Archive | Harian Metro RSS feed for this section

Pengisian Rohani Sepanjang Berpuasa

13 Jul

TANGGAL 21 Julai ini, umat Islam seluruh dunia akan mula menyambut Ramadan. Justeru, sama seperti tahun sebelumnya, setiap stesen televisyen tempatan sudah mula memperkenalkan pelbagai program menarik yang akan menghiasi slot disediakan sepanjang bulan mulia dan penuh keberkatan ini.

Tidak terkecuali TV9 dengan tema Ramadan Kita memperkenalkan beberapa program kerohanian yang akan disiarkan 24 jam sehari buat tatapan penonton setianya. Malah, program disediakan merangkumi ilmiah, teladan dan keinsafan yang diyakini bersesuaian dengan kehendak serta citarasa penonton.

Pengurus Besar Kumpulan TV9, Sherina Nordin berkata, sempena Ramadan kali ini, stesen itu menerbitkan tiga program baru iaitu Umrah Kita yang memaparkan kisah tiga penyanyi terkenal tanah air iaitu Aizat, Noh Hujan dan Altimet berkongsi cerita mereka ketika melakukan umrah bersama di Tanah Suci, Mac lalu.

“Program umrah itu menemui penonton setiap Isnin, jam 11 malam, sebanyak empat episod. Tidak ketinggalan turut dimuatkan satu episod istimewa untuk tayangan Ramadan. Selain itu, ada juga program Al-Quran Menjawab Bersama Dr Danial Zainal Abidin yang sedia meleraikan segala persoalan penonton.


“Program ini diterbitkan selepas maklum balas yang cukup menggalakkan diterima daripada penonton. Ia akan ditayangkan setiap Rabu dan Khamis, jam 6.30 petang. Bahkan, semua soalan dijawab Dr Danial dengan mengaitkan sains dan al-Quran.


“TV9 juga memaparkan kapsul istimewa sempena Ramadan yang dikenali sebagai Penawar Sanubari Bersama Ashraf Muslim. Menerusi kapsul yang disiarkan setiap hari pada jam 10.59 pagi dan 7.59 malam itu, Ashraf akan berkongsi doa untuk dijadikan amalan harian penonton,” katanya pada sidang media di Restoran Bora Asmara, Sungai Penchala, Selasa lalu.

Menurut Sherina lagi, program lain yang sudah cukup sinonim dengan TV9 dan menjadi penanda aras stesen itu di hati penonton turut tidak lupa disiarkan. Antaranya, Tanyalah Ustaz sebanyak 30 episod yang menemui penonton setiap hari jam 7 malam bermula 1 Ramadan nanti. Begitu juga dengan Tanyalah Ustazah.

Bagaimanapun, katanya, program Tanya Ustazah akan disiarkan setiap Jumaat, pada jam 11.30 pagi. Bukan itu saja, turut disiarkan untuk musim kedua pastinya program Mencari Resipi Temuran yang dihoskan chef selebriti Anis Nabilah Umaruddin. Malah, TV9 juga menyiarkan program Jom Berbuka untuk musim ketiga.

“Jom Berbuka akan menemui penonton setiap Sabtu dan Ahad, jam 6.30 petang dan dihoskan pengacara terkenal tanah air, Sharifah Shahirah. Apapun, saya sangat mengharapkan penonton tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung solat Tarawih dari Masjidil Haram, Makkah yang disiarkan setiap hari, jam 2 pagi.

“Siaran langsung selama dua jam ini perlu ditonton kerana cukup menarik. Malah, umat Islam sendiri mengetahui betapa besarnya fadilat solat Tarawih yang dilakukan dan sama-samalah mengambil keberkatan pada Ramadan yang mulia ini. Solat Tarawih dari Makkah kalau ditonton cukup menyentuh hati,” katanya.

Menyentuh persoalan persai– ngan antara stesen TV yang seperti berlumba-lumba menyiarkan program terbaik sepanjang Ramadan, Sherina berkata, apa yang dipaparkan TV9 bukan bermaksud untuk bersaing. Katanya, apa yang penting dan menjadi keutamaan ialah pengisian kerohanian yang diinginkan penonton.

