Lisdawati Belanja Sakan

7 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

KETIKA kali pertama berbulan madu bersama suami, Fauzi Nawawi, 36, di Bali selepas sebulan mendirikan rumah tangga, pelakon, Lisdawati Nazarudin, 30, disahkan hamil anak sulung, Nur Aini Farhana yang kini berusia 10 bulan.

Kehadiran si kecil itu benar-benar menumpahkan rezeki buat pasangan suami isteri itu apabila sebaik saja Lisdawati habis berpantang, mereka ditawarkan menyertai program realiti, Sehati Berdansa, terbitan Astro dan muncul juara.

Mereka menerima pakej percutian ke Eropah selama 10 hari dan kereta Kia Optima. Lisdawati yang memang tidak sabar untuk menjejaki bumi Eropah begitu teruja untuk bercuti bersama keluarganya. Segala perancangan sudah diatur pihak Astro maka mereka tiga beranak bertolak ke sana pada 17 Mac lalu dan pulang ke tanah air pada 27 Mac.

Biarpun ketika itu negara yang dituju termasuk London, Paris, Frankfurt, Belgium, Amsterdam dan Switzerland mengalami musim sejuk dengan cuaca sekitar 4 hingga 5 darjah celcius namun pasangan suami isteri tidak sampai hati meninggalkan Farhana bersama neneknya. Ini kerana sepanjang masa mereka bekerja si kecil yang semakin aktif itu dijaga emak Lisdawati yang tinggal bersamanya.

“Memang Farhana belum tahu menghayati keindahan alam bumi Eropah tetapi saya tetap ingin membawanya bercuti kerana saya berasakan apa yang kami perolehi ini adalah kerana tuahnya. Gambar yang kami rakamkan sepanjang perjalanan itu akan disimpan dengan baik untuk Farhana tengok apabila dia dah besar nanti.

“Pasti ia menjadi kenangan amat indah buat Farhana apabila dia dewasa nanti. Dengan suhu yang terlalu rendah, cuaca di kebanyakan negara dilawati sangat sejuk sehingga memaksa saya memakai dua tiga lapis baju sebelum menyarungkan baju panas. Farhana pun saya pakaikan dia beberapa lapisan baju dan bersarung tangan serta kaki.

“Walaupun masih kecil tetapi Farhana tidak banyak ragam. Oleh cuaca yang terlalu sejuk Farhana lebih banyak tidur. Dalam tempoh 10 hari kami habiskan masa di sesebuah negara selama sehari atau dua hari dan kami sempat transit di Bahrain. Meskipun perjalanan itu agak pendek kerana banyak destinasi menarik yang perlu dilawati, saya tetap puas kerana dapat bercuti jauh bersama suami dan anak.

“Paling seronok saya dapat bermain salji di Switzerland yang terkenal dengan keindahan bentuk rupa buminya. Dari Switzerland kami menaiki keretapi ke Amsterdam di mana dalam perjalanan itu hujan. Ia menambahkan lagi kesejukan sehingga ke tulang hitam.

“Syukur Alhamdulillah, dapat juga tengok tempat orang. Sewaktu berada di Paris saya amat mengkagumi seni bina bangunan lama yang masih dilindungi dengan baik. Jika rezeki berlebih saya teringin untuk bercuti di London lagi dan mungkin saya akan berada di sana lama sedikit. Masyarakat di sana juga peramah.

“Pertukaran wang di sana sangat mahal kerana kebanyakan negara menggunakan mata wang Euro. Banyak juga saya berhabis dan dapatlah tiga beg tangan jenama terkenal yang harganya agak murah berbanding di sini. Fauzi juga dapat membeli beberapa barangan yang diidamkannya selama ini.

 

 

“Saya ‘penjamkan mata’ saja membelinya sebagai tanda kenangan dan menganggap pembelian beg tangan itu sebagai hadiah untuk diri sendiri yang penat bekerja. Lagipun kalau saya tidak membelinya, entah bila lagi saya dapat ke sana,” katanya.

Selepas berehat sehari dua, Lisdawati sibuk semula di set penggambaran drama 44 episod, Matahari, terbitan Pena Creative milik Ziela Jalil. Drama itu mengisi slot Akasia, setiap Isnin hingga Khamis, 6.30 petang menggantikan Spa Q sejak 30 Mac lalu.

Sebelum pergi bercuti Lisdawati dapat siapkan 13 episod dan terpaksa minta ‘break’ sekejap dengan produksi kerana pakej percutian itu tidak boleh ditangguhkan lagi.

“Mujur pihak produksi faham dengan keadaan saya. Balik ini, siang malam ke lokasi apatah lagi saya pegang watak utama drama itu sebagai Ariana yang disifatkan sebagai ‘matahari’. Menerusi paparan setiap watak dalam drama itu mempunyai tipu muslihat masing-masing dan ada kepentingan sendiri terutama Ariana.

“Ariana mempunyai kakak bernama Arisa (Aida Aris) yang dirogol bapa tiri mereka (Nasir Bilal Khan). Kisah bermula dengan kehidupan Ariana di kampung yang kemudian berhijrah ke kota dengan impian untuk menjadi kaya raya. Matahari ingin memberi teladan kepada penonton agar adat lama jangan ditinggalkan meskipun kita melalui kehidupan moden.

“Bagi seorang wanita, ‘dara’ amat penting untuk dipelihara dan hanya boleh dimiliki suaminya yang sah. Orang dulu sanggup bercerai pada malam pertama apabila mengetahui isteri yang baru dinikahi tiada dara lagi.

“Itulah yang berlaku kepada Arisa yang diceraikan suaminya (Syed Aiman) pada malam pertama selepas dia berterus terang yang mahkota dirinya sudah musnah. Dengan apa yang berlaku pada Arisa, Ariana mendendami lelaki dan suka mempermainkan perasaan mereka,” katanya.

Jelas Lisdawati dia perlu menghabiskan penggambaran sebanyak 25 episod lagi.

“Oleh kerana saya muncul dalam semua episod drama itu, ia memang meletihkan. Untuk datang ke sesi fotografi ini pun saya terpaksa ‘lari’ sekejap. Kalau tidak, saya tiada masa langsung untuk melakukan kerja lain. Selesai saja fotografi ini saya akan terus bergegas ke lokasi kerana kru menunggu untuk memulakan penggambaran.

“Penggambaran Matahari akan segera disiapkan sebelum berlangsungnya ABPBH2008 (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008) pada 12 April ini. Pada hari itu saya dijemput menyampaikan anugerah dan khusus untuk itu saya akan tampil dengan gaya baru. Tunggu saja nanti,” katanya. Tambah Lisdawati demi menghayati watak Ariana, dia banyak berhabis duit membeli baju. Nasib baiklah harga baju sekarang tidak mahal dan selalu ada jualan murah.

“Beribu ringgit jugalah saya membeli baju baru tetapi semua untuk kepuasan bekerja. Hendak nampak cantik terpaksa berbelanja lebih. Oleh kerana Ariana adalah penari maka untuk babak tertentu saya mendapat baju tajaan daripada Michael Shu.

“Bagus ada yang sudi menaja tetapi adakala susah menjaga baju tajaan dan ada ketikanya kena berbelanja lebih untuk hantar cuci kering dan sebagainya. Peruntukkan untuk membeli baju sendiri juga bergantung kepada bayaran lakonan diterima daripada produser. Jika bayarannya ciput, tak dapatlah hendak berbelanja lebih.

“Tetapi baju yang dibeli itu tidak rugi kerana boleh dipakai dua tiga kali dalam drama lain pula. Tetapi kenalah pandai suai padankan supaya penonton tidak perasan baju itu pernah dipakai sebelum ini.

“Apabila bercakap soal bayaran, sekarang ada produser main tarik tali kerana sekarang ramai pelakon baru yang bayarannya lebih murah. Untuk terus bertahan dalam bidang ini, pelakon lama macam saya ini kenalah memberi mutu lakonan yang bagus bagi memastikan nama sentiasa ada dalam senarai produser atau pengarah.

“Bukan saja bersaing sesama pelakon tetapi sekarang ramai penyanyi dah jadi pelakon. Bertambah lagi saingan. Apa yang diharapkan penyanyi yang hendak jadi pelakon itu buatlah bersungguh-sungguh jangan sekadar hendak mengambil kesempatan. Ada di kalangan pelakon lama bersungut ramai sangat penyanyi menceburi dunia lakonan sekarang.

“Apa daya kita untuk menghalang rezeki, minat dan bakat orang lain. Apa yang boleh dilakukan, saya mesti terus mempertingkatkan mutu lakonan. InsyaAllah, kalau dah rezeki kita tidak ke mana,” katanya yang bakal dilantik menjadi duta produk Rorine daripada Singapura.

Bercerita mengenai Fauzi pula, jelas Lisdawati suaminya itu sekarang banyak terbabit dalam projek stunt dengan menubuhkan kumpulan lagak ngerinya sendiri. Kumpulannya sudah mendapat kepercayaan produser tanah air untuk melakukan aksi lagak ngeri dalam drama dan filem terbitan mereka.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: