Archive | Anugerah Planet Muzik RSS feed for this section

Macam Baru Keluar Penjara – Faizal

19 Apr

Oleh TENGKU SUZANA & FAIZAL SAHARUNI

“HARI ini buat pertama kalinya semenjak tiga bulan, mandi saya betul-betul basah. Sebelum ini saya mandi tapi rasa macam pakai baju saja setiap masa,” luah jejaka yang mendapat jolokan ‘super Faizal’ ketika berdiri di pentas pertamanya selepas bebas dari ‘tawanan’.

Bukan sekadar jolokan manja, tetapi gelaran ‘super Faizal’ yang ditujukan kepadanya itu ada benarnya. Faizal, 30, ternyata memilik faktor yang sewajarnya ada pada seseorang selebriti.

Biarpun direjam dengan kontroversi, dikeji kononnya bersikap kurang bijak dan tidak beretika, tetapi itu bukan penyebab dia dibenci peminatnya. Bahkan di luar dugaan, pada persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Crown Princes, Kuala Lumpur, Khamis lalu, membuktikan segala-galanya.

Faizal dipeluk dan dikerumuni peminat setia yang rata-ratanya terdiri daripada wanita, bahkan ada yang berpangkat ibu dan kakak buat Faizal.

Ini maknanya, Faizal tetap disayangi dan pembebasannya pada 16 April lalu adalah saat yang diraikan dengan gembira oleh semua, khususnya para peminat.

“Saya terkejut dan teruja bukan kepalang dengan respons yang sangat memberangsangkan daripada para hadirin yang datang. Masa kena peluk tadi, saya tidak mampu berkata apa-apa, kejang sekejap rasanya,” kata Faizal yang pertama kali diberi peluang memeriahkan Minggu Setiausaha sejak bergelar artis.

Penyanyi yang popular dengan lagu Mahakarya Cinta ini juga menyifatkan persembahan Minggu Setiausaha ini juga pembuka tirai dan platform untuknya memulakan langkah baru selepas terkandas akibat kesilapan sendiri.

Sambil berseloroh bapa kepada dua anak ini memberitahu: “Saya harap lepas ini orang datang untuk tengok persembahan saya, bukannya mahu tengok saya buka baju.”

Tidak banyak menunjukkan kepakaran gimik atau membuat kejutan, Faizal lebih selesa menghiburkan para setiuasaha dan golongan korporat yang hadir pada persembahannya ini dengan vokal dan nyanyian yang bertenaga.

Barangkali mahu melepaskan rindu dendamnya, dia menyanyi tanpa rasa bersalah.

Berkongsi pentas dengan penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya yang bertindak sebagai pengacara majlis, Faizal mendapat tepukan gemuruh dan jeritan rindu seluruh dewan selepas mendendangkan beberapa lagu termasuklah Sampai Syurga, Kasih Tercipta, Mahakarya Cinta, Sempurna, We Will Rock You dan Superman (It’s Not Easy).

AKU SUDAH BEBAS… Aksi klise Faizal mengiringi pembebasannya pada 16 April lalu.

Biarpun sekejap, tetapi apa yang dirasai sepanjang persembahan Faizal ini, memang satu petanda yang sangat cemerlang.

Bisik seorang teman, “sudah lama tidak ada penonton begitu obses terhadap seseorang artis.”

Biasanya Mawi dan Anuar Zain sahaja yang mendapat sambutan begini, tetapi rupa-rupanya Faizal juga punya keunggulan tersendiri di mata peminatnya.

Sehari sebelum mengadakan persembahan Minggu Setiausahanya ini, Faizal terlebih dahulu diundang untuk bersiaran secara langsung buat pertama kali semenjak 15 Januari lalu.

Faizal yang meraikan hari pembebasannya pada 16 April turut memberitahu Kosmo! mengenai perasaannya pada hari pertama selepas pembebasannya itu.

Debaran melewati tarikh itu sebenarnya satu detik gemuruh biarpun rasa lega bersiram di jiwa.

“Saya gementar semasa bangun pagi. Lebih menakutkan lagi apabila mengenangkan saya akan muncul secara langsung di TV, radio, internet dan telefon bimbit melalui Hot FM AM Krew.

“Rasa macam baru keluar dari penjara, hakikatnya memang menggembirakan lepas jalani hukuman,” luah Faizal ketika ditemui di konti radio Hot FM, Sri Pentas, Bandar Utama, pada hari pembebasannya itu.

Tiga bulan menjalani hukuman berat dan menyeksakan itu, Faizal menganggap bagai disisihkan masyarakat akibat silap membuat percaturan seterusnya mengatur langkah sumbang.


HANYA bersandarkan kebolehan vokal, persembahan Faizal Tahir mempesonakan hadirin yang datang.

“Alhamdulillah, saya dapat laluinya dengan baik. Denda itu saya anggap pengajaran berguna.

“Saya tidak pernah rasakan hukuman itu jadi satu masalah, sebaliknya ia memotivasikan saya untuk bekerja lebih kuat.

“Kalau boleh saya mahu buktikan kepada masyarakat dengan menyumbang hasil atau produk berguna kepada industri seni,” azam Faizal bersungguh-sungguh.

Langkah baru FaizalSejarah itu mahu dibukukan sebagai iktibar, lelaki berkulit hitam manis semakin bersemangat dengan perkembangan dan perancangan masa depannya bergelar anak seni.

“Selepas ini saya sibuk mengendalikan GangStarz 2 sebagai hos bersama Fara Fauzana dan Kartini bermula 27 April ini.

“Saya juga tak sabar menanti kelahiran album baru yang masih dalam perancangan awal. Tiada apa yang lebih membahagikan saya melainkan muzik,” luah Faizal teruja.

Penuh hemah menyusun tiap baris ayatnya, Faizal memberitahu, selama dia ‘bertapa’ dan bermuhasabah diri sepanjang 90 hari, pelbagai perkara sudah diteroka termasuk hal berkaitan kehidupan dan tanggungjawab sebagai pemuzik.

“Saya dapat tingkatkan skil menggubah dan tulis lirik lagu yang bukan hanya untuk kegunaan saya, sebaliknya kepada penyanyi lain.

“Banyak belajar dengan Audi Mok bagi memantapkan lagi kemahiran dan bakat yang saya punyai.

“Setakat ini saya tulis lagu untuk Badri yang berjudul Selamanya. Selain itu, saya sedang terlibat dalam pembikinan lagu Fiq Mentor, Maya Karin, Aliff, Bob dan Fazli Zainal,” ungkapnya.

Kalaulah diberikan kekuatan, ingin benar Faizal merealisasikan impiannya mengadakan satu showcase atau persembahan khas buat peminat.

Faizal menaruh harapan untuk berdendang di pusat-pusat hiburan seperti Planet Hollywood mahupun Hard Rock Cafe pula.

Jelas Faizal, selama ini dia sudah dikenali sebagai penyanyi tetapi fokusnya adalah memperkenalkan jalur muzik yang dibawanya.

“Saya mahu jadi pemuzik serba-boleh. Saya selesa dilihat dalam status pemuzik, selain nyanyian yang menjadi keutamaan saya,” katanya yang meraih nominasi paling banyak bagi penyanyi lelaki dalam Anugerah Industri Muzik 15 (AIM 15) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 3 Mei ini.

Pada majlis Anugerah Planet Muzik (APM) yang akan berlangsung malam esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Faizal juga turut mendapat empat pencalonan termasuklah kategori Album Terbaik.

Powered by Kosmo

Farah Asyikin, Syarikat Rakaman Bermasalah?

8 Mar

Oleh: NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

BERGAYA…Imej terbaru Farah Asyikin.

WALAUPUN sudah lebih sedekad melibatkan diri dalam gelanggang seni tanah air, namun nama Farah Asyikin kurang menyerlah berbanding dengan rakan-rakan seangkatannya.

Dia terpaksa merangkak setangga demi setangga untuk memenuhi hasratnya bergelar anak seni.

Biarpun mengambil masa yang agak lama, namun Farah, 28, tidak menghampakan para peminatnya yang setia menunggu kemunculan album solo sulungnya berjudul Farah Asyikin sekitar Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, kerancakan jualan album sulungnya itu tidak seperti yang diharapkan.

Entah di mana silapnya, jualan album tersebut tertangguh sementelah penyanyi itu sendiri masih tidak mendapat kepastian dari syarikat rakamannya, Nature Records.

Ketika ditemui baru-baru ini, Farah mengakui, dia berdepan dengan kesulitan berhubung album sulungnya yang ditangguhkan penjualan.

“Mereka (syarikat rakaman) yang ada masalah dengan saya, bukannya saya. Saya sangat kecewa dengan janji-janji manis yang tidak ditepati. Malah, masa yang saya curahkan untuk album saya selama ini seperti dipersia-siakan sahaja.

“Nak kata album saya langsung tidak jual, mustahil sebab 3,000 unit cetakan pertama semuanya habis dijual. Saya rasa hairan macam mana boleh berlaku perkara macam ini,” ujar Farah tanpa berselindung.

Farah mengakui pernah melakukan perbincangan dengan syarikat rakamannya mengenai masalah tersebut, bagaimanapun kata Farah, dia masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pengurusan Nature Records.

Single Farah, Dari Sini Ke Bintang-Bintang ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Rafidah Abdullah sedikit sebanyak membantu mempopularkan namanya.

Bahkan, sehingga kini, lagu tersebut masih lagi diputarkan di corong-corong radio.

“Farah akan cuba berjumpa dengan pihak Nature Records untuk mendapatkan surat pelepasan sekali gus menamatkan lebihan kontrak dengan pihak mereka,” kata bekas peserta Malaysian Idol 2 dan One In A Million musim pertama itu lagi.

Hujung tahun lalu, Farah mengasaskan syarikatnya sendiri iaitu Farah Asyikin Management Entertainment.

Kini, dia merancang untuk meneruskan perjalanan kariernya dengan mengumpul seberapa banyak lagu untuk dimuatkan dalam album keduanya kelak.

“Saya akan cuba terbitkan album kedua tidak lama lagi. Mungkin selepas habis menyertai Ikon Malaysia nanti.

“Saya nak ikut jejak langkah Anuar Zain dan jadikannya sebagai idola sebab berani ambil risiko dengan menerbitkan album sendiri,” katanya.

Terbaru, penyanyi yang pernah menghasilkan single Kembali Lagi Di Sisimu terbitan Scenique Production (CP), edaran Universal Music itu tersenarai antara lima Penyanyi Baru Wanita Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik (APM) yang bakal diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre pada 20 April ini.

Mengakui terkejut dengan keputusan itu, kata Farah, ia merupakan pencalonan pertamanya dalam APM.

“Dapat tercalon antara lima Penyanyi Baru Wanita Terbaik pun saya dah bersyukur kerana ia melibatkan pertandingan tiga negara jiran. Kalau menang tentu lebih menyeronokkan saya,” katanya lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Penyanyi Bersaing Di Anugerah Planet Muzik

25 Jan

Oleh ROSLI MANAH
Penyanyi Malaysia, Singapura dan Indonesia sekali lagi berentap merebut trofi pada Anugerah Planet Muzik 2002 yang akan berlangsung di Singapura Sabtu ini (26 Januari).

Antara penyanyi Malaysia yang turut disenarai peringkat akhir ialah Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain dalam kategori Artis Terbaik Wanita. Turut dicalonkan Titi DJ dan Rossa dari Indonesia.

Dalam kategori lelaki pula tidak ada penyanyi dari Malaysia dicalonkan. Kategori itu menampilkan penyanyi kelahiran Singapura M.Nasir, Ferhad serta tiga penyanyi Indonesia, Ari Lasso, Andre Hehanussa dan Harvey Malaiholo.

Kumpulan nasyid kontemporari Raihan dan Rabbani pula dicalonkan dalam kategori Kumpulan Terbaik bersama kumpulan Kaleoidoscopicuriosity (Singapura), Padi dan penyanyi duet Anang dan Kris Dayanti dari Indonesia.

Dalam kategori Kumpulan Baru Terbaik pula pasangan Ajai, Nurul dan Bozz dari Malaysia turut dicalonkan. Mereka bersaing bersama kumpulan-kumpulan dari Indonesia.

Kategori wanita pula menampilkan Elyana, Samirah, Mala serta penyanyi Singapura Asiyah Sinnan dan Shanty.

Dalam kategori album pula album Safa (Siti Nurhaliza), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Phoenix Bangkit (M.Nasir), Aku Cinta Padamu (Ziana) turut layak bersaing bersama Sesuatu Yang Tertunda (Padi) dan Makin Aku Cinta (Anang dan Kris Dayanti).

Lagu Menadah Gerimis (Ziana), Raikan Cinta (M.Nasir), Masirah (M.Nasir), Percayalah (Siti Nurhaliza), Makin Aku Cinta (Anang & Kris Dayanti) dan Kasih Tak Sampai (Padi) bersaing merebut anugerah Lagu Terbaik.

Anugerah Planet Muzik 2002 juga turut mempertandingkan beberapa kategori melibatkan penyanyi tempatan Singapura sahaja.

Selain menyampaikan anugerah, ia juga akan menampilkan persembahan hiburan oleh Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Ziana, Nurul dan Ajai, Ferhad, Fazley, Yassin, Hetty Sarlene, Rem, Man Bai, Harvey Malaiholo, Kris Dayanti, Padi, Anterro Boys dan beberapa lagi

Powered by Utusan Malaysia