Artis Turut Berbakti

4 Aug

PROGRAM berbentuk aktiviti sosial, Titipan Kasih Harian Metro berlangsung saban tahun setiap kali tibanya Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. Golongan sasaran yang dibantu adalah orang kelainan upaya (OKU), keluarga miskin, ibu tunggal dan anak yatim di lokasi yang dikenal pasti.

Titipan Kasih anjuran akhbar nombor satu negara yang mendapat kerjasama ramai penaja ini sudah memasuki tahun kelima. Sebagai pembuka tirai, program ini memilih mengadakannya di Masjid As Saadah, Kampung Bahagia, Teluk Intan yang berlangsung pada 28 Julai lalu dan turut disertai Rahmat Ekamatra dan pengamal perubatan Islam, Ustaz Sharhan Shafie.

Pada program ini, 100 anak yatim dibawa membeli pakaian raya serta menerima pelbagai sumbangan lain. Seramai 40 ibu tunggal dan 20 keluarga miskin juga menerima pelbagai bantuan termasuk wang tunai RM100 setiap seorang dan diraikan pada majlis berbuka puasa di Masjid As Saadah.

Semua mereka menerima sumbangan daripada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad.


Hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail; Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat dan Ketua Kampung Bahagia, Tajol Hasnan.


Majlis turut diimarahkan lebih 200 penduduk kampung termasuk ahli jawatankuasa masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang memberikan sokongan padu terhadap program yang julung kali diadakan di kampung mereka.

Program yang berlangsung sehari suntuk itu dimulakan dengan majlis penyembelihan lembu yang dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung dan sukarelawan Harian Metro untuk dijadikan hidangan majlis berbuka puasa.

Aktiviti bermanfaat lain turut diadakan iaitu pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, gubahan bunga dan bengkel solekan.

Rahmat yang berimej baru dibawakan khas bertemu peminat menerusi sesi sumbangan ‘goodie bag’ berisi akhbar Harian Metro dan kurma untuk pengunjung pasar Ramadan. Ustaz Sharhan pula membuka pusat rawatan perubatan Islam mini yang diadakan secara percuma yang menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk di situ.

Melihat wajah kegembiraan dan kesyukuran penerima sumbangan, jelas menjadi satu pengalaman yang menginsafkan buat Rahmat dan Ustaz Sharhan Shafie yang mengikuti program ini.

Menurut Rahmat, ajakan Harian Metro untuknya terbabit dalam Titipan Kasih sememangnya ditunggu-tunggu kerana inilah peluang untuk bertemu peminat.

Tambahan lagi, dia kini sedang mempromosi album keduanya berjudul Semarak Cinta Rasulullah 2.

“Saya memang nak promosikan album ini secara meluas kepada peminat kerana nak mengajak mereka supaya mencintai Rasulullah. Alhamdulillah peluang ini hadir apabila diajak ke sini untuk bersama-sama dalam Titipan Kasih. Ternyata peminat juga tak kekok mendekati saya dan bertanyakan perkembangan terkini.

“Pada masa sama, saya terharu melihat golongan yang kurang bernasib baik ini gembira apabila menerima sumbangan. Ia suatu usaha baik dilakukan Harian Metro.

Saya berharap program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Ustaz Sharhan yang dikenali menerusi program Tanyalah Ustaz di TV9 dan Al Kuliyyah di TV3 pula berkata, dia berbangga apabila diajak terbabit dalam Titipan Kasih. Apatah lagi, ia dianjurkan akhbar berpengaruh seperti Harian Metro.

“Ini peluang untuk saya bertemu masyarakat kampung dan menjalinkan mahabbah dengan mereka menerusi bantuan kepada yang memerlukan. Ada sesetengah penyakit tak dapat dikesan doktor secara saintifik, namun memang ada pada tubuh badan seseorang itu dan boleh diubati dengan menggunakan kelebihan yang ada dalam al-Quran.

“Apabila bersama Titipan Kasih, masyarakat kampung yang sering nampak saya dalam TV boleh mendekati saya dan dapat bertanya pelbagai persoalan. Di sini, mereka juga boleh mendapatkan ayat yang sering saya berikan setiap kali tampil di kaca TV. Titipan Kasih sememangnya buat mereka yang perlukan bantuan dan saya dapat lihat ada yang menangis apabila menerima sumbangan.

“Saya memahami mereka terharu kerana ada yang prihatin dan inilah yang saya lakukan apabila buat rawatan secara percuma. Ia adalah satu amalan yang sering saya buat kerana tahu kebanyakan mereka yang hadir adalah golongan susah.

Kerana Titipan Kasih, saya sanggup lupakan projek lain yang mendatangkan wang kerana yang penting ialah sumbangan kepada masyarakat.

“Saya sanggup turun padang bantu orang susah kerana ia pelaburan akhirat.

Dalam konsep ini, saya berpegang kepada hadis nabi yang bermaksud: “Barang siapa yang meleraikan masalah seseorang, Tuhan akan menyelesaikan masalahnya di akhirat dengan jayanya.” Alhamdulillah dengan izin Allah, ramai yang mendapatkan rawatan dengan saya semakin beransur pulih.

“Berubat dengan al-Quran banyak mukjizatnya. Saya juga lihat rawatan begini

sesuai dibuat di masjid kerana fungsi masjid meluas sebagai tempat untuk bersolat, akad nikah, berniaga, bermesyuarat dan melakukan aktiviti kemasyarakatan. Ia satu lokasi yang tepat untuk satukan semua,” katanya yang merawat pesakit di pusat rawatannya di no 69B, USJ 21/ 11, Subang Jaya pada setiap Sabtu.

Hari ini, Ustaz Sharhan akan berada di Masjid Muhibuddin, Kampung Sungai Pasir, Sungai Petani untuk melakukan rawatan perubatan Islam dalam Titipan Kasih yang berlangsung dari tengah hari sehingga malam.

Turut serta, Ustaz Radzi bekas penyanyi kumpulan Melissa yang akan menyampaikan tazkirah dan menyanyikan lagu berkonsep dakwah. Destinasi Titipan Kasih seterusnya adalah Tanjung Karang, Selangor dan Kesang, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: