Nora Tidak Balik Beraya Di Kelantan

31 Aug

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN


NORA, Johan nawawi dan dua orang anak mereka bersama VOU yang terlibat dalam penghasilan single Pedoman.

KEBANYAKAN anak Kelantan yang berhijrah dan mencari rezeki di Kuala Lumpur biasanya akan pulang berhari raya di kampung masing-masing termasuklah penyanyi Nora.

Walau bagaimanapun, penyanyi berasal dari Kota Bahru ini berkata, tahun ini dia tidak pulang beraya di Kelantan, sebaliknya hanya di Kuala Lumpur bersama-sama sanak saudaranya yang ramai menetap di sini.

Ini kerana, jelas Nora bagi memberi laluan kepada anak keduanya, Syakir Alif, 12, supaya lebih fokus dalam membuat persiapan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) yang akan didudukinya tidak lama lagi.

‘Kebetulan saudara mara saya dan Johan juga banyak yang tinggal di Kuala Lumpur. Jadi, kami saling akan kunjung mengunjungi satu sama lain. Bukan saya sahaja tetapi ramai lagi saudara mara saya yang tidak balik Kelantan.

‘Masing-masing ada urusan sendiri. Namun, suasana raya tetap dirasai kerana kami saling berjumpa dan beraya bersama-sama. Kalau ada rezeki tahun depan boleh beraya lagi di Kelantan,’ katanya sewaktu ditemui selepas rakaman rancangan Melodi Raya terbitan TV3 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini

Pada pertemuan itu, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Arifin hadir bersama suami, Johan Nawawi dan dua anaknya, Syakir Alif, 12, dan Puteri Nur Dahlia, 7, berkata, biarpun tidak pulang beraya di Kelantan tetapi persiapan rayanya tetap sama.

Dia juga akan memasak sendiri hidangan raya seperti roti jala dan nasi dagang untuk seisi keluarga selain kuih muih raya kerana kurang aktif menyanyi serta mempunyai lebih kelapangan di rumah sepanjang bulan puasa ini.

Berniaga tudung pada Ramadan

Ekoran faktor itu, penyanyi yang popular dengan lagu Naluri itu, pada bulan Ramadan kebanyakan penyanyi termasuklah dirinya tidak banyak menerima undangan menyanyi dan aktivitinya lebih ke arah meningkatkan amal ibadat.

Namun, pada masa sama penyanyi bersuara lantang ini menganggap kedatangan bulan yang mulia itu bukan setakat untuk beramal ibadah semata-mata, tetapi dia turut berniaga bagi menambahkan pendapatannya.

‘Terbaru saya menjalankan perniagaan menjual tudung yang saya reka sendiri dengan nama Tudung Nora. Ia direka secara eksklusif dan belum ada tudung yang sama sepertinya di pasaran buat masa ini.

‘Saya mereka sendiri gubahan tudung itu, manakala untuk menjahit dan merealisasikannya menjadi sebuah produk, saya telah mengupah seorang pereka fesyen khas. Ia bagi melancarkan penghasilan produk itu.

‘Saya hanya mengeluarkan idea bagi menghasilkan gubahan tudung itu. Malah, Tudung Nora hanya saya jual melalui laman sosial Facebook sahaja dan ia dijual dalam edisi yang amat terhad,’ ujarnya.

Jelas isteri kepada komposer terkenal Johan Nawawi ini, aktiviti menggubah dan menjual Tudung Nora itu dilakukannya bagi mengisi masa lapangnya sepanjang bulan puasa ini dan ia semakin mendapat sambutan ramai.

Tambah Nora, ideanya menghasilkan Tudung Nora itu tercetus sewaktu dia berkunjung ke Dubai pada tahun 2008 dan terlihat pelbagai jenis tudung di jual di sana yang boleh dipasarkan di negara ini.

‘Kebetulan pula pada waktu itu saya pun baru mula hendak bertudung. Jadi, saya kata mengapa tidak saya mencipta sendiri tudung dan kemudiannya menjualnya melalui Facebook. Saya mahu menjadikannya suatu trend dalam bertudung.

‘Apatah lagi, Tudung Nora ini cukup praktikal digunakan kerana ia sesuai untuk setiap wanita dan digubah dalam pelbagai bentuk serta warna,’ ujarnya yang bercadang membuka butik sendiri pada masa depan.

Selain Tudung Nora, penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu, turut menjalankan perniagaan menjual biskut dan kek sepanjang bulan Ramadan ini.

Perniagaan biskut dan kek yang diberi nama Secukup Rasa itu telah dijalankannya sejak lapan tahun lalu itu turut dijual kepada para peminat dan kawan-kawannya di Facebook.

Utusan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: