Upin & Ipin Menanti Kehadiran VIP

16 Apr


JENAMA Upin dan Ipin wajar dibanggakan oleh seluruh masyarakat kerana telah diterima oleh masyarakat luar.

PENGORBANAN berlatih selama enam bulan oleh para pelakon Upin & Ipin the Musical telah berbalas apabila menerima khabar gembira bahawa persembahan mereka akan turut ditonton oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada 20 April ini.

Khabar gembira itu tidak terhenti di situ sahaja, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman juga telah menyatakan kesudian untuk hadir di Malam Gala Upin & Ipin the Musical pada 29 April.

Sesungguhnya, sokongan yang ditunjukkan oleh pemimpin besar negara mampu menjadi pendorong dan membakar semangat untuk semua unit produksi memberikan persembahan terbaik.

Ini kerana mereka merasakan apa yang dicurahkan dalam bidang seni mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada pemimpin.

‘Bukan wang ringgit atau sanjungan yang kita harapkan, tetapi apabila mereka sudi untuk bersama-sama kami terutamanya generasi muda, ia adalah harta yang tidak ternilai.

‘Secara langsung ini memperlihatkan fungsi pemimpin yang sentiasa peka dan berjiwa rakyat serta menyanjung produk tempatan,’ kata Penerbit Eksekutif Upin & Ipin the Musical, Siti Rohayah Attan ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, apabila mendengar khabar berita itu, tenaga produksi terutama para pelakon kanak-kanak semuda usia lima tahun cukup gembira dan tambah bersemangat.

Ada antara mereka yang memang sudah rapat dan mengenali Tun Siti Hasmah kerana beliau telah melancarkan muzikal ini pada Februari lalu.

Menurut Siti Rohayah, dia mengharapkan sokongan daripada golongan bertaraf pemimpin dan VIP memandangkan ia adalah produk Malaysia yang telah menempa nama di peringkat antarabangsa dalam bidang Animasi 3D.

‘Jika ramai yang membanggakan teater luar seperti Lion King, Peter Pan, Aladdin dan Shrek, sebenarnya Upin & Ipin the Musical adalah produk tempatan yang setaraf atau mungkin lebih baik daripada produk import.

‘Teater muzikal ini membawa nama tempatan, budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan cerita sendiri dengan bahasa yang mudah. Maka ia wajar disokong semua pihak,’ ujarnya.

Justeru, pengiktirafan yang diberikan oleh pihak luar mahupun dalam negara terhadap filem dan siri televisyen Upin & Ipin wajar diiringi dengan sokongan menonton teaternya yang julung kali dipentaskan dari 14 April hingga 7 Mei ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Upin & Ipin the Musical dijangka mencipta sejarah menjadi teater paling lama dipentaskan di IB iaitu sebanyak 30 persembahan.

Ia dibawakan oleh Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. (LCP) dan CTRA Production dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Hotfm. Ia ditaja oleh KPJ Healthcare Berhad.

Muzikal itu menyajikan 20 lagu ciptaan komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah), diarahkan oleh Zaifri Husin manakala A.Aris Kadir bertindak sebagai koreografer.

Penerbit Bersama ialah Burhanuddin Md. Radzi dan Ainon Ariff dari LCP.

Teater ini menampilkan 56 pelakon pelbagai bangsa dengan pelbagai watak termasuklah watak Upin, Ipin, Mail, Ehsan, Jarjit, Mei-Mei, Fizi, Susanti, Kak Ros, Opah, Cikgu Jasmin, Tok Dalang, Sally dan Dr. Ravi. Diketengahkan watak baru seperti Puteri Cinonit, Tok Batin, Labah-Labah, Buku-Buku dan Mentadak Mentadu.

Upin & Ipin the Musical menceritakan kisah Puteri Cinonit yang mengembara hingga ke dunia untuk mencari erti kegembiraan. Puteri diberitahu bahawa orang yang paling gembira di dunia ini ialah Upin dan Ipin walaupun mereka yatim piatu dan menumpang kasih dengan Opah dan Kak Ros.

Justeru, Puteri Cinonit telah mengarahkan Rama-Rama untuk ‘menculik’ Upin dan Ipin serta dibawa ke Istana Pokok. Di sinilah Upin dan Upin membuka rahsia mengapa mereka sentiasa gembira.

Melalui pementasan ini beberapa teknologi akan digabungkan termasuklah flying bar dan teknologi animasi 3D.

Tiket berharga antara RM36 hingga RM456 boleh didapati dengan menghubungi 03-41478600 dan 03-61866592 atau layari http://www.ticket2u.biz.

Utusan

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: