AQASHA mengakui cukup selesa dan serasi berlakon bersama pasangan lakonan terbarunya, Fazura dalam drama bersiri, Bicara Cinta yang akan ditayangkan di Astro Prima bermula 7 Mei depan. Gambar JEFFRI IRAN
TIBA-TIBA sahaja, nama aktor dan penyanyi kacak ini, Firdee Akassya Rosli, 26, atau dengan nama komersialnya, Aqasha menjadi bualan. Dia menjadi mangsa gossip liar kononnya menjalin hubungan cinta dengan model dan pelakon terkenal, Nasha Aziz sewaktu mereka digandingkan bersama membintangi telemovie arahan Rashid Sibir, Kasihnya Mia.
Saat diajukan soalan tersebut kepada empunya diri, tiada kata yang mampu dilafazkannya melainkan dengan memberikan wajah yang cukup terkejut kerana tidak menyangka sama sekali namanya dibabitkan dengan model terkenal itu.
Dia yang terkejut dengan berita itu menganggap berita itu sebagai tidak berasas serta sebuah cerita yang karut.
“Siapalah saya untuk mendampingi Nasha. Saya masih lagi berpijak di bumi nyata. Jujurnya, saya memang tidak menyangka sama sekali hubungan kami yang hanya sekadar teman artis telah disalah erti oleh sesetengah pihak.
“Saya profesional dalam kerja dan saya pasti Nasha juga begitu. Saya berharap agar cerita sebegini tidak timbul lagi dan semoga penjelasan saya ini dapat menjawab segala persoalan anda juga,” jelas Aqasha penuh mengharap ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Astro Megadrama, Bicara Cinta di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Malah, Aqasha memberitahu, hubungannya dengan Tasha yang juga bekas peserta konsert prelude Akademi Fantasia musim keempat pada ketika ini juga masih berjalan dengan lancar dan tiada masalah yang mereka hadapi sepanjang perhubungan mereka.
“Kami masih lagi berkawan dan hubungan kami masih baik seperti biasa. Kami berjaya mengekalkan hubungan yang harmoni setakat ini. Malah, saya juga tidak mahu terlalu merancang untuk membawa hubungan kami ini ke peringkat perkahwinan.
“Saya berserah kepada qada’ dan qadar dalam menentukan siapa jodoh saya. Mungkin juga kerana sebelum ini, beberapa hubungan cinta saya menemui kegagalan dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi diri saya untuk lebih berhati-hati.
“Seandainya jodoh saya bersama Tasha, saya terima dan begitu juga sebaliknya. Buat masa ini, saya suka melihat bagaimana kami mengekalkan hubungan ini dan menjaga ikatan silaturahim itu dengan sebaiknya,” cerita Aqasha yang mula mencipta nama sebagai seorang pelakon menerusi filem Embun arahan Erma Fatima pada tahun 2002.
Bercerita tentang karier seninya pula, dalam diam, anak jati Kuala Lumpur ini sudah memasuki tahun kedua pengajiannya dalam bidang kejuruteraan audio di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) sepenuh masa sejak tahun 2007 lagi.
Dia mengakui, begitu meminati bidang muzik dan keinginannya melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut sebagai jaminan masa depan kerana Aqasha akur bahawa industri hiburan tanah air ada pasang dan surutnya.
“Setidak-tidaknya, saya sudah mempersiapkan diri saya dengan ilmu pengetahuan serta saya dapat aplikasikan apa yang saya belajar dalam pengajian saya ini untuk menerbitkan lagu-lagu saya sendiri kelak.
“Setakat ini, memang saya banyak mencipta lagu dan koleksi saya juga kalau dikira sudah cukup untuk membuat sebuah album. Saya akan membuat kemunculan semula selepas saya tamat belajar yang dijangka pada awal 2010 kelak. Mungkin saya akan melahirkan sebuah album mini selepas ini. Pastinya saya akan lebih berpuas hati kerana dapat menentukan arah tuju saya dalam bidang muzik,” ujarnya.
Anak muda itu sebelum ini pernah menjadi artis rakaman Suria Records (SRC) selama lima tahun dan sempat melahirkan dua buah album iaitu Cahaya Hati (2001) dan Impian (2002).
Malah menerusi dua buah album itu juga, Aqasha yang memiliki suara yang boleh dikategorikan sebagai penyanyi bersuara jantan pernah mencuri perhatian peminat hiburan tanah air dengan lagu Cahaya Hati dan Embun.
Kegagalan
Namun, tidak berasa putus asa dengan kegagalan kedua-dua buah albumnya sebelum ini, Aqasha memberanikan diri dengan menceburi bidang lakonan yang ternyata berjaya meletakkan dirinya sebagai antara pelakon pelapis yang berwibawa membawa karakter yang diberikan.
“Saya bersyukur kerana rezeki saya cukup murah dalam bidang lakonan dan walaupun begitu, saya tetap akan memilih karakter yang bersesuaian dengan diri saya kerana saya tidak mahu dilabelkan sebagai tamak dan mengambil apa sahaja watak yang diberikan kepada saya.
“Seandainya nanti saya tidak mampu membawakan watak yang diberikan, saya juga akan dilabelkan sebagai seorang pelakon yang tidak pandai berlakon,” ucapnya jujur saat ditanya tentang pasangan pelakonnya.
Baginya, apa yang paling penting untuk setiap drama mahupun filem adalah keselesaan dan keserasian itu akan datang sendiri dalam diri masing-masing.
Anak muda ini mengakui beliau cukup selesa berlakon di samping Rita Rudaini dan terbaru, Nur Fazura yang pertama kali digandingkan bersama saya dalam Bicara Cinta. Begitu juga dengan Nasha yang disifatkannya sebagai pelakon berbakat.
Selain Aqasha dan Fazura, Bicara Cinta yang akan menemui penonton setia saluran Prima (saluran 105, Astro) pada setiap hari Rabu bermula 7 Mei depan pukul 9.30 malam selama satu jam turut dibintangi Beego, Zizie Izette dan Fauziah Nawi.
Powered by Utusan Malaysia