Mangga Meriahkan Karnival Iktiraf

29 Mar

Ditulis oleh Rosli Manah

Majalah Mangga akan memeriahkan Karnival Iktiraf Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Mac hingga 1 April ini. Pasti meriah booth Mangga dengan kelibat artis-artis remaja popular.

Majalah Mangga akan membuka peluang kepada remaja yang meminati dunia peragaan untuk menyertai Model Search Mangga. Model Search Mangga mula diadakan pada bulan lalu dan sekarang pihak Mangga sedang mencari bakat baru untuk diketengahkan.

Pada 31 Mac dan 1 April Mangga akan membuka Studio Penghias Wajah yang membolehkan peminat bergambar dengan jurugambar profesional dan wajah anda akan dihiasi sebagai penghias majalah Mangga atau majalah-majalah lain terbitan Utusan Karya.

Kalau tak ada artis tak akan berserilah booth Mangga kan? Maka pada 30 Mac pukul 3.00 petang Mangga akan membawa artis popular antaranya Almy Nadia, Iqa Mentor dan Keena Mentor untuk bersama-sama memeriahkan booth Mangga.

Mereka juga akan melayan peminat serta terlibat dalam games dan teka wajah artis yang membolehkan anda menang hadiah menarik. Jangan tak datang tau!

Pada 31 Mac pukul 12.00 tengah hari ada pelakon sensasi Hanez Suraya, Talha Harith dan Aly AXL’s yang akan menggamatkan booth Mangga. Peminat juga boleh bergambar dengan mereka untuk aktiviti Studio Penghias Wajah.

Sebelah petangnya pada pukul 3.00 petang Mangga membawakan kepada anda pelakon yang sedang hangat di pawagam menerusi filem Jangan Pandang Pandang iaitu Sara Ali, Anith Aqilah dan Nas-T. Mereka juga akan membawa hadiah menarik berupa barangan promosi Jangan Pandang Pandang kepada peminat yang dapat menjawab soalan pasal filem itu.

Pada 1 April booth Mangga akan diserikan oleh Siti Nurdiana, Amanda Imani dan pelakon baru yang bikin sensasi baru-baru ini, Melia Aimelia. Pasti meriah booth Mangga nanti ya. Jadi isilah masa lapang anda hujung minggu ini dengan mengunjungi Karnival Iktiraf di Dataran Merdeka ya.

Karnival Iktiraf janji terbaik

Karnival Iktiraf itu sendiri menyajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran, hiburan sukan, aktiviti kekeluargaan dan motorshow. Malah Perdana Menteri juga akan hadir pada hari kemuncak 1 April ini.

Pada 30 Mac, gerai-gerai pameran mula dibuka kepada orang ramai dan anak-anak Felda yang mengambil bahagian. Macam-macam produk dipamerkan.

Pada 31 Mac pameran bermula seawal pukul 8.00 pagi. Acara sukan akan dijalankan pada sebelah pagi. Antara sukan yang dijalankan ialah bola sepak 5 sebelah, bola jaring, explorace dan sepak takraw. Ada juga pertandingan bakat si cilik untuk kategori-kategori umur.

Paling menarik acara siangnya seperti pertandingan Felda Idol, pertandingan shuffle terbuka, pertandingan battle of the bands Belia Felda serta persembahan drumline dan Supa Dupa Games.

Pada sebelah malam ada Konsert Malam Iktiraf yang menampilkan artis popular tanah air. Ada juga pertunjukan bunga api untuk menggamatkan malam minggu itu.

Pada 1 April pula ada persembahan motorshow yang diwakili Classic Club, Proton Perdana, BMW Club, Felda Rally dan GRA Group. Pada hari itu juga ada persembahan kompang besar-besaran yang mahu mencipta nama dalam The Malaysia Book of Records. Mawi dan Siti Nurdiana akan memeriahkan acara persembahan kompang.

Perdana Menteri akan tiba pada 2.00 petang untuk majlis perasmian dan penganugerahan Anugerah Belia Felda Malaysia 2011. Ia merangkumi anugerah kepada tokoh dalam bidang personaliti istimewa, pendidikan, jaya tani, khidmat masyarakat, sukan, pembangunan ekonomi dan banyak lagi. Sebanyak 19 Anugerah akan disampaikan.

 

 

 

 

 

 

 

Mangga Online

Leave a comment