Beliau berkata, gaya hidup sekarang yang lebih tertumpu pada kesibukan kerja dan tekanan membuatkan penonton sangat memerlukan program pengisian rohani yang sesuai. Justeru, program berkonsep keagamaan yang disiarkan TV9 tidak sesekali untuk niat bersaing tetapi sekadar berkongsi ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12

Harian Metro

Advertisements

Chef Amran Kian Serasi Dengan MasterChef

13 Jul

DULU, jika nama chef ini disebut, mungkin tiada yang mengenalinya selain rakan terdekat. Namun, sebaik muncul dalam program ini, populariti menerpanya begitu pantas sehingga setiap kali keluar, sudah ada peminat yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengannya.

Personaliti Adu Amran Hassan (Chef Amran) yang begitu peramah dan mudah disenangi menyebabkan penampilannya dalam MasterChef menjadi antara tarikan kepada penonton. Memang benarlah kerana berpeluang bertemunya, baru-baru ini, lembut saja tutur bicaranya dan pengalamannya dalam bidang masakan amat membanggakan.

Tidak pernah terfikir akan terbabit dalam produksi seperti sekarang, dia yang menggalas tanggungjawab sebagai juri sebenarnya agak terkejut pada mulanya.

“Ini pertama kali saya membuat penampilan dalam program TV dan tidak sangka begitu pula suasana dalam sesebuah produksi. Kalau tengok di TV selalunya macam lancar saja perjalanan sesuatu rancangan itu tetapi di belakang tabir, memang satu perkara baru kepada saya. Bagaimanapun, semakin lama terbabit dalam rancangan ini, saya semakin memahami dan serasi dengan setiap yang berlaku.


“Masih terbabit sebagai juri dalam musim kedua MasterChef, ketika mengikuti produksi ke beberapa uji bakat sejak Mei lalu, saya kagum dengan kebolehan peserta yang hadir. Sungguh meyakinkan dan mereka memang ada bakat memasak. Potensi memang besar, cuma ada beberapa aspek saja perlu mereka titik beratkan kerana ia penting untuk diaplikasikan di dapur nanti.


“Selain itu, bakat saja tidak cukup kerana mereka perlu tahu hala tuju mereka dalam bidang ini. Aspek kebersihan dalam penyediaan masakan juga perlu diambil berat kerana itulah kriteria penting menjadi seorang tukang masak berkualiti. Selebihnya, pengetahuan mengenai nutrien yang perlu dalam makanan harus juga dikuasai,” kata pemilik bersama sebuah restoran iaitu Champor-Champor yang beroperasi di London.

Tidak dinafikan, chef berusia 42 tahun ini sudah cukup hebat di gelanggang masakan seluruh dunia. Menyempurnakan pengajiannya dalam bidang masakan di London, ditambah pengalaman selama 15 tahun di sana, Chef Amran bagaimanapun tidak pernah melupakan resipi tempatan.

“Sewaktu di sana, saya pernah menghasilkan menu roti canai tortilla yang menggabungkan elemen tempatan dan Sepanyol. Tidak lama kemudian, menu itu menjadi hit di sana sehinggakan ia jadi ikutan beberapa hotel dan restoran besar. Begitu juga resipi pisang salai yang dijadikan makanan pencuci mulut bersama-sama aiskrim turut jadi ikutan,” katanya yang kini bertindak menjadi penasihat kepada restoran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12

Harian Metro

Debaran Lima Finalis

13 Jul

AHAD dan Isnin ini bakal terjawab siapakah yang akan bergelar juara MasterChef Selebriti, rancangan masakan paling mendapat sambutan ketika ini. Sebaik penyingkiran Azwan Ali, tinggal lagi lima finalis yang akan menggalas cabaran untuk dinobatkan pemenang utama iaitu Datuk Fazley Yaccob, Angah Raja Lawak, Farouk Hussein, Soo Wincci dan Juliza Adlizan.

Tidak dinafikan, sejak bermulanya ‘perang’ di dapur, siapa sangka rancangan ini akan menjadi tontonan wajib bukan saja kepada penggemar bidang masakan, tidak terkecuali peminat artis yang bertanding.

Pelbagai drama, kerenah dan juga persahabatan yang terjalin menghiasi setiap episod walaupun pada dasarnya ia berkisarkan masakan semata-mata. Tetapi itulah dia perencah utama yang menjadikan rancangan ini lebih dekat lagi dengan penonton sambil meninggalkan impak serta berjaya mengubah sesetengah persepsi penonton.

Penerbitnya, Zainal Alam Kadir yang bukan nama asing dalam bidang pengacaraan berkata, dia pun tidak menyangka begitu berkesan sekali rancangan itu kepada masyarakat.


“Kami tidak pernah berniat untuk menyuntik elemen drama dalam setiap episod rancangan ini, namun apabila ada saja perkara menarik yang berlaku, kenapa tidak dikongsi dengan penonton. Bagaimanapun, bukanlah bermaksud mahu menjatuhkan mana-mana peserta tetapi mengambil kira apa yang penonton ingin lihat, elemen ini sangat relevan.


“Mengejutkan, banyak respons yang kami dapat mengenai persepsi mereka kepada beberapa artis yang bertanding. Contohnya Azwan Ali, kebelakangan ini ramai mengutuk dia tetapi gara-gara bertanding dalam rancangan ini, penonton mula mengenali dirinya dan melihat secara jelas daripada aspek lain.

“Begitu juga Soo Winci yang mulanya tidak begitu dikenali dalam arena hiburan, kini semakin ramai penonton mula suka kepadanya. Malah Farouk yang lama menyepi, kini kembali popular. Hal itu sendiri diakui artis terbabit. Dan yang paling penting, mereka memang benar-benar handal memasak serta tahap kreativiti memang di luar jangkaan. Mengagumkan!” kata pengacara Langit dan Bumi itu.

Tiada istilah berehat dan mahu meneruskan momentum rancangan ini, Zainal berkata, uji bakat untuk MasterChef musim kedua juga sudahpun selesai dijalankan.

“Sesuatu yang lebih hebat bakal dijanjikan peserta untuk musim kedua ini. Sepanjang pencarian kami ke serata negara sejak Mei lalu, kami berjaya mendapat peserta yang sangat berbakat dan berpotensi tinggi jika digilap. Malah, ada di kalangan mereka yang memang bekerja dalam bidang profesional tetapi sanggup datang uji bakat.

“Kali ini, lebih 500 peserta hadir dan daripada jumlah itu, hanya 40 yang akan dipilih untuk pusingan kedua. Akhir sekali, hanya 24 yang paling layak ditentukan untuk bertanding di dapur MasterChef dalam mengejar gelaran juara serta diberikan ganjaran menarik,” katanya.

Mengakui banyak perkara dipelajari sepanjang musim pertama lalu, Zainal juga sudah mempunyai perancangan rapi untuk disuntik dalam MasterChef musim terbaru ini.

“Kami masih mengekalkan format yang sama, tetapi untuk kali ini kami bercadang mengubah dapur agar lebih berimej tempatan. Bukan sepenuhnya tetapi dari segi ubah suai itu, kami ingin penonton lebih merasai suasana yang menggambarkan masyarakat kita. Ia bertepatan dengan tema yang kami tetapkan pada kali ini iaitu Dapur Malaysia Untuk Dunia.

“Justeru, cabaran kali ini sebenarnya datang daripada konsep dan tema itu sendiri kerana ia perlu diterapkan sekali dalam masakan peserta nanti. Paling penting, kali ini, masakan menjadi titik fokus dan saya pasti itu bukan masalah besar kepada bakal peserta kerana mereka semua berbakat.

“Selari dengan konsep dan tema, saya juga mahu pastikan resipi yang akan dihasilkan nanti mempunyai sentuhan tempatan. Biar diberi apa jua tugasan, peserta hendaklah melaksanakannya dengan menggunakan bahan tempatan. Kiranya, musim ini antara cabaran buat kami untuk membuat ‘localization’ terhadap program ini,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12

Harian Metro

Festival Imarah Ramadan

13 Jul

BERTEMAKAN ‘tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima’, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), menganjurkan Festival Ramadan buat julung kalinya tahun ini dengan lapan pengisian menarik seni budaya berasaskan tradisi, sekali gus menyemarakkan sambutan bulan yang mulia itu.

Festival ini dijayakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, RTM, radio Klasik Nasional, Ikim.FM, Muzium Kesenian Islam, Sungei Wang Plaza dan kariah masjid sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, penganjuran festival ini selaras hala tuju kerajaan untuk memupuk semangat menghormati Ramadan menerusi aktiviti seni budaya yang sebenarnya sudah lama berakar umbi dalam kebudayaan kita.

“Festival ini mempunyai objektif untuk meningkatkan aspirasi rakyat pada Ramadan selain mengimarahkan kegiatan kerohanian di kalangan generasi muda.


“Ia merangkumi program kerohanian, persaudaraan dan komuniti seperti berzanji, tadarus al-Quran, pertandingan cipta lagu nasyid, pertandingan cipta lagu raya, pertandingan nasyid, pertandingan marhaban, pameran kaligrafi, peragaan busana Islam, pertandingan busana Islam, jom berbuka puasa dan Solat Tarawih Perdana.


“Penganjuran program ini diharap dapat melahirkan masyarakat kita yang berbudaya berteraskan gagasan 1Malaysia di samping mempergiatkan usaha mengekal dan memulihara serta mengembangkan kebudayaan dan kesenian masyarakat kita.

“Jika nak diikutkan, sebelum ini pihak kami juga terbabit dengan pelbagai program Ramadan tetapi dengan kerjasama pihak lain. Tapi kali ini, pihak kami akan menjadikan festival Ramadan ini sebagai satu jenama, sekali gus menjadi acara tahunan,” katanya.

Norliza berkata, pihaknya mengorak langkah baru dan menggabungkan kaedah tradisi dalam sambutan Ramadan dengan kaedah penyemarakan dan pendekatan untuk menarik bukan saja generasi muda dan anak seni berkreatif melalui karya seni visual dan kaligrafi Islam.

“Antaranya, pameran yang bakal diadakan di Muzium Kesenian Islam iaitu pameran kaligrafi Islamik, pertandingan tulisan khat, bengkel kaligrafi dan kraf untuk kanak-kanak pada 21 Julai hingga 17 Ogos nanti.

“Ia turut menghimpunkan pelbagai kaedah tradisi dalam sambutan Ramadan seperti aktiviti tadarus al-Quran dan berzanji yang bakal dilaksanakan Jakim, MAIWP dan kariah di Masjid Negara; Masjid Tunku Mizan, Putrajaya; Masjid Putra, Putrajaya; Masjid Imam As-Syafie, Taman Maluri, Kuala Lumpur; Masjid Muadz B Jabbal, Setiawangsa, Kuala Lumpur; Masjid Saidina Hamzah, Kg. Batu Muda, Kuala Lumpur dan Masjid Sallahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, Kuala Lumpur.

“Penganjuran festival Ramadan juga diharap dapat melahirkan masyarakat yang berbudaya berteraskan gagasan 1Malaysia dapat dilahirkan di samping mempergiatkan usaha mengekal dan memulihara serta mengembangkan kebudayaan dan kesenian masyarakat kita,” katanya.

Norliza ditemui pada sidang media festival Ramadan yang berlangsung di Kampung Pandan, di sini, baru-baru ini.

Tambah Norliza lagi, aktiviti lain yang diadakan untuk memeriahkan lagi festival Ramadan ialah pertandingan mencipta lagu raya dan lagu nasyid yang akan dikendalikan Klasik Nasional (Bagi Lagu Raya) dan Ikim.FM (lagu nasyid).

“Seni berbentuk rakyat yang lebih rapat dengan masyarakat diteruskan dan disesuaikan dengan sambutan Ramadan seperti pertandingan nasyid dan marhaban di pentas bergerak berhampiran Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur.

“Ia juga diserikan dengan peragaan dan pertandingan busana Islam membabitkan 10 butik busana Islam iaitu Fashion Design & Beauty Centre, BB Plaza, Resmi Creations, BB Plaza, RNR Concept, Ipoh, Perak, K RABAT Solutions, Seleksi Akma, Zattera Apparel, Atika Murni, Lady Executive Boutique dan Salsabeela Muslimah Attire di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.

“Tidak ketinggalan, aktiviti komuniti dan perpaduan seperti Jom Berbuka Puasa akan dilaksanakan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad serta solat Tarawih Perdana dan Solat Maghrib, Isyak dan ceramah perdana oleh Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Don,” katanya.

Ditanya pembabitan artis popular pula, tambah Norliza lagi, tidak lengkap penganjuran festival tanpa aktiviti kesenian seperti Konsert Rohani yang akan diadakan pada jam 3 petang, 11 Ogos nanti.

“Konsert ini berteraskan bacaan ayat suci al-Quran, gambus solo dan berkumpulan, dendangan lagu puisi kerohanian, persembahan nasyid dan dikir barat di pentas bergerak, Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur.

Artis popular yang terbabit ialah Lan Typewriter, kumpulan Rabbani, Al Farabi dan ramai lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12

Harian Metro

Rezeki Bulan Puasa

13 Jul

SEJAK KL Downtown Night Market, Cheras dibuka pada 2006, ia sudah berjaya melahirkan usahawan kecil Melayu terutama masyarakat sekeliling yang menetap di sana. Peluang berniaga yang disediakan digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menambah pendapatan keluarga.

Sejak empat tahun lalu, ia mula memberi ruang kepada artis untuk berniaga di sana kerana kebiasaannya pada Ramadan, aktiviti seni agak perlahan dan waktu yang sama mereka memerlukan perbelanjaan untuk menyambut Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif KL Downtown, Mohd Rustam Roshandin berkata, dia menyediakan ruang niaga khusus kepada artis yang berminat untuk berniaga di sana. Setakat ini, antara artis yang berniaga tetap di sana setiap tahun ialah Bienda, Enot, Didie Alias, Wan Shade dan Rifa (bekas anggota Elite).

“Saya lihat sepanjang mereka berniaga di sana, sambutan diterima daripada pengunjung yang juga peminat mereka sangat bagus. Tetapi mereka kenalah ada di sana dan bukan menyerahkan perniagaan mereka kepada pekerja saja.


“Orang ramai mahu berjumpa dengan artis kerana sambil membeli bolehlah mereka bergambar. Misalnya Bienda yang menjual tudung, dia pakai sendiri tudung yang dijualnya dan mengajar mereka cara memakainya. Enot dan Didie pula menjual kuih raya,” katanya.


Jika pada hari biasa, KL Downtown tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai dan jumlahnya akan bertambah pada Ramadan terutama menjelang hari raya kerana semua barang keperluan seperti pakaian, kasut dan biskut raya ada di sana.

“Apatah lagi kebanyakan peniaga juga akan mengadakan jualan murah atau lelong pada malam hari raya. Sekarang, selain peniaga tetap berniaga di sana, mereka yang berniaga setahun sekali iaitu hanya pada Ramadan, ramai yang memohon tapak kerana mereka tahu sambutan sangat bagus,” katanya yang masih membuka ruang untuk artis lain berniaga.

KL Downtown dibuka setiap hari dari jam 10 malam hingga 5 pagi. Kepada mereka yang berminat untuk menyewa tapak lawati laman web, http://www.kldowntown.com ataupun pengasih.net.

Sedikit latar KL Downtown ini, ia adalah bazar perniagaan berkonsepkan pusat perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang moden dan inovatif. KL Downtown Night Market menawarkan ruang niaga pelbagai jenis produk perniagaan seperti barangan kraftangan, hak hasil cipta, pakaian lelaki/ wanita, aksesori, hiasan rumah, barang kanak-kanak, alat ganti kereta dan barangan mainan.

Sambil membeli-belah, pengunjung akan dihiburkan dengan acara yang diadakan seperti persembahan artis dan nyanyian karaoke pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12

Harian Metro

Artis Meriahkan Final

13 Jul

WALAUPUN pasukan bola sepak Malaysia tidak pernah bertanding dalam Piala Eropah 2012 atau Euro tetapi bahangnya turut dirasai peminat bola sepak di negara ini malah di serata dunia meraikannya. Ada yang sanggup berjaga malam semata-mata untuk memastikan mereka tidak ketinggalan satu perlawanan pun.

Makan, minum dan tidur semuanya bermimpikan bola. Syarikat pengurusan acara, produksi, penerbitan dan agensi mencari bakat, Artist KL Production Sdn Bhd, turut tidak mahu ketinggalan bagi merasai sama kemeriahan perlawanan akhir Euro antara Sepanyol menentang Itali yang berakhir Itali menang empat gol tanpa balas.

Artist KL mengambil kesempatan itu dengan mengajak rakan artis dan media untuk bersama-sama menonton final bola sepak itu di Restoran Jombali, Setapak, Kuala Lumpur.

Ramai artis hadir menambahkan lagi kemeriahan di restoran itu antaranya Karl Shafek, Izara Aishah, Aiman Mentor, Ryzal Jaafar, Rizal AF, Elly Rajalawak, Zarina Rajalawak, Balqis Semundur Khan, Mira Pilih Kasih, Zulin Pilih kasih, Farhan Haidid, Afzan Anak Wayang, Lan Anak Wayang dan Syahrul Hero Remaja 2012.

Mereka mula berada di restoran itu seawal jam 10 malam.

Pengarah Urusan Artist KL, Zulaikha Aziz berkata, selain menonton pertandingan akhir Euro 2012, acara itu diadakan untuk merapatkan hubungan syarikat itu dengan rakan media dan artis dalam suasana santai.

“Bukan senang mahu menyatukan artis dan selebriti dalam satu majlis seperti ini, namun bahang Euro mampu menyatukan semua peminatnya tanpa mengira siapa.

Orang luar pun ramai yang datang dan dengan sambutan yang baik ini, saya akan mengaturkan pelbagai acara untuk menyemarakkan aktiviti Artist KL sebelum berakhirnya 2012.

“Artist KL mula mengorak langkah aktif sebagai syarikat pengurusan acara yang berwawasan dan ingin mencipta nama sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada malam itu aktiviti lain turut diadakan iaitu melukis wajah dengan logo Euro dan logo pasukan bola sepak kegemaran masing-masing dan permainan Wii.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12

Harian Metro

‘Belum Masanya’

13 Jul

FENOMENA program realiti popular, American Idol akan kembali menggegarkan pentas hiburan dunia tidak lama lagi. Belum lagi reda kemeriahan juara musim 11 yang lalu, Phillip Phillips, gelanggang pencarian bakat nyanyian terbaik di Amerika Syarikat itu sudah mula dibuka untuk pemburuan bakat baru.

Bagaimanapun, topik yang hangat diperkatakan bukan lagi lokasi uji bakat, sebaliknya tumpuan lebih diberikan kepada siapa pula yang akan duduk

di kerusi juri.


Desas-desus mengatakan kononnya Jennifer Lopez akan berundur atas sebab peribadi bagaikan sudah ada kepastian. Timbul pula nama yang akan menggantikannya termasuk penyanyi terkenal, Katy Perry yang kini hangat diperkatakan.

Entah dari mana puncanya, saluran televisyen hiburan popular, E! News melaporkan nama bintang berusia 28 tahun itu yang kini sedang popular dengan lagu Wide Awake antara nama yang akan menjadi juri program itu kali ini.

Bagaimanapun, Katy yang menyifatkan gosip tersebar itu hanya sekadar spekulasi enggan memberi sebarang kenyataan lanjut.

“Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi juri American Idol meskipun mengakui program itu antara yang terbaik di Amerika. Bukan soal kredibiliti atau tidak yakin, sebaliknya kerusi juri untuk sebuah program realiti seperti ini bukanlah satu tugas yang mudah dan menuntut tanggungjawab yang besar.

“Mungkin spekulasi yang tersebar ini hanya gosip saja memandangkan semua pihak tertanya-tanya akan pengganti yang memeriahkan lagi program itu untuk musim terbarunya ini,” katanya.

Sebelum Katy, bekas naib juara program yang sama pada musim kelapan, Adam Lambert turut menafikan perkara yang sama apabila namanya turut dikatakan bakal menjadi juri untuk musim akan datang.

Menyifatkan profil nyanyiannya masih baru, Lambert bagaimanapun gembira dengan penghargaan yang diberi jika benar namanya antara yang disebut-sebut pihak produksi.

Selain Katy, dua lagi penyanyi wanita terkenal dengan imej tersendiri, Miley Cyrus dan Nicki Minaj turut dikatakan antara nama yang disenaraikan pihak produksi bagi menjanjikan satu kelainan kepada American Idol.

Malah Fergie, vokalis kumpulan Black Eyed Peas turut dikatakan akan menggegarkan pentas American Idol selain Will.I.Am yang tidak langsung memberikan kenyataan berhubung perkara yang sama.

Dua lagi juri sebelum ini iaitu Randy Jackson dan Steven Tyler turut tidak mengulas lanjut ketika ditanya, sebaliknya menganggap semua spekulasi tersebar kerana bahang program ini sudah hampir bermula.

“Selagi tiada kontrak dan pengesahan, kami tidak mampu memberikan sebarang kenyataan. American Idol sebuah program realiti yang sentiasa menjanjikan kejutan. Jadi sama-sama kita tunggu siapa pula yang akan menggantikan kerusi juri untuk musim kali ini,” katanya.

Selain nama Katy heboh dikatakan menjadi juri American Idol, ada pula gosip yang mengatakan penyanyi kelahiran Santa Barbara, California ini sedang hangat bercinta dengan pemuzik rock, Robert Ackroyd.

Penyanyi yang bercerai dengan pelawak Russell Brand pada Disember 2011 itu didakwa mula menjalin hubungan dengan pemain gitar kumpulan Florence & The Machine itu, April lalu ketika sambutan Festival Coachella di California.

Bagaimanapun, Katy menegaskan dia belum bersedia untuk bercinta pada waktu ini.

“Saya tidak faham bagaimana cerita ini boleh timbul sedangkan ia tidak benar sama sekali.

“Saya mengakui ada keluar dan bertemu beberapa lelaki, namun semuanya sekadar kawan dan tidak terfikir untuk menjalin hubungan ke tahap yang lebih serius.

“Lagipun ketika ini saya terlalu sibuk dengan pelbagai urusan kerja, lebih-lebih lagi lagu terbaru saya, Wide Awake baru dilancarkan. Apa yang menjadi keutamaan buat saya ketika ini adalah memulihkan semula perasaan saya selepas bercerai akhir tahun lalu kerana ia tidak semudah seperti disangka.

“Saya masih lagi memerlukan masa yang cukup untuk berehat dan memberi tumpuan kepada kerjaya dan perancangan lain.

“Jujurnya soal cinta tidak pernah saya fikirkan dan biarlah ia datang dengan sendiri nanti,” katanya.

Katy atau nama sebenarnya, Katheryn Elizabeth Hudson berkahwin dengan Brand pada 23 Oktober 2008 dalam suasana istiadat Hindu di Rajasthan, India selepas bertemu di set penggambaran filem Get Him To The Geek.

Bagaimanapun, perkahwinan itu berakhir apabila bintang komedi terkenal itu memohon cerai daripada Katy pada 30 Disember 2011 atas alasan tiada persefahaman.

Katy yang sudah memiliki tiga album termasuk Katy Hudson (2001), One of The Boys (2008) dan Teenage Dream yang diterbitkan dua tahun lalu jelas merasai impak perceraian dan muncul di Jakarta, Indonesia awal tahun ini dalam siri konsert jelajahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12

Harian Metro