Perlumbaan Mak Cik

3 Aug

JANGAN sekali-kali memandang rendah kepada golongan mak cik. Mereka bukan setakat mak cik kerana siapa saja yang lebih berkuasa di kejiranan anda kalau bukan mereka. Apa saja yang berlaku pastinya bakal diketahui dan dicungkil mereka yang gemar mencari bahan cerita.

Kemahiran mereka bukan saja sebagai ‘pencanang’ berita malah pandai dalam soal tawar menawar barang, menjahit, memasak, menggiling, apatah lagi dalam membezakan mana satu serbuk jintan dan mana satu serbuk ketumbar kalau tidak dilabelkan.

Segala kemahiran ini mereka pelajari sendiri melalui pengalaman di rumah, semasa berkebun atau ketika membilas baju sehingga ada yang memandang remeh kebolehan mereka. Walhal, mereka memang boleh dianggap sebagai adiwira sama ada ketika berperanan sebagai ibu ataupun isteri.

Bagi memberi penghargaan kepada golongan mak cik ini, ntv7 bakal menyiarkan ranca–ngan realiti permainan istimewa buat mereka yang dinamakan Aunty Must Go Crazy untuk mencabar mak cik di seluruh negara melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan mereka. Rancangan realiti permainan ini bakal bersiaran setiap Ahad, jam 7 malam bermula 5 Ogos ini.


Pengurus Kumpulan Pengurusan Penjenamaan ntv7, Lai Cheah Yee berkata, rancangan yang ke udara selama sejam bagi setiap episod ini ditaja jenama bahan pencuci terkenal, Kuat Harimau.


“Pemilihan maskot harimau dalam setiap bungkusan secara tidak langsung melambangkan kekuatan dan kehebatan yang cuba ditampilkan dalam rancangan ini di mana mak cik yang menyertainya mempamerkan bakat dan kegigihan mereka yang sentiasa membuat kita kagum terhadap mereka.

“Aunty Must Go Crazy bakal menampilkan dua pengacara, Eean Koo dan Lu Ser Yee yang bakal bersama golongan ibu ini menempuh cabaran yang disediakan. Eean yang juga pengarah siri permainan ini akan cuba mengacara buat kali pertama,” katanya.

Tambah Cheah Yee, dalam Amazing Race versi kampung ini, dua mak cik dari bandar atau kampung terpilih akan bersaing sesama sendiri dalam setiap set pusingan.

Dua pengacaranya juga akan digandingkan bersama mak cik ini dalam setiap halangan yang diberikan. Setiap pasukan akan diberikan arahan untuk menyiapkan tugasan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Antara cabaran yang bakal diberikan adalah mencari lokasi jenis makanan terkenal atau barangan pilihan, mencari tawaran terhebat keperluan rumah yang bukan saja murah, malah berkualiti, menjadi pemandu pelancong ke lokasi terkenal serta banyak lagi. Semua tugasan ini akan me–nguji betapa peserta mengenali daerah atau lokasi yang mereka sudah lama diami.

Hanya seorang pemenang yang layak untuk ke pusingan kedua bersama pemenang daripada episod lain sehingga hanya tiga mak cik saja bakal merebut gelaran juara pada episod akhir rancangan ini. Bagi mereka yang gagal di pusingan kedua, mereka bakal diberikan peluang dalam sesi pemilihan ‘wildcard’ di mana hanya seorang saja peserta yang bakal dipilih ke pusingan akhir. Empat finalis ini kemudiannya bakal berhadapan dengan pusingan paling mencabar dan hanya seorang yang bakal memenangi rancangan Aunty Must Go Crazy.

Penonton bakal melihat beberapa kawasan kebudayaan serta tempat menarik di negara ini termasuklah di Muar, Raub, Nibong Tebal, Sitiawan, Port Dickson, Sungai Udang, dan banyak lagi.

“ntv7 amat teruja untuk menyiarkan rancangan realiti permainan buat mak cik dari seluruh Malaysia. Jangan sesekali memandang rendah akan kekuatan dan kebijaksanaan mak cik ini kerana mereka lebih kuat dan tahan cabaran daripada apa yang kita sangkakan. Amat menakjubkan melihat dari mana datangnya kekuatan mereka ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: