‘Saya Tiada Kaitan’

4 Aug

MESKIPUN sudah tiada kaitan sejak hubungan cinta berakhir, nama pelakon muda, Zulkifli Ariffin atau lebih mesra disapa Zul akan terus terikat dengan bekas kekasihnya juga pelakon popular, Abby Abadi.

Berilah pelbagai alasan mahupun hakikat kononnya tiada apa lagi yang harus dikaitkan, realitinya, namanya akan terus dikaitkan suka atau tidak.

Terbaru, pelakon kacak ini tiba-tiba menjadi buruan media pada majlis berbuka puasa anjuran Astro Shaw di ibu kota kerana ingin mendapatkan kenyataan dan komennya mengenai sikap bekas kekasihnya yang menimbulkan kontroversi.

Entah apa puncanya, Abby Abadi bagai dikecam banyak pihak sepanjang minggu lalu selepas mengeluarkan pelbagai kenyataan menerusi laman sosial twitter miliknya hingga mengundang banyak reaksi termasuk beberapa selebriti terkenal sendiri.


Abby yang kini berhijrah dengan imej bertudung, terang-terangan mengakui yang dirinya kini sudah menyertai satu parti dan kerana itu juga, pelakon siri Gerak Khas itu bagai menjadikan ruangan twitternya sebagai platform meluahkan rasa tidak puas hati terhadap industri seni dan sesetengah pihak.


Lantas kehadiran Zul yang tiga tahun menjalin hubungan cinta dengan Abby sebelum ini pastinya menjadi perhatian bagi mendengar sendiri komennya pula.

Bagaimanapun, ketika pelakon yang baru saja membintangi filem Penanggal ini ditanya mengenai isu itu, hanya senyuman yang diberikan.

“Jujurnya saya sendiri baru tahu mengenai perkara ini, dia (Abby) dikatakan lantang bersuara menerusi twitter hingga membuatkan banyak pihak memberikan reaksi negatif kepadanya. Ini kerana saya tidak langsung mengikuti twitter atau mana-mana ruangan sosialnya. Malah sejak kami berpisah, saya tidak langsung berhubung dengannya.

“Itulah yang berlaku antara kami sejak tiada apa-apa hubungan. Masing-masing membawa haluan sendiri dan saya pula sibuk dengan jadual kerja yang begitu banyak. Saya memang tidak fikir langsung mengenai perkara itu kerana pada saya, apa yang berlaku adalah ketentuan dan semuanya tinggal sejarah dan pengalaman saja buat saya.

“Namun saya tahu akan penghijrahannya yang kini bertudung dan saya gembira dengan perubahan itu. Alhamdulillah dan syukur kerana dia berubah untuk kebaikan. Tapi mengenai fahaman politik dan segala macam pendapatnya mengenai arah politik itu, saya langsung tidak tahu dan baru sekarang saya sibuk ingin melihatnya sendiri.

“Jika benar apa yang disampaikan kepada saya mengenai status twitternya yang mengundang pelbagai reaksi negatif, saya sendiri ingin melihatnya kerana isu politik atau agama adalah sensitif dan tidak sepatutnya dijadikan bahan secara umum,” katanya yang diberitahu seorang teman mengenai twitter Abby sejurus sebelum tiba pada majlis ini.

Bukan saja statusnya mengenai agama, perjuangannya dalam menegakkan kebenaran, malah pelakon beranak tiga hasil perkahwinan terdahulu bersama Norman Hakim itu turut mempersoalkan sistem pemerintahan dan mempertikaikan nasib anak seni yang sudah berhijrah sepertinya.

Ada pula sesetengah pihak yang menyelar kononnya perubahan drastik Abby itu disebabkan putus cinta dengannya dan tekanan yang ada membuatkan pelakon yang juga bekas anggota kumpulan Elite itu bagai berhijrah kerana terlalu kecewa.

Bagaimanapun ketika ditanya, Zul menafikannya dan menyifatkan apa yang berlaku ketika ini adalah pilihan Abby sendiri.

“Abby berubah sendiri dan tiada kena-mengena dengan saya atau tekanan selepas putus cinta. Dia sudah cukup dewasa dan pandai membuat keputusan sendiri.

Lagipun sejak awal kami mengambil keputusan untuk berpisah, ia secara profesional dan saya terima dengan hati terbuka. Pastinya Abby sendiri terima dengan baik.

“Justeru, jangan pula ada pihak mengaitkan saya lagi dengan isu ini kerana saya sudah tiada apa-apa lagi dengannya,” katanya.

Terlanjur bertemunya yang kini sudah kembali ‘single’ tanpa wanita yang dikaitkan, Zul tidak terlepas daripada persoalan penggantinya.

Mengakui terbuka mengenali ramai teman wanita ketika ini, namun untuk seorang yang intim atau serasi, pelakon bertubuh sasa ini menafikannya.

“Kalau kata ada kekasih baru, memang belum lagi sebab saya memang sibuk sekarang dengan jadual kerja. Selepas berbulan-bulan fokus pada filem Penanggal, saya terus terbabit dalam beberapa penggambaran drama dengan RTM hingga kini. Lantas memang tiada masa untuk bercinta dan memulakan hubungan yang baru.

“Namun sekadar kawan, memang ramai. Ada juga yang rapat dan masih dalam proses mengenali hati budi lagi.

Belum lagi ke tahap bercinta kerana semuanya sekadar teman biasa. Insya-Allah jika ada rezeki, saya akan perkenalkan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: