Peminat Berhujan Demi Justin

26 Apr

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


JUSTIN Bieber berjaya muncul dengan lagu-lagu popular dan gaya tariannya yang memukau para peminatnya di seluruh dunia.

SUASANA di sekitar Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sesak teruk gara-gara konsert Justin Bieber My World Tour 2011 baru-baru ini. Perkarangan stadium itu bukan sahaja sendat dengan orang ramai terutamanya remaja berusia bawah 20 tahun yang beratur panjang.

Malah, keadaan trafik juga seakan-akan tidak bergerak di luar Stadium Merdeka sehingga ke arah Jalan Loke Yew sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk seawal pukul 3 petang lagi. Walhal, konsert artis remaja berusia 17 tahun itu bermula pukul 9 malam.

Bukan setakat dipenuhi dengan kereta, puluhan bas yang membawa para peminat Justin dari merata-rata tempat menambahkan lagi kesesakan apabila ia diletakkan di bahu-bahu jalan di stadium tersebut. Ia memaksa puluhan anggota polis tampil meleraikan kesesakan di sekitar kawasan stadium tersebut.

Semua itu gara-gara penangan Justin Bieber yang kini mencetuskan fenomena sebagai penyanyi remaja nombor satu dunia. Apatah lagi, lagu popularnya yang berjudul Baby dan Love Me menjadi siulan remaja walau di mana-mana juga. Justeru, konsert julung kalinya di negara ini itu dinanti-nantikan para peminatnya.

Tambah meresahkan apabila hujan lebat pada pukul 5 petang menambahkan lagi kesesakan di sekitar Stadium Merdeka. Namun, penangan populariti penyanyi kelahiran Kanada itu menyebabkan para peminat tidak berganjak walaupun sedang beratur panjang di luar stadium tersebut.

Dalam keadaan hujan lebat itu, pihak penganjur telah menyediakan baju hujan percuma kepada para peminat yang kebanyakannya datang sambil ditemani ibu bapa masing-masing. Seawal pukul 6 petang sebahagian ruang tempat duduk Stadium Merdeka telahpun dipenuhi oleh para penonton penyanyi terbabit.

Jeritan para peminat yang tidak sabar sedikit sebanyak terubat pada pukul 8 malam apabila lampu sorot menyuluh ke arah pentas menyaksikan Mizz Nina muncul sebagai artis pembuka tirai. Biarpun cuma sekadar 15 minit sahaja muncul di atas pentas ia meredakan rasa keterujaan para peminat Justin.

Sayangnya, penyanyi yang merupakan tunang kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh itu diibaratkan sekadar melepaskan batuk di tangga. Pihak penganjur cuma sekadar menyelitkan Mizz Nina sementara menantikan kemunculan Justin yang julung kalinya beraksi di negara ini.

Selepas itu, suasana acara di Stadium Merdeka seolah-olah terhenti seketika selama 35 minit sebelum seorang lagi artis undangan, DJ Tay James tampil dengan persembahannya selama 10 minit. Berbekalkan alunan lagu-lagu latar dan geselan turn tables dia mengalunkan lagu-lagu hip hopnya.

Sejurus terhentinya persembahan DJ Tay James, sorakan, jeritan dan laungan nama Justin semakin membingitkan telinga apabila penyanyi remaja itu muncul bersama empat penarinya. Dia memulakan konsertnya selama 90 minit itu dengan lagu pertamanya berjudul Love Me.

Di hadapan hampir 17,000 penonton Justin menari sambil menari. Sorotan kamera yang memaparkan aksinya di dua skrin gergasi di kiri dan kanan pentas jelas memaparkan kelincahannya menari sambil menyanyi. Ada kalanya suaranya seperti tenggelam timbul.

Ini kerana, kebanyakan peminat menyanyi setiap bait lirik lagu-lagu yang dinyanyikannya pada malam itu. Antara lagu yang dinyanyikannya berjudul Bigger, Runnaway Love, One Less, Somebody To Love, Never Say Never, One Time, That Should Be Me, Walk This Way, Eenie Meenie dan Pray.

Bukan setakat menyanyi dan menari tetapi Justin juga menunjukkan bakatnya bermain alat-alat muzik seperti gitar dan dram. Contohnya, sewaktu menyanyikan lagu Runaway Love, dia yang bermain gitar dengan tangan kidalnya berjaya menambahkan lagi keriuhan pekikan para peminatnya.

Selain itu, penyanyi yang menjadi kegilaan remaja perempuan ini turut menunjukkan skilnya bermain dram sambil mendendangkan lagu Walk This Way. Dengan tiket-tiket berharga dari RM98 hingga RM498, para peminat kelihatan puas dengan bakat yang ditonjolkannya itu. Ia suatu kenangan indah buat mereka.

Malaysia merupakan antara lebih daripada 20 negara seperti Israel, Kanada, Amerika Syarikat, Jerman, Filipina, Belgium, Denmark, Indonesia dan Jepun yang dijayakannya menerusi My World Tour 2011 itu sejak awal tahun ini sehinggalah penghujung tahun ini.

Utusan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: