Cabaran Reka Set Upin & Ipin

20 Apr

REKAAN set memang memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah pementasan muzikal. Jika set tidak cantik dan kreatif, pasti pementasan itu tidak segah manapun seperti diuar-uarkan orang.

Bagi pereka set pementasan Upin & Ipin The Musical yang sedang dipentaskan di Istana Budaya (IB) sejak 14 April lalu, Mohammed Hanafi Abd Wahab, 43, dia berdepan dengan cabaran paling besar dalam merealisasikan pementasan karya yang pernah mencetuskan fenomena dan memiliki ramai pengikutnya di negara ini.

Upin & Ipin The Musical adalah terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd dan CTRA Production dengan kerjasama Akademi Seni Budaya & Warisan serta IB.

Bersandarkan pengalaman luas selama 14 tahun di belakang tabir, tidak hairanlah Hanafi diberi kepercayaan untuk mereka set pementasan yang hebat dan ramai peminat itu.


“Apabila ditawarkan buat Upin & Ipin, saya akui berasa takut kerana dapat tahu ia produksi yang hebat. Saya terima tawaran buat muzikal ini juga kerana ia diarahkan Zaifri Husin. Kami sudah kenal lama kerana tinggal berjiran di kuarters kerajaan di Jalan U-Thant.


“Apabila tinggal berjiran, ia memudahkan kami bekerjasama dan berbincang siang dan malam kerana saya perlu beri apa yang dia kehendaki, sekali gus untuk memberikan yang terbaik pada pementasan ini,” katanya.

Selaku pereka set, Hanafi berdepan cabaran paling besar kerana menjayakan pementasan Upin & Ipin yang diterbitkan pihak yang cukup kreatif seperti penerbitnya, Burhanuddin Md Radzi dan isterinya, Ainon Ariff.

“Saya akui bukan mudah untuk mengangkat siri TV dari televisyen ke pentas teater. Malah, saya terpaksa merombak beberapa kali rekaan yang dihasilkan sehingga penerbit teater ini berpuas hati.

“Bayangkan saya perlu buat set membabitkan 13 babak. Daripada 13 babak, saya kurangkan kepada 10 untuk menjadikannya lebih padat. Agak mencabar untuk letak props dan set di atas pentas. Pereka set juga bekerjasama rapat dengan bahagian penata cahaya. Saya juga perlu bertolak ansur dengan bahagian lain kerana kami bekerja dalam satu pasukan,

“Selain itu, pereka set bekerjasama rapat dengan pereka kostum kerana mereka akan melihat set yang saya hasilkan untuk sesuaikan dengan kostum, sekali gus menvisualkannya di atas pentas,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mendapat idea untuk menghasilkan rekaan set untuk pementasan muzikal Upin & Ipin, kata Hanafi, dia memang tahu jalan cerita Upin & Ipin kerana meminati siri itu sejak ditayangkan di kaca televisyen.

“Anak saya juga peminat Upin & Ipin dan dia juga hafal dialog yang dipaparkan dalam siri animasi popular itu. Saya juga mendalami kandungan skrip kerana perlu memahami jalan cerita terlebih dulu untuk memudahkan saya mereka setnya.

“Walaupun ramai yang memberi maklum balas memberangsangkan mengenai rekaan set Upin & Ipin apabila ia dipentaskan 14 April lalu, saya tetap tidak pernah puas dengan setiap karya dihasilkan, sejak dulu.

“Tiada manusia yang sempurna di dunia ini, tapi memang saya percaya mampu menghasilkan rekaan yang lebih baik lagi jika diberi masa yang panjang,” katanya.

Mengenai perancangannya selepas ini, kata Hanafi yang pernah bekerja dengan produksi Cats, Miss Saigon dan Beauty & The Beast, dia ingin menimba lebih banyak pengalaman dengan produksi bertaraf antarabangsa.

“Saya akui pengalaman bekerja dengan produksi luar berbeza dengan di sini. Banyak ilmu yang kita belajar apabila bekerja dengan orang luar iaitu cara bagaimana mereka buat set yang hebat di pentas yang sempit,” katanya.

Mengimbas latarnya, anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga pemegang jurusan Seni Bina dari Politeknik Sultan Ahmad Shah ini mula bekerja sebagai pereka set di IB sejak 1999. Antara pementasan yang dia pernah terbabit ialah Puteri Hang Li Po, Muzikal Tun Mahathir, Badai Semalam, Kembara Sinbad dan Mana Setangginya yang juga arahan Zaifri Husin.

Selain itu, dia juga menimba ilmu dengan produksi luar negara iaitu produksi Indonesia, Merentas Sayang (Malim Deman), bersama produksi Singapura untuk Tun Fatimah, Tauke Anak Wayang dan muzikal Bendahara yang mendapat liputan meluas di Singapura.

Muzikal Upin & Ipin mula dipentaskan jam 3 petang dan 8.30 malam di Panggung Sari, IB sehingga 6 Mei nanti. Keterangan lanjut hubungi talian 03-61866592, 03-55118089/017- 8716060/012-2977220/017- 2004249.

Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: