Debaran Finalis Imam Muda 3

3 Aug

JIKA dalam program pencarian Imam Muda musim pertama dan kedua, peserta paling muda antara terawal yang tersingkir dalam perjuangan merebut gelaran juara, tetapi berbeza pada Imam Muda musim ketiga (IM3), apabila peserta termuda, Abdul Rahman Naufal Mohd Hatta, 21, terus bertahan ke peringkat akhir bersama Mohammad Hafiz Abdul Kadir, 27, dan Abdul Jabbar Mohammed Kahar, 28.

Rahsia ketahanan mental dan fizikal Naufal itu antara lain disebabkan dia mengikuti apa yang disarankan Pengarah Perkembangan Peribadi dan Profesional ACMS yang juga Pengarah Pusat Mata, Prince Court Medical Centre, Profesor Dr Muhaya Mohamad selaku pakar motivasi IM3 iaitu ‘jangan fikir apa yang kita ada, sebaliknya gunakan apa saja yang kita ada untuk bersaing dengan orang lain’.

“Kata-kata itu yang memberi semangat kepada saya untuk menghadapi cabaran dan saingan yang menunggu di depan mata. Ternyata bukan mudah untuk menyaingi mereka yang lebih senior. Bukan saja saya ‘kalah’ dari segi ilmu pengetahuan, tetapi juga pengalaman.

“Ada yang sudah bertahun-tahun bekerja dan biasa berhadapan dengan orang ramai. Saya masih belajar untuk mengenal dunia dan manusia, ilmu komunikasi juga masih cetek.


“Untuk menjadi pendakwah yang bagus, saya mesti menguasai kemahiran berkomunikasi serta mendalami sebanyak mana ilmu yang boleh. Saya menyertai IM3

untuk menimba pengalaman kerana saya perhatikan dalam IM1 dan IM2 pendedahan yang diberikan kepada peserta sangat bagus terutama melalui tugasan yang disediakan oleh pihak produksi.

“Banyak perkara baru tetap saya pelajari dan kalau saya gagal bergelar juara pada musim kali ini, saya berpuas hati dengan ilmu yang diperoleh. Impian saya selepas tamat pengajian nanti saya mahu mendekati golongan profesional untuk mendidik jiwa mereka mencintai agama,” katanya.

Naufal adalah pelajar tahun satu jurusan Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko dari Universiti Sains Islam Malaysia.

“Saya akan menghabiskan pengajian sambil bergiat cergas sebagai aktivis agama. Golongan muda hari ini lebih berpandukan kepada sains dan teknologi sehingga mereka sanggup mengenepikan agama yang sepatutnya menjadi panduan kepada semua perkara termasuk sains dan teknologi sendiri. Hanya dengan pegangan agama kita mampu menjalani kehidupan dengan sempurna,” katanya.

Abdul Jabbar dan Hafiz juga ada keistimewaan masing-masing dalam merebut gelaran juara IM3. Berkelulusan Sarjana Figh daripada Universiti Antarabangsa Al Madinah (Mediu) dan turut memiliki Sarjana Muda Syariah serta Pengajian Islam daripada Universiti Islam Madinah, Jabar bukanlah calang-calang peserta.

Ayah dua cahaya mata itu kini berkhidmat sebagai penolong pensyarah.

Hafiz pula graduan lulusan Sarjana Figh dan Usul Fiqh daripada Universiti Malaya (UM) serta Sarjana Muda Syariah Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Mu’tah, Jordan. Dia kini menyumbangkan baktinya sebagai imam masjid dan masih lagi bujang.

Siapakah di antara mereka bertiga yang bakal membawa pulang gelaran juara IM3 malam ini, Jumaat?

Saksikan debaran akhir itu malam ini yang disiarkan serentak di Astro Oasis dan Mustika HD (saluran 134), mulai 9 malam.

Pertandingan akhir itu diadakan di Dewan Jubli, Pusat Penilaian Negara (INSPENS), Bangi yang menjadi saksi kepada juara terbaru IM selepas gelaran itu disandang oleh Imam Muda Asyraf dan Imam Muda Hassan.

Sementara menunggu detik yang mendebarkan itu, ketiga-tiga finalis Imam Muda dikuarantinkan di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil untuk mempersiapkan diri mereka menjelang Kemuncak IM3 malam ini.

Mereka dibantu Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz selaku mudir, mursyid Imam Muda Asyraf, Imam Muda Hizbur dan Naqib yang terdiri daripada barisan alumni Imam Muda musim sebelumnya.

Mengulas persiapan menjelang Kemuncak IM3, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, Astro Oasis amat berbangga dengan pencapaian peserta pada musim ketiga

ini.

“Secara keseluruhannya, kualiti peserta terus meningkat berdasarkan ujian teori, tugasan, pengucapan awam dan sahsiah diri. Pemilihan yang amat rumit terpaksa dilakukan untuk memilih finalis memandangkan hampir kesemua peserta di peringkat separuh akhir ada potensi yang seimbang. Namun, inilah tiga peserta terbaik untuk musim ini.

“Kami berharap semua finalis dapat melaksanakan semua tugasan dengan tenang.

Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam program ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin bukan saja untuk Kemuncak IM3, tetapi juga selepas keluar daripada program ini dan sekembalinya ke pangkuan masyarakat,” pesannya.

Juara Imam Muda 3 bakal membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro manakala naib juara pula mendapat RM35,000 sumbangan Astro, RM15,000 sumbangan Bank Islam dan piala. Tempat ketiga turut memenangi wang tunai RM15,000 sumbangan Astro dan RM10,000 sumbangan Bank Islam dan piala.

Bagi yang ketinggalan menonton pada hari ini, anda boleh mengikuti siaran ulangan pada jam 11 malam hari yang sama dan Sabtu, 4 Ogos, jam 5.30 petang atau Ahad 5 Ogos, jam 10 pagi di Astro Oasis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: