Komen Perihal Botoks, Kecantikan

4 Aug

Kate Beckinsale

Kate Beckinsale

KEJELITAAN dan limpahan populariti sudah lama menjadi milik Kate Beckinsale.
Tergolong dalam kelompok antara wanita tercantik ketika ini, Beckinsale, 39, nyata dikurniakan keanggunan semula jadi dalam suatu pakej lengkap bersama bakat lakonan yang semakin menggugat.

Sebelum ini, beberapa majalah terkenal seperti Esquire dan People beberapa kali menyenaraikan Beckinsale sebagai antara wanita tercantik dan paling seksi di dunia.

Lantaran peluang penulis bertemu sendiri dengan Beckinsale dalam rangka promosi filem Total Recall di pantai peranginan terkemuka, Cancun, di Mexico, April lalu digunakan untuk melontarkan soalan bukan saja mengenai kecantikan beliau, malah juga pengalaman membintangi Total Recall arahan suaminya sendiri, Len Wiseman.

Menariknya, walaupun dia sering dianggap jelita, penulis cuba bertanya Beckinsale siapa pula selebriti wanita terkenal yang dirasakan paling menawan.

“Secara peribadi saya rasakan Natalie Portman selebriti wanita yang cukup jelita. Saya juga suka lihat wajah Adele kerana bagi saya, Adele sangat cantik selain mempunyai suara yang hebat. Selain itu, Kate Boswoth juga ada wajah yang unik,” katanya yang bercakap dalam loghat British yang pekat.

Bagaimanakah pula Becksinsale menjaga kesihatan dan kecantikan dirinya?

“Saya suka yoga kerana ia memberikan kelegaan kepada fizikal dan minda saya.
Ia membawa saya ke satu ruang ketenangan selepas penat bekerja tapi kita perlu mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mencapai kemahiran beryoga. Saya juga aktiviti seperti memanjat bukit, namun memang susah kalau hendak mengajak suami saya, Len, berjalan kaki di luar rumah. Dia memang tidak suka.

“Dari segi pemakanan, saya minum banyak air, kurang mengambil alkohol dan menjauhi sebarang dadah. Saya bukan seorang vegetarian tapi saya tetap berhati-hati dengan pemakanan dan tidak mengambil terlalu banyak daging,” jelasnya yang suka membaca novel dan membeli-belah terutama barangan berupa hadiah untuk rakan-rakan.

Menjawab soalan yang lebih sensasi, Beckinsale berkata, dia sedih apabila semakin ramai manusia hari ini tidak kira lelaki mahupun wanita bergantung kepada suntikan botoks serta pembedahan kosmetik untuk kekal cantik.

“Bagi saya, itu hak peribadi masing-masing. Saya bukan hendak mengecam sesiapa, namun fenomena ini menyedihkan kerana manusia seharusnya mengikuti proses kehidupan ini secara semula jadi – daripada tahap kita kanak-kanak, baligh, hamil (bagi wanita) dan seterusnya menjadi tua.

“Hari ini pula kita ada internet, facebook dan twitter, jadi ia membolehkan orang lain bercakap atau mengkritik apa saja mengenai wajah orang lain kalau mereka lihat sesuatu yang tidak kena dengan wajah itu. Jadi ia menambahkan lagi kesan tidak baik daripada perbuatan ini (suntikan botoks).

“Saya tidak tahu apa akan terjadi pada masa depan, namun buat masa sekarang sangat bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada saya dan berharap dapat jadi seperti ibu saya sendiri yang tidak pernah melakukan apa-apa perubahan pada wajahnya,” kata Beckinsale yang menganggap kecantikan itu perkara subjektif.

Usah bandingkan dengan Sharon Stone

MENGULAS mengenai Total Recall yang menggandingkannya dengan Colin Farrell dan Jessica Biel, Beckinsale akui cukup berbangga kerana suaminya, Len Wiseman, sudi memberikan watak antagonis kepadanya buat julung kali.

“Saya tidak pernah campur urusan kerja Len kerana dia lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap filemnya. Apabila melihat dia sibuk bergelumang dengan tugasnya untuk sesebuah filem, saya sekadar memerhati dan tidak suka mengganggunya.

“Namun saya sangat terharu apabila satu hari, Len memberitahu saya dia mahu saya melakonkan satu watak yang berbeza dalam Total Recall. Saya terus jadi teruja kerana inilah kali pertama saya diberikan watak hitam atau antagonis.

“Untuk menjayakan peranan itu, saya membuat persiapan selama empat bulan kerana filem ini banyak babak aksi dan pertarungan. Walaupun saya kerap melakonkan watak ganas dan lasak, di luar filem inilah diri saya yang sebenarnya.

“Bagi saya Colin seorang aktor yang sangat hebat, bijak dan sentiasa fokus dengan kerjayanya. Saya puas dengan gandingan kami dalam Total Recall,” katanya yang menganggap Alien (lakonan Sigourney Weaver) adalah filem sci-fi klasik paling hebat.

“Saya rasa walaupun Alien tidak terlalu grafik, filem itu tetap menakutkan dan dihasilkan dengan cara yang bijak,” jelasnya.

Beckinsale atau nama sebenarnya, Kathrin Romary Beckinsale dilahirkan di Finsbury Park, London pada 26 Julai 1973. Awalnya dia muncul pada 1991 dalam beberapa produksi TV di Britain, namun titik tolak dunia perfilemannya bermula pada 1993 apabila membintangi filem Much Ado About Nothing arahan Kenneth Branagh. Ketika itu, Beckinsale masih lagi menjadi mahasiswi di Oxford University.

Seterusnya dia terus menimba pengalaman dalam dalam beberapa drama British termasuk Prince of Jutland, Cold Comfort Farm, Emma dan The Golden Bowl yang mendapat pujian pengkritik di sana.

Kemudian Beckinsale berhijrah ke Amerika Syarikat pada penghujung 1990-an dan pada mulanya mendapat peluang berlakon dalam drama The Last Days of Disco and Brokedown Palace.

Dari situ, bintangnya kian bersinar terang. Dia akhirnya mendapat tawaran besar untuk berlakon dalam filem perang dan epik cinta terkenal, Pearl Harbor pada 2001 selain karya komedi romantik, Serendipity. Tidak terhenti di situ, Beckinsale tampil pula dalam filem The Aviator dan Click.

Populariti Beckinsale terus menjulang apabila membintangi banyak lagi filem pecah panggung terutamanya Underworld pada 2003, Van Helsing (2004), Underworld: Evolution (2006), Whiteout (2009), Contraband (2012) dan Underworld: Awakening (2012).

Nyata bakat lakonan satu warisan apabila aktres ini menyambung bakat lakonan ayah dan ibunya, Richard Beckinsale dan Judy Loe. Sebelum berkahwin dengan Len pada 2004, Beckinsale pernah menjalinkan hubungan selama lapan tahun dengan aktor terkenal, Michael Sheen bermula 1995 dan mereka mempunyai seorang anak perempuan.

Demi membina empayar lakonan yang lebih kukuh, Beckinsale dan Len kini menetap di Brentwood, Los Angeles. Selain berlakon, wajah menawan Beckinsale juga dipinjam menghiasi iklan komersial seperti Gap, Diet Coke dan Lux.

Mengulas pula mengenai versi lama Total Recall yang dulu dilakonkan Sharon Stone, pelakon ramah ini berkata, memang ada perbezaan dari segi lakonan dan terjemahan wataknya sebagai Lori, isteri Douglas Quaid lakonan Colin Farrell yang berpaling tadah.

“Tentunya antara saya dan Sharon berbeza. Walaupun Total Recall pernah dihasilkan sebelum ini, saya tidak pernah berasa tertekan untuk berlakon kerana ia bukan sesuatu yang asing bagi industri perfileman.

“Ini disebabkan ketika saya membesar di London sehingga umur 20 tahun, saya pernah melihat lebih kurang sembilan versi kisah Hamlet dan lima versi Cinderella dihasilkan. Jadi saya tidak rasa tertekan apabila membintangi filem ini dan melakonkan watak yang pernah dipegang aktres lain sebelum saya,” katanya yang tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pembaca Harian Metro yang menyokong Total Recall.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: