Keroncong Tetap Hidup

4 Aug

RAMAI mengenali muzik jazz, tetapi tidak tahu bagaimana uniknya apabila penyanyi genre itu mengalunkan irama keroncong pula. Bagi ‘orang lama’, Datin Paduka Julie Sudiro, menyanyikan lagu keroncong ibarat warna tidak pernah pudar dalam diri.

Buat anak kelahiran Segamat, Johor ini, penghormatan diterima menyanyikan lagu keroncong di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada jam 8.30 malam pada 31 Ogos depan membuatkan dirinya terharu.

Persembahan bertema Keroncong Merdeka itu bakal menyaksikan duet beliau bersama seorang lagi penyanyi, Datuk Yusni Hamid yang menjadi penyanyi kesukaan kerabat diraja Pahang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Keroncong memberi banyak pengalaman kepada saya. Ramai peminat mengalirkan air mata mendengar keroncong kerana alunan lembut yang begitu mengusik jiwa.


“Saya menantikan prospek menjayakan persembahan bersama kali pertama di DFP bersama Yusni dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia dibimbing konduktor muda berbakat besar, Ahmad Muriz Che Rose.


“Apapun, saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai seorang diva dan minat untuk menyanyi tetap sama dari dulu hingga sekarang,” katanya dalam satu temu ramah di Traders Hotel, KLCC, baru-baru ini.

Lebih menarik, beliau sempat menyanyikan beberapa baris rangkap lirik lagu keroncong Sapu Tangan sambil tangan kanannya meliuk-liuk sewaktu diajukan soalan apakah definisi keroncong itu. Keroncong Sapu Tangan dinyanyikan, kata beliau adalah sebuah lagu memiliki lirik menarik dan memberi kelembutan kepada jiwa.

Julie atau nama sebenar, Radin Juariah Radin Sudiro, adalah penyanyi berdarah Jawa, menyanyi sejak zaman sekolah. Malah, Julie muncul penyanyi kanak-kanak bersama kumpulan opera bapanya pada usia 5 tahun.

Bakat dan populariti muzik sebagai penyanyi keroncong beliau mula mendapat tumpuan sewaktu menjayakan persembahan bersama Keroncong Orkestra Irama Baru dan muncul artis pertama ke udara secara langsung dalam Radio Malaya Singapura.

Pada 1964 ketika berumur 19, beliau menyanyi untuk stesen radio, televisyen dan kelab malam popular di sekitar Kuala Lumpur.

Sebagai rekod, status penyanyi jazz membawa beliau menjelajah ke Hong Kong, Australia, Amerika Selatan, Eropah dan sekitar Asia Tenggara. Dua persembahan jazz paling diingati sewaktu menyanyi pada North Sea Jazz Festival di Rotterdam, Belanda dan Cultural Festivals di De Hague.

Persembahan besar terakhir beliau sebelum ini adalah pada Keroncong

Gala Concert di The Esplanade, Singapura.

Sekalipun masih tidak lagi aktif menyanyi sejak 1999, Julie masih mendapat jemputan membuat persembahan. Buat masa ini, beliau mengisi masa lapang mengajar al-Quran. Selain itu, beliau melakukan kerja amal menerusi jawatan dipegang sebagai Setiausaha Agung badan bukan kerajaan, Karyawan yang memperjuangkan kebajikan artis.

“Mendapat penghormatan berada di MPO diiringi orkestra menandakan keroncong masih mempunyai ramai peminat, cuma jarang dipersembahkan sekarang dan tidak ramai penyanyi membawakan lagu keroncong.

“Berada di venue besar membawa keroncong adalah peluang bagus memperkenalkan muzik ini kepada orang luar. Bahkan, semangat patriotik pasti berkobar-kobar apabila banyak lagu dibawakan bertema Merdeka seperti Sayang Di Sayang, Selamat Tinggal Bungaku, Kenang Daku Dalam Doamu, Uda & Dara, Kucupan Azimat dan Putera Puteri.

Julie berkata, idola beliau adalah penyanyi keroncong Indonesia, Ribut Rawit dan M Yusuf yang popular dengan lagu Mawarku.

“Bagi generasi baru yang berminat belajar keroncong, saya alu-alukan. Apabila sudah mendapat keseronokan dan ‘feel’ keroncong, saya yakin ada daripada kalangan mereka mampu menyanyi dengan baik seperti dibuktikan remaja 17 tahun, Jamilah Abu Bakar yang mendapat bimbingan vokal bagus daripada pakar keroncong seperti Abdul Rahim Anuar, Wawang Wijaya, Abdullah Safri dan Mahzan Manan. Dia akan menyanyi dan berduet bersama saya dan Yusni di DFP, ” kata Julie dalam nada ceria.

Datuk Ramli MS yang turut berada bersama beliau sewaktu temu ramah berkata:

“Nota keroncong bukan mudah dimainkan kerana berbeza dengan notasi muzik klasikal Barat. Posisi ‘key’ berlainan ini menjadi satu cabaran kepada pemuzik mengalunkan muzik keroncong.”

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: