selepas Acha lulus pengajian peringkat menengah di sebuah sekolah di Jakarta pada tahun lalu tetapi kelulusan itu tidak melayakkannya untuk memasuki universiti kerajaan di Indonesia.

Akhirnya dengan sokongan keluarga dia membuat keputusan untuk mencari angin baru di Malaysia dengan mengikuti kelas di Universiti Limkokwing.

Selepas lulus permohonan dengan biasiswa dikeluarkan oleh universiti itu, Acha terlebih dahulu mengikuti kelas bahasa Inggeris di Jakarta selama tiga bulan.

‘‘Pada mulanya saya juga bimbang bagaimana hendak membawa diri di negara orang tanpa ada kawan-kawan.

‘‘Tapi saya gembira kerana semasa mengikuti kursus bahasa Inggeris itu, ada seorang rakan yang mahu belajar di universiti yang sama. Jadi kami mengambil peluang untuk menjadi teman serumah,’’ katanya.

Menyewa di sebuah kondominium di Cyberjaya, kata Acha, rumahnya itu lengkap dengan perabot dan perkakasan elektrik.

Mengakui gembira dengan suasana barunya itu cuma ada kalanya Acha merindui masakan di Indonesia.

‘‘Di sini masakannya banyak yang bersantan. Saya tidak berapa menggemarinya tetapi cuba untuk menerima makanan seperti itu.

‘‘Tetapi masakan Indonesia seperti mi ayam, gado-gado dan bakso memang membuatkan saya merinduinya,’’ jelas Acha yang baru membeli Proton Persona untuk memudahkan dia mengikuti kuliah.

Diiringi tangisan

Umum sudah mengetahui putik cinta Acha dengan pelakon Irwansyah mula berbunga ketika mereka digandingkan dalam filem Heart.

Kemudian mereka berduet menerusi lagu My Heart yang mampu menguasai dunia muzik Malaysia tidak lama dulu.

Hubungan mereka memang tiada rahsia lagi dan tentunya keputusan meninggalkan kekasih hati itu dibuat dalam keadaan berat.

Di Indonesia kata Acha, semua yang diinginkan dia akan perolehi. Ada ibu, bapa dan kekasih yang sentiasa menemani di saat hatinya dilanda lara.

Bagaimanapun dia amat bertuah kerana keluarga dan kekasihnya itu memahami tugas sebagai pelajar yang hendak dipikulnya di negara orang.

Menceritakan detik sebelum Acha melambaikan tangannya bagi mengucapkan selamat tinggal itu, sehari sebelum berlepas dia dan Irwansyah berpeluang meraikan sambutan hari kekasih bersama.

Kekasihnya itu mengajak Acha untuk ke destinasi lokasi penggambaran filem Heart yang menjadi tempat bermulanya cinta mereka.

Di sebuah pergunungan di Bandung itu, Acha tidak menyangka satu kejutan yang akan dibuat oleh Irwansyah sama seperti ketika mereka berada dalam set penggambaran filem tersebut.

‘‘Dia sediakan meja yang penuh dengan buah-buah strawberi, ada makanan dan ada orang yang bermain gitar berdekatan kami.

‘‘Ketika itu dia menyanyikan saya lagu Perempuanku sama keadaannya macam adegan dalam filem Heart.

‘‘Ia benar-benar membuatkan saya terharu dan menangis apabila memikirkan yang kami terpaksa berpisah buat sementara waktu. Saya merasakan yang akan kehilangan dia,’’ katanya.

Ketika meraikan hari kekasih itu, Irwan berjaya menenangkan Acha dengan mengungkapkan kata janji agar hubungan mereka terus kekal selain perlu setia dalam perhubungan itu.

Sebaliknya ketika di lapangan terbang, Irwan pula tidak dapat menahan perasaan terharu dan ditenangkan semula oleh Acha.

Paling bererti ketika detik perpisahan itu, Irwan dan Acha saling bertukar cincin dengan harapan agar hubungan mereka tidak akan tergugat.

‘‘Irwan menitiskan air matanya ketika saya melangkah untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

‘‘Sebelum berpisah, dia menarik tangan dan mencabut cincin di jari telunjuk saya. Selepas itu dia ganti pula dengan sebentuk cincin lagi di jari manis.

‘‘Saya faham maksud itu. Tentu saja dia tidak mahu kehilangan saya,’’ kata Acha.

Masih mahu aktif

Tidak menolak jika ada apa-apa tawaran sama ada berlakon atau menyanyi untuknya, kata Acha, pihak universiti juga tidak melarang sekiranya dia mahu aktif dalam bidang seni asalkan tidak mengganggu pelajarannya.

Masih terlalu awal untuk terlibat dalam apa-apa produksi di Malaysia, pada masa ini Acha juga sibuk untuk mempromosikan single terbarunya Cinta Bertahan yang dipetik dari filem In The Name of Love.

Single edaran syarikat rakaman Warner Music itu sudah diputarkan di beberapa stesen radio di negara ini termasuklah radio Era.

‘‘Saya juga banyak menghasilkan lagu-lagu sendiri dan berhasrat untuk merakamkan album menggunakan lagu-lagu saya nanti,’’ ujarnya.

Powered by Utusan Malaysia