Mulut Laser Tak Semestinya Negatif

28 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
PROGRAM hiburan yang turut menyelitkan elemen sensasi iaitu Hip TV makin mendapat perhatian penonton sejak mula ditayangkan pada setiap Isnin jam 10.30 malam di TV9 sebulan lalu.

Berbeza dengan penerbitan program hiburan sedia ada, program itu membawa kelainan dengan membincangkan sesuatu topik atau isu hiburan bersama tiga panel yang dijemput.

Biarpun ia hanya program rakaman, tetapi topik atau isu hiburan dibincangkan cukup menarik perhatian penonton yang ingin mengetahui pandangan panel secara mendalam sama ada bersetuju atau tidak dengan tajuk berkenaan. Pada siaran Isnin lalu, program ini membicarakan topik Selebriti Mulut Laser dan mengundang tiga panel iaitu Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh bersama penyampai radio Era FM, Din Beramboi dan wartawan Bintang Popular Berita Minggu, Zubir Mohd Yunus.

Menampilkan Kieran sebagai pengacara latar, program ini turut menyenaraikan carta Top 5 artis tempatan yang dikategori Selebriti Mulut Laser. Menduduki tangga teratas adalah Fauziah Ahmad Daud atau Ogy diikuti Adlin Aman Ramli, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.

Ogy dikatakan paling mulut laser kerana berani bersuara lantang ketika mengacara program TV seperti Melodi di TV3 mahupun mengendalikan majlis anugerah. Adam berpandangan Ogy dikategori laser cili padi yang berani melontarkan kata-kata pedas dan tidak peduli dengan apa dikatakan walaupun menerusi program siaran langsung. Berbanding empat selebriti dalam kategori ini, Ogy pernah mencatat sejarah sendiri apabila berhadapan dengan kes disaman selebriti lain di mahkamah.

“Dia bercakap secara ketelusan hati hingga ada ketika tidak fikir implikasi kepada kata-katanya. Namun, saya percaya selebriti seperti Ogy menjadi laser kerana berdasarkan pengalaman yang ada padanya,” katanya.

Din juga mengakui Ogy bermulut laser tidak kira tempat hingga di set rakaman atau penggambaran, dia berani mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan orang lain.

Sungguhpun begitu, sikapnya itu menampakkan dia seorang yang ikhlas dan jujur dalam menyatakan pandangan. Zubir turut bersetuju mengatakan Ogy adalah individu berterus terang walaupun dia sebenarnya mempunyai hati yang baik.

Pandangan mengenai Adlin pula, selebriti ini sering menarik perhatian khalayak terutama ketika menjadi juri program realiti popular, Akademi Fantasia (AF). Jika Ogy dikategori laser cili padi, Adam pula menggelar Adlin sebagai laser buta tuli. Kata Adam, Adlin mengkritik mengikut cara dan pandangan sendiri tanpa dipengaruhi orang lain mahupun pandangan peminat di belakangnya.

“Ketika dia memberi komen, peminat sudah bertempik tidak berpuas hati dan ini boleh membuatkan pengkritik terpengaruh dengan ejekan peminat. Sebaliknya, dia bersikap buta tuli ketika memberi kritikan. Walaupun dia dikatakan mulut laser, tetapi atas sebab itu, ia memahat namanya dalam persada hiburan tempatan,” katanya.

 

 

Din tidak menafikan Adlin masih bermulut laser sejak mula berkecimpung dalam bidang hiburan hingga popular sebagai pengkritik AF.

Katanya, Adlin juga seperti Ogy yang bersikap jujur meluahkan pandangan secara tulus. Bagaimanapun, dia masih boleh menerima kritikan orang lain dan berhati baik. Zubir berpendapat apa yang diluahkan Adlin berdasarkan fakta dan bukan cakap kosong.

“Dia mahu pelajar yang dikritik boleh berubah dan memberi persembahan terbaik pada masa akan datang. Namun, tidak semua kritikan dia boleh diterima khalayak secara terbuka. Sebagai manusia, tidak semua sempurna dan walaupun sudah buat terbaik, masih ada pihak yang tidak berpuas hati,” katanya.

Sheila Rusly yang menduduki tangga ketiga dikatakan mulut laser selepas menjadi selebriti bertaraf senior. Adam sebaliknya tidak melihat Sheila dikategori laser 100 peratus kerana dia hanya menampakkan sikap laser ketika berlaku perselisihan faham dengan selebriti lain. Kata Adam, andai Sheila diberi peluang pihak tertentu untuk menjadi juri program realiti, ia mampu menjadi pengukur sejauh mana Sheila bermulut laser.

“Setakat ini, apa yang saya nampak dia lebih mengupas sesuatu isu, tetapi kelantangan ketika bercakap secara spontan membuatkan dia juga dikatakan mulut laser,” katanya.

Bagi Zubir, dia berpandangan sikap seperti Sheila yang terlalu menghayati watak hitam dalam lakonan boleh mempengaruhi sikap dalam kehidupan sebenar. Sheila suka menyatakan perasaan suka atau tidak secara terangan walaupun sikapnya itu tidak disukai segelintir selebriti lain. Din pula mengakui Sheila bermulut laser kerana sikap yang ditunjukkan.

“Dia sebenarnya menghormati orang lain cuma apabila timbul soal senioriti di set penggambaran, dia suka mengarah orang lain. Ketika itu, dia terlupa perasaan orang yang mungkin terguris akibat sikapnya,” katanya.

Mengenai Raja Azura, dia dikatakan mulut laser apabila berhadapan kontroversi dengan artis dan kru belakang tabir. Adam menggelarkan selebriti ini laser secara berhemah atau berpada-pada kerana apa yang dilontarkan berlapik dan disampaikan secara sinis.

“Apabila berlaku kes serang-menyerang antara selebriti, mereka ini secara tidak langsung dilabel bermulut laser. Saya sendiri hormati dia dan Sheila Rusly menyerang secara profesional dengan meluahkan emosi serta pendapat tidak secara realiti iaitu menyerang secara fizikal,” katanya.

Din berpandangan Raja Azura bukan selebriti yang cerewet, tetapi apa yang diucapkan memberikan kesan kepada orang lain. Zubir mengaitkan selebriti ini dengan sikap pengacara yang perlu bermulut laser untuk menarik perhatian penonton. Biarpun dicop sedemikian, selebriti ini tetap mencipta identiti sendiri.

Komposer Roslan Aziz tidak terkecuali dikatakan bermulut laser terutama ketika menjadi juri program realiti Malaysian Idol sebelum ini. Adam berpandangan Roslan menyampaikan laser berisi di samping mencipta personaliti sendiri.

“Mulut laser lelaki seperti Roslan sering berfikir berulang kali sebelum melontarkan pandangan. Dia terlebih dulu berfikir sebelum ‘tembak’. Saya fikir, jika mereka yang dikritik cepat terasa emosi, orang itu tidak akan dapat ilmu untuk belajar,” katanya.

Din berpandangan Roslan mempunyai sikap yang serius dan kelakar. Namun, ada kata-katanya tidak disenangi orang lain apabila dia bertegas. Katanya, mungkin teguran Roslan dilihat kasar kerana ia disampaikan menerusi kata-kata.

Zubir berkata Roslan dilabel sedemikian kerana atas faktor mendidik. Melalui tanggungjawab menerusi program realiti yang dikendalikannya sebelum ini, dia perlu mendidik secara tegas demi kebaikan pelajar yang menerima bimbingannya.

1. PANDANGAN…Adam menyatakan pandangan mengenai topik Selebriti Mulut Laser di Hip TV baru-baru ini.

2. DIN…selebriti bermulut laser menunjukkan sikap yang ikhlas dan jujur.

3. OGY…berani melontarkan perkataan ‘pedas’ dalam program siaran langsung.

4. ADLIN…kritik mengikut pandangan sendiri.

5. SHEILA…dikatakan bermulut laser selepas berselisih faham dengan selebriti lain.

6. RAJA AZURA…dikatakan bercakap secara berlapik, tetapi sinis.

7. ROSLAN…mempunyai sifat yang serius dan kelakar.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: