Kami Hanya Berkawan

27 Mar

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ENGGAN bersandarkan rupa paras menawan dan gosip murahan, Ryzal mahu dikenali peminat sebagai pelakon berbakat besar.

BELUM sempat pendatang baru, Mohd. Shahrizal Jaafar atau Ryzal membuktikan bakat lakonan yang ada, dia mula dihampiri gosip kononnya sedang menjalinkan cinta dengan pelakon, Eira Syazira.

Enggan berselindung, Ryzal mengakui dia baru sahaja berkawan dengan Eira sejak empat bulan lalu, setelah berkenalan di lokasi penggambaran.

“Eira merupakan seorang gadis yang peramah dan berperwatakan menarik. Saya rasa selesa berkawan dengan dia.

“Boleh dikatakan kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing,” terang Ryzal semasa hadir di Studio Utusan, Chan Sow Lin baru-baru ini.

Dengan gosip yang berterbangan bebas itu, barangkali ia dilihat memakan diri kepada Ryzal yang baru sahaja ingin mengukir nama dalam lapangan seni.

“Saya dapati isu ini tidak berikan sebarang kesan mendalam kepada saya dan kerjaya.

“Sebagai seorang pelakon dan dikenali masyarakat, saya juga adalah insan biasa yang ada keinginan untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

“Saya sedar golongan selebriti sentiasa diperhatikan, namun itu merupakan hak peribadi saya untuk keluar dengan mana-mana perempuan.

“Lagipun, kami hanya berkawan dan tiada sebarang hubungan istimewa,” luah Ryzal tegas.

Sebelum ini, Ryzal sendiri pernah mendengar gosip dirinya bercinta dengan Eira yang disebarkan di media cetak.

“Saya tidak terkejut langsung baca artikel ini apatah lagi untuk melenting.

“Tidak dinafikan, kami pernah keluar berdua-duaan beberapa kali. Secara kebetulan, kami masih solo dan tiada komitmen dengan mana-mana teman istimewa.

“Lantas, saya dan Eira bebas untuk mengadakan temu janji untuk merapatkan lagi perhubungan yang terjalin,” ulasnya yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah.

Hentikan semua gosip yang tidak berasas itu. Ryzal sebaliknya lebih gemar bercakap soal karier seninya yang baru hendak bermula.

“Saya mahu dikenali masyarakat kerana bakat lakonan yang dimiliki apatah lagi hampir setiap hari ada sahaja muka baru yang muncul dalam bidang lakonan.

“Paling utama, saya perlu menggilap bakat lakonan setelah melihat persaingan sengit daripada pelakon lelaki yang sedia ada dan juga muka-muka baru.

“Saya kena ambil lebih banyak ilmu daripada insan-insan seni yang terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelakon,” luah Ryzal dalam getaran suara berkobar-kobar.

Giliran Ryzal bergelar artis

Kelibat Ryzal selama ini sering dilihat menemani artis terkenal tanah air ibarat Anita Sarawak, Aznil Nawawi, KRU, Dafi, Adam, Ezlynn dan ramai lagi.

Ryzal sebelum ini bertanggungjawab membawa artis di bawah KRU Records menghadiri mana-mana majlis atau pertunjukan pentas sejak beberapa tahun lalu bersesuaian dengan statusnya, Pegawai Eksekutif Promosi KRU Records.

Tugas Ryzal yang hakiki berada di belakang tabir. Kini, siapa menyangka individu yang sekadar menemani artis sebelum ini mula berani melangkahkan kaki untuk terjun ke dunia glamor.


RYZAL mengakui selesa berkawan rapat dengan Eira.

Dalam tempoh panjang memegang jawatan sama, kini Ryzal mula ditugaskan sebagai Pegawai Koordinator Bakat KRU. Ryzal menjadi individu penting dalam mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan.

“Diam tak diam, melebihi empat tahun saya kerja dengan KRU. Pada mulanya saya menguruskan kelab peminat artis dan bekerja secara sambilan disebabkan masih menuntut di Institut Integratif Media Malaysia (MIIM).

“Dengan mengambil jurusan Diploma Komunikasi dan Visual, saya kena bijak bahagikan masa dengan sebaik mungkin untuk bekerja dan belajar dalam satu-satu masa.

“Memanglah memenatkan, namun saya terhibur dapat melibatkan diri secara tidak langsung dalam dunia seni.

“Minat untuk berlakon mula bercambah selepas saya menemani artis ke sana sini sekali gus saya dapat merasai pengalaman sebenar tentang dunia ini.

“Mengenali lebih dekat pihak media dan beberapa produser serta pengarah, maka saya ambil peluang yang ada untuk saya melibatkan diri sebagai pelakon,” ujarnya.

Jejaka berusia 27 tahun itu menyambung, pada mulanya minat untuk berlakon memang tiada dalam direktori hidupnya, yang sekadar mahu bekerja dengan KRU untuk mencari rezeki.

“Tiga tahun lalu, saya boleh diumpamakan ‘kosong’ dan tiada minat untuk berlakon dan muncul di kaca TV.

“Begitupun, saya bersyukur apabila diberikan peluang untuk berlakon menerusi drama bersiri, Dunia Baru, digandingkan dengan beberapa nama besar seperti Elyana dan Pierre Andre.

“Waktu itu banyak pihak yang mengkritik, malah ada memberi komen tentang lakonan saya. Ada yang berkata, saya berlakon macam kayu dan tidak kelihatan semula jadi.

“Puas juga saya kena kritik dan kena marah dengan pengarah, namun saya tidak menyalahkan sesiapa apatah lagi saya dikira macam budak baru belajar.

“Banyak lagi asas lakonan perlu dipelajari untuk memperbaiki mutu lakonan saya ke tahap yang lebih membanggakan.

“Lantaran itu, saya terima segala pandangan yang diberikan orang ramai terhadap diri,” jawab Ryzal pasrah.

Selain Dunia Baru, Ryzal juga berlakon dalam beberapa buah drama antaranya ialah Jelatang, Cinta Bulan Mentari, Platun Satria, Gadis Cuci dan Suria Di Pinggir Mentari.

Trio KRU sokong Ryzal

Ditanya tentang pihak majikan Ryza, yang barangkali melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap pekerja yang mempunyai kerja sampingan, pantas beritahu Ryzal, KRU cukup memahami situasi itu.

“Alhamdulillah, majikan saya iaitu Norman, Yusry dan Edry faham tentang kerjaya luar saya selain bekerja dengan KRU.

“Majikan saya cukup bertolak-ansur dan mengerti keadaan ini, malah mereka menyokong dan tidak menghalang saya untuk berlakon.

“Saya juga ada kontrak daripada KRU bermula tahun lalu yang tertulis bahawa saya adalah pekerja dan artis KRU,” jelas Ryzal teruja.

Kalau sudah diberi ‘ruang’ istimewa dalam empayar gergasi KRU, maka sudah pasti ada sesetengah pihak bersikap skeptikal mengaitkan Ryzal cukup disayangi KRU hingga menjadi anak emas majikan.


INGIN bekerja keras demi mencapai kejayaan dalam dunia lakonan tanpa mengharapkan bantuan KRU.

Pantas sahaja Ryzal menjawab: “Perkara yang membabitkan anak emas tidak pernah berlaku dalam syarikat KRU.

“Majikan saya tidak pernah bersikap pilih kasih terhadap pekerja mahupun artis yang menaungi KRU Records. Setakat ini memang majikan saya belum mengambil saya berlakon dalam mana-mana projek yang mereka hasilkan.

“Barangkali mereka belum ada sepenuh kepercayaan kepada saya apatah lagi saya masih mentah.

“Saya enggan berlebih-lebihan dalam soal ini. Jika boleh, biarlah KRU sendiri memanggil saya untuk berlakon kerana bakat, bukan kerana saya bekerja bersama mereka,” akui Ryzal lalu tersenyum.

Hentikan gosip itu – Eira

Pelakon popular yang didakwa menyulam cinta dengan Ryzal iaitu Eira mengaku dia mula mengenali Ryzal selepas terlibat dalam penggambaran drama bersiri 26 episod, Issandra kira-kira empat bulan lalu.

“Saya memang berkawan dengan Ryzal. Dia adalah seorang lelaki yang peramah dan menghormati orang lain sepanjang tempoh perkenalan kami.

“Saya okey sahaja berkawan dengan dia, namun perhubungan kami sekadar macam kawan biasa. Cuma tiadalah sampai ingin bercinta dan mempunyai hubungan istimewa.

“Selebihnya saya enggan komen lebih-lebih kerana saya tidak selesa apabila kisah peribadi saya menjadi tajuk perbualan di media cetak dan elektronik.

“Janganlah masyarakat mensensasikan persahabatan saya dan Ryzal. Saya baru sahaja hendak melibatkan diri dalam lapangan seni sekali gus melakar nama sebagai pelakon.

“Kalau perihal peribadi terlalu diuar-uarkan, tetapi mutu lakonan saya masih belum dapat dibuktikan kepada umum, kesudahannya saya juga yang dapat malu kelak.

“Saya merayu sangat agar gosip ini dihentikan. Berilah ruang kepada saya untuk meneruskan kerjaya lakonan berbanding bercakap bab cinta dan perkara remeh-temeh,” luah wanita berusia 25 tahun itu mohon dimengertikan.

Kosmo

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: