Biar Rumah Kelihatan Luas

20 Mar

Idea hias rumah besar yang sesuai untuk flat

Oleh
Amilia Gani

SIAPALAH yang tidak mengidam tinggal di rumah besar?

Mendiami sebuah banglo tiga tingkat atau apartmen mewah memberikan semacam keselesaan dan membolehkan kita menghias rumah dengan pelbagai corak dan warna.

Namun, beberapa reka bentuk untuk rumah besar sebenarnya sesuai juga untuk penghuni yang tinggal di flat empat atau tiga bilik.

Menurut Encik Abdul Razak Jaffar, 38 tahun, pengarah urusan di firma Cartel Design Pte Ltd, beliau banyak menggunakan idea menghias rumah besar bagi pelanggannya yang mendiami rumah kondominium dan flat.

Encik Razak pernah menghias sebuah rumah besar yang didiami oleh akauntan, Cik Aishah Jaffar, dan suaminya, Encik Syed Alkhaird.

Setelah membeli sekeping tanah di Stone Avenue, mereka membina sebuah rumah besar yang dapat menampung keluarga mereka dan berpindah pada awal 2009.

Rumah Cik Aishah dan suaminya itu adalah jenis sebandung dua setengah tingkat dengan enam bilik tidur, satu ruang tamu, satu ruang keluarga, empat bilik mandi di dalam dan luar bilik dan dapur.

Rumah ini mempunyai reka bentuk luaran yang seakan-akan moden tropika, manakala bahagian dalaman mengutamakan gaya peranginan moden. Rumah besar ini kelihatan bersih, menarik dan menepati ciri-ciri rumah Bali.

Menurut Encik Razak, amat penting membina rumah yang kelihatan lapang, selamat dan ada halaman. Contohnya, ruang tamu rumah Cik Aishah bukan saja penuh bergaya, malah mewujudkan kesan luas dan lapang.

LANTAI

Dengan menggunakan lantai kayu yang tersusur dari pintu masuk atau menggunakan lantai jubin marmar putih berpetak besar (marble tiles) seperti 60 sentimeter kali 60 sentimeter yang berwarna cerah, ruang tamu mudah kelihatan besar.

Untuk flat HDB, kesan serupa boleh turut ditampilkan. Menyediakan dan memasang jubin besar untuk ruang tamu flat HDB sebenarnya tidaklah begitu mahal. Untuk ruang tamu dengan keluasan kira-kira 30 atau 40 meter persegi harganya sekitar $2,500.

PINTU DAN JENDELA

Rumah privet biasanya memasang pintu dan jendela kaca yang lebar di tempat seperti ruang tamu, bilik tidur, bahkan bilik mandi dan dapur.

Jendela kaca tidak hanya ditempatkan pada bahagian yang membatasi ruang dengan bahagian luar rumah, malah pada tembok yang menjadi sekatan antara ruang.

Dengan demikian, apabila jendela disingkap, ruang seolah-olah menembus dan kemudian menyatu dengan ruang di balik jendela. Penyatuan ruang inilah yang seolah-olah memberikan kesan luas dan lega.

Di rumah flat pula, ukuran pintu dan jendela yang tersedia biasanya tidak boleh ditukar. Maka itu untuk memberikan kesan luas dan lega, warna pintu, jendela dan dinding yang senada dengan warna bangunan yang sesuai boleh membuat ruang lebih nyaman dipandang.

DINDING

Di rumah Cik Aishah, ciri dinding di ruang tamu dan makan direka untuk mencipta tatacara santai dengan dinding batu pasir (sand stone).

Pewarnaan tembok rumah dengan warna-warna terang yang redup seperti putih dengan pelbagai nuansanya (broken white, ash white), putih sedikit kebiruan, putih sedikit bernuansa gading, putih sedikit bernuansa merah jambu atau hijau, akan memberikan pemandangan yang lebih melegakan dan membuat ruang terasa lebih luas.

PERABOT SIAP PASANG

Rumah Cik Aishah juga menggunakan perabot-perabot siap pasang untuk menjimatkan ruang. Keistimewaan kabinet siap pasang ialah ia sesuai diletakkan di mana-mana ruang, sama ada di bilik luas atau ruang sempit.

Ia menampilkan suasana lebih praktikal, kemas dan menyerikan penataan ruang. Ia juga membuat suasana penataan bilik tidur lebih tersusun dan kemas.

Kabinet siap pasang lebih praktikal, namun penghuni perlu teliti memilih jenis bahan, warna, reka bentuk dan ruang untuk dipasang kabinet itu.

DAPUR

Ruang dapur yang luas memberikan keselesaan sambil menampilkan suasana yang bersih dan teratur jika dilengkapi kabinet siap pasang berwarna cerah. Untuk menjadikan ruang dapur kecil yang lebih nyaman dan selesa, disarankan membina kabinet yang tinggi untuk menyediakan ruang penyimpanan secukupnya.

Kabinet yang dipilih sebaik-baiknya berpintu kaca lut sinar bagi menimbulkan kesan lapang. Jika permukaan pintu kabinet daripada kayu, maka tambahkan kemasan cermin. Selain tampil lebih menarik, langkah ini turut mewujudkan kesan luas secara ilusi.

Dapur di rumah besar juga mempunyai ruang untuk pelbagai fungsi seperti tempat memasak, ruang ketuhar, menyiapkan makanan, rak menyimpan buku-buku masak, perkakas untuk buat kopi, ruang hiasan dan sebagainya.

Fungsi-fungsi yang disebutkan ini juga boleh dibina untuk dapur di flat HDB yang tersedia kecil. Tetapi, kedudukan dan pemilihan perabot mesti betul.

BILIK MANDI

Bilik mandi di rumah privet biasanya lebih luas dan kadangkala mempunyai kolam mandi serta ruang mandi atau shower.

Yang lebih penting dalam mengubahsuai bilik mandi adalah memilih kelengkapan dan aksesori yang fungsinya sesuai dengan keperluan dan cara hidup kita. Sebagai contoh, sekiranya kita tidak memerlukan kolam mandi kerana lebih suka shower, maka kolam mandi tidak perlu ada.

Menghiasi bilik mandi dengan peralatan asas juga penting seperti mangkuk tandas, sinki, cermin dan pancuran air. Pemilihan warna yang bersesuaian turut boleh memberikan kesan luas pada bilik mandi dan gunakan cermin yang mencecah siling, pintu kaca gelungsur atau tabir mandi (shower screen).

Sebenarnya banyak peralatan dekor yang boleh disuaipadankan bagi mendapatkan suasana bilik mandi yang ceria lagi menenangkan.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: