Kemboja Kaya Sejarah

12 Apr

Oleh MOHD FARHAN JOHARI
metahad@hmetro.com.my

KEINGINAN untuk melihat Angkor Wat sudah lama tersemat disanubari bagaimanapun sebagai penuntut masalah kewangan menyekat hasrat yang didamkan. Bagaimanapun, pucuk dicita ulam mendatang apabila abang mempelawa penulis untuk bercuti bersamanya ke Siem Reap, Kemboja, baru-baru ini.

Sebaik diberitahu, saya melayari internet untuk mengetahui sedikit sebanyak mengenai Angkor Wat dan Siem Reap terutama catatan pelancong yang pernah ke sana.

Seperti tidak percaya, rupa-rupanya semua urusan di Siem Reap menggunakan dolar Amerika. Jadi kami membuat persediaan awal menukar wang di Malaysia.

Memang benar apabila tiba di negara itu, semua bayaran yang dikenakan kepada pelancong asing menggunakan dolar. Walaupun mata wang Kemboja, Riel boleh digunakan tetapi harganya sama jika dibayar menggunakan dolar.

 

 

Selama tiga hari dua malam kami meneroka Siem Riep yang terkenal di kalangan pelancong asing terutama Eropah, Korea dan Jepun kerana tarikan utamanya, Angkor Wat.

Sebaik tiba di Siem Reap kami terus melawat Tonle Sap, tasik terbesar di Asia Tenggara dengan bayaran AS$15 (RM50) seorang. Tidak lengkap datang ke Siem Reap tanpa mengunjungi tasik berkenaan walaupun dihati melonjak untuk melihat Angkor Wat.

Menurut abang, kunjungan ke Angkor Wat mesti dilakukan pada hari kedua awal pagi untuk melihat matahari terbit kerana ia antara tarikan yang perlu dirakam lensa kamera. Selain Angkor Wat kami juga perlu melawat Ta Prom di mana penggambaran filem Lara Croft: Tomb Raider lakonan Angelina Jolie dilakukan pada 2001.

Selain Ta Prom, tempat bersejarah lain yang perlu dilawat ialah Bayon yang mempunyai ukiran 54 wajah Kannon, dewa agama Buddha.

Dalam perjalanan menaiki van ke Tonle Sap kami disajikan dengan pemandangan Siem Reap seolah-olah berada pada tahun 70-an di mana jalannya bukan saja sempit dan berlubang malah berdebu. Tidak banyak rumah batu boleh dilihat kerana kemiskinan penduduknya yang hanya mampu membina rumah papan dan beratapkan rumbia.

Kami membayangkan Tonle Sap sebuah tasik yang airnya jernih dan kebiruan tetapi alangkah terkejut apabila mendapati ia kekuningan pekat dan baunya kurang menyenangkan.

Di sini, kemiskinan 5,000 penduduk jelas terpapar di mana mereka tinggal di dalam 1,300 bot dan bergantung hidup kepada hasil tasik berkenaan semata-mata. Anak-anak mereka juga menimba ilmu di sekolah terapung di tasik itu.

Ia pengalaman baru bagi kami yang tidak pernah melihat manusia tinggal di dalam bot. Tidak hairanlah penduduknya amat berterima kasih kepada tasik yang memberikan mereka penghidupan.

Cuma kami yang sudah biasa dengan keselesaan geli apabila melihat penduduk mandi dan memasak menggunakan air tasik yang kotor. Pada mereka ia sudah menjadi rutin dan tidak menggambarkan keperitan.

Selepas menghabiskan masa kira-kira dua jam di tasik itu dan perut pula telah ‘berbunyi’ dalam perjalanan pulang kami singgah di restoran D Wau yang diusahakan rakyat Malaysia. Layanan mesra pekerjanya yang boleh bertutur bahasa Melayu menjadikan perbualan kami semakin rancak. Restoran itu baru setahun dibuka dan menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara berkenaan.

Selepas makan tengah hari kami bersiar-siar di bandar Siem Reap yang kini dipenuhi bangunan baru dan moden sambil membeli belah barangan cenderahati yang tidak banyak bezanya seperti yang terdapat di Thailand. Pada sebelah malam kami menghabiskan masa dengan menonton pertunjukkan kebudayaan.

Hari kedua selepas menunaikan sembahyang Subuh, kami terus ke Angkor Wat sejauh 5.5 kilometer dari hotel

penginapan. Jalan raya masih gelap dan tidak banyak lampu dipasang. Kami diberitahu Kemboja terpaksa berjimat cermat kerana bekalan elektrik dibeli dari Thailand. Hanya lampu kenderaan yang berpusu-pusu ke Angkor Wat menerangai jalan raya.

Selepas membayar AS$20 (RM75) seorang, kami dibawa masuk ke Angkor Wat yang dibina pada abad ke-12 oleh Raja Suryayavanan 11.

Alangkah terujanya saya melihat Angkor Wat yang sebelum ini hanya dibaca ketika di bangku sekolah atau melihat gambarnya saja. Sukar membayangkan pada abad itu, masyarakat Khmer boleh membina sebuah tempat yang kini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia hingga diiktiraf oleh Unesco.

Sepanjang meninjau tempat itu, kami kagum melihat ukiran di dinding bangunan yang menggambarkan kehidupan masyarakat pada abad berkenaan.

Selain itu, kami juga tertarik melihat Ta Prom yang dilingkari akar pokok besar seperti sotong kurita. Tumbuhan yang menjalar di sekeliling tempat ini menyebabkan banyak berlaku runtuhan.

Sebuah lagi tempat yang memikat hati kami ialah Bayon di mana ukiran wajah Kannon memenuhi bangunan berkenaan. Ia dibina sekitar 1181-1219 untuk mendewakan agama Buddha. Jika tidak mempunyai masa, pelancong yang berkunjung ke Siem Reap perlu berkunjung sekurang-kurangnya ke tiga tempat ini kerana ada enam tempat lain yang perlu dilawati.

Selain Angkor Wat, Ta Prohm dan Bayon, tempat lain lain ialah Banteay Srei, Pre Rip dan Ta Keo.

Apa pun kunjungan kami ke Siem Reap berbaloi kerana kami tidak melepaskan apa juga peluang yang ada untuk dikunjungi. Yang jelas, Angkor Wat menjadikan Siem Reap terkenal seluruh dunia. Tanpa Angkor Wat, apalah Siem Reap.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: