Kawal Nafsu Ketika Beli Juadah

4 Aug

KEMERIAHAN bazar Ramadan pastinya dinantikan semua umat Islam yang berpuasa, di sinilah pelbagai jenis makanan, kuih-muih dan minuman yang jarang sekali ditemui dapat dibeli.

Pastinya warna-warni yang terdapat pada setiap gerai di bazar berkenaan boleh menggugat hati seseorang dan jika tidak dikawal ia boleh melekakan kita sehingga tersasar membeli makanan yang tidak sepatutnya.

Meskipun harus bersesak dengan ramai orang, keinginan untuk mendapatkan makanan kegemaran tetap diteruskan dengan singgah dari satu gerai ke gerai yang lain.

Situasi itu juga turut dirasai empat pelakon MIG – Fyza Kader, Siti Adibah Yunus, Zalif Sidek dan Kamal Faridz apabila dibawa berjalan-jalan membeli makanan di bazar Taman Medan, Petaling Jaya, di sini, baru-baru ini.


Walaupun masing-masing kelihatan ghairah melihat menu yang dijual, mereka masih mampu mengawal perasaan dan nafsu untuk membeli makanan yang tidak perlu terus diabaikan.


Gadis tinggi lampai, Fyza berkata, berjalan ke bazar Ramadan bukanlah peluang untuknya membazir membeli makanan yang tidak perlu sebaliknya dia lebih selesa berbuka dengan makanan yang ringan seperti kuih-muih.

“Biasanya apabila berjalan ke bazar, saya suka melihat jenis kuih yang dijual kerana saya seorang yang suka berbuka dengan kuih-muih, selain itu ayam percik adalah menu wajib yang perlu ada di atas meja.

“Saya jarang sekali makan nasi pada waktu berbuka dan biasanya saya akan jamah nasi pada jam 9 atau 10 malam, itu pun jika lapar, kalau tidak saya lebih suka makan roti canai, roti nan dan spagheti.

“Walaupun banyak jenis air dijual di bazar, saya lebih memilih air buah seperti nanas dan tembikai. Bazar yang sering menjadi pilihan saya ialah di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Damansara yang selain dekat dengan tempat tinggal, di situ tersedia pelbagai jenis makanan yang saya inginkan,” katanya.

Selain sibuk dengan aktiviti pada bulan Ramadan Fyza juga sedang berdebar menanti filem lakonannya, Seram Sejuk yang bakal ditayangkan Aidilfitri ini.

Bagi jejaka berbadan sasa, Kamal disebabkan tinggal bersama keluarga dia lebih selesa makan apa yang dimasak ibunya.

Namun begitu, berjalan-jalan di bazar adalah aktiviti wajib setiap kali tibanya Ramadan kerana selain dapat melihat ragam manusia, dia juga dapat membeli makanan yang jarang dijual pada hari biasa seperti murtabak, ayam percik dan nasi kerabu.

“Mungkin makanan ini sudah popular tetapi jarang kita temui pada hari biasa dan sepanjang Ramadan inilah peluang untuk saya menikmati sepuas-puasnya, apatah lagi makanan berkenaan mudah diperoleh di mana-mana saja bazar Ramadan yang ada.

“Bazar kegemaran saya ialah di Seksyen 13 dan TTDI Jaya, Shah Alam. Selain dapat membeli makanan kegemaran, kadang kala saya membantu rakan menjual kuih tepung pelita.

“Jika tidak ke bazar dan ibu tidak masak, saya akan masak sendiri dan masakan kegemaran saya ialah ayam masak merah dan daging kicap,” kata pelakon Cinta Buat Emelda ini.

Sementara itu, Siti Adibah Mohd Yunus berkata, berjauhan dengan keluarga yang berada di Negeri Sembilan ada ketika membuatnya leka membeli di bazar jika pergi tanpa ditemani.

“Saya seorang yang sangat gila dengan kuih-muih dan peluang berjalan di bazar Ramadan selalunya saya gunakan untuk melihat jenis dan bentuk kuih yang jarang-jarang saya jumpa pada hari biasa.

“Seperti kuih dari negeri Kelantan macam-macam jenis dapat kita lihat dengan warna yang pelbagai pastinya memikat dan kerana itulah saya pernah membeli kuih sehingga RM30 disebabkan terlalu geram dengan bentuknya yang menarik.

“Disebabkan sikap itu saya kurang ke bazar Ramadan dan lebih memilih memasak sendiri di rumah dan kegemaran saya adalah ayam merah. Bagi juadah lain, laksa dan putu piring menu wajib setiap kali berbuka,” kata pelakon drama Takdir Qismah ini yang kini sedang hangat ditayangkan di slot Azalea di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: