Agenda Menarik TV1, TV2

3 Aug

BEZANYA stesen televisyen RTM berbanding yang lain adalah konsep dan objektifnya yang mana selain menghidangkan pelbagai jenis program berunsur hiburan, ilmiah, agama, pendidikan dan pengetahuan, saluran ini adalah medium suara rakyat yang perlu suntikan mesej kerajaan.

Lantas untuk membuat perbandingan terutamanya dari aspek jumlah tontonan, publisiti mahupun reaksi penonton terhadap kandungannya adalah kurang relevan dan tidak wajar.

Bagaimanapun, menyedari perkembangan semasa dan selera penonton yang sudah jauh berubah, RTM termasuk saluran TV1, TV2 dan TVi bangkit dengan semangat dinamik untuk tidak ketinggalan bersaing sama.

Terbaru, sempena sambutan Ramadan, Aidilfitri dan kemerdekaan ini, RTM lebih awal menyusun strateginya dalam usaha memancing penonton setia sekali gus mencuri perhatian golongan mudanya.


Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Kamaruddin Siaraf ketika bertemu di majlis berbuka puasa dan pelancaran program sempena Aidilfitri ini sempat menjelaskan strategi dan perancangan baru pihak RTM dalam pada menyalurkan kandungan terbaik kepada penontonnya.


“RTM bukan lagi jentera stesen televisyen yang dijadikan rujukan untuk mendengar azan solat dan waktu berbuka puasa sebaliknya kini kesemua tenaga kerjanya sudah jauh kreatif dan lebih agresif. Saya sendiri melihat stesen televisyen ini begitu berdaya saing dan punya kekuatan tersendiri dalam menyediakan program yang berkualiti untuk penontonnya,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini, program Ketuk-Ketuk Ramadan akan terus bersiaran setiap hari jam 12.30 tengahari bersama Sheila Rusly bersama ramai artis yang akan menemaninya dalam program masakan popular ini.

Aidilfitri ini pula, TV1 sudah pun membariskan program khas muzikal dengan Konsert Eksklusif Orkestra RTM Bersama Datuk Sharifah Aini pada 19 Ogos jam 9 malam dan Tiada Lama Tiada Baharu Aidilfitri pada 20 dan 27 Ogos jam 9 malam.

Paling istimewa, konsert muzikal Orkestra RTM bersama tiga bintang kelahiran

RTM – Alyah, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah menerusi Pesona Aidilfitri yang akan menemui penonton pada 22 Ogos jam 9 malam.

Menurut Ketua Pengarah Penyiarannya, Datuk Norhyati Mohd Ismail, RTM tidak lagi bersandar pada drama Melayu yang sedih dan air mata sebaliknya kali ini, program bercorak komedi banyak diselitkan untuk penonton bergelak ketawa sepanjang musim perayaan.

“Jika sebelum ini RTM terkenal dengan drama air mata sebaliknya kali ini kami cuba untuk menyuntik pembaharuan yang mana program komedi juga kami paparkan kepada penonton. Kami tidak mahu lagi terikat dengan identiti sebegitu yang hanya menayangkan drama sedih sebaliknya kali ini kami bentangkan lebih pilihan untuk penonton memilih,” katanya.

Mengangkat empat pengertian yang dianggap sebagai tema tertentu, bermula dengan kebebasan, kemudiannya keinsafan yang melambangkan bulan Ramadan, keharmonian dan kemenangan, RTM jelas tidak ketinggalan dalam meraikan kesemua sambutan dan acara terbesar kali ini.

Menariknya kali ini, RTM menerusi TV2 bakal menayangkan filem hebat seperti Avatar sempena sambutan Merdeka yang akan ditayangkan pada 1 September (jam 8.30 malam), Transformers pada 24 Ogos (jam 10 malam) dan Transformers 2: Revenge of The Fallen keesokan harinya, 25 Ogos.

Tambah Kamaruddin lagi, filem-filem hebat berkualiti tinggi ini adalah satu usaha pihak RTM bagi memberikan hiburan terbaik kepada penonton setianya walaupun mengakui harga untuk membeli lesen tayangan filem itu menelan belanja yang begitu besar.

“Saya percaya Avatar dan Transformers adalah satu pilihan filem terbaik yang paling tepat dalam usaha menghimpunkan penonton serta menghargai sokongan mereka selama ini. Inilah satu usaha lagi yang kami lakukan bagi memancing penonton baru khususnya golongan muda yang begitu tinggi seleranya,” katanya lagi.

Filem-filem tempatan juga tidak ketinggalan mewarnai keseluruhan jadual harian kandungan TV2 termasuk Laila Isabella pada 22 Ogos (jam 10 malam), Cinta U-Turn pada 23 Ogos (jam 1.30 petang), Gila-Gila Pengantin Remaja pada 24 Ogos dan Anak Halal pada 25 Ogos (jam 2 petang). Filem epik hebat, Puteri Gunung Ledang pula akan ditayangkan pada 28 Ogos (jam 10 malam) dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang pada 1 September (jam 2 petang).

TV1 pula menyajikan lebih 25 program istimewa termasuk tiga telefilem menarik Rumah Merdeka pada 31 Ogos (jam 10.30 pagi), Langit Mula Berbintang pada 7 September (jam 10.30 pagi) dan Anugerah pada 16 September (jam 3.05 petang).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: