Gaya Kontemporari Pengantin Asia

29 Apr

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my

Pereka fesyen daripada persatuan Pereka Bumiputera tampilkan ilham segar, memikat

BERTEMPAT di tengah Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, kiub fesyen Stylo yang berwarna putih menjadi pusat tumpuan penggemar fesyen yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan pertunjukan fesyen yang berlangsung sepanjang hari. Acara pertama bermula seawal jam 10 pagi dengan bertemakan Pengantin Asia oleh pereka tempatan, Carven Ong disusuli tiga pereka muda daripada Persatuan Pereka Bumiputera (BDA), Hazree Wahid, Rizman Ruzaini dan Amir Luqman.

Persembahan pembuka tirai oleh Rizman Ruzaini ternyata memahat memori indah tetamu apabila muse fesyen mereka, Ning Baizura tampil dengan gaun putih daripada satin Belanda kembang meleret yang cukup indah. Gimik melepaskan anak-anak burung sebaik melangkah ke pentas menjadi simbol keindahan perkahwinan di dalam taman. Dua pereka yang semakin dikenali kerana kerja tangan yang halus itu seterusnya menampilkan rekaan gaun dengan potongan kemas dan anggun. Menggunakan satin Belanda sebagai material utama, ia digandingkan dengan fabrik mewah lain seperti renda dan organza yang menampilkan potongan gaun kontemporari dan turut diselang-selikan dengan potongan tradisional seperti kebaya. Menyuntik cita rasa muda, Rizman Ruzaini turut mengetengahkan gaun pendek mahupun blaus yang digandingkan dengan skirt paras lutut. Biarpun ringkas, ia kelihatan cukup romantis dengan teknik jahitan beropol serta beralun sama ada pada lengan mahupun bawah gaun. Rona putih dan coklat muda menjadi pilihan melambangkan suasana majlis perkahwinan yang romantis.

Hazree Wahid tampil dengan rekaan anggun bercirikan potongan pakaian tradisional seperti kebaya dan kurung moden dengan butiran serta teknik jahitan menarik. Berasaskan sifon dan satin yang didatangkan dalam rona putih, potongan koleksi ini cukup ringkas.

Si dara tampil anggun dengan selendang sifon meleret yang digandingkan dengan kebaya kontemporari daripada renda Perancis serta kain sifon. Korset diperindahkan dengan perincian manik dan labuci digandingkan dengan sifon kembang memberikan sentuhan anggun.

Hazree memberikan kejutan dengan menampilkan gaun jarang daripada kain renda putih yang mendedahkan separuh bahagian tubuh. Bagaimanapun pemilihan baju dalam yang berwarna coklat kelihatan agak janggal dan mencacatkan skirt labuh yang diperindahkan dengan butiran labuci berwarna keemasan. Rekaan itu juga gagal mencerminkan tema Pengantin Asia yang seharusnya menampilkan busana anggun dan sopan sesuai dengan budaya masyarakat di sini.

Sentuhan muda dan segar diterapkan dalam kebanyakan rekaan Amir Luqman. Gaun pengantin pendek daripada satin ditampilkan dalam warna ceria seperti kuning keemasan dan putih. Kebaya merah jambu dan kuning keemasan daripada renda dan organza yang digayakan Aisyah Sinclair cukup memukau tetamu. Baju kurung moden putih daripada organza dan renda cukup menawan. Gaun kembang daripada organza yang dipintal membentuk bunga mawar menjadi antara rekaan terbaik Amir Luqman yang digayakan Aleeza Kassim. Ia membuatkan pemakainya bagaikan tenggelam dalam timbunan organza yang kembang meleret.

Persembahan Carven Ong yang ringkas dan romantis menutup tirai untuk pertunjukan fesyen ini. Seperti yang dijangka, rekaannya ringkas tanpa butiran keterlaluan dan sesekali diperindahkan dengan sedikit teknik jahitan pada sebahagian kecil gaun. Pemilihan fabrik lembut dan mewah seperti sutera, satin dan sifon, ia membuatkan langkah pengantin anggun menawan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: