Resipi Ikut Sunah

4 Aug

SERING kali stesen TV menyiarkan program masakan yang sememangnya menyelerakan. Namun tiada kajian yang bersungguh-sungguh dibuat bagi menunjukkan makanan ini memberikan kebaikan kepada tubuh badan.

Bagaimanapun, kelainan dilakukan menerusi program Resepi Sunnah apabila pengisiannya memaparkan mengenai pemakanan sihat dan resipi istimewa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Program 13 episod terbitan Little Penguin Productions Sdn Bhd dan Penerbit Bersekutu HFaridhine Holdings Sdn Bhd ini mula menemui peminat menerusi stesen TV9 sejak 20 Julai lalu dan disiarkan setiap Jumaat, jam 6.30 petang.

Dihoskan Haizi Rani dan Zuee Zulaikha, program berkonsep santai dan interaktif yang ditaja Fareeda ini memaparkan 26 resipi terdiri daripada beraneka bahan yang menarik.


Menurut Haizi yang juga bekas penyanyi dan pembaca berita Buletin Pagi dan Buletin Tengahari TV3, program ini diterbitkan bertujuan menyedarkan penonton bahawa 90 peratus penyakit berpunca daripada perut.


“Penjagaan perut amat penting dengan cara mengenali setiap makanan yang diambil. Kami juga berkongsi jenis dan bahan masakan yang menjadi sunah Rasulullah seperti Tsarid (bubur daging), susu, kurma, madu, air zam zam, minyak zaitun dan lain-lain lagi.

“Pendedahan kepada penonton juga dibuat mengenai khasiat yang kita peroleh dalam setiap bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan,” katanya pada majlis pelancaran program ini di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Ia turut dihadiri tetamu terhormat iaitu Tan Sri Rafidah Aziz; Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom dan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Television Media Prima, Ahmad Izham Omar.

Dalam program ini, Haizi selaku penerbit Resepi Sunnah menerusi Little Penguin Productions Sdn Bhd, bergandingan dengan chef profesional, Chef Andri Hadi dalam penyediaan bahan masakan.

“Dia yang pakar dalam bidang pemakanan akan berkongsi maklumat mengenai piramid makanan dan saya akan mengaitkannya dengan sunah Rasulullah. Kami juga berkongsi maklumat mengenai adab sunah dalam penyediaan makanan.

“Zuee Zulaikha pula akan menemu bual Ustaz Sharhan Shafie dan juga Tuan Haji Adam bagi mengulas menu yang disediakan setiap minggu mengikut perspektif Islam.

“Saya mengakui sejak bergelar hos Resepi Sunnah, banyak fakta mengenai pemakanan sihat yang saya peroleh. Ia dapat menambah pengalaman baru dalam karier saya,” katanya mengenai program arahan Rina Khan ini.

Beralih kepada perkembangan terbarunya, Haizi, 33, yang sudah lapan tahun mengendalikan kedai dobi, berehat panjang daripada bidang seni kerana menumpukan perhatian terhadap rumah tangga dan mahu memiliki anak.

Selepas anak sulungnya, Luth Iskandar Ahmad Fazlan sudah mencecah usia setahun lebih, dia berhasrat kembali aktif baik dalam pengacaraan mahupun nyanyian.

“Saya nak meneroka lebih jauh lagi dalam pengacaraan dan bercadang buat program travelog selepas ini. Ia kini masih dalam perbincangan lanjut. Selain itu, saya juga ditawarkan berlakon dalam sebuah drama.

“Watak yang diberikan itu pula agak bersesuaian dan saya teringin nak mencuba.

Saya turut bercadang kembali menyanyi kerana sangat merindui bidang nyanyian.

Walaupun dah beralih ke cabang kerjaya lain, saya tetap nak rasa pegang mikrofon.

“Banyak perkara yang saya inginkan dah tercapai dalam hidup saya. Apatah lagi suami tak menghalang bahkan turut memberi kebenaran. Kini, saya dalam perancangan menghasilkan single terbaru buat peminat.

“Saya sudah bertemu Edry Abdul Halim dan Adi Sixth Sense untuk mendapatkan lagu mereka. Mungkin ada setengah pihak tak kenal saya kerana hampir 10 tahun tak hasilkan album. Tapi saya jenis tak ambil peduli dengan apa juga pandangan orang.

“Saya sentiasa fikir positif kerana yakin kepada rezeki. Apa yang saya nak buat, pasti saya akan lakukan,” katanya yang pernah muncul menerusi album Puteri Sinaran bersama Ambang Klasik dan album Terus Melangkah bersama NAR Records pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: