Luqman Jayakan Misi Palestin

3 Aug

SETIAP wartawan penyiaran ataupun penyampai TV pastinya punya impian untuk memberikan sesuatu liputan yang bermakna dan meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat. Bahkan kredibiliti mereka juga teruji menerusi cabaran yang diserahkan.

Situasi ini turut dirasai pengacara kacak, Luqman Hakim Abd Malik, 30, yang mengendalikan program Nasi Lemak Kopi O (NLKO) bersama AG dan Fizo Omar di TV9 pada setiap Jumaat hingga Ahad.

Biarpun baru setahun bersama TV9, bekas pelajar jurusan Ijazah Komunikasi & Pengajian Media (Pengiklanan) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang turut bertindak sebagai penerbit NLKO ini, diberikan tugasan mencabar ke Gaza, Palestin untuk meninjau kehidupan penduduk di sana.

Luqman akan berada di Gaza selama seminggu dan pemergiannya ke sana dijadualkan pada Isnin (6 Ogos) hingga Isnin berikutnya (13 Ogos). Paparan pengalamannya di sana akan dimuatkan dalam program Ketupat Rendang Kopi O (KRKO) yang diterbitkan khas bermula sehari sebelum hari raya sehingga hari raya ketiga.


“Ini musim kedua saya bersama NLKO. Tahun lepas saya kena bertugas ketika hari raya pertama, kedua dan keenam. Saya tak kisah kerana begitu seronok mencari pengalaman kerja. Ketika itu saya masih belajar dalam pengacaraan.


Alhamdulillah sekarang sudah banyak perubahan yang berlaku terutamanya untuk susun ayat ketika berinteraksi secara langsung.

“Saya juga sudah boleh berfikir terlebih dulu sebelum bercakap untuk memulakan perbualan dengan tetamu jemputan. Ini perlu agar penonton akan terus tertarik menonton program ini. Untuk hari raya tahun ini, KRKO akan tampil dengan pelbagai kandungan menarik antaranya persiapan penduduk Gaza menyambut ketibaan Aidilfitri.

“Saya dan jurukamera akan bersama rombongan Yayasan Perdana Global Peace (Perdana Global Peace Foundation) yang akan membawa bantuan kepada masyarakat di sana terutamanya bekalan air bersih. Ini satu pengalaman baru kerana saya belum pernah menjejak kaki ke Palestin.

“Diberi kesempatan menjejak kaki ke bumi Palestin adalah satu peluang yang tak pernah saya duga. Terkejut dibuatnya apabila Penerbit Eksekutif NLKO, Wan Sabariah Sheikh Ali memilih saya untuk tugasan ini. Pemilihan dibuat secara rambang dan saya menghormatinya,” katanya ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran Kita Punya Raya Hot FM dan TV9 di Restoran Saloma, Selasa lalu.

Tidak mahu membuang masa, Luqman segera membuat rujukan mengenai kehidupan penduduk di Gaza. Turut dilakukan persediaan dari aspek teknikal agar dia dapat merakamkan pelbagai kandungan menarik di sana buat tatapan peminat.

“Saya sudah dapatkan sedikit sebanyak fakta terkini dari sana. Cabarannya, selain merakam keadaan di sana untuk KRKO, saya juga akan buat lintas langsung misi bantuan untuk Buletin Utama dan buat laporan khas untuk dimuatkan dalam Malaysia Hari Ini (MHI).

“Jika ikutkan perancangan asal, saya akan ke sana lebih awal dan hanya ada masa tiga hari di sana. Bagaimanapun perancangan ini diubah menjadikan saya sekarang ada masa lima hari untuk buat tugasan. Dua hari lagi adalah masa yang diambil untuk pergi ke sana dan balik semula ke Malaysia. Saya lega kerana sekurang-kurangnya tak terkejar-kejar untuk melaksanakan amanah yang diberi,” katanya.

Meskipun mengakui kunjungan ke Gaza bakal meninggalkan kenangan manis dalam kariernya, ayah kepada dua anak perempuan, Cahaya Raisya, 4, dan Dahlia Raisya, 1, ini tetap berhati-hati dengan kemungkinan yang berlaku.

“Risikonya tetap ada kerana sukar menjangka situasi di sana. Namun sebagai persediaan kami akan dibekalkan dengan jaket kalis peluru. Apapun saya serahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah SWT. Niat kami sememangnya mahu berdakwah,” katanya yang pernah tampil dalam iklan komersial Bank Rakyat dan ubat berhenti merokok, Niquotine.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: