Rosyam Terbitkan Pilih Kasih

7 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


ROSYAM bersama pengacara Pilih Kasih iaitu Reza Mohamed, Raja Azura serta hos Jurnal Harian, Pasha.

Program realiti TV cungkil bakat baru dalam bidang lakonan

PENGALAMAN lebih dua dekad, selain merangkul pelbagai pengiktirafan terbaik dan popular, profil seni aktor berwibawa, Rosyam Nor diperkasakan bersama misi baru menerusi program realiti, Pilih Kasih.

Idea menerbitkan program Pilih Kasih itu lahir ekoran kesedaran untuk memberi ruang dan peluang selain menjadi batu loncatan kepada pencinta dunia lakonan untuk mengasah dalam seni lakon.

Awalnya, aktor yang dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini merancang untuk menerbitkan filem romantik komedi, Kekasih.

Bagaimanapun, selepas membuat penelitian bersama pengarah, Bade Azmi terhadap pasaran serta sambutan penonton yang semakin suram, lahir idea untuk menerbitkan program realiti itu.

“Program ini untuk industri. Selama ini, peminat sering merungut setiap kali menekan punat televisyen atau ke pawagam, mereka akan menonton wajah yang sama. Malangnya kita tidak mempunyai ramai pelakon yang mempunyai keserasian seperti yang dimiliki gandingan Erra Fazira dan Awie. Begitu juga gandingan saya dan Rita Rudaini yang jelas disenangi penonton.


TENAGA kerja berpengalaman menjadi nadi yang memperkasakan Pilih Kasih.

“Seseorang pelakon perlu ada bakat untuk digilap menjadi hebat. Menerusi program Pilih Kasih, kami menyediakan peluang kepada mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai ruang mengetengahkannya supaya tampil dan mencuba kemampuan,” katanya.

Menerusi program realiti yang ditangani nama berpengalaman seperti Rohani Yousoff dan Erma Fatima sebagai tenaga pengajar, kesemua bakat terpilih akan dilatih untuk menjadi anak seni yang serba boleh dan memenuhi kriteria untuk diketengahkan ke layar perak.

Program realiti Pilih Kasih, kata Rosyam, turut mendedahkan kepada orang luar profesion sebagai pelakon adalah satu bidang pekerjaan yang baik dan memberi impak sekiranya dilakukan di atas landasan betul dan ikhlas.

“Program ini dibarisi tenaga penerbitan berpengalaman luas dalam segala aspek merangkumi filem, drama, dokumentari dan video untuk memenuhi spesifikasi dan piawaian rancangan realiti berkualiti,” katanya.

Pengisian program Pilih Kasih memperlihatkan peserta didedahkan mengenai realiti sebenar menjadi anak seni dengan menyempurnakan tugasan di bawah pengawasan pengarah berpengalaman seperti Along Kamaruddin dan Amy Maziah.

Peserta juga didedahkan dengan kelas lakonan drama muzikal yang dipimpin Erma Fatima sebagai tugasan kedua mingguan dan akan diadili setiap minggu ketika Malam Perdana.

“Kami turut mencari individu yang berkebolehan menyanyi dan menari selain mempertaruhkan bakat lakonan sebagai asas utama program ini,” katanya.

Pelakon dan pengacara berusia 42 tahun ini berkata, Pilih Kasih menyediakan kemudahan pusat seni lakon bagi melahirkan bakat terlatih dan berwibawa.

Meskipun tempoh latihannya singkat, Rosyam yakin program itu akan menjadi perintis ke arah mengangkat martabat seni lakon di negara ini.

“Saya mengalu-alukan mereka yang berminat, selain ahli kelab teater, seni lakon dan badan kesenian seluruh negara supaya bangun menyahut cabaran ini.

“Pelakon tambahan juga disyorkan menghadiri uji bakat untuk mengembangkan kemampuan yang selama ini terhad disebabkan kekangan watak,” katanya.

Cara penyingkiran berbeza

BIARPUN mengikut asas program realiti lain yang menyandarkan nasib peserta kepada undian penonton, cara penyingkiran peserta yang kurang bernasib baik dalam Pilih Kasih mengetengahkan corak yang berbeza.

Keputusan mutlak penyingkiran berada di tangan penerbitnya iaitu Rosyam sendiri kerana ia bertujuan mendidik penonton supaya tidak mensia-siakan bakat yang berpotensi untuk menyinar di persada lakonan.

“Kami tetap menghormati undian penonton, cuma dua peserta yang mendapat peratusan undian terendah akan berdepan dengan saya untuk dipertimbangkan sebelum penyingkiran seorang peserta yang lemah dibuat.

“Bagaimanapun, elemen kejutan sebagai gimik program tetap diterapkan kerana ia menjadi antara perencah yang memberi tarikan kepada Pilih Kasih,” katanya.

Suatu janji Rosyam, nasib finalis Pilih Kasih tidak akan terabai selepas tamat pengajian kelak kerana dia merangka pelbagai peluang untuk mereka.

Mereka bakal menjadi wajah baru untuk mengisi pelbagai slot penerbitan drama dan filem yang semakin berkembang.

“RTM sendiri bakal melancarkan 13 lagi saluran, sekali gus memperlihatkan keperluan penerbitan lebih banyak drama serta program televisyen. Industri tidak selamanya harus bersandar kepada wajah sedia ada, jadi kehadiran bakat baru ini mengisi ruang itu. Saya percaya peluang untuk mereka bertapak adalah cerah berdasarkan kepada potensi besar dalam industri lakonan,” katanya.

Mengekalkan format seperti program realiti lain, Pilih Kasih akan memaparkan aktiviti harian pelajar menerusi Jurnal Harian yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat selama setengah jam.

Tayangan Perdana pula memaparkan pertarungan peserta untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam pertandingan itu setiap hujung minggu.

Menerusi slot selama 90 minit itu, penonton disajikan dengan tiga segmen iaitu Filem Pendek yang memaparkan hasil lakonan setiap peserta menerusi tayangan drama bersiri selama 10 minit

Peserta juga diberi skrip untuk menjayakan segmen teater dan mempersembahkannya secara langsung, selain menunjukkan bakat menerusi lakonan monolog sekali gus menilai tahap kemahiran lakonan mereka.

Persembahan peserta akan menerima kritikan daripada Rosyam dan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah.

Program Pilih Kasih yang memulakan siarannya pada 25 Mei ini menyatukan Raja Azura dan Reza Mohamed sebagai pengacara, manakala Jurnal Harian pula dikendalikan bakat baru, Pasha Abdul Rahim.

INFO: Uji bakat

DIADAKAN di lima zon berbeza selama lima minggu dan terbuka kepada bakat berusia 18 hingga 35 tahun. Sesi uji bakat bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam. AEON Bukit Indah, Johor Bahru – 11 April Kompleks Terminal One, Seremban – 12 April KB Mall, Kota Bharu – 18 April Berjaya Megamall, Kuantan – 19 April One Borneo, Kota Kinabalu – 26 dan 26 April Queensbay Mall, Pulau Pinang – 2 Mei Plaza Alam Sentral, Shah Alam – 3 Mei The Spring, Kuching – 9 dan 10 Mei

Berita Harian

2 Responses to “Rosyam Terbitkan Pilih Kasih”

  1. eyzad April 20, 2009 at 8:09 PM #

    Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program PILIH KASIH ini. Saya salah seorang penggemar bidang lakonan amat memuji tindakan yang kalian buat. Saya amat meminati bidang lakonan sejak dulu lagi, cuma tidak mempunyai peluang untuk mencuba nasib saya. Saya baru dapat tahu tentang program ini semalam semasa uji bakay anak wayang di shah alam semalam. Saya akan cuba untuk uji bakat program ini. Tahniah yang tidak terhingga kepada Rosyam Nor selaku idola saya.

  2. Bat April 29, 2009 at 10:50 PM #

    Saya juga salah seorang yang berminat dalam bidang lakonan ini tetapi kurang berpengalaman dalam bidang lakonan atau teater tetapi saya mempunyai bakat yang terpendam selama ini tapi masih lagi dalam pencarian yang mantap. Lumrah ,manusia kalau tidak berlakon hidaup tak akan di warnai oleh kehidupan kita seharian. Di sini ingin saya katakan pelakon idola saya yang banyak menaik kan taraf industri lakonan perfileman malaysia Rosyam Nor. Saya harap saya akan mencuba yang terbaik dalam uji bakat pilih kasih ini dan terpilih secara tidak langsung dapat menaikkan taraf industri perfileman negara mahupun RTM yang sedang berkembang dalam salurannya yang terkini akan datang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: