‘Saya Pernah Lalai’

3 Aug

HIDAYAH Yang Maha Esa nyata tidak mengenal usia. Sampai waktu, apabila seorang manusia itu dipilih, maka perubahan berlaku ke atas dirinya yang mendorong untuk lebih melakukan kebaikan dan mendekatkan diri pada agama. Itulah yang kini dilalui bekas bintang Akademi Fantasia 2 (AF2), Adam, 28.

Pemuda kelahiran Sabah yang masih aktif menyanyi itu menjelaskan dia berubah kerana sedar mempelajari agama adalah satu kewajipan pada dirinya sebagai seorang Islam. Apatah lagi, ujar Adam tanpa berselindung bahawa dia pernah lalai sebelum ini dan syukur diberi peluang oleh Allah untuk kembali ke pangkal jalan.

Pun begitu, perubahan positif penyanyi lagu Joget Lambak itu nampaknya mencetuskan berita sensasi buat dirinya apabila dikaitkan menyertai parti pembangkang. Namun, bersua Adam di Harian Metro, baru-baru ini akhirnya merungkaikan kebenaran yang perubahannya nyata sekali tiada kaitan dengan mana-mana parti politik.

“Jujur saya katakan perubahan diri ini adalah berasaskan kesedaran pada kesilapan lalu dan hidayah Allah. Malah, saya memang sama sekali tiada niat untuk menyertai parti politik apa lagi pembangkang. Saya berubah atas sebab ingin menjadi muslimin sejati yang berusaha memperbaiki diri mencari keredaan Allah.


“Saya masih baru dalam perubahan ini dan banyak yang perlu dipelajari lagi mengenai agama. Bahkan, setakat ini saya pun belum lagi berasakan diri sudah sampai ke tahap ‘hijrah’. Pada saya, perkataan hijrah itu memiliki maksud yang cukup mendalam dan harus difahami dengan teliti untuk benar-benar dipraktikkan.


“Apapun, saya akui kini diri masih lagi pada proses bermuhasabah diri terutama dalam memperbaiki solat. Oleh itu, memang benar pun saya kini giat mempelajari ilmu agama dengan seorang ustaz muda yang berasal dari Kedah. Saya mengenali ustaz ini ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci tahun lalu.

“Tak dinafikan, dulu solat saya kurang. Sekejap buat dan sebaliknya. Namun, saya sering berdoa supaya Allah berikanlah kekuatan dan hidayah untuk terus melakukannya. Jadi, semuanya bermula daripada doa itu. Saya sangat menginginkan kesedaran untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik,” katanya.

Menurut Adam, dia sangat bersyukur kerana doanya untuk berubah menjadi kenyataan dengan pemergian ke Tanah Suci bersama sahabat baiknya, Ashraf Muslim tahun lalu. Malah, katanya pertemuan secara kebetulan dengan ‘ustaz’ yang dirahsiakan identitinya di hadapan Kaabah itu diakui amat bermakna.

“Pun begitu, kesedaran saya pada agama bermula pada 2009 dan benar-benar serius mendalaminya sekitar Jun tahun lalu. Oleh itu, tiada apa yang mampu diluahkan selain rasa kesyukuran tidak terhingga ke hadrat Ilahi apabila doa saya yang saya titipkan untuk kembali ke pangkal jalan itu akhirnya dimakbulkan.

“Malah, biarpun dirinya sudah berubah ke satu fasa yang menjurus ke arah penyucian rohani dan akhirat, namun ia tidak pernah menggugat perjalanan karier seni diceburi Adam selama ini. Katanya, dia tetap aktif dalam nyanyian kerana itulah sumber pendapatan dan rezekinya. Bahkan, rujukan juga sudah dibuat.

“Daripada penerangan diperoleh, tiada masalah untuk saya teruskan karier nyanyian ini selagi bersandar pada niat yang betul dan tidak terlalu melebihkan hiburan. Lagipun, mungkin rezeki Allah sekarang ini pada saya adalah menerusi nyanyian dan lakonan. Jadi, seharusnya saya perlu bersyukur,” katanya.

Menyentuh soal dia yang kini mula berjinak-jinak dengan ilmu perubatan Islam, Adam tidak menafikannya. Menurut pemuda yang masih solo ini, ilmu Allah itu besar dan apa yang dipelajarinya adalah sebahagian saja. Apapun, ujarnya dia memang mempunyai minat untuk mempelajari ilmu perubatan Islam.

Terdahulu, Adam atau nama sebenar, Mohd Aizam Mat Saman muncul di Harian Metro untuk menjelaskan spekulasi itu mungkin timbul selepas gambarnya yang memakai jubah dan berkopiah tersebar di laman sosial. Katanya, gambar itu diambil ketika dia mengikuti tazkirah di masjid kampungnya di Sabah.

Ujarnya, ada seseorang datang kepadanya dan memaklumkan keinginan untuk bergambar. Sebagai orang dikenali dalam masyarakat, dia tidak menolak dan menerimanya. Pun begitu, tidak disangka apabila gambar terbabit tiba-tiba tersebar di internet dan dirinya terus dikaitkan dengan pembabitan politik.

Apapun, Adam berkata dia menerima segala ujian itu dengan hati yang reda kerana sedar ia adalah dugaan Allah padanya. Katanya, dia menganggap semua yang berlaku ini adalah ujian Allah untuk menguji sejauh mana keimanannya. Namun, yang pasti akuinya dia sentiasa memohon keampunan Ilahi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: