Archive | Akademi Fantasia RSS feed for this section

Penyanyi, Kakak Tomok Dalam AF7

4 Mar

KUALA LUMPUR: Jika Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 24, berjuang merebut RM1 juta yang ditawarkan dalam pertandingan One In A Million (OIAM), kakaknya, Ismaliza Ismail (Isma), 30, pula berjaya melayakkan diri dalam kelompok 20 terbaik peserta Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7).

Pengumuman peserta AF7 itu diadakan di Orchid Grand Ballroom, Hotel Parkroyal, Jalan Sultan Ismail, petang semalam.

Bagaimanapun, kedudukan Isma sebagai pelajar AF7 masih samar kerana terdapat satu lagi peringkat saringan memilih sama ada 10, 12 atau 14 peserta terbaik yang akan diumumkan melalui Tirai Akademi Fantasia 7 pada Sabtu dan Ahad (7 dan 8 Mac 2009).

Selain Isma, seorang lagi peserta yang mempunyai pertalian saudara dengan artis tempatan adalah Khairil Azam Pilus, 23, juga adik kepada penyanyi dengan lagu Indah Lelapku, Izwan Pilus.

Mesra dengan panggilan Azam, namun ingin dikenali sebagai Aril menerusi AF7 ini bertugas sebagai pereka grafik dan pernah menyertai program pencarian kumpulan terhebat, Gang Starz terbitan TV3 bersama kumpulannya 1st Edition.

Berbeza dengan Isma dan Azam, Lizda Nuryanti Abidin, 27, pula isteri kepada pelakon dan usahawan, Ezany Nizariff, yang popular menerusi drama Anak Betung.

Pada sidang media itu, pihak Astro turut membuat kejutan apabila menyenaraikan artis rakaman sebagai seorang peserta AF7 iaitu Nas Adila Mohd Dan, 23.

Selain itu bekas peserta OIAM musim kedua, Abraham Edwin Dungot, 26, dan Rubisa Tiasin, 23, dari My Starz LG musim pertama turut disenaraikan.

Jika penganjuran tahun lalu, AF menampilkan peserta ‘veteran’ iaitu Mama Rina, AF7 pula menampilkan Kelana Ayu (Kelana), 40, berasal dari Bintulu Sarawak dijangka menjadi tarikan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, pada tahun ini AF7 menyuntik elemen perubahan apabila menjemput artis dan warga Singapura untuk menyertai pertandingan realiti nyanyian di samping mengekalkan had umur 18 hingga 45 tahun.

Beliau berkata, Astro juga berbangga sepanjang sesi uji bakat yang berlangsung di empat negeri, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sabah dan Sarawak berjaya meraih lebih dari 9,000 penyertaan dan ia rekod tertinggi yang pernah dicatatkan berbanding pada musim yang lepas.

“20 orang calon pelajar ini dikehendaki menyertai Minggu Orientasi dan Kem Muzikal yang meliputi kelas bimbingan dan ujian kelayakan antaranya vokal teknikal, vokal persembahan, tarian dan lakonan selama enam hari (1 hingga 6 Mac).

“Hanya pelajar yang memberikan persembahan keseluruhan terbaik akan diserapkan ke dalam akademi dan keputusannya akan diumumkan pada program Tirai Akademi Fantasia 7,” katanya.

15 peserta lain turut tersenarai dalam 20 terbaik adalah Abdul Hamim Suleiman (Amim), 21, Afiq hakim Ahmad (Akim), 18, Ahmad Sobri Hasmuni (Obri), 24, Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), 19, Mohd Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud), 25, Mohd Rashidi Mohamaad Isa (Sidi), 27 dan Mohd Yazid Ibrahim (Yazid), 22.

Sementara peserta wanita, Alpaezah Manaf (Faezah), 20, Cabrine Blaire Bernard Solibun (Cabby), 20, Claudia Fay Geres (Claudia), 24, Nur Fazelah @ Zizie Mohd Tahil, 24, Siti Aishah Bujang (Aishah), 18, dan Zuzafrini Zulkifli (Rini), 26.

Harian Metro

Bakal Pengkritik Tetap AF7?

18 Feb

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

“Saya tidak meletakkan sepenuh keyakinan tentang gosip ini, sebaliknya saya sedar ada lagi karyawan seni lain yang boleh menjadi pengkritik, selain saya sendiri” – NURUL

GOSIP penyanyi berkulit hitam manis, Nurul Huda Ab. Wahab atau lebih dikenali sebagai Nurul, bakal dilantik menjadi pengkritik tetap rancangan realiti, Akademi Fantasia 7 (AF7), kini semakin hangat diperkatakan.

Begitupun, tuan empunya badan hanya mampu tertawa kecil saat mendengar khabar angin, bakal duduk di kerusi ‘panas’ pengkritik tetap rancangan AF7.

Tidak dinafikan, ada riak terkejut pada mulanya apabila kisah itu dibentangkan. Namun Nurul pantas bertukar riak selamba semula, sambil bersikap profesional dengan gosip yang terus dijaja oleh peminat dan individu tertentu dalam lapangan seni.

Bagi Nurul sendiri, kalau ada kebenarannya tentang gosip dia bakal menjadi pengkritik tetap AF7, maka sudah pastilah dia menjadi orang pertama paling teruja.

“Kalau dapat, saya bersyukur sangat,” sahut Nurul tergelak kecil semasa ditemui pada sesi merakam lagu terbarunya di Execellent Studio milik Sharon Paul di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, Petaling Jaya minggu lalu.

Beritahu Nurul, dia bagaimanapun tidak menganggap gosip bakal dilantik sebagai pengkritik tetap AF7, menjadi satu masalah besar untuk dirinya.

“Saya suka sangat apatah lagi dapat bekerjasama dengan pihak produksi AF7 di empat buah lokasi yang berbeza di seluruh negara baru-baru ini.

“Saya dipilih untuk menjadi juri dan membuat tapisan para peserta di beberapa buah tempat antaranya adalah Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Sabah.

“Penerbit dan seluruh warga kerja AF7 kelihatan komited dalam melaksanakan tugas masing-masing demi mahu mencari bakat baru untuk diketengahkan dalam industri.

“Secara jujurnya, boleh dikatakan hampir keseluruhan warga kerja AF7 merupakan orang-orang yang berbeza, kalau ingin dibandingkan dengan enam musim sebelum ini.

“Rasa seronok dapat kerja dengan mereka yang bersifat gila-gila, namun mereka tetap bersungguh-sungguh menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pihak Astro.

“Mereka mengetahui apa yang dimahukan termasuk mencari bakat-bakat baru di seluruh negara, malah mereka sentiasa berahsia dalam segala hal yang berkaitan AF7, supaya tidak diketahui umum.

“Itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan sikap warga kerja AF7,” luah Nurul tanpa berselindung.

Penyanyi berusia 32 tahun itu berkata lagi, setelah gosip yang bertiup kencang mula menerima perhatian masyarakat, namun seluruh warga kerja AF7 tidak sesekali mendedahkan apa jua maklumat.

“Mereka buat tidak tahu, malah berdiam diri sahaja tentang gosip saya bakal dilantik menjadi pengkritik tetap AF7.

“Saya tidak meletakkan sepenuh keyakinan tentang gosip ini, sebaliknya saya sedar ada lagi karyawan seni lain yang boleh menjadi pengkritik, selain saya sendiri,” tambah Nurul dalam lontaran suara cukup merendah diri.

Barangkali, ada sesetengah pihak yang bersikap skeptikal tentang kredibiliti dan bakat Nurul untuk menjadi seorang pengkritik.

Mungkin ada yang berpendapat Nurul ibarat penyanyi hingusan, yang belum selayaknya untuk berada di tempat pengkritik tetap AF7.

Satu persoalan lain, mampukah Nurul bertukar karakter menjadi lebih celupar berbanding sebelumnya? Kita maklum sahaja, kebanyakan juri tetap AF sebelum ini agak ‘keras’ dan boleh dikatakan agak celupar bila membuat kritikan memandangkan mereka telah diamanahkan untuk berlaku ‘sejujur’ mungkin dengan peserta.


NURUL mungkin kelihatan naif, namun itu bukan bermakna dirinya boleh diperkotak-katikkan.

Dalam nada tenang Nurul menyampuk, dia mahu masyarakat menilai pengalaman yang dimilikinya dalam bidang seni suara selama 15 tahun, sebagai medium utama untuk dia berkongsi dengan bakat-bakat baru.

“Secara tidak langsung, ia menjadi motivasi dan perangsang untuk saya. Tambahan pula dengan proses yang pernah saya lalui sepanjang tempoh melebihi satu dekad berstatus anak seni.

“Banyak kenangan yang pernah saya jalani dalam hidup. Saya menerima banyak nasihat daripada peminat yang sebelum ini terserempak dengan saya, semasa berada di tempat awam.

“Bukan itu sahaja, hidup bersama bekas suami, Ajai selama 10 tahun sebenarnya sudah banyak mematangkan saya mendalami selok-belok dalam kehidupan dan bidang seni.

“Saya merupakan seorang wanita yang tidak gentar apabila dicabar. Kalau dicabar, lantas saya akan pastikan untuk melawan semula demi membuktikan kebolehan diri.

“Kerana itu saya lihat proses pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini indah, lantas dapat dikongsi bersama orang lain,” ungkap Nurul yang kelihatannya naif, namun ia tidak bererti dirinya boleh diperkotak-katikkan oleh orang lain.

Jika selepas ini, masih lagi ada pihak menidakkan kemampuan dirinya, yang bergelar seorang penyanyi, maka ringkas sahaja ucap Nurul: “Saya anggap kata-kata ini sebagai cabaran.”

Muncul dengan album baru

Tutup kisah yang mengaitkan Nurul diuar-uarkan bergelar pengkritik tetap AF7 yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

Nurul sebaliknya lebih teruja bercerita tentang proses pembikinan album studio, yang bakal menemui peminat pada Mac nanti.

Sebelum episod manis tentang albumnya dibicarakan, Nurul mengakui, berdepan dengan pelbagai masalah yang tidak dinafikan mengguris sedikit jiwanya, yang selama ini bersifat kental.

Tambah Nurul, pengalaman yang pernah dilaluinya memberi semangat untuk meneruskan kerjaya seni.

Meskipun pembikinan album solonya sebelum ini tertangguh hampir tiga tahun lamanya, namun kini segala yang diinginkan oleh Nurul, semakin hampir menjadi kenyataan.

“Pembikinan album terbaru ini sebenarnya sudah pun lama dirancangkan. Cuma kerana sebab-sebab yang tertentu, ia akhirnya tertangguh, hingga saya menemui Metadome Sdn. Bhd.

“Saya merupakan individu yang komited semasa bekerja, apatah lagi mahu melahirkan album baru. Malah saya juga mahukan orang yang bekerja dengan saya, harus komited sama.

“Tidak dinafikan, sebelum ini saya kurang yakin dengan syarikat lain daripada segi kemampuan bekerja.

“Apabila Metadome memberi peluang untuk saya bergelar artis rakaman mereka, saya terus setuju tanpa mahu fikir panjang.

“Pekerjanya juga terdiri daripada orang-orang kuat industri seni yang bersungguh-sungguh melaksanakan kerja sendiri.

“Disebabkan percaya dengan kredibiliti yang telah mereka perlihatkan, maka saya menerima tawaran Metadome pada bulan Disember tahun lalu.

“Saya harap album baru ini dapat memenuhi syarat yang ditetapkan dan hasilnya juga berkualiti,” ujar Nurul.

Kerjasama dengan Sharon

Tidak ketinggalan, Nurul juga menjalinkan kerjasama dengan komposer terkenal yang juga merupakan isteri kepada aktor, Rusdi Ramli iaitu Sharon Paul.

“Sudah lama saya berkeinginan untuk bekerja dengan Sharon, cuma baru kali ini ia tercapai.

“Sharon seorang yang serius apabila bekerja, tetapi dia tetap terbuka menerima pendapat orang lain.

“Boleh dikatakan, Sharon merupakan orang baru dalam dunia seni, jadi ideanya lebih segar serta mengikut peredaran masa.

“Saya juga tidak mampu untuk menidakkan kebolehan komposer lain, cuma kali ini saya mahu cuba sesuatu yang baru, untuk penjenamaan semula diri saya.

“Paling mengujakan, saya dan Sharon mempunyai keserasian semasa bekerja, hingga ia menjadi faktor terpenting untuk menghasilkan sesuatu karya yang baik,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu teruja.

Bercerita mengenai albumnya, sebanyak tujuh lagu dimuatkan. Terdapat lima buah lagu baru manakala dua lagu lama, menjadi bonus buat peminat.

“Sewaktu sesi pemilihan lagu, saya diberikan sebanyak 15 lagu untuk dipilih dan semuanya sedap didengar serta berkualiti.

“Saya mendengar keseluruhan lagu ini semasa memandu. Kerana tidak tahu lagu yang mana satu mahu dipilih, saya menyerahkan kepada Metadome untuk buat keputusan.

“Akhirnya sebanyak lima lagu terpilih. Antaranya adalah Sepenuh Jiwa, Kala Hati dan Jadikan Aku Bintang.

“Manakala dua lagu yang menjadi bonus dalam album ini adalah lagu saya yang dirakam tahun lalu.

“Buat masa ini, dua lagu lain masih belum mempunyai judul yang bersesuaian.

“Insya-Allah, album yang berbeza daripada apa yang peminat dengar sebelum ini, bakal dipasarkan pada pertengahan bulan depan.

“Dengan kelahiran album genre pop ini, saya percaya peminat dapat melihat kelainan di antara Nurul dahulu dan sekarang,” akhiri duta Power Root itu sambil ketawa mengekeh.

Kosmo

Tuah Aslinda

16 Feb

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my


PESERTA bergambar bersama Hishamuddin (tengah), Mustapa (sembilan dari kiri), Fadzlena (tujuh dari kiri) selepas majlis penyampaian hadiah.

SIFAT prihatin terhadap insan malang mencetus naluri belas yang tidak terhingga dalam diri dan mendorong beliau melakukan kerja kebajikan walaupun hanya sekadar mendengar luahan perasaan, berkongsi maklumat dan memberikan sokongan moral kepada pesakit talasemia di Pertubuhan Talasemia Pulau Pinang.

Bagi pemenang Personaliti Pilihan Berita Harian 2008, Aslinda Nurziaty Amir, jika tidak dapat menghulur pertolongan besar sekali pun, senyuman ikhlas dan kata-kata nasihat bernada positif sudah cukup memadai untuk memberi kelegaan kepada mereka yang tidak berpeluang menikmati hidup sihat.

Prihatin kebajikan: Pemenang peserta PPBH 2008 azam perbanyak kegiatan amal

MINAT mendalam terhadap kerja kebajikan terutama membabitkan pesakit talasemia di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang membawa pengertian yang cukup istimewa kepada Aslinda Nurziaty Amir apabila beliau diumumkan pemenang Personaliti Pilihan Berita Harian 2008 (PPBH), yang berlangsung di Ballroom, Hotel Legend, Sabtu lalu.

Malah, rutin mengambil ibunya, Natrah Ismail, yang bertugas di hospital berkenaan membuka peluang kepadanya untuk bertemu mata dengan pesakit talasemia, sekali gus membuatkan Aslinda lebih prihatin mengenai nasib pesakit itu dan berazam memberikan apa saja bantuan yang termampu diberikan bagi meringankan beban mereka.

Berasal dari Pulau Pinang dan kini meneruskan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, Aslinda terharu kerana niatnya untuk berkongsi kemenangan dengan pesakit di Pertubuhan Talasemia Pulau Pinang (PTPP) tercapai dengan kemenangan yang diperoleh itu.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Unit Wanita, Berita Harian kerana mengadakan pertandingan seumpama ini. Sekurang-kurangnya masyarakat tahu wanita muda seperti saya dan rakan lain juga mempunyai wawasan melakukan kerja kebajikan walaupun sumbangan itu mungkin tidak seberapa, tetapi begitu bererti kepada pesakit yang memerlukan,” katanya sejurus selepas diumumkan pemenang PPBH 2008.

Beliau membawa pulang wang tunai RM5,000, hamper barangan penaja utama Avon, baucar barangan Alfio Raldo dan Fossil serta sumbangan RM10,000 kepada badan amal pilihannya, Pertubuhan Talassemia, Pulau Pinang.

Aslinda yang memberikan jawapan mantap mengenai ketuanan Melayu dan institusi beraja perlu dikembalikan maruahnya ketika ditanyakan soalan mengenai isu terkini di Perak berkata, pesakit talasemia agak susah untuk mendapat pekerjaan kerana fizikal mereka yang mungkin tidak menyokong keinginan untuk bergerak aktif seperti orang lain kerana penyakit yang dihidapi.

“Kini saya sudah menjadi ahli berdaftar dan sukarelawan dengan PTPP, jadi saya boleh mengikuti sebarang kegiatan membabitkan pertubuhan berkenaan dan inilah masanya saya akan membantu mereka setakat yang termampu walaupun sekadar menjenguk dan mendengar luahan mereka,” katanya.

Ketika ditanya mengenai wang kemenangan, Aslinda berkata beliau akan memperuntukkan wang berkenaan untuk membiayai yuran pengajian dan selebihnya akan disimpan untuk digunakan pada masa depan.

Acara yang pertama kali dianjurkan Unit Wanita, Berita Harian itu bertujuan mencari wanita berwawasan dengan personaliti menarik berumur antara 18 hingga 35 tahun bagi menjadi wajah Berita Harian selain berpeluang mengikat kontrak selama setahun, memperagakan busana dan aksesori berjenama bagi akhbar tersohor ini.

Pemilihan dibuat dengan mengambil kira wanita berwawasan dan berkerjaya, mempunyai sifat empati terhadap kerja kebajikan yang sesuai serta berpeluang menghiasi muka depan halaman Ratu, ruangan khusus untuk wanita di Berita Harian.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Fauziah Abu Bakar, 25 dan Nor Hafizah Badarudin, 27. Mereka membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000, hamper barangan penaja utama Avon, baucar barangan Alfio Raldo dan Fossil.

Sementara itu, Fauziah berkata, sokongan rakan sekerja yang banyak memberi keyakinan kepada dirinya membuatkan beliau berasa teruja untuk menyertai PPBH dan memilih Rumah Amal Kasih Bestari untuk berkongsi kemenangan.

“Saya pernah membuat kunjungan amal ke rumah berkenaan dan kebetulan PPBH memperuntukkan sebahagian kemenangan untuk rumah kebajikan. Jadi saya tidak berfikir panjang untuk menyertai PPBH dengan harapan dapat membantu penghuni rumah amal itu. Doa saya dimakbulkan Tuhan dan tidak sia-sia kunjungan yang saya lakukan itu apabila terpilih sebagai pemenang kedua” katanya.

Pemenang ketiga, Nor Hafizah Badarudin, menyifatkan kemenangan yang diperoleh adalah kemenangan untuk keluarga dan juga penghuni Rumah Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Perak yang dipilih beliau.

Katanya, beliau terpanggil untuk memilih rumah anak yatim itu kerana berasa belas terhadap kanak-kanak yang sudah kehilangan ibu atau bapa ketika kecil sedangkan mereka memerlukan kasih sayang dan belaian insan bergelar ibu serta bapa untuk menjamin kesejahteraan hidup.

“Ada insan yang bernasib baik dan sebaliknya dalam hidup ini. Apabila melihat kanak-kanak di rumah berkenaan, saya teringat kepada anak saya sendiri apa nasib mereka sekiranya ibu atau bapa di sisi. Justeru, saya berasa perlu untuk menunjukkan keprihatinan saya kepada kanak-kanak yang memerlukan walaupun sekadar satu senyuman. Kalau saya berupaya menyumbang lebih, itu adalah satu kebaikan untuk mereka,” kata ibu kepada tiga cahaya kata itu.

Pada acara berkenaan juga, bintang kelahiran Akademi Fantasia keenam (AF6), Nubhan, yang muncul menyampaikan tiga lagu turut mendapat tepukan hangat daripada tetamu selain celoteh pengacara majlis Along dan Angah yang digilap bakatnya daripada program Raja Lawak Astro membuatkan pengunjung terhibur.

Pengarang Wanita, Berita Harian, Fadzlena Jafar, berkata pemilihan mengambil kira wanita yang mempunyai wawasan dan berkerjaya, selain mempunyai sifat empati terhadap kerja kebajikan yang sesuai menghiasi muka depan halaman Ratu, ruangan khusus untuk wanita di Berita Harian.

“Malaysia kini melangkah ke era 50 tahun selepas merdeka dan untuk itu, kami mencari wanita yang bijak dan berpersonaliti menarik sesuai menggambarkan wanita zaman moden hari ini. Walaupun bekerjaya dan berfikiran matang, mereka tetap menerapkan jati diri wanita Malaysia yang mencerminkan nilai ketimuran.

“Pada masa yang sama, pemenang kelak mestilah mempunyai minat terhadap kerja kebajikan kerana tiga pemenang pertama berpeluang memilih badan amal bagi menerima sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM20,000 daripada penaja. Apa yang penting pemilihan tidak bersandarkan kepada rupa semata-mata, sebaliknya mempunyai kebijaksanaan sesuai dengan imej Berita harian yang mementingkan berita berilmu dan bermaklumat,” katanya.

Selain Fadzlena, juri bagi pertandingan itu ialah Penerbit Kanan TV9, Wan Sabariah Shikh Ali; Pengurus Perhubungan Awam Avon, Elaine Aisyah Abdullah dan Pengarang XY Berita Harian, Shamshul Azree Samshir.

Berita Harian

Aspek Keselamatan Diberi Perhatian

12 Feb

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


ZIZAN bersama peserta Bolos yang pernah menyertai program Raja Lawak Astro.

Program Bolos musim baru lebih mencabar, menghiburkan

KONSEPNYA masa sama, namun ciri-ciri keselamatan kini dipertingkatkan bagi menghindari daripada sebarang masalah yang boleh berlaku.

Program Bolos yang disiarkan saluran Astro Ria, mengambil konsep program televisyen antarabangsa iaitu daripada syarikat penerbitan Fremantle dari United Kingdom kini memasuki musim kedua dengan beberapa kelainan namun masih mengekalkan konsep yang asal.

Penerbitnya, Ahmad Budiman Sidik atau Budi berkata, Bolos musim kedua lebih menekankan aspek keselamatan biarpun sebelum ini tidak pernah berlaku perkara yang tidak diinginkan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, musim ini akan menekankan aspek keselamatan, terutamanya set yang dilihat boleh mengundang kecederaan sekiranya tidak diberikan perhatian.

“Walaupun musim pertama lalu tidak pernah berlaku kemalangan membabitkan peserta namun langkah berjaga-jaga itu perlu. Antara ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti lantai yang kini di alas dengan menggunakan span termasuklah kolam yang dikelilingi dengan pading yang juga diperbuat daripada span,” katanya yang ditemui pada rakaman program itu di Wisma Ali Bawal baru-baru ini.

Menurut Budi, Bolos yang masih dikendalikan oleh Zizan (Raja Lawak) sebagai hos turut memperkenalkan pengawal keselamatan yang akan membantu peserta sekiranya terjatuh ke dalam kolam.

“Selain aspek keselamatan, beberapa perubahan lain yang dilihat ketara seperti, setiap minggu kita akan memperkenalkan satu tema di mana Zizan akan memakai kostum berbeza-beza setiap minggu.

“Kita ada tema pemburu hutan, Askimo, Harimau, Apache, Drakula, Kadazan dan macam-macam lagi. Selain itu juga pakaian peserta turut ditukar dengan warna perak cuma yang membezakan mereka adalah topi keselamatan saja,” katanya.

Program yang akan disiarkan mulai 1 Februari depan setiap Ahad jam 9.30 malam masih memperkenalkan empat segmen iaitu satu hingga empat. Segmen satu di mana salah seorang daripada setiap kumpulan akan melalui sebuah dinding. Sebanyak 100 mata akan diberikan jika mereka berjaya membolosi dinding itu.

Segmen kedua pula, dua ahli setiap kumpulan dikehendaki melalui satu dinding dan 300 mata akan diberikan sekiranya mereka berjaya. Begitu juga dengan segmen ketiga di mana tiga ahli akan membolosi dinding dan sekiranya berjaya 500 mata akan diberikan.

Bagi segmen terakhir, salah seorang daripada ahli kumpulan yang mendapat markah tertinggi akan dipilih untuk menyempurnakan segmen yang diberi nama Mega Bolos dan bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 sekiranya berjaya membolosi dinding itu.

Antara selebriti yang diundang menyertai program ini seperti pelajar Akademi Fantasia, Raja Lawak, Sehati Berdansa, Malaysia Idol, peragawan dan pragawati profesional dan banyak lagi.

Sementara itu, Zizan yang ditemui turut merasai lebih selesa selepas menimba banyak ilmu daripada musim pertama lalu.

“Pada musim ini saya lebih rasa selesa kerana pengalaman mengendalikan musim pertama lalu banyak membantu.

“Musim ini juga saya lebih banyak menggunakan dialog spontan walaupun skrip turut diberikan. Saya rasa dengan dialog spontan lebih memberi keselesaan kepada saya kerana setiap minggu kita mempunyai tema yang berbeza-beza.

“Ia sebenarnya dapat menguji kebolehan saya berhadapan dengan peserta dan penonton agar terhibur sepanjang program itu berlangsung,” katanya.

Berita Harian

Soseh Soseh: Sheila Majid Pengetua AF7?

10 Feb

Rap
SEPERTI biasa sebaik masuk saja musim baru program realiti TV, Akademi Fantasia, pelbagai spekulasi ditimbulkan pemerhati dan peminat setia rancangan itu.

Tidak terkecuali, rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang kini giat menjalankan uji bakat bagi memilih pelajar dirasakan layak.

Selain pelajar antara yang menjadi perhatian adalah pengacara, tenaga pengajar dan pengetua yang bakal mengendalikan kelas diadakan.

Tahun ini SS mendapat beberapa maklumat daripada sumber dalaman penerbitan AF7 itu sendiri.

Difahamkan pada tahun ini Sarimah dan AC Mizal masih lagi dikekalkan sebagai pengacara.

Seperti biasa Sarimah atau lebih popular dengan panggilan Kak Mah Gali akan mengacarakan rancangan Diari, disiarkan setiap hari sementara AC Mizal akan mengendalikan konsert mingguan.

Kata sumber itu lagi, pengacara tidak mungkin akan bertukar kerana masing-masing sudah menandatangani kontrak untuk lima tahun.

Bermakna Aznil tidak akan kembali sebagai pengacara seperti apa yang digembar-gemburkan sebelum ini? Menyentuh mengenai hal itu kata sumber, Aznil tetap akan kembali dalam AF7 tetapi bukan sebagai pengacara atau tenaga pengajar sebaliknya dia diberikan tugas sebagai pengkritik tetap.

Begitupun jawatannya itu boleh ditukar di saat-saat akhir kerana kontrak belum lagi ditandatangani.

Lalu siapakah yang akan mengendalikan AF7 sebagai pengetua? Apa yang SS tahu setakat ini produksi baru yang mengendalikan rancangan ini sudah bertemu dengan ramai calon sesuai termasuklah Datuk Sheila Majid.

Katanya lagi, Sheila tertarik dengan tawaran diberikan untuk menjadi pengetua AF7, bagaimanapun pengesahannya belum lagi diperoleh kerana seperti Aznil, penyanyi digelar ratu jazz itu juga belum lagi diberikan kontrak.

Takut nanti apabila berita ini SS sudah siarkan ia tidak lagi menjadi kejutan, dan terpaksa mereka menjadi calon lain.

Apapun bukankah Akademi Fantasia penuh kejutan.

Harian Metro

Penantian 3 Tahun Berbaloi

9 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


AMYLEA akhirnya muncul bersama album studio pertama berjudul Selepas 3.

Album sulung Amylea, Selepas 3 kini berada di pasaran

KETIKA ini, tentunya hati Amylea Azizan berdebar-debar apabila dia diumumkan seorang daripada peserta Top 20 pertandingan nyanyian paling mahal di Malaysia, One In A Million (OIAM) musim ketiga. Selepas Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, inilah rancangan realiti kedua buat penyanyi genit terbabit.

Apakah tuah angka tiga sekali lagi menyebelahi gadis berbakat ini? Jika di AF dulu, dia berjaya melangkah hingga ke final, adakah angka tiga pada OIAM membolehkannya sekali lagi beraksi pada peringkat akhir pertandingan berkenaan? Tentunya masih terlalu awal untuk peminat membuat ramalan, apatah lagi musim terbaru rancangan itu sendiri baru saja disiarkan 8TV.

Masih jauh perjalanannya dalam rancangan realiti yang pernah menobatkan nama Suki dan Ayu Damit sebagai juara itu. Namun, jika rezeki menyebelahi, tidak mustahil penyanyi berusia 22 tahun ini mampu melangkah lebih jauh dalam pertandingan yang penuh berprestij itu.

Ketika debaran Amylea pada pertandingan itu makin memuncak, keresahan menunggu album sulungnya muncul di pasaran nampaknya sudah terurai. Album perdana yang diberi judul Selepas 3 akhirnya berada di rak kedai muzik setelah sekian lama proses pembikinannya dilakukan.

“Selama tiga tahun saya berusaha menghasilkan album ini. Ia satu tempoh yang agak panjang. Pada ketika rakan lain sudah pun muncul dengan album pengenalan mereka, saya pula bagai teraba-raba. Syukurlah, sekarang semuanya sudah berlalu dan satu kelegaan yang amat sangat kini cukup dirasa. Segala penat lelah yang dicurah bagai berbaloi apabila peminat dapat juga menikmati kesemua lagu yang dimuatkan di dalamnya,” katanya.

Kini, dia sabar pula menunggu reaksi peminat terhadap hasilnya. Jika dilihat kepada barisan pencipta lagunya, tidak ada sebab untuk Selepas 3 gagal menambat hati peminat. Daripada komposer yang pernah mencipta nama pada pertandingan seperti Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Hazami dan Afdlin Shauki, sehingga pencipta berbakat yang semakin disegani termasuk Pacai, Joe Flizzow dan dirinya sendiri, album berkenaan bagai menjanjikan kepuasan tersendiri untuk pembeli.

“Kesabaran saya selama menunggu album ini dipasarkan rasanya berbayar. Saya berpuas hati dengan hasilnya, walaupun mungkin banyak lagi yang boleh dipertingkatkan pada album akan datang.

“Menghasilkan album ini sendiri satu pengalaman amat berguna lagi berharga. Selama proses itu berjalan, saya banyak mempelajari cara sesebuah lagu dan muziknya disusun, dirakam dan seterusnya diadunkan. Daripada lagu pertama yang dirakam, Andai, ciptaan Hazami kira-kira tiga tahun lalu, saya mengutip segala pengalaman untuk membentuk diri sendiri sebagai produser berjaya satu hari nanti,” ujarnya.

Jika sebelum ini kerap kali Amylea melahirkan kegusaran serta kekecewaannya akibat cukup lama menunggu buah yang bagai tidak gugur ke bumi, sekarang semua itu tinggal memori.

Tidak berdiam diri ketika menunggu album sulung menjadi realiti, Amylea mengasah bakat sebagai pencipta menerusi beberapa lagu untuk drama bersiri. Pada mulanya dia menghasilkan lagu rancak Aku Sindarela untuk siri popular Sindarela lakonan Bront Palarae dan Sharifah Amani, siaran TV3.

Baru-baru ini, dia mencipta pula irama indah berjudul Akan Tiba, nyanyian Alif Satar, yang juga seorang lagi produk muda berbakat rancangan OIAM. Selain Alif, turut menyanyikan lagu tema siri Rona Roni Makaroni siaran Astro itu ialah Amylea sendiri bagi versi akustik dan Flava untuk versi R&B. Single Akan Tiba dikeluarkan Amylea bersama Isma Yusoof dan Ash Bau.

Mengaku amat menyintai dunia ciptaan lagu, begitupun Amylea berasakan masih terlalu awal untuknya mencanang nama sebagai komposer. Justeru, dia banyak menyimpan karyanya ‘di rumah’.

“Cuma sejak akhir-akhir ini, dengan sokongan kawan baik seperti Isma dan Audi, saya mula rasa bagai ada keyakinan untuk lebih serius dalam bidang penciptaan ini,” katanya yang dikatakan turut menghasilkan sebuah lagi lagu untuk drama siaran TV3.

Nampaknya, bakat milik Amylea tidak rela dilepaskan begitu saja oleh penerbit drama. Apatah lagi apabila lagu ciptaannya bagai senang sekali melekat di hati peminat. Lihat saja bagaimana orang ramai mudah menerima Aku Sindarela dan Akan Tiba.

“Apabila saya diminta menghasilkan sesebuah lagu untuk drama bersiri, saya pastikan diberitahu terlebih dulu jalan ceritanya. Ia membantu saya mencipta lagu yang sesuai untuk drama berkenaan. Cara itu nyata lebih memberikan kesan, daripada saya menciptanya tanpa ada sebarang rujukan,” ujar Amylea.

INFO: Amylea

AMYLEA ialah bintang realiti TV Astro Ria, Akademi Fantasia 3 pada 2005. Dia dilahirkan pada 26 November 1986 di Hospital Besar Alor Star. Dia mula menjejakkan kaki di alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani (1) manakala sekolah terakhir, Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi.

PENYANYI ini menetap di Langkawi pada 1990 ketika berusia 4 tahun dan berulang-alik sehinggalah keluarga menetap terus pada 2001. Ketika berada di tingkatan 5, Amylea bekerja sebagai deejay sambilan di Radio Langkawi selama setahun.

AMYLEA mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 dalam aliran sains matematik, tapi kurang berminat. Kecenderungannya lebih kepada dunia muzik.

APABILA ibunya sakit, Amylea menggantikan tempat ibunya di Sheraton Perdana sebagai penyanyi. Di situ, dia menyanyi enam hari seminggu selama setahun.

ANTARA pencapaiannya ialah muncul dengan album Selepas Tiga (Januari 2009), menghasilkan single Akan Tiba Rona Roni Makaroni, single Aku Sindarela, single Andai Kerna Pasti, Top 5 ABPBH 2006 kategori Artis Baru Wanita Popular, duta Maggi Slurrpp, terbabit dalam penghasilan album Evo 05 dan Salam Raya AF3.

PALING baru, dia berjaya melangkah ke Top 20 OIAM siaran 8TV. Amylea juga aktif menjayakan pelbagai program anjuran Biro Karyawan Muda.

SELAIN Aku Sindarela (menampilkan Andika), album Selepas 3 juga membariskan lagu Andai, Luar Biasa, Bukan Cinta (menampilkan Azan Ad-Din), When We Dance (menampilkan Sona), Ku Temui, Dari Mula, Menari, Aku Sindarela (menampilkan Sharifah Amani).

Berita Harian

Produk Halal, Semula Jadi

22 Jan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

Syahirah tambah bilangan keluaran dengan pelancaran produk baru

SYAHIRAH, jenama kecantikan terkenal, melancarkan pro duk terbaru bagi melengkapkan lagi rangkaian penjagaan kulit dan peribadi keluarannya.

Pengurus Pemasarannya, Corina Lee, berkata produk ber kenaan merangkumi susu pembersih muka, krim pencerah, bedak kompak SPF 15, gincu bibir SPF 15 serta losen tangan dan badan.

“Rangkaian produk Syahirah dihasilkan daripada rumusan unik UV White, susu kambing, biotin, ekstrak likuoris, vitamin C dan E, aloe vera, ginseng, pelindung ultraungu dan ekstrak tumbuhan.

“Formula unik berkenaan memastikan rangkaian produk Syahirah ditanggung halal, semula jadi, selamat dan berkesan untuk menjadikan kulit lebih lembut, cerah serta berseri,” katanya pada majlis pelancaran produk terbaru Syahirah di ibu negara, baru-baru ini.

Menurutnya, sejak mula dilancarkan pada 2006, jenama berkenaan menjadi antara tiga jenama Melayu paling men dapat sambutan di pasaran.

etika tahun pertama diperkenalkan, Syahirah bermula de ngan hanya 25 produk, tetapi kini ia mempunyai hampir 60 barangan penjagaan serta kecantikan yang menyeluruh.

Katanya, Syahirah mensasarkan untuk mengeluarkan enam produk inovatif setiap tahun.

Untuk itu, pihaknya kini giat menjalankan proses pe nyelidikan dan pembangunan.

Turut hadir, Pengarah Urusan, Jackie Tor serta duta Sya hirah, Farah Diana Anuar dan 30 peserta bertuah peraduan Fiesta Syahirah.

Farah berkata, dia amat mementingkan penjagaan wajah kerana sebagai seorang selebriti, penampilan menawan amat penting ketika berdepan dengan khalayak.

Kata Farah, sejak keluar daripada Akademi Fantasia, kulit wajahnya mengalami masalah kerana sering disolek tebal setiap kali persembahan.

“Saya gembira kerana sejak menggunakan produk ini, kulit wajah yang dulunya kering serta tidak bermaya kini kelihatan lebih bersih, cerah dan berseri.

“Ramuan istimewa di dalam produk ini mampu membantu wanita seperti saya mendapat hasil yang diingini. Namun, apa yang penting, ia halal dan selamat untuk digunakan,” ka tanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Tor turut mengumumkan Nor Farahin Abd Rashid dan Nor Haryati Mo Hadzri sebagai pemenang utama peraduan Fiesta Syahirah yang berakhir 31 Oktober lalu.

Nor Farahin dan Nor Haryati masing-masing memenangi sebuah televisyen LCD 32 inci jenama Philips.

Harian Metro