Masih Mencintai Acha

23 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

“Cukuplah saya mengalami penderitaan sebelum ini. Banyak lagi perancangan yang ingin saya realisasikan demi mencapai cita-cita bergelar anak seni” – IRWANSYAH

BERAKHIRNYA sebuah hubungan cinta dengan pelakon dan penyanyi popular, Acha Septriasa sebelum ini tidak dinafikan memberi tekanan hebat kepada Irwansyah.

Menyedari berpatah arang dengan wanita yang dipujanya bukan sebagai penutup kehidupan, namun pemilik seraut wajah kacak itu tetap merasai kesakitan melepaskan Acha pergi.

Paling mengejutkan, sebelum ini ada juga khabar angin yang mengaitkan empunya diri mengalami masalah kemurungan. Bahkan, pemuda berusia 24 tahun itu juga dikatakan pernah cuba membunuh diri.

Sejauh mana kebenarannya? Irwansyah yang ditemui pada majlis pelancaran album solo perdananya, Soliter yang diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini, mempunyai jawapan tersendiri.

Tenang sekali menjawab persoalan yang dilayangkan pihak media tempatan kepada dirinya, Irwansyah menjelaskan, perpisahan yang telah terjadi itu benar-benar memberi impak mendalam terhadap hidupnya.

“Bayangkan, dalam tempoh dua bulan hidup saya jadi tidak keruan. Saya tidak boleh buat kerja termasuk menolak tawaran nyanyian dan lakonan, tidak punya selera makan sekali gus banyak aktiviti saya yang tergendala.

“Ketika itu saya memang sedih dan kecewa mengenangkan masalah yang berlaku, tetapi tidaklah sampai saya hendak bunuh diri seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak media di Indonesia,” jawab Irwansyah sambil melakar senyuman kelat tanda dirinya tidak pernah berfikiran sempit untuk melakukan perkara yang dilaknat oleh Allah itu.

Meskipun anak kelahiran Jakarta itu masih boleh tersenyum, namun mata kuyunya tidak mampu menipu kesedihan yang masih berbekas di hati.

Hingga ke saat ini, dia mengakui masih mencintai Acha, cuma malangnya perhubungan mereka tidak dapat bercantum indah seperti sebelumnya.

Hubungan mereka mula dilanda bahang keretakan apabila Acha melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, Malaysia dalam jurusan Komunikasi Massa, Februari tahun lalu.

“Saya lihat saling berjauhan menjadi faktor kepada terputus hubungan cinta dengan Acha yang amat saya sayangi,” luah pelontar lagu Pencinta Wanita itu berterus-terang.


IRWANSYAH menolak spekulasi mahu membunuh diri gara-gara putus cinta dengan Acha.

Irwansyah menyambung, dia berat hati untuk membiarkan Acha berlalu pergi bagi melanjutkan pelajaran di Malaysia.

“Biarpun begitu, saya tetap merelakan pemergian Acha kerana perancangan untuk belajar di negara orang merupakan kemahuan Acha dan keluarganya sendiri.

“Saya tidak melarang, sebaliknya tetap beri galakan kepada Acha untuk meneruskan niatnya sambung belajar.

“Tidak terkecuali, saya sempat menasihati dia agar menjaga kelakuan, pergaulan dan paling penting adalah dengan sentiasa mengingati saya yang berada jauh di Jakarta.

“Hendak buat macam mana, nasihat saya seolah-olah macam dibiarkan begitu sahaja, tanpa dipedulikan oleh Acha.

“Akhirnya saya pula yang menanggung derita akibat berakhirnya perhubungan cinta ini,” ujarnya kesal.

Sikap romantis Irwansyah terhadap Acha tidak hanya diluahkan dengan perbuatan dan kata-kata, sebaliknya dia juga menghasilkan sebuah lagu berjudul Lagu Untukmu, yang didedikasikan khas untuk Acha sebelum ceritera cinta mereka musnah.

“Lagu ini menjelaskan perasaan sebenar saya yang cukup berat hati untuk melihat kekasihnya pergi.

“Acha tahu saya cipta lagu ini untuk dirinya. Sebelum dia pergi ke Malaysia, Acha sudah mendengar lagu ini dan memberikan reaksi teruja tatkala mendengar lagu dan melodinya.

“Dia akui amat terharu dengan penghasilan lagu ini, namun dalam perasaan terharu ini, dia tetap meninggalkan saya,” ucap Irwansyah sambil tertawa besar seakan-akan cuba memujuk diri sendiri.

Sebelum ini, Acha pernah digosip menjalinkan hubungan cinta dengan vokalis Ungu, Pasha. Acha juga dikaitkan oleh isteri Pasha, Okie Agustina Sofyan, sebagai individu utama yang menjadi punca keretakan rumah tangganya.


MENGAKUI bosan dengan gejala politik wang yang menguasai Indonesia.

Menyambung perbualan, pelakon filem Heart itu masih belum memikirkan soal mencari pengganti Acha apatah lagi dirinya masih belum bersedia untuk berpacaran.

“Saya belum ada teman wanita baru. Buat masa ini, saya ingin meneruskan kerjaya seni terlebih dahulu berbanding memikirkan perihal cinta.

“Cukuplah saya mengalami penderitaan sebelum ini. Banyak lagi perancangan yang ingin saya realisasikan demi mencapai cita-cita bergelar anak seni yang berjaya kelak,” ungkap jejaka tinggi lampai itu yang enggan menjalinkan percintaan dengan golongan selebriti lagi selepas ini.

Ditanya tentang hubungannya dengan pelakon baru, Cinta Laura, 16, yang dikenali sewaktu penggambaran sinetron Upik, Abu Dan Laura, Irwansyah lekas menjawab: “Hubungan saya dan dia (Laura) macam adik dan abang.

“Tiada istilah kami bercinta, sebaliknya sikap Laura yang kebudak-budakan membuatkan saya benar-benar melayan kerenahnya umpama seorang abang.”

Bertanding dalam pilihan raya

Dalam perkembangan yang sama, Irwansyah menjadi antara artis yang bertanding pada Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia pada 9 April lalu.

Dia yang bertanding di bawah tiket Parti Indonesia Sejahtera, yang memperjuangkan nilai murni golongan anak muda di negara kelahirannya itu, bagaimanapun tewas di tangan calon lain.

Irwansyah berkata, minat untuk menyertai bidang politik disebabkan peluang sudah tersedia di depan mata, bukan kerana terikut-ikut dengan golongan artis Indonesia yang semakin galak melibatkan diri dalam dunia politik.

“Saya ada kawan-kawan yang melibatkan diri dalam politik. Saya akui masih belum begitu profesional dan harus mempelajari banyak perkara yang berkaitan arena politik.

“Dalam tempoh dua hari bertanding di daerah Solo, saya berjaya mengumpul sebanyak 50,000 pengundi.

“Memanglah ia menunjukkan perkembangan yang membanggakan. Namun tidak lama kemudian, undian terhadap saya mulai merosot dengan banyak.

“Barangkali saya menjadi individu yang tidak menabur wang kepada para pengundi. Disebabkan itulah saya kalah dengan teruk,” jelas Irwansyah yang bosan dengan senario politik wang yang beraja di Indonesia selama ini.

Tidak mudah berputus harap, sebaliknya Irwansyah menyasarkan tempoh lima tahun lagi untuk bergelar seorang ahli politik yang berjaya.

“Kalau saya sudah bergelar tokoh politik suatu hari nanti, saya tetap tidak akan melupakan dunia seni yang amat saya cintai sejak daripada kecil lagi.

“Ada kemungkinan saya akan berkarya di belakang tabir sahaja. Paling penting, bidang nyanyian dan lakonan tetap tidak saya lupakan walaupun selepas ini saya sibuk dengan kerjaya politik,” jelas Irwansyah bersungguh-sungguh.

Dicemuh peminat di Malaysia

Meskipun realitinya mereka bukanlah penyanyi sejati, sebaliknya pelakon yang diasuh untuk menyanyi, tetap mempertahankan prinsipnya untuk terus memperbaiki diri dalam dunia seni suara.

Irwansyah sebelum ini dicaci dengan pelbagai kata-kata negatif yang mengaitkan dirinya tidak boleh menyanyi dengan baik.

Lantaran itu, menerusi album solo Irwansyah kali ini, apakah yang ingin dibuktikannya kepada khalayak tentang penghasilan Soliter?

Irwansyah menjawab: “Suara-suara yang cakap saya tidak boleh menyanyi dengan baik bukannya datang daripada peminat saya di Indonesia, sebaliknya ia lantang disuarakan di Malaysia.

“Terus-terang, saya diterima dengan baik oleh peminat di sana (Indonesia), tanpa ada sebarang prejudis terutama tentang mutu vokal saya.

“Saya akui bukannya hebat, tetapi sekurang-kurangnya saya masih belajar memperbaiki teknik suara yang betul dengan individu berpengalaman di negara saya.

“Lantaran itu, saya harap selepas ini peminat di sini (Malaysia) tidak lagi mempersoalkan tentang vokal saya. Berilah peluang kepada saya untuk menunjukkan bakat yang dimiliki,” mohon Irwansyah yang benar-benar mahu menampilkan kebolehannya menyanyi menerusi album Soliter.


TINGGAL memori. Tiada lagi cinta antara Irwansyah dan Acha.

Menggabungkan sebanyak 10 buah lagu pop organik, Soliter merupakan percaturan pertama Irwansyah secara solo selepas begitu popular dengan kolaborasi bersama Acha.

Album itu juga menampilkan kerjasama bersama komposer terkenal seperti Melly Goeslow, Dewiq dan Opick.

Mempertaruhkan single pertama, Ku Tunggu Jandamu, ciptaan Melly, lagu-lagu lain yang dimuatkan adalah Jangan Menungguku, Wajahmu, Camelia dan Lagu Sedih.

Lagu-lagu lain yang ditampilkan termasuklah Jangan bohong, Tinggalkan Aku, CLBK (Cinta Lama Bersemi Kembali) dan Tak Cinta Lagi.

Kosmo

2 Responses to “Masih Mencintai Acha”

  1. FaReIL November 26, 2009 at 12:11 PM #

    ala….sdih para peminat denga perkara nie……ku tunggu jandamu dri abg irwasyah mmg d tujukan khas bwat kak acha….eIL harap cinta yg lama pergi,peminat bisa menjemput abg irwan n kak acha kembali amin………peminat setia…huhuhu..so sad,,,(o_o)

  2. FaReIL November 26, 2009 at 12:23 PM #

    ala….sdih para peminat denga perkara nie……ku tunggu jandamu dri abg irwasyah mmg d tujukan khas bwat kak acha….eIL harap cinta yg lama pergi,bisa menjemput abg irwan n kak acha kembali amin………peminat setia…huhuhu..so sad,,,(o_o)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: