Ning Reka Pakaian Lelaki

21 Apr

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my


NING kini mahu aktif dalam bidang fesyen dan filem.

LAMA tidak mendengar khabar Ning Baizura, ramai mungkin tertanya-tanya tentang perkembangan penyanyi itu yang ‘berpisah’ dengan pengurusnya, Vernon Kedit-Jolly Oktober lalu. Bukannya apa, karier Ning di bawah pengurusan Vernon selama sedekad lalu berjalan lancar malah insan itu telah membantu membangkitkan semula dirinya dalam industri hiburan.

Namun, atas nekad untuk merencana hidup dan kariernya sendiri, Ning membuktikan dirinya sebenarnya mampu bergerak solo. Dalam masa beberapa bulan ini sahaja, Ning telah menubuhkan sebuah syarikat, HappenNings Malaysia Sdn. Bhd. yang turut merangkumi label pakaian lelaki, Stun-ning.

Manakala di bawah syarikatnya itu, Ning memiliki sebuah studio kecil di Kepong serta menyediakan perkhidmatan penyewaan peralatan penata bunyi serta cahaya. Di samping perniagaan itu, Ning turut menjadi guru vokal kepada lima pelajar di studionya.

Itu antara aktiviti seharian Ning yang membuatkan dirinya kelihatan gembira. Walaupun sibuk sehingga Ning sakit buat kali pertama dalam masa tiga tahun ini, dia seronok menggelarkan dirinya sebagai usahawan.

“Ramai artis mengehadkan bakat mereka dalam satu bidang tetapi pada zaman ini, kita perlu cari skop lebih besar untuk menyara hidup. Tidak ada orang akan bantu kita jika kita tidak berusaha. Saya jadikan Anita Sarawak sebagai contoh.

“Semenjak dia pulang ke tanah air, anda boleh melihat dia mula membuat perancangan. Dia tidak bergantung kepada sesiapa tetapi berjaya dalam bidang yang diceburinya,” katanya ketika ditemui pada sidang media mempromosikan Minggu Setiausahanya di Pullman Putrajaya Lakeside.

Beritahu wanita berusia 34 tahun itu, dia bukan sahaja menimba lebih banyak pengetahuan dalam selok-belok dunia hiburan malah telah mengembangkan sayap sebagai pereka fesyen.

Walaupun tidak pernah menghadiri sebarang kursus rekaan, Ning yang pernah bekerjasama dengan ramai pereka fesyen baru suatu ketika dahulu menggunakan pengalaman itu sebagai petua.

Minatnya terhadap dunia fesyen sebenarnya timbul lima tahun lalu dan ditambah dengan koleksi pakaian, kasut dan begnya, Ning yang sudah 16 tahun menceburi dunia hiburan juga menyimpan niat untuk membuka butik sendiri.

Namun, itu semua masih dalam perancangan kerana memerlukan masa yang agak lama untuk direalisasikan. Buat masa ini, Ning hanya menjalankan perniagaan bajunya menerusi tempahan telefon (012-2108802) serta e-mel.

“Saya memberikan perkhidmatan secara langsung kepada pelanggan. Saya akan mengukur bentuk badan pelanggan dan mereka tetapi baju itu akan dijahit oleh orang lain. Buat masa ini ada dalam lebih kurang 20 pelanggan di kawasan Lembah Klang,” tambah penyanyi suara soprano itu.

Idea untuk mereka pakaian lelaki sebenarnya datang daripada suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton. Beritahu Ning, Omar mempunyai masalah untuk mencari baju kerana ketinggiannya. Baju yang dibeli selalunya pendek di bahagian lengan.


NING bersama pengurus besar Pullman Putrajaya Lakeside, Patrick Sibourg.

“Baju Omar selalu dijahit khas dan ramai kawan-kawannya sering bertanya mengenai bajunya. Dari situ kami mendapat idea untuk membuka perniagaan ini. Omar meminati batik seperti saya. Jadi kami memulakan perniagaan pakaian batik lelaki dahulu. Saya yakin dengan industri fesyen Malaysia,” tambahnya yang kini mengenali pelbagai jenis kain.

Berguru dengan David Teo

Merupakan guru vokal kepada peserta-peserta program realiti One In A Million musim ketiga, Ning bersyukur kerana dalam masa tiga bulan ini, dia sudah menerima empat tawaran menyanyi. Walaupun industri hiburan turut menerima impak kegawatan ekonomi dunia, rezeki Ning tidak begitu ‘terjejas’.

“Memang banyak hotel yang mengurangkan persembahan dan memberi kesan kepada penyanyi. Nasib baik saya masih mempunyai tawaran. Itu juga salah satu sebab saya ingin mencuba perniagaan lain untuk menjana pendapatan,” katanya yang belum mempunyai sebarang perancangan untuk merakamkan album baru.

Baru menghabiskan rakaman filem Magika bersama produksi KRU, Ning gembira memegang watak komedi dalam produksi muzikal itu. Ning kini juga sedang menceburi bidang baru iaitu penerbitan dan pengarahan.

“Saya sekarang tengah belajar daripada David Teo untuk menjadi pengarah dan penerbit. Dalam perancangan terkini, saya mahu menghasilkan program TV. Saya kini perlu mempelajari operasi produksi dari bawah,” kata Ning.

Jadual kerjanya yang padat menimbulkan persoalan bagaimana Ning melaksanakan tugas sebagai isteri, penyanyi, berniaga dan pada masa akan datang menerbit dan mengarah. Ning bagaimanapun dalam senyuman memberitahu, suaminya memberikan sokongan sepenuhnya.

“Ada kalanya jika saya tidak memahami sesuatu benda, dia akan menolong saya. Memang besar cabaran untuk menjadi pengurus kepada diri sendiri tetapi saya tidak pernah melupakan tanggungjawab saya sebagai isteri.

“Kebanyakan masa saya akan bekerja dari rumah. Cuma ada masanya saya balik lewat ketika membuat persembahan. Apa yang penting adalah kasih sayang dan komunikasi untuk kekalkan satu hubungan,” ujarnya yang kelihatan lebih kurus sekarang.

Maka, apabila ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk bergelar ibu, Ning menyatakan dia sudah membuat perancangan. “Mungkin dalam masa setahun dua lagi sebab sekarang saya amat sibuk. Tetapi kalau ada rezeki, saya tidak kisah. Saya mahu bersedia sepenuhnya sebelum melahirkan anak. Maksud saya mungkin selepas perniagaan saya lebih lancar.”

Bagi peminat yang merindui suara Ning, anda boleh menyaksikan persembahan Minggu Setiausaha Ning di Pullman Putrajaya Lakeside pada 23 April ini. Bakal menghiburkan tetamu selama 30 minit dengan seleksi lagu popular, Ning sudah tidak sabar untuk beraksi.

“Saya amat teruja tetapi ini adalah tanggungjawab besar. Hotel ini baru beroperasi beberapa minggu dan saya amat bangga dijemput untuk membuat persembahan di sini. Ini merupakan persembahan minggu setiausaha pertama bagi saya tahun ini,” tambahnya.

Mereka yang berminat boleh membuat tempahan atau pertanyaan di talian 03-8890 0302 (Pugenes) atau 03-8890 0403 (Joanne).

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: