Tidak Serik Bercinta Lagi

2 Aug

pix_middle

PANAS terik yang menyimbah tubuh dan wajah ketiga-tiga pelakon kacak ini sepanjang sesi fotografi di pinggiran Sungai Klang, baru-baru ini tidak menjejaskan semangat mereka untuk memberikan hasil yang terbaik di depan kamera.

Sesekali bergurau, Syamsul Yusuf, Zain Saidin dan Ungku Ismail Aziz akhirnya mendapat titik keserasian untuk bergaya.

Mungkin kebetulan, dalam kehidupan yang penuh glamor, ketiga-tiga mereka pernah dikaitkan menjalin hubungan percintaan dengan rakan artis.

Menjalin hubungan akrab dengan Diana Danielle dan Liyana Jasmay suatu ketika dulu, Syamsul yang kini berusia 28 tahun tidak kisah untuk mengimbas semula perhubungan itu apabila ditanya mengenai hubungan dengan rakan artis.

“Semua itu sudah jadi satu sejarah dalam hidup saya dan ada kenangan tersendiri. Bagi saya gosip dan hubungan cinta itu sebahagian daripada asam garam kehidupan saya sebagai seorang artis.

“Walaupun saya sudah tidak lagi menjalin hubungan rapat dengan mereka, kami sentiasa bersikap profesional dan kekal menjadi sahabat memandangkan industri hiburan tidak besar mana. Apa yang berlaku membuatkan kami lebih matang,” kata pengarah filem Khurafat ini.

Buat masa ini, Syamsul akui tidak begitu memikirkan soal cinta kerana terlalu terikat dengan komitmen kerja yang banyak.

Syamsul yang muncul dalam drama Ameera di slot Samarinda TV3 berjaya membuktikannya sebagai pelakon, dia juga tiada masalah untuk beraksi di bawah pengawasan sutradara lain.

Meskipun ada pihak pernah menyangkal kononnya Syamsul hanya hebat dalam filem arahannya sendiri, watak Ameer berjaya membuktikan kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

“Saya tak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk hanya berlakon di bawah produksi sendiri saja, cuma saya terpaksa menolak banyak tawaran sebelum ini kerana terikat dengan komitmen mengarah filem. Saya memang suka berlakon dan sedia menerima arahan daripada pengarah lain kalau saya ada kelapangan.

“Drama Ameera adalah satu ruang untuk saya melepaskan rindu berlakon di bawah pengarah lain. Kebetulan ada waktu dan kelapangan, lantas tawaran yang diberikan pihak Zeel Productions itu tidak saya lepaskan,” katanya.

Tambah Syamsul, Ameera jelas membuka laluan kepadanya untuk terus pelakon kerana ramai pula syarikat produksi lain memberikannya tawaran susulan.

“Alhamdulillah watak yang diberikan bersesuaian dan saya puas menghidupkan watak itu. Selain baik untuk profil seni, kemunculan saya dalam drama itu memberikan kesan positif apabila semakin ramai pihak mula membuka mata mengenai minat lakonan saya itu.

“Insya-Allah jika ada peluang dan rezeki, saya tidak akan menolak tawaran lain pula,” katanya lagi.

Berdiri di sebelahnya petang itu, seorang lagi anak muda yang terkenal dengan sikap peramah dan rendah diri, Zain Saidin, 28.

Menyifatkan perjalanan lakonan seiring dengan gosip hangat, Zain yang sebelum ini pernah muncul dalam siri Duyung Aridinata dan Kiah Pekasam percaya gosip itu hanya satu permainan yang akhirnya akan senyap dengan sendirinya.

“Kalau sebut nama saya, tentu ramai yang mengaitkan saya dengan Rozita Che Wan dan itu sudah menjadi satu andaian bagi ramai pihak termasuk peminat sedangkan gosip cinta itu tidak benar. Saya sebenarnya malas untuk menjelaskan perkara itu lagi kerana jujurnya, cerita sebegini hanyalah rencah dunia hiburan.

“Saya tidak marah atau kecewa dengan gosip itu kerana selagi saya mampu mengawalnya dan tidak menjejaskan karier saya, ia tidak merunsingkan saya. Kini saya akan lebih berhati-hati untuk tidak lagi terpalit dengan mana-mana pelakon lain kerana takut nanti, orang akan komen saya gila publisiti murahan,” katanya.

Zain berjaya menambat hati ramai peminat apabila muncul dalam drama siri slot Zehra berjudul Naziha yang kini rancak ditayangkan setiap Jumaat, jam 9 malam di TV3. Berlakon di samping Ery Putra, Ammar Baharin dan Izara Aisyah dalam drama siri penuh drama dan emosi itu, pelakon berdarah kacukan ini bersyukur dengan penerimaan penonton terhadap lakonannya.

“Ini satu lagi usaha saya mencuba sesuatu yang berbeza dalam kerjaya lakonan.
Drama Naziha memberikan satu dimensi berbeza daripada saya dan ini adalah satu penentu untuk peminat menilai lakonan saya,” jelasnya.

Lain pula bagi Ungku Ismail, 27 yang agak kurang dilimpahi publisiti, namun namanya tetap meniti di bibir peminat apabila hubungannya dengan bekas finalis Akademi Fantasia 2, Zarina Zainoordin mula dikesan selepas sama-sama membintangi drama Syurgamu Ramadhan.

Sayang seribu kali sayang, hubungan yang awalnya indah dan tampak serasi tidak sempat berjalan jauh kerana mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

Namun jelas Ungku Ismail yang sebelum ini pernah membintangi banyak drama televisyen termasuk yang terbaru, 3 Janji yang ditayangkan di slot Lestary di TV3. Kisah cinta mudah menjadi perhatian ramai namun bukan itu yang ingin dikejarnya dalam industri seni.

“Tidak sekali-kali saya memasang strategi untuk memancing kontroversi melalui hubungan cinta itu, sebaliknya ia terjadi dengan sendirinya. Tapi sudah tiada jodoh dan rezeki, hubungan itu tidak bertahan dan saya tetap optimis menerimanya. Macam Syamsul cakap, walaupun semuanya sudah berakhir, kami tetap profesional memandangkan kami bekerja dalam satu bidang yang sama.

“Sekarang saya lebih menumpukan perhatian kepada kerjaya seni yang masih jauh lagi perjalanannya,” katanya yang turut dikenali dalam drama Sutun sebelum ini.

Menyentuh perkembangan kariernya pula, Ungku Ismail kini lebih banyak meletakkan fokus barunya pada bidang pengarahan selepas mencari pengalaman dengan mengarahkan drama 13 episod berjudul Antara Garisan.

“Inilah satu lagi cabang seni yang sedang saya terokai. Pengarahan drama adalah satu bentuk kepuasan baru buat diri saya dan insya-Allah selepas ini, saya akan cuba mengarah lebih banyak drama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/01

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